Subscribe
Memaparkan catatan dengan label Film. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Film. Papar semua catatan

10 September 2013

Tanda Putera : Antara Intipati Cerita & Aspek Teknikal

IMG_20130829_145533Shuhaimi Baba bukanlah nama yang asing dalam bidang perfileman di Malaysia. Namanya sudah terukir sebagai pengarah tersohor di arena pembikinan filem tempatan. Bermula dari karya hebatnya seperti Selubung, Ringgit Kassorga, Layar Lara, sehinggalah ke era Pontianak Harum Sundal Malam 1 & 2, Waris Jari Hantu, dan 1957 : Hati Malaya – sesungguhnya beliau sudah meninggalkan jejak langkahnya yang tersendiri.

Saya sendiri meminati karya Shuhaimi Baba dan filemnya Pontianak Harum Sundal Malam 1 & 2 merupakan antara filem tempatan kegemaran saya kerana garapan cerita yang menggambungkan elemen Pontianak yang begitu mistik itu dengan unsur Gamelan dan Kuda Kepang dalam kedua filem Pontianak itu. Maka, saya perasan satu gaya Shuhaimi bahawa beliau suka menyatukan dua unsur yang berbeza menjadi satu di dalam filem. Hal ini saya kesani juga melalui filem Waris Jari Hantu yang menggabungkan isu Saka dan Maknyah.

Oleh sebab itu, saya begitu mempertahankan filem Tanda Putera yang diselubungi kontroversi itu walaupun sebelum ia ditayangkan. Menjadikan filem Hati Malaya sebagai premis untuk dijadikan sandaran, sesungguhnya Tanda Putera bukanlah filem sejarah pertama yang diarahkan oleh beliau. Dan saya tidak melihat sebarang masalah dengan fakta sejarah yang ditampilkan di dalam filem pertama itu.

Kontroversi Tanda Putera

Bagaimanapun, apabila filem Tanda Putera telah menjadi perbualan masyarakat sehinggakan penayangannya terpaksa ditunda sehingga satu tempoh yang lama, saya menjadi hairan mengapa perkara sebegini boleh berlaku? Tambahan pula ramai yang mengkritik itu dikatakan belum pernah melihat filem itu dan berkokok bagaikan seorang pengkritik filem professional pula, walhal sebelum ini mereka itu tak pernah ‘peduli’ tentang jatuh bangun industri filem Melayu.

Kerana itu, saya telah ambil kesempatan waktu senggang yang ada dengan pergi menonton tayangan pertama slot pertama Tanda Putera pada hari Khamis 29 Ogos yang lalu, pada pukul 12 tengahari. Segala tanggapan dan kritikan berkenaan filem itu mahu saya leraikan dengan menonton sendiri dan membuat penilaian berdasarkan pemahaman sendiri.

Lagu Negaraku Di Pawagam

Tak lengkap kalau saya tidak bercerita tentang pengalaman menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku di dalam panggung wayang sebelum tayangan dimulakan. Saya adalah orang yang pertama sampai ke dalam pawagam dan itu buat saya agak cemas kerana akan berasa sangat pelik kalau saya berdiri sendirian menyanyikan Negaraku di dalam tempat yang gelap. Tetapi selepas itu datanglah juga dalam 4-5 orang penonton lain. Saya faham, tayangan semasa waktu bekerja begitu tentu tak ramai orang.

Sejurus panggung digelapkan, terpapar satu tayangan video terbitan Kementerian Komunikasi & Multimedia berkenaan jasa pahlawan negara yang mempertahankan nusa terutamanya ketika terjadinya tragedi di Lahad Datu. Satu produksi yang wajar dipuji.

Semasa lagu kebangsaan Negaraku dimainkan, saya telah bangun dengan rasa bangga sambil memerhatikan sekeliling. Dalam hati ada sedikit rasa pelik kerana panggung itu gelap dan tak ramai. Tiba-tiba kena berdiri pula. Tetapi pedulikan semua itu. Sedangkan apabila menonton teater di Istana Budaya juga ada nyanyian Negaraku, tetapi tak pernah menjadi isu pun, kan?

Antara Fakta & Fiksyen

Filem bagi saya adalah satu interpretasi suatu cerita yang memaparkannya dari sudut pandang tertentu dan disulami dengan perasaan. Filem bukanlah dokumentari yang bersifat fakta sepenuhnya. Filem adalah interpretasi. Oleh yang demikian, saya merasa tidak ada masalah dengan interpretasi yang ditonjolkan di dalam filem Tanda Putera kerana saya percaya pasukan Pesona Pictures tentu sudah membuat penyelidikan yang teliti apatah lagi filem ini mengisahkan mengenai dua orang tokoh besar negara.

Bahagian awal filem ini agak laju rentaknya. Tanda Putera dibuka dengan drama 13 Mei yang dipaparkan dengan pelbagai babak yang kurang menyenangkan. Kalaulah saya ajak rakan saya berbangsa Cina untuk datang menonton bersama di sebelah, memang saya akan rasa tak selesa sebab babak perkauman ditonjolkan agak ketara. Namun, persoalannya adakah kita bersedia untuk melihat realiti masa dahulu demi belajar dari kesilapan untuk masa depan?

Premis utama Tanda Putera adalah kisah persahabatan di antara Tun Razak & Tun Dr Ismail ketika mereka mentadbir negara dalam keadaan kedua-duanya sedang sakit serius. Itu adalah kisah utama yang ingin disampaikan. Tapi entah bagaimana cerita utama ini tenggelam. Jujur, saya tak merasakan “persahabatan” yang ingin ditonjolkan itu. Dalam tempoh dua jam filem ini, terlalu banyak perkara yang ingin dimasukkan sampaikan unsur perasaan seolah-olah hilang dalam gerombolan fakta yang diketengahkan.

Lakonan

Saya tak pasti orang lain merasakan perkara yang sama atau tidak, tetapi saya agak kecewa dengan lakonan kedua-dua teraju utama dalam filem ini. Lakonan Rusid Ramli sebagai Tun Razak kelihatan tidak begitu karismatik dan terkadang agak ‘kayu’. Begitu juga dengan Zizan Nin yang membawa watak Tun Dr Ismail. Terasa seperti ada sesuatu yang tak kena. Saya tak pasti samada lakonan itu sendiri atau aspek tatarias yang masih menunjukkan pelakon itu lebih muda dari watak yang dilakonkan.

Antara yang menyelamatkan bahagian lakonan dalam filem ini tentulah Ce’kem yang sekali lagi berjaya membawa watak Tunku Abdul Rahman mengulangi kecemerlangannya di dalam Hati Malaya. Ida Nerina juga walaupun hanya memegang watak sampingan Kak Jah tetapi begitu memorable! Teringat saya watak cameo beliau sebagai kerani kerajaan di dalam filem Waris Jari Hantu.

Arahan Seni

Pujian harus diberikan kepada filem ini dari sudut arahan seni dan aspek teknikal terutamanya yang melibatkan CGI. Tanpa aspek ini, sangat sukar untuk menghasilkan filem period seperti ini yang sangat remeh dan leceh dalam ketelitian penggunaan props dan latar tempat. Sebagai sebuah filem yang 60% menggunakan CGI, saya fikir filem ini ada peningkatan berbanding Hati Malaya. Cuma ada satu babak yang saya lihat kurang cantik iaitu babak pengeboman Tugu Negara yang terlalu obvious penggunaan CGI yang tak berapa menjadi. Tapi selain itu, saya fikir set latarnya bagus.

Kesimpulan

Kalau hendak diulas secara keseluruhannya, ada banyak lagi perkara yang hendak saya komen tentang perkara yang saya suka dan tidak suka mengenai filem ini. Tetapi saya bukanlah pengkritik filem professional dan ulasan ini sekadar mendokumentasikan perasaan saya sebagai seorang penonton filem layman.

Menurut apa yang saya perhatikan, ramai yang tak puas hati dengan pembikinan filem Tanda Putera sebelum penayangannya adalah kerana kononnya fakta sejarah yang terpesong. Tetapi selepas penayangannya – tak ramai yang mempersembahkan fakta sejarah untuk membetulkan apa yang kononnya dikatakan salah itu.

Sebaliknya, apa yang diperkatakan adalah aspek kualiti filem ini iaitu asas kepada setiap filem – jalan ceritanya yang menjadi kritikan ramai. Dan saya setuju dengan pendapat ini, filem Tanda Putera terlalu mahu melonggokkan fakta sejarah sehingga ia kelihatan sekadar on the surface sahaja dan tidak deep.

Apakah saya mencadangkan anda untuk menonton Tanda Putera? Ya, tentu sekali! Orang selalu mempertikaikan aspek teknikal sampai terlupa untuk menghayati intipati utama yang ingin disampaikan. Tontonlah filem ini bukan sebagai pengkritik filem, tetapi sebagai rakyat Malaysia yang ingin ‘membaca’ satu perspektif mengenai sejarah negara.

Filem Tanda Putera  ini akan berjaya mencapai objektifnya andai selepas menontonnya, kita akan lebih berminat untuk mengkaji lebih lanjut mengenai Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail, dan peristiwa 13 Mei!

Wassalam!

09 April 2011

Ulasan : Hikayat Merong Mahawangsa

poster_hikayat_merong_mahawangsa

Negara kita memang kaya dengan pelbagai kisah ketamadunan yang hebat. Dari zaman dahulu, pelbagai karya-karya sejarah yang menceritakan susur galur kerajaan dan bangsa kita. Antaranya, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, dan Misa Melayu.

Satu lagi karya sastera sejarah yang penting dalam peta sejarah negara adalah Hikayat Merong Mahawangsa, atau juga disebut sebagai The Kedah Annals. Kitab ini menceritakan tentang sejarah pemerintahan negeri Kedah Darul Aman yang dikatakan berasal dari keturunan Iskandar Zulkarnain.

Terbaru, KRU telah menterjemahkan Hikayat Merong Mahawangsa ini dalam bentuk filem. Satu usaha yang harus kita puji sangat-sangat sebab terlalu jarang produser filem tempatan mengangkat kisah-kisah sejarah, terutamanya sastera sejarah ke dalam bentuk filem. Kalau zaman P. Ramlee dulu, banyak sangat filem sebegini. Tetapi, sekarang sangat jarang dan sekali sekala. Paling baru saya ingat adalah filem Puteri Gunung Ledang, dan Lembing Awang Pulang Ke Dayang.

Sebenarnya, saya pernah kecewa dengan filem KRU melalui filem Magika. Saya memasang harapan yang cukup tinggi sebelum menonton Magika dek kerana cerita dan trailer yang sungguh gempak. Sayangnya, mungkin kerana harapan yang terlalu tinggi, saya kecewa sendiri.

Maka, disebabkan saya belajar dari pengalaman, untuk filem Hikayat Merong Mahawangsa ini saya elakkan untuk menyimpan apa-apa harapan. Saya tonton tanpa apa-apa expectation, meski dalam hati ini benar-benar teruja, tetapi harus ditahan-tahan.

Dan pergilah saya menonton filem ini, pada hari kedua penayangannya. [Ya, memang dah lama saya tonton. Baru sekarang nak tulis ulasan. Smile]. Saya tahu, melalu komentar orang lain, ulasannya bercampur-campur. Ada yang suka, ada yang tak suka. Segala itu saya abaikan dahulu sebelum menonton filem ini.

Secara keseluruhannya, saya sangat suka filem ini. Berlabuh sahaja tirai tayangannya, saya dapat rasakan sebuah kepuasan yang jarang saya rasai selepas menonton filem-filem Melayu. Rasa bangga sebab akhirnya ada sebuah filem yang dapat menangkap dan mengangkat kegemilangan sejarah kerajaan Melayu.

Berikut adalah perkara yang saya suka tentang filem ini :

  • Keseimbangannya. Ya, filem ini saya kira cukup ramuan dan rempah ratusnya. Ada manis, ada pedas, ada masam, ada masin. Maksudnya kalau bukan peminat filem sejarah/epik sekalipun, anda tak akan bosan kerana pasti akan terhibur dengan lawak jenakanya yang kelihatan sangat bersahaja. Juga diserikan dengan kisah perjuangan, peperangan, dan juga percintaan.
  • Teknik Janaan Komputer (CGI) yang mantap! Usahlah hendak dibandingkan dengan produksi luar. Dengan keupayaan yang kita ada, saya rasa kita mampu untuk melangkah jauh. Kita dapat lihat betapa telitinya mereka mewujudkan set dan props seperti di Goa, Rome, China, dan Langkasuka seperti yang betul.
  • Nilai Perpaduan dalam filem ini. Kita dapat lihat betapa filem ini sangat international dan universal, bukan sahaja kerana ada unsur-unsur budaya luar seperti Rom, China, dan Melayu, tetapi juga nilai dalam perjuangan untuk menuntut kemerdekaan dan kebebasan itu sendiri.
  • Adaptasi Cerita. Saya belum membaca Hikayat Merong Mahawangsa lagi, tetapi menurut apa yang saya diberitahu, kisah asalnya ada banyak unsur mitos dan spiritual yang susah dan tak sesuai untuk difilemkan. Jadi, saya sifatkan adaptasi dalam filem ini adalah sesuatu yang menarik. Ada banyak perlambangan yang digunakan. Contohnya, pertarungan antara burung Jentayu dan Burung Geruda, diperlambangkan sebagai pertarungan antara puak Langkasuka yang diketuai Merong Mahawangsa yang menggunakan kapal bernama Jentayu, menentang puak Geruda, mewakili burung Garuda.
  • Lakonan Khir Rahman! Ya, lakonan beliau saya rasakan betul-betul berkesan. Saya rasa, beliaulah jiwa dan nadi kepada filem ini. Lakonan watak jahat yang menjadi.

Jujurnya, walaupun saya katakan saya suka filem ini, saya rasakan susah untuk saya fikirkan apa yang saya suka tentang filem ini, kalau nak dibandingkan dengan perkara yang saya tak suka tentang filem ini. Berikut apa yang saya tak suka:

  • Lakonan! Aspek inilah antara yang sangat ketara, terutamanya lakonan watak utamanya – Stephen Rahman Hughes. Saya tidak ada masalah dengan lakonannya dalam Bahasa Inggeris, tetapi lakonan dalam Bahasa Melayunya kadang-kadang tak sampai perasaannya. Agak ketara bila babak ucapan peperangan yang dilakukan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu, yang saya sifatkan sebagai klimaks filem ini. Tetapi, ia sedikit “rosak” kerana penghayatan yang sedikit kurang. Tetapi, ia diwajarkan dengan latar belakang Merong Mahawangsa itu sendiri yang dikatakan telah merantau sejak dari kecil.
  • Pelakon-pelakon tambahan filem ini yang semuanya kurus keding dan kurang pandai berlakon terutamanya dalam babak peperangan. Haha, suka-suka saja cakap orang tak pandai berlakon. Smile
  • Bila tonton filem ini, rasa macam sekejap tengok filem Inggeris, sekejap tengok filem Melayu, lepas tu pulak ada rasa macam tonton filem Hong Kong. Rasa kecelaruan sikit dari segi bahasa. Atas dasar praktikaliti, mungkin. Tetapi nampak juga seperti tak realistik.
  • Lagu tema filem ini! Saya memang tak faham sampai sekarang kenapa lagu “Sedetik Lebih” diangkat sebagai lagu teman filem ini, kerana ia langsung tak membawa semangat Hikayat Merong Mahawangsa. Lagu itu adalah sebuah lagu cinta yang melankolik, tetapi filemnya tidak memuatkan kisah cinta yang ketara. Saya juga jadi keliru dari perspektif watak yang manakah lirik lagu ini ditulis. Antara Merong Mahawangsa dan Embok, atau Putera Rome dan Puteri China?

Banyak lagi kalau nak disenaraikan satu persatu. Tetapi, lebih kurang begitulah apa yang saya fikirkan tentang filem ini. Baik atau buruk, HMM tetap satu peningkatan yang ketara dan permulaan yang bagus untuk industri perfileman negara. Dengan berbekalkan cerita yang bagus, saya yakin kita boleh pergi lebih jauh.

Persoalan yang lebih penting, sejauh manakah filem ini mampu menjentik rasa ingin tahu kepada penontonnya untuk mendalami kisah sejarah kita? Sewaktu dalam pawagam, saya masih lagi mendengar bisik-bisik penonton yang bertanya-tanya tentang apa Merong Mahawangsa itu.

Di situlah letaknya kejayaan sebenarnya filem Hikayat Merong Mahawangsa. Bukan dilihat dari kecanggihan CGI, kehebatan lakonan, atau keindahan busana. Tetapi, kejayaan sebetulnya adalah apabila para penontonnya terasa ingin tahu dan teruja dengan kisah sejarah kita lalu, mencari dan membaca kitab Hikayat Merong Mahawangsa yang sebenar!

20 November 2009

2012 : Meneruskan Legasi Kehidupan

Amaran : Entri ini mungkin mengandungi spoiler.


Ramai yang memperkatakan mengenai filem 2012. Polemik mengenai kemungkinan bumi akan musnah pada tahun tersebut sememangnya mengundang pelbagai spekulasi. Benarkah dunia akan kiamat pada 2012? Dengan begitu banyak pendapat, sama ada saintifik atau pun mitos, tema ini telah menarik jutaan penonton untuk ke panggung wayang.

Banyak aspek yang telah dibincangkan. Saya ingin memperkatakan dari sudut yang agak berbeza.

Setelah mononton filem tersebut, saya tertarik dengan satu adegan di awal filem, di mana Potret Mona Lisa yang terpamer di muzium telah diganti dengan yang palsu, manakala yang asli telah ditanggalkan dengan tujuan kononnya ingin melindunginya daripada kerosakan. Kononnya ia akan disimpan di dalam pergunungan Alps. Tetapi, hakikatnya lukisan Mona Lisa karya Leonardo Da Vinci itu telah terpilih antara ribuan hasil seni dan kebudayaan lain untuk dipelihara menjelang kedatangan musibah yang akan memusnahkan seluruh dunia.

Dalam fikiran saya, bermain-main juga dengan persoalan, kalaulah perkara ini berlaku dalam alam realiti, barang warisan apa daripada alam Melayu yang akan dipilih untuk dipelihara sebagai warisan kemanusiaan selepas ini? Teruja juga apabila memikirkan mengenainya. Dalam filem ini, warisan budaya juga telah diangkat sebagai salah satu daripada khazanah yang penting untuk diselamatkan. Italic
Mungkinkah karya-karya seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa akan berada dalam senarai? Apakah Tugu Negara, keris, dan pending akan menjadi bahan warisan selepas dunia hancur musnah? Itulah antara persoalan-persoalannya. Kalaulah Malaysia juga antara yang terlibat dengan pembinaan kapal besar tersebut, tentunya senarai warisan berpandukan Akta Warisan Kebangsaan akan dirujuk.

Tetapi, pastinya nyawa manusia harus diutamakan. Kalau hendak dipelihara segala jenis warisan tersebut, tetapi nyawa manusia terus dipertaruhkan, tiada gunanya juga. Menggunakan prinsip Maslahah Mursalah dalam Usul Al-Fiqh, nyawa manusia harus diutamakan. Perkara lain jatuh nombor dua.

Dalam filem 2012, telah digembar-gemburkan bahawa dunia akan hancur musnah. Menurut pemahaman saya, ia bermaksud muka bumi ini sudah tidak boleh diduduki lagi. Tetapi agak menghairankan apabila kerajaan-kerajaan besar dunia telah membina sebuah Kapal Laut, berbanding sebuah Kapal Angkasa. Kalau hancur bumi, di mana pula kapal itu hendak belayar? Hah, satu persoalan juga.

Benarkah kejadian tersebut akan berlaku? Wallahu'alam. Itu semua kuasa Allah yang menentukan segala-galanya. Tetapi, saya ada terfikir jika benar perkara ini sedang menunjukkan tanda-tandanya, adakah pembikinan filem 2012 satu cara untuk memberi amaran kepada penduduk dunia supaya bersedia?

Kalau dalam filem, para pemimpin dunia tidak memberitahu pun rakyat mereka bahawa akan berlaku bencana sedemikian rupa. Masing-masing cuba untuk menyelamatkan diri masing-masing. Orang-orang yang telah sama menyumbang tenaga untuk membina kapal besar tersebut juga tidak diberi peluang. Nampak juga unsur kapitalis apabila hanya orang-orang yang super-kaya yang mampu untuk membeli tiket untuk menyertai pelayaran bersejarah itu.

Pada sisi lain, saya nampak betapa manusia berusaha keras untuk meneruskan kehidupan. Tetapi akhirnya, tuhan juga yang menentukan segala-galanya. Bila sudah hampir kiamat, barulah penduduk-penduduk dunia berpaling kepada agama. Tak kiralah apa agamanya, masing-masing berdoa untuk yang terbaik. Adegan saat-saat akhir mereka sebelum ditimpa kecelakaan sangat menyedihkan.

Kepada yang belum menonton 2012, saya sarankan anda menonton filem ini. Dari sudut teknikal, grafiknya sangat real. Sistem bunyi juga mengagumkan. Dari awal hingga akhir, anda akan terpaku dan berdebar-debar untuk melihat apakah yang akan dilakukan oleh Dr Helmsley dan Jackson Curtis dalam usaha mereka meneruskan legasi kehidupan.

Saya beri 4.75 bintang!


02 Oktober 2009

Final Destination 4


Baru-baru ini, saya berkesempatan menonton filem sequel ke-4 daripada siri Final Destination. Sebelum ini, saya pernah menonton Final Destination 1 & Final Destination 2, tetapi sekadar di layar kaca sahaja. Kesannya tentulah begitu berbeza.


Filem ini masih menggunakan ramuan yang sama : Kematian. Sadis sungguh apabila terkenangkan bahawa unsur kematian juga boleh digunakan sabagai bahan hiburan zaman sekarang. Kematian yang ditonjolkan di dalam filem ini seumpama membayangkan bahawa tuhan itu teramat kejam, sedangkan kenyataannya adalah sebaliknya.


Kalau filem pertama bertitik-tolak daripada letupan kapal terbang, filem kedua tentang kemalangan jalan raya, manakala filem ketiga mengenai insiden roller-coaster, edisi keempat filem ini pula adalah mengenai sebuah kemalangan di sebuah litar lumba kereta. Plot dan inti cerita masih lagi sama, apabila watak utama akan mendapat bayangan mengenai peristiwa hitam yang bakal berlaku dan secara tiba-tiba menjadi histeria lantas pergi menyelamatkan dirinya dan rakan-rakan.


Kalau anda pernah menonton prequelnya, pastilah anda dapat meneka apa yang terjadi. Dalam filem ini, nantikan sahaja detik-detik kematian semua watak yang terlibat. Semuanya akan mati dalam keadaan tragis, cuma menunggu masa dan ketika sahaja. Rasanya itulah formula yang menarik penonton untuk datang ke pawagam. Semua berdebar-debar untuk mengetahui bagaimana watak-watak tersebut akan mati.


Pelik, tetapi benar. Semasa saya menonton filem tersebut, ramai yang menjerit dan menutup muka apabila berlaku adegan-adegan yang mengerikan. Bukan mereka tidak tahu, tetapi masih tetap menonton filem berkenaan. Filem seperti ini sangat grafik sifatnya. Jika anda mahu menonton filem seperti ini, pastikan anda seorang yang kuat semangat. Jika tidak, bayangan kematian akan sentiasa diulang tayang berulang-ulang kali dalam minda anda beberapa hari selepas menyaksikan filem tersebut.


Semoga pengkarya filem tempatan tidaklah membikin filem berupa sedemikian. Terbitkanlah filem yang boleh mengingatkan kita kepada kematian, dan dalam masa yang sama mengajak penonton untuk bertaubat ke jalan tuhan. Apa-pun, kita ambillah yang jernih, buang yang keruh.

08 Jun 2009

The Other Boleyn Girl

Ketika pulang ke Muar, Johor pada hujung minggu lepas bagi menziarahi sanak saudara sebelah ibu, saya berkesempatan untuk menonton filem The Other Boleyn Girl yang sedang ditayangkan di saluran HBO di rumah bapa saudara saya. Sebetulnya, kesudahan filem ini pernah saya tonton beberapa minggu lepas bersama ibu. Saya telah tonton filem ini sekali lagi dari permulaannya bagi mendapatkan kefahaman mengenai peristiwa tragis yang menimpa Anne Boleyn, Permaisuri England – isteri kepada Raja Henry yang telah dihukum pancung atas kesalahan melakukan zina dan sumbang mahram.

Saya merasa begitu terkesan terhadap kisah ini – sekurang-kurangnya melalui penceritaannya dalam filem. Betapa kerana kuasa dan pangkat, seseorang sanggup melakukan apa sahaja hatta menggunakan ahli keluarga sendiri untuk mengejar kenikmatan dunia. Ini kisah adik beradik Boleyn, iaitu Anne dan Mary yang telah diminta oleh bapa mereka untuk mendapatkan perhatian Raja Henry bagi melebarkan pengaruh keluarga. Raja Henry yang ketika itu dalam kerunsingan mencari pewaris takhta – seorang anak lelaki sering sahaja kecewa kerana Permaisurinya tidak mampu memberikan zuriat kepada baginda.

Perkenalan antara Raja Henry dan Mary Boleyn telah membolehkan mereka dikurniakan anak lelaki – namun disebabkan tiada perkahwinan antara mereka – bayi tersebut tidak boleh mewarisi takhta England. Lalu, Anne Boleyn telah berusaha mempengaruhi perhatian Raja sehingga membuatkan baginda menjadi tidak keruan. Disebabkan peristiwa inilah Istana England telah terputus hubungan dengan Gereja Rom. Akhirnya, Anne telah berkahwin dengan Raja England dan sekaligus menjadi Permaisuri England.

Seterusnya, Anne telah hamil dan melahirkan seorang anak perempuan. Atas kehendak memberikan waris lelaki, Anne telah hamil sekali lagi dan kemudian keguguran. Akibat tertekan terhadap kemungkinan reputasinya tercalar, dalam diam-diam Anne telah meminta adik lelakinya sendiri untuk menghamilkan Anne. Walaupun akhirnya, tiada sumbang mahram berlaku antara mereka, tetapi peristiwa mereka berdua-duaan telah diperhatikan oleh seorang pengintip – lalu dilaporkan kepada Raja Henry.

Mereka didapati bersalah terhadap tuduhan berzina dan sumbang mahram, maka telah dihukum pancung. Tentunya, babak hukuman pancung inilah kemuncak dalam filem ini, begitu menyayat hati sekali. Filem ini telah menggerakkan rasa ingin tahu saya untuk mendalami sejarah keluarga diraja England yang pastinya menarik untuk diterokai.

Fakta di atas mungkin ada kesilapannya, maka saya berbesar hati jika ada yang boleh membetulkannya. Kalau ada juga yang sudi berkongsi pengetahuan mengenai perkara ini, saya juga amat mengalu-alukan.

Sumber Gambar : http://www.femalefirst.co.uk/image-library/port/376/b/boleyn.jpg
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan