BERTAMU DI TAMAN ILMU
Kelmarin
telah kau terima bingkisan berupa warkah
jemputan melangkah ke sebuah taman yang indah
bukan sekadar bertamu, tetapi mengenal erti rindu
rindu kepada ilmu nan berjuta ribu
ada getar yang mengusik fikiran
ada debar yang mencarik kenangan
betapa mimpi menjadi nyata
betapa janji akan dikota.Lantas kau sahut panggilan itu
lihat di atas telapak tanganmu
segenggam benih keazaman dari kampung halaman
bekalan ayahanda dan bonda yang menyimpan harapan
setinggi gunung seluas lautan.Di sini, taman subur mewangi telah lama menanti
di sini, kau berdiri di bumi ini bernama universiti
perkebunan ilmu yang subur dengan akhlak yang luhur
pohonnya adalah kenyataan yang tumbuh dari keyakinan
rantingnya adalah cita-cita sebuah bangsa dan negara
bunga-bungaannya adalah ilmu pengetahuan berguna
akarnya pula bertunjangkan ajaran agama.
Bermulalah derap langkah perjalanan seorang mahasiswa
bergemalah titip kisah perjuangan pewaris bangsa
benih keazaman yang kau tanam di laman cendekia
segera disiram jirusan usaha dari tadahan embun pagi
kau baja dengan kesabaran beserta doa kepada ilahi
biar, pucuknya cepat bertunas mengejar matahari
agar, puspa pengetahuan bertukar buah kejayaan
harum bak setanggi menjalar ke taman Firdausi.
Tanggungjawab seorang peraih ilmu
tidak selesai setelah melewati musim menuai
segulung ijazah berupa kertas nan sehelai.
Bagai yang terkandung di dalam sabda:
Ilmu yang tidak diamalkan itu, ibarat pohon yang tidak berbuah.Maka, kerjakanlah taman ini
sehingga tumbuh sebuah pohon yang tegap kukuh
dan berpasak teguh.Bertamulah di taman ilmu
dengan segenggam benih keazaman
hidulah harum bunga perjuangan
rasailah ranum buah kejayaan
hasil sebuah kebun kehidupan.Azree Ariffin,
Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.Varsiti, Berita Harian
28 Januari 2010
Mazhab (Sosiologi) Pendidikan: Punca Kita Sukar Sependapat
-
Pendahuluan Mengapa perbincangan tentang pendidikan sering kali menimbulkan
perbezaan pendapat? Sudah tentu, ini bermula daripada perbezaan di antara
penda...
2 hari yang lalu