Nota : Catatan ini telah lama saya tulis, dan entah mengapa terceruk di dalam komputer riba. Saya pun tak pasti mengapa saya tidak terbitkan. Apa pun, tujuannya hanya untuk berkongsi sedikit pendapat mengenai kekecohan yang melanda Malaysia-Indonesia sedikit masa lalu yang masih berlarutan hingga sekarang. Saya cuba selitkan sedikit pandangan dari sudut undang-undang yang telah saya pelajari.
Sejak isu “Ganyang Malaysia” sedang hebat diperkatakan sekarang ini, saya merasa terpanggil untuk mengulas mengenainya. Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada Malaysia. Antaranya adalah bahawa Malaysia telah mencuri kebudayaan Indonesia. Walaupun pihak berkuasa Indonesia menafikan keterlibatan mereka, tetapi sikap mereka berdiam diri dan tidak mengambil sebarang tindakan yang tegas terhadap kelompok ini, pada pendapat saya melambangkan prinsip akrusuratan atau acquisence; yang bermaksud persetujuan secara senyap ke atas tuduhan kumpulan kecil ini.
Sebagai seorang mahasiswa perundangan, saya cuba menganalisis perkara ini daripada sudut pandang undang-undang. Setiap tuduhan yang dilemparkan, sepatutnya disalurkan kepada tempat yang betul, berbekalkan hujah-hujah dan bahan bukti yang kuat. Perarakan jalanan dan sekatan jalan raya bukan cara yang bertamadun untuk menyelesaikan masalah ini. Mengapalah harus diganggu rakyat Malaysia yang tidak berdosa itu?
Apabila kita berdiskusi mengenai masalah sesebuah negara ke atas negara yang lain, kita haruslah pandai untuk memahami bahawa tindakan negara tersebut adalah terpisah dengan tindakan rakyatnya. Prinsip ini dikenali sebagai separate legal entity. Dalam soal ini, tindakan kelompok kecil ini berarak dan membuat sekatan jalanan dengan tujuan “menyapu” orang Malaysia ternyata menyusahkan orang Indonesia sendiri, terutamanya menyesakkan jalan yang memang sudah sedia macet!
Dari aspek yang lain, mungkin juga kelompok ini tertekan kerana kerajaan di sana tidak “mendengar” rintihan rakyat yang mahukan keadilan bagi harta pusaka mereka. Hal ini biasa terjadi. Malah di Malaysia juga, budaya berarak dan berdemonstrasi ini sudah menjadi amalan untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan pemerintah. Itu memang difahami. Kebebasan suara memang dijamin atas nama hak asasi manusia.
Kerana itu, tuduhan hanya akan kekal tuduhan. Tanpa melalui prosedur yang betul, jeritan jalanan itu hanya akan menjadi gema yang akhirnya akan lenyap juga bunyinya. Saya memahami resah dan gelisah beberapa warga negara seberang mengenai kekhuatiran budaya mereka dicuri. Namun, saya menganggap bahawa hal ini terjadi kerana kurangnya ilmu pengetahuan dan juga kesedaran mengenai sejarah dan undang-undang. Malah, emosi yang terlampau juga memainkan peranan menambahkan bara kepada isu hangat ini.
0 komentar:
Catat Ulasan