Subscribe

27 Jun 2009

Kehangatan Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka Kuala Lumpur 2009


Sungguh hangat! Begitulah keadaannya di Perkarangan Tugu Negara, Kuala Lumpur hari ini. Bukan sahaja hangat dengan persembahan deklamasi yang mantap-mantap, tetapi juga sinar terik mentari yang turut menghangatkan suasana. Kalau sebelum ini, Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka biasanya diadakan di Taman Budaya Kuala Lumpur, kali ini mungkin demi mencari kelainan, sayembara telah diadakan di tempat terbuka, tempat yang begitu simbolik dengan perjuangan kemerdekaan - Tugu Negara.

Suasana Tugu Negara pada waktu pagi cukup nyaman dan tenang, berlatar-belakangkan monumen kebanggaan negara yang tersergam gah itu, pastinya satu lokasi yang cantik untuk menangkap gambar deklamasi. Namun, semakin hari menginjak dan matahari kian meninggi, teriknya semakin menyengat dan mencabar setiap jiwa yang sedang berdebar-debar menanti giliran memulakan pencak deklamasi. Pastinya ini suatu cabaran yang harus ditempuhi oleh setiap peserta yang bagi membuktikan laungan kata-kata perjuangan mereka.


Saya telah menyertai SDPMKL pada tahun 2007 dan 2008, namun memilih untuk bertanding di peringkat lain pada tahun ini. Bagaimanapun, kedatangan saya kali ini adalah untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan yang bertanding. Peringkat Kuala Lumpur sememangnya sengit, boleh dikatakan saingannya yang paling sengit di Malaysia. Jumlah penyertaannya juga adalah antara yang tertinggi. Kalau tidak silap, jumlahnya menghampiri 60 orang.

Seperti biasa, ramai peserta yang terdiri daripada kalangan pelajar-pelajar sekolah. Begitu juga dengan otai-otai yang saban tahun tidak pernah mengaku kalah untuk meneruskan perjuangan di arena deklamasi. Semangat inilah yang harus kita contohi bersama.

Sajak favourite tahun ini pada peringkat KL adalah sajak Mengenangmu Pejuang dan Jamung Merdeka. Sayangnya pula, ada peserta yang tersilap membaca tajuk puisi. Mengenangmu Pejuang menjadi Mengenangmu Penjajah pula! Aduhai, inilah antara kesilapan-kesilapan yang wajar kita perhatikan.

Dalam kehangatan dan kesengitan saingan kali ini, ramai sebenarnya yang tidak menghafal sajak sepenuhnya. Saya melihat ramai yang bersajak membawa sekali teks sajak. Mungkin jugalah disebabkan sayembara tahun ini diadakan agak awal berbanding tahun-tahun sebelumnya. Namun, secara peribadi saya merasakan peserta yang dipilih untuk mara ke peringkat seterusnya haruslah menghafal sepenuhnya sajaknya, supaya ia adil memandangkan usaha yang telah diambil untuk menghafal.

Rakan saya dari UIA, Zaki mendeklamasikan puisi.


Syamsul Anuar Yusril, kembali ke pentas deklamasi selepas 5 tahun.

Keadaan di dalam khemah pertandingan.

Selesai kategori deklamasi puisi, saya berkesempatan melihat pertandingan bagi kategori syair. Kalau hendak diikutkan hati, mahu saja terus balik disebabkan sudah tidak tahan menunggu. Namun, disebabkan tahun ini kali pertama diadakan kategori syair, maka tidak mengapalah saya menunggu sedikit buat seketika.

Hanya 13 orang yang bertanding. Daripada jumlah itu, 6 telah mara ke peringkat akhir. Kebanyakannya telah menggunakan irama syair yang biasa kita dengar iaitu irama syair Selendang Delima. Hanya 3 orang yang bersyair dengan irama narasi. Apa yang saya tidak boleh lupa, adalah seorang peserta OKU berbangsa India yang telah bersyair dengan begitu merdu dan sedap sekali. Walaupun cacat penglihatan, tetapi ternyata tuhan telah memberikan kelebihan kepada beliau dalam perkara yang lain. Syukur, beliau telah mara ke peringkat akhir.

Pertandingan peringkat akhir bagi SDPMKL akan diadakan di Auditorium Mini, Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang pada 4 Julai 2009 - 8.30 malam. Kepada yang berkelapangan, ayuhlah kita sama-sama meriahkan majlis ini, demi memartabatkan dunia deklamasi Malaysia!

8 komentar:

Unknown berkata...

saya juga mendeklamasi puisi pada hari itu, setelah beberapa tahun tidak mendeklamasinya, kali terakhir pada 2003.mengeledak di kepala dek kepanasan, mood amat menjengkelkan.

Kazuma_dono berkata...

ouh.... saye pon ader masuk pertandingan SDMKL sabtu lepas membawa sajak deklarasi kemerdekaan... agak hampa juga sal xdpt tempat utk ke final... so nk cube lg utk peringkat selangor...

Unknown berkata...

mohon ambil gambar dari blog tuan.

sekian, tk

HarlymYeo berkata...

Pada awal saya ingin berhasrat mengambil bahagian tetapi saat terakhir tak dapat lakukan atas jadual peribadi yang terlalu ketat. Teringin juga bertandang ke Tugu Negara, tetapi masa tak mengizinkan. Akan pasti beri sokongan pada peringkat nanti. Jumpa anda di sana.

HarlymYeo berkata...

Pada awal saya berhasrat mengambil bahagian tetapi saat terakhir tak dapat lakukan atas jadual peribadi yang terlalu ketat. Teringin juga bertandang ke Tugu Negara, tetapi masa tak mengizinkan. Akan pasti beri sokongan pada peringkat nanti. Jumpa anda di sana.

akumurba berkata...

bagus sungguh kelainan yang ditonjolkan oleh penganjur WP KL tahun ini. Lokasi yang menarik dan bererti!

akumurba berkata...

jan lupa kita dapat saling tukar-tukar info ye julai ini kalau-kalau ada info terbaru khasnya di WP KL, Selangor atau IPTA yea, saudara Azree...

Syamputra Razali berkata...

saudara,
saya selalu berjumpa saudara, di bengkel DBP, ditugu negara dan di muzium selangor.. saudara nampak sangat berjiwa besar dalam arena deklamasi.
kalau boleh abang nak kenal dan bertukar fikiran dengan kamu..

apa apa pun..
saya pernah lihat kamu diarena Pantun.. mengiringi UIA. betul ker?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan