Subscribe

26 Mei 2010

Jangan Jadi Monolinguist

Terima kasih kepada Saudara Hafizan Hasan yang telah mengutarakan pandangan bernas beliau di entri Mewajibkan BI dalam SPM? yang telah saya utuskan kira-kira setahun lepas. Saya percaya, apabila membincangkan isu ini, maka persoalan mengenai pemansuhan PPSMI juga akan timbul. Saya tak mahu mengulas lebih lanjut, kerana menganggap bahawa isu ini telah selesai.

Pandangan beliau mengenai syarat wajib lulus BI untuk SPM dan STPM amat saya hormati dan persetujui – dengan mengambil kira faktor-faktor yang telah saya jelaskan dalam entri tersebut. Bagaimanapun, saya ingin membetulkan sedikit salah tanggapan sesetengah pihak (bukan hanya saudara Hafizan) berkenaan konsep PPSMI.

Pandangan saya berkenaan isu ini telah saya zahirkan dalam entri Not A Language Freak yang sengaja saya tulis dalam BI bagi membuktikan bahawa pendirian saya bukanlah kerana saya seorang anti-BI. Malah, saya percaya Bahasa Inggeris itu sangat penting untuk kita terus bergerak maju dalam arus globalisasi. Bagaimana pun, usaha meningkatkan tahap kefasihan BI harus dilakukan kena pada caranya. Dalam kata lain, ia perlu bertempat.

Pada pendapat saya, menentang PPSMI bukan bermakna menyokong penggunaan Bahasa Melayu secara 100% dari peringkat rendah hingga pengajian tinggi. Ia bermaksud memberi pendidikan asas, rendah, dan menengah dalam bahasa ibunda; dan kemudian membuka ruang dan pilihan kepada mereka untuk meneruskan pengajian dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Hal ini selaras dengan resolusi pendidikan yang diluluskan UNESCO iaitu:

On educational grounds we recommend that the use of the mother tongue be extended to as late a stage in education as possible. In particular, pupils should begin their schooling through the medium of the mother tongue, because they understand it best and because to begin their school life in the mother tongue will make the break between home and school as small as possible.

(1951:691)

Maknanya, kita perlu kekalkan kedua-dua aliran bahasa ini di peringkat pengajian tinggi supaya perkembangan ilmu dapat dimanfaatkan ke tahap maksima. Kalau tak salah saya, sistem ini berfungsi baik untuk aliran bukan sains, jadi tak salah kalau kita gunakan sistem yang sudah sedia ada ini untuk bidang sains dan teknologi juga (mengikut kesesuaian).

Seperkara lagi, bukan semua pelajar sekolah akan menjurus ke bidang sains dan teknologi. Ada yang akan mengkhusus bidang sains sosial, kesenian, perniagaan, keagamaan dan bermacam lagi. Menjadikan kegusaran terhadap keupayaan pelajar S&T ini semasa di universiti sebagai alasan mewajarkan PPSMI di sekolah rendah dan menengah adalah tidak adil untuk pelajar-pelajar lain.

Adalah satu kerugian besar (dan mungkin juga tidak logik) jika kita bertegas menggunakan 100% Bahasa Inggeris atau pun 100% Bahasa Melayu di peringkat pengajian tinggi (secara keseluruhannya). Kita memerlukan kedua-dua bahasa ini untuk terus ke hadapan.

Dalam lain perkataan, kita janganlah menjadi negara yang monoliguist. Ia bermaksud orang yang hanya tahu bertutur dalam satu bahasa sahaja. Kelebihan negara kita adalah kepelbagaian budaya yang menyebabkan kita lebih mudah untuk menerima lebih banyak ilmu - kerana kita bilinguist – orang yang boleh bertutur dalam 2 bahasa (mungkin juga lebih).

Justeru, keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI di sekolah rendah dan menengah saya anggap tepat. Terima kasih kepada Saudara Hafizan yang telah membuka pintu perbincangan. Saya kira, perbincangan mengenai PPSMI di blog ini sudah tamat. Kalau tidak tamat pun, keputusan telah dibuat dan kita tidak boleh berpatah balik lagi.

Wassalam!.

4 komentar:

Unknown berkata...

org barat yang selalunya monolinguist
hehe

Syamputra Razali berkata...

salam.. benar dan bernas kata azree..
kita jangan kehilangan warna kulit..
biarlah kehilangan harta.. sirna pada warna bahasa kita harus menuntut pembelaan..

Azree Ariffin berkata...

@Ery Farieha ya... jadi gunakanlah kelebihan kita ini sebaik-baiknya...

Azree Ariffin berkata...

@Syamputra Razali

Terima kasih atas komentar, abg syam..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan