| Finalis Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2010 |
Awalnya, Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2010 sepatutnya tidak jadi dan tidak dianjurkan. Khabarnya, kerana tidak cukup peruntukan bajet. Tetapi, ternyata sekali kekurangan kewangan tidak sesekali membataskan semangat para deklamator untuk meneruskan kelangsungan acara yang sudah diadakan sejak tahun 1987 ini.
Ya, 1987 – tahun pertama SDPM dan juga tahun saya dilahirkan. Sebagaimana usia sayembara ini, sebegitulah usia saya. Ia tidak pernah gagal untuk diadakan sejak tahun tersebut, dan telah menyaksikan seorang demi seorang deklamator menyandang gelaran juara – suatu penghargaan yang teramat berprestij.
Atas semangat itulah, pihak GAPENA telah mengambil kembali tugas menganjurkan SDPM daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) pada tahun ini. SDPM telah banyak menabur jasa terhadap pengembangan alam pengucapan puisi di Malaysia, lebih-lebih lagi dalam menyemai semangat kecintaan kepada negara melalui bait puisi yang dipersembahkan.
Buat tahun ke-4 berturut-turut, saya bertanding di dalam SDPM dengan membawa kembali sajak yang saya pertaruhkan tahun lepas, Tun Perak. Saya tidak begitu sempat untuk berlatih pada tahun ini, sebab kepenatan menganjurkan PPM masih belum habis lagi. Jadi, semangat nak bertanding agak pudar sedikit, tetapi masih tetap mahu menyokong acara ini. Jadi, saya teruskan dengan niat untuk menyertainya, meski dengan sajak tahun lepas.
Tahun ini, saya ditemani junior saya dari UIAM, Ismail Adnan – bekas juara SDPM peringkat Negeri Sembilan pada tahun 2008. Kami bergerak ke Rumah Gapena dari UIAM dan seterusnya mendaftar dan membayar yuran pertandingan berjumlah RM20. Selepas itu, cabutan undi pun diadakan. Kami dibahagikan kepada 2 kumpulan pada sesi saringan. Kumpulan A di Rumah Gapena dan Kumpulan B di Rumah Pena di sebelahnya.
Mungkin sudah nasib, saya dapat cabutan giliran – A1! Yang pertama membuka gelanggang pertandingan. Sangka saya mungkin nombor bertuah, tapi menjadi peserta pertama ini agak sukar kerana kitalah yang menentukan penanda aras kepada para hakim. Apa-pun, alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Saya ada rakamkan video persembahan saya. Nanti apabila berkelapangan, akan saya muatnaikkan ke sini. | Rakan seperjuangan dari sekolah, Syamsul Anuar Yusril juga datang bertanding. |
Baiklah, cerita sepanjang peringkat saringan dan separuh akhir ini banyak sebenarnya. Namun, sekarang ini saya mengalami sedikit kekangan masa. Kita sambung dalam Bahagian 2!
2 komentar:
wah... tahun ni tak berkesempatan nak turut serta.. peringkat negeri lain berlangsung bila??
oooooo. ada masuk jugaaaa. Sy ingat tak masuk ataupun tak tahu. Saya di maklumkan agak lewat. Program dah penuhhh. nampaknya ramai juga org lama yg masukkkk. KEKWA tak iktiraf pertandingan tu sebagai peringkat kebangsaan sebab bukan antara negeri. Apapun semangat yang dah ada dah cukuppp. Tak kisahlah iktiraf atau tidak. Yg penting semangat cintakan puisi. teruskan perjuangan.
Catat Ulasan