Subscribe

11 Ogos 2011

Eurotrip 5 : Meneroka Brussels

image

:: Melayari internet sebelum keluar meneroka Brussels ::

Setelah berehat begitu lama hari sebelumnya, saya rasa begitu energetik pada hari kedua di Brussels ini. Kami mulakan hari dengan menikmati sarapan pagi iaitu Kebab yang telah kami beli semalam. Memang sengaja dibeli lebih supaya dapat dijadikan hidangan sewaktu sarapan sebab takut susah pula jumpa tempat makan nanti. Mujur di dalam apartment ini semua kelengkapan dapurnya ada, termasuklah mikrowave.

Sambil menikmati minuman pagi di beranda, saya menjatuhkan pandangan ke luar tingkap. Apartment kami terletak di tingkat kedua di sebuah laluan pejalan kaki yang begitu sibuk dengan pelancong asing. Pada waktu pagi, kedengaran bunyi pelancong lalu lalang di bawah membuatkan saya rasa teruja hendak juga pergi berjalan.

Dan apa yang mengujakan apabila aroma coklat sudah menjengah ke hidung saya! Aduhai, bayangkan apa bila kami memandang keluar tingkap, asa sebuah kedai colkat betul-betul di bawah itu. Kelazatan coklat Belgium sudah mula memanggil-memanggil, seraya menghasilkan rasa lapar!

image

:: Kedai coklat dari pandangan Apartment kami. Bau coklat harum semerbak! ::

Turun sahaja bawah, saya disambut dengan angin yang tersangat-sangat dingin. Kami yang menyangka musim panas ini tidak perlu berpakaian tebal-tebal, nyata tidak bersedia dengan cuaca yang sejuk begini. Mujurlah masing-masing ada membawa jaket untuk membalut tubuh.

Untuk memudahkan penerokaan, kami telah membeli tiket bas Hop On Hop Off di salah sebuah restoran berhampiran yang menjadi agen jualan. Harga yang dikenakan oleh mereka nadalah 15 Euro seorang, iaitu lebih murah dari harga standard yang ditulis di dalam brosur iaitu 20 Euro untuk dewasa.

Tiket untuk bas Hop On Hop Off itu boleh digunakan selama 24 jam. Maksudnya, kalau hari ini kita beli pada pukul 12 tengahari, maka kita boleh gunakan perkhidmatan bas itu sehingga pukul 12 tengahari keesokannya.

image

Saya mencadangkan kepada keluarga agar manfaatkan perkhidmatan bas itu untuk pergi ke tempat yang jauh dahulu, kerana kalau hendak melawat tarikan seperti Manneken Pis atau Grand Place, ia sangat dekat dengan apartment kami, esok pun boleh. Lagi pula, dengan keadaan cuaca tak menentu, takut akan hujan sewaktu petang nanti.

Ada 13 hentian kesemuanya dalam perjalanan itu. Jarak waktu untuk membuat pusingan lengkap adalah lebih kurang 90 minit. Mereka akan memberikan kita alat pendengar yang mana ia harus dicucuk pada bas berkenaan supaya kita dapat mendengar penerangan tentang tempat-tempat yang dilewati dalam beberapa bahasa pilihan.

Antara tempat yang dilewati adalah Palace Royal, Sablon, Louise Square – Justice Palace, Parlimen Eropah, Place Schuman dan Place Rogier. Apa yang menarik di sini adalah Parlimen Eropah itu yang terletak di dalam European District di dalam Brussels. Untuk pengetahuan anda, Brussels adalah ibukota kepada Kesatuan Eropah.

Berikut adalah gambar sepanjang perjalanan di atas bus Hop On Hop Off itu :

 image

:: Gambar yang sempat ditangkap dari atas bas sepanjang kelilingi Brussels ::

Kami memutuskan untuk ke tempat yang paling jauh sekali iaitu mengunjungi Atominium dan Mini Europe yang letaknya sedikit jauh dari pusat bandar. Atominium adalah salah sebuah lambang kebanggaan di Brussels. Ia adalah sejenis bangunan yang rekabentuknya mengikut bentuk sebuah atom. Selepas itu, kami berkunjung pula ke Mini Europe yang memang sangat menarik!

Asalnya saya mahu tulis terus dalam entri ini, tapi rasanya elok cerita Mini Europe ditulis dalam entri berasingan. Sehingga itu, nantikan entri seterusnya ya!

10 Ogos 2011

Eurotrip 4 : Selamat Datang Ke Belgium!

Brusssels, ibu negara Belgium adalah sebuah kota lama yang punya begitu banyak sejarah tersendiri. Di negara Belgium, ada tiga bahasa kebangsaan iaitu bahasa Perancis, bahasa Belanda, dan bahasa Jerman. Di setiap papan tanda, ada digunakan sekurang-kurangnya dua daripada tiga bahasa kebangsaan ini – mengikut kepada bahasa apa yang digunakan di wilayah tersebut.

image

:: Lapangan Terbang Brussels. Tren ke tengah bandar juga ada hentiannya di sini ::

Ketika kami tiba di Brussels, kami mengalami sedikit masalah untuk memahami papan tanda di sini untuk menaiki tren ke  pusat bandar. Semua papan tanda dalam bahasa Perancis, jadi kami agak keliru, walau pun sudah membeli tiket tren ke Brussels Sentral.

Perjalanan menaiki tren dari stesen Brussel Nationaal Luchthaven ke stesen Brussels Sentral di tengah bandar mengambil masa lebih kurang 15-20 minit sahaja dengan harga 7.50 Euro.

image

:: Akhirnya sampai di stesen Brussels Central ::

Ketika ternampak sahaja raut wajah kota ini, saja menjadi jatuh hati, sebab senibina dan suasananya yang sangat elegen, menyebabkan hati siapa-siapa sahaja pasti terpaut. Ini sedutan rakaman video yang saya buat sewaktu dalam tren tersebut.

Di stesen Brussels Central, kami gunakan GPS yang dibawa dari Malaysia untuk cuba mencari lokasi pejabat apartment yang telah kami sewa. Sistem GPS itu memang sejak dari awal lagi Ayahanda telah masukkan peta di Brussels dan UK bagi memudahkan perjalanan kami, supaya tidaklah tersesat-barat hendak cari jalan.

Tetapi ketika itu, GPS itu sedikit lembab dalam mencari kedudukan kami walaupun telah lama kami tunggu di tempat yang tidak berbumbung supaya sistem itu boleh ‘menempak’ ke angkasa mencari satelit.

Disebabkan itu, Ayahanda saya buka telefon dia untuk roaming sekejap melalui Iphone beliau. Memang tahu kadarnya mahal, tetapi hanya nak buka sekejap sebab hendak cari jalan sementara GPS itu menempak ke langit. Kalau tak silap, lebih kurang 5 minit sahaja Ayahanda guna data roaming.

Nak tahu berapa telco telah kenakan bayaran? RM 700! Mahal yang tak boleh diterima dek akal!

image

:: Di luar Brussels Central, sedang sibuk mengesan lokasi melalui GPS ::

Disebabkan kedua-dua cara melalui GPS dan roaming tak berkesan, kami gunakan cari manual dengan menggunakan papan tanda.Hampir 2 jam kami mencari pejabat apartment kami untuk mendaftar masuk. Sehinggakan kesemua merasa kepenatan kerana membawa beg yang tidak kurang beratnya keliling kota.

Sudahlah jalan di sini dibuat daripada batu-bata, jadi memang agak sukar untuk menarik beg ke sana-sini kerana permukaannya yang tidak rata. Risau juga saya kalau beg menjadi rosak sebab

image

: Sepanjang mencari jalan di kota Brussels ::

Mujur juga cuaca sangat elok. Walaupun musim panas, tetapi disebabkan langit agak mendung, maka sinar matahari dihalang oleh awan, dan apa yang kami rasakan adalah tiupan angin bayu yang sejuk, namun sejuk yang tidak begitu menyengat.

Kami ambil keputusan untuk berehat sebentar dan makan di sebuah restoran halal yang kami jumpa yang menghidangkan makanan kebab. Alhamdulillah, sepanjang di Brussels, ada beberapa juga kedai makanan halal yang kami jumpa, mungkin kerana hendak memenuhi kehendak pelancong Muslim terutamanya dari Timur Tengah yang ramai datang bercuti di sini.

Menunya apa lagi, kebab lah! Hehe.

Rupa-rupanya, apartment yang kami sewa itu begitu dekat dengan tarikan utama Brussels iaitu Manneken Pis dann juga Grand Place. Memang sangat berpuas hati dengan apartment yang diberikan kerana ia sangat sangatlah luas, dan menghadap pula dengan laluan yang penuh dengan kedai-kedai. Mari kita lihat gambar-gambarnya :

image

:: Apartment kami yang letaknya di Rue De I’etuve, Brussels ::

Hari pertama di Brussels ini kami ambil kesempatan untuk berehat sepuas-puasnya dahulu, dan mengumpul tenaga supaya hari keesokan harinya punya tenaga yang cukup untuk bersiar-siar keliling kota.

Nantikan entri seterusnya ya!

09 Ogos 2011

Adab Berbeza Pendapat

Terlanjur saya menulis berkenaan jaringan sosial dalam entri semalam – hari ini saya terdetik hendak menulis berkenaan suatu perkara yang jarang diperhatikan oleh orang ramai – yakni adab berbeza pendapat.

Sewaktu saya menelusuri beberapa laman rakan-rakan Facebook saya sebentar tadi – saya perhatikan begitu ramai yang lantang menyatakan pandangan dan pendirian masing-masing. Memang bagus, kerana bukankah kita sebuah negara demokrasi.

Tetapi, dalam pedas-pedas status yang lancang mengkritik itu – ada waktunya sang penulis mungkin akan berbeza pendapat sedikit dengan para komentar.. Sudah menjadi lumrah – kalau berani untuk menulis pendapat di status Facebook – maka kita sebenarnya sedang menyatakan sesuatu perkara secara umum – di sebuah tempat awam. Haruslah berani juga untuk rasakan pedas kritikan orang yang komen.

Biasalah – dalam setiap perkara sekali pun, mana ada orang akan berikan persetujuan 100 peratus kepada apa yang kita perbuatkan atau katakan. Mungkin adalah dalam beberapa perkara – tetapi memang ada masa kita akan berdepan dengan orang yang punya pendapat berbeza dengan kita.

Berbeza pendapat tak semestinya bermaksud orang itu mahu bermusuhan dengan kita. Jauh sama sekali. Mungkin disebabkan oleh didikan, cara hidup, dan sudut pandangan yang berbeza – maka orang itu telah menghasilkan satu kesimpulan yang berbeza.

Malah, dalam Islam juga ada menyatakan bahawa “Berbeza Pendapat Itu Adalah Satu Rahmat”.

Kenapa? Sebab melalui perbezaan pendapatlah wacana dapat diadakan dan sesuatu pemikiran atau idea dapat dibahaskan semasak-masaknya supaya segala baik dan buruk ditimbangkan sehingga sampai kepada satu keputusan.

Masalahnya di sini – apa yang saya perhatikan dalam beberapa status Facebook dan juga komentar di beberapa blog dan forum – terutamanya yang bernuansakan politik – begitu ramai yang tak mengamalkan adab ini. Atau mungkin mereka tak tahu bahawa adab berbeza pendapat itu wujud!

Kita telah didik sejak kecil untuk beradab dengan ibu bapa, guru, ahli keluarga, jiran tetangga, pendek kata kepada semualah. Sayangnya, entah kenapa semua itu tidak tergambar bila sebilangan kecil ini “bergaduh” dalam menyatakan pendapat yang berbeza. Maki-hamun, keji-mengeji, kata-mengata sudah seakan menjadi suatu amalan dan kebiasaan.

Kalaulah semua orang dikurniakan dengan adab berbeza pendapat ini – pasti dunia akan menjadi lebih aman, bukan?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan