Subscribe

09 April 2011

Ulasan : Hikayat Merong Mahawangsa

poster_hikayat_merong_mahawangsa

Negara kita memang kaya dengan pelbagai kisah ketamadunan yang hebat. Dari zaman dahulu, pelbagai karya-karya sejarah yang menceritakan susur galur kerajaan dan bangsa kita. Antaranya, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, dan Misa Melayu.

Satu lagi karya sastera sejarah yang penting dalam peta sejarah negara adalah Hikayat Merong Mahawangsa, atau juga disebut sebagai The Kedah Annals. Kitab ini menceritakan tentang sejarah pemerintahan negeri Kedah Darul Aman yang dikatakan berasal dari keturunan Iskandar Zulkarnain.

Terbaru, KRU telah menterjemahkan Hikayat Merong Mahawangsa ini dalam bentuk filem. Satu usaha yang harus kita puji sangat-sangat sebab terlalu jarang produser filem tempatan mengangkat kisah-kisah sejarah, terutamanya sastera sejarah ke dalam bentuk filem. Kalau zaman P. Ramlee dulu, banyak sangat filem sebegini. Tetapi, sekarang sangat jarang dan sekali sekala. Paling baru saya ingat adalah filem Puteri Gunung Ledang, dan Lembing Awang Pulang Ke Dayang.

Sebenarnya, saya pernah kecewa dengan filem KRU melalui filem Magika. Saya memasang harapan yang cukup tinggi sebelum menonton Magika dek kerana cerita dan trailer yang sungguh gempak. Sayangnya, mungkin kerana harapan yang terlalu tinggi, saya kecewa sendiri.

Maka, disebabkan saya belajar dari pengalaman, untuk filem Hikayat Merong Mahawangsa ini saya elakkan untuk menyimpan apa-apa harapan. Saya tonton tanpa apa-apa expectation, meski dalam hati ini benar-benar teruja, tetapi harus ditahan-tahan.

Dan pergilah saya menonton filem ini, pada hari kedua penayangannya. [Ya, memang dah lama saya tonton. Baru sekarang nak tulis ulasan. Smile]. Saya tahu, melalu komentar orang lain, ulasannya bercampur-campur. Ada yang suka, ada yang tak suka. Segala itu saya abaikan dahulu sebelum menonton filem ini.

Secara keseluruhannya, saya sangat suka filem ini. Berlabuh sahaja tirai tayangannya, saya dapat rasakan sebuah kepuasan yang jarang saya rasai selepas menonton filem-filem Melayu. Rasa bangga sebab akhirnya ada sebuah filem yang dapat menangkap dan mengangkat kegemilangan sejarah kerajaan Melayu.

Berikut adalah perkara yang saya suka tentang filem ini :

  • Keseimbangannya. Ya, filem ini saya kira cukup ramuan dan rempah ratusnya. Ada manis, ada pedas, ada masam, ada masin. Maksudnya kalau bukan peminat filem sejarah/epik sekalipun, anda tak akan bosan kerana pasti akan terhibur dengan lawak jenakanya yang kelihatan sangat bersahaja. Juga diserikan dengan kisah perjuangan, peperangan, dan juga percintaan.
  • Teknik Janaan Komputer (CGI) yang mantap! Usahlah hendak dibandingkan dengan produksi luar. Dengan keupayaan yang kita ada, saya rasa kita mampu untuk melangkah jauh. Kita dapat lihat betapa telitinya mereka mewujudkan set dan props seperti di Goa, Rome, China, dan Langkasuka seperti yang betul.
  • Nilai Perpaduan dalam filem ini. Kita dapat lihat betapa filem ini sangat international dan universal, bukan sahaja kerana ada unsur-unsur budaya luar seperti Rom, China, dan Melayu, tetapi juga nilai dalam perjuangan untuk menuntut kemerdekaan dan kebebasan itu sendiri.
  • Adaptasi Cerita. Saya belum membaca Hikayat Merong Mahawangsa lagi, tetapi menurut apa yang saya diberitahu, kisah asalnya ada banyak unsur mitos dan spiritual yang susah dan tak sesuai untuk difilemkan. Jadi, saya sifatkan adaptasi dalam filem ini adalah sesuatu yang menarik. Ada banyak perlambangan yang digunakan. Contohnya, pertarungan antara burung Jentayu dan Burung Geruda, diperlambangkan sebagai pertarungan antara puak Langkasuka yang diketuai Merong Mahawangsa yang menggunakan kapal bernama Jentayu, menentang puak Geruda, mewakili burung Garuda.
  • Lakonan Khir Rahman! Ya, lakonan beliau saya rasakan betul-betul berkesan. Saya rasa, beliaulah jiwa dan nadi kepada filem ini. Lakonan watak jahat yang menjadi.

Jujurnya, walaupun saya katakan saya suka filem ini, saya rasakan susah untuk saya fikirkan apa yang saya suka tentang filem ini, kalau nak dibandingkan dengan perkara yang saya tak suka tentang filem ini. Berikut apa yang saya tak suka:

  • Lakonan! Aspek inilah antara yang sangat ketara, terutamanya lakonan watak utamanya – Stephen Rahman Hughes. Saya tidak ada masalah dengan lakonannya dalam Bahasa Inggeris, tetapi lakonan dalam Bahasa Melayunya kadang-kadang tak sampai perasaannya. Agak ketara bila babak ucapan peperangan yang dilakukan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu, yang saya sifatkan sebagai klimaks filem ini. Tetapi, ia sedikit “rosak” kerana penghayatan yang sedikit kurang. Tetapi, ia diwajarkan dengan latar belakang Merong Mahawangsa itu sendiri yang dikatakan telah merantau sejak dari kecil.
  • Pelakon-pelakon tambahan filem ini yang semuanya kurus keding dan kurang pandai berlakon terutamanya dalam babak peperangan. Haha, suka-suka saja cakap orang tak pandai berlakon. Smile
  • Bila tonton filem ini, rasa macam sekejap tengok filem Inggeris, sekejap tengok filem Melayu, lepas tu pulak ada rasa macam tonton filem Hong Kong. Rasa kecelaruan sikit dari segi bahasa. Atas dasar praktikaliti, mungkin. Tetapi nampak juga seperti tak realistik.
  • Lagu tema filem ini! Saya memang tak faham sampai sekarang kenapa lagu “Sedetik Lebih” diangkat sebagai lagu teman filem ini, kerana ia langsung tak membawa semangat Hikayat Merong Mahawangsa. Lagu itu adalah sebuah lagu cinta yang melankolik, tetapi filemnya tidak memuatkan kisah cinta yang ketara. Saya juga jadi keliru dari perspektif watak yang manakah lirik lagu ini ditulis. Antara Merong Mahawangsa dan Embok, atau Putera Rome dan Puteri China?

Banyak lagi kalau nak disenaraikan satu persatu. Tetapi, lebih kurang begitulah apa yang saya fikirkan tentang filem ini. Baik atau buruk, HMM tetap satu peningkatan yang ketara dan permulaan yang bagus untuk industri perfileman negara. Dengan berbekalkan cerita yang bagus, saya yakin kita boleh pergi lebih jauh.

Persoalan yang lebih penting, sejauh manakah filem ini mampu menjentik rasa ingin tahu kepada penontonnya untuk mendalami kisah sejarah kita? Sewaktu dalam pawagam, saya masih lagi mendengar bisik-bisik penonton yang bertanya-tanya tentang apa Merong Mahawangsa itu.

Di situlah letaknya kejayaan sebenarnya filem Hikayat Merong Mahawangsa. Bukan dilihat dari kecanggihan CGI, kehebatan lakonan, atau keindahan busana. Tetapi, kejayaan sebetulnya adalah apabila para penontonnya terasa ingin tahu dan teruja dengan kisah sejarah kita lalu, mencari dan membaca kitab Hikayat Merong Mahawangsa yang sebenar!

2 komentar:

ipenocchio berkata...

hak3!! ak xske filem melayu.bkan sbb ak xde jati diri sbagai anak melayu.tp kbykan filemnya xberkembang.sama.xde prubahan..n, filem ni,ak rasa bley tahan la sket.skrg2nya, ley la lawan filem epik dari negara lain.ak ske filem epik melayu.hrap2 akan ada lagi filem cam gni satu ari nant n byk prubahan lagi...

Damei Phoenix berkata...

Walaupun hanya sebuah film, tp ceritanya d atas sebuah kebohongan sejarah, jadilah itu sebuah film busuk d atas propaganda busuk dengan menamakan peran antagonist dgn nama Garuda..
Knp propaganda busuk?
Garuda identik dengan Indonesia dan sebagai dasar Negara Indonesia.
Jd Kl ditanya balik,kenapa nama antagonis dlm film busuk ini diberi nama Garuda??
Apa hanya sebuah kebetulan atw memang Ada mksd tertentu??
Jd kesimpulannya, film busuk ini menggambarkan Kl Indonesia sebagai penjahat tapi tdk berhasil mengalahkan negara malingsia.
Ini saja sudah jelas kebohongan,
1.zaman kerajaan majapahit (kerajaan yg pernah Ada d Indonesian jelas2 berhasil menguasai seluruh Asia tenggara,ya termasuk tanah malingsia ini.
2. Zaman konfrontasi Indonesia-malingsia,jelas2 ketakutan malingsia menghadapi Indonesia

Kasihan penerus2 bangsa kalian ini, sejarah dibentuk hanya berdasarkan kebohongan semata, suka mencuri budaya negara orang..
Dimana martabat kalian sebagai bangsa Kl hny bisa mengeluarkan kebohongan2, mencuri budaya negara lain???
malu lah kalian...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan