Subscribe
Memaparkan catatan dengan label DBP. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label DBP. Papar semua catatan

09 Jun 2011

Apabila Penulis Lirik Berbicara

IMG_0723 

Sangat jarang kita mendengar penulis lirik turun padang untuk berbicara mengenai seni penulisan lirik dengan rakan-rakan mereka dari cabang sastera yang lain. Bidang penulisan lirik seolah-olah menjadi satu bidang yang sangat asing dengan dunia sastera, padahal ia masih menggunakan aksara dan kata sebagai senjata utama, meski beriringan muzika dan nyanyian.

Semasa program GETARAN JIWA : Irama, Lagu dan Sastera berlangsung di Menara Dewan Bahasa & Pustaka pada 24 Mei lalu, persoalan mengenai seni sastera dalam dunia muzik akhirnya telah diperbincangkan dengan kupasan yang begitu menarik oleh para panelis yang merupakan penulis lirik yang masyur.

Majlis anjuran bersama Dewan Bahasa & Pustaka dan Persatuan Karyawan Malaysia ini diserikan dengan panelis yang amat-amat saya kagumi.

Mana mungkin saya ketinggalan mengikuti acara ini kerana bukan senang hendak bertentang mata seraya menuntut ilmu dengan 3 orang penulis lirik yang sangat-sangat saya kagumi. Kerana merekalah, cinta saya kepada seni penulisan dan sastera semakin subur dan mekar.

Habsah Hassan, Hairul Anuar Harun, Ad Samad; nama-nama besar dalam dunia penulisan lirik Malaysia. Berpengerusikan Prof Madya Dr Lim Swee Tin – melengkapkan lagi nama-nama besar yang memang pakar dan arif dalam penulisan lirik.

Majlis ini terbahagi kepada dua, iaitu dimulakan dengan Majlis Dialog, dan disusuli pula dengan acara Deklamasi Puisi yang diadakan di Dewan Banquet. Acara itu diserikan dengan persembahan oleh Iqwal, Roslan Madun, Imuda, Suhaimi Meor Hassan, Julie Sudiro, Seniwati Sarimah, Freddy Fernandez, dan ramai lagi.

Berikut saya perturunkan inti daripada apa yang saya catatkan daripada setiap panelis.

Hairul Anuar Harun

  • Apabila mendapat lagu, akan anggap semua lagu berpotensi untuk memenangi anugerah dan akan buat yang sehabis baik.
  • Dalam sesebuah lirik, ada 5 elemen yang perlu ada iaitu Lagu, Ilmu, Rasa, Ilham, dan Karisma. Gabungkan kesemua pangkalnya, jadilah LIRIK.
  • Lirik adalah rakaman rohani.
  • Lirik boleh dikategorikan kepada dua iaitu Moden dan Tradisional. Unsur sastera banyak terdapat dalam lagu tradisional yang dipecahkan pula kepada lagu rakyat, irama Malaysia, Etnik Kreatif, Ritual, dan berunsurkan loghat/dialek.

Ad Samad

  • Penulis perlu ada cinta kepada bahasa
  • Masyarakat suka yang baru dan berkilat – yakni feminin, teratur, dan terletak.
  • Kalis Rindu adalah sebuah lirik yang mana beliau mencuba untuk tidak menggunakan imbuhan kata.
  • Beliau mencuba cara yang tidak konservatif.
  • Penulis lirik bukan penyajak.
  • Tak semestinya lirik teratur dan terletak tak elok. Lirik buruk pun cantik.
  • Menulis ayat yang paking senang itulah yang payah dan susah.
  • Kuantiti menghasilkan kualiti.
  • Antara ciri lirik lagu yang baik adalah Bermesej, Menghiburkan, Keaslian, Sampai kepada Masyarakat, dan ada Nilai Teknikal.

Habsah Hassan

  • Beliau seorang yang gila bahasa dan datang dari gaya yang old school.
  • Imbuhan bukan satu kemestian dalam lirik.
  • Ada bakat sahaja tak cukup untuk jadi penulis lirik yang bagus.
  • Lirik adalah bidang penulisan terakhir yang beliau ceburi sebelum penulis sajak, skrip, dan lain-lain.
  • Lirik adalah cerpen mini. Setiap lirik harus ada cerita tersendiri.
  • Guna bahasa yang mudah difahami kerana menganggap bila orang tak faham lirik beliau, maka lirik itu gagal.

09 Januari 2011

Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2010 – Peringkat Akhir

**Entri tertangguh 3 bulan. Apa yang ditulis adalah berdasarkan catatan semasa acara berlangsung.

image

Datanglah apa sahaja halangan dan kekangan. Meski sayembara ini hampir-hampir sahaja tidak berlangsung tahun ini, semangat dan azam para deklamator dan penulis tanah air dalam memperjuangkan seni untuk kelangsungan semangat kemerdekaan di kalangan masyarakat tak pernah luntur.

Nah, inilah buktinya. Meski tidak gah seperti tahun-tahun sebelum ini, tetapi tidak mengapa. Yang penting adalah semangat untuk melihat seni deklamasi puisi terus dimartabatkan di atas peta seni dan budaya kebangsaan.

image

Tanggal 2 Oktober 2010 telah menyaksikan pertandingan akhir Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2010 di Dewan Bankuet, Menara Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur.  Ia diadakan serentak dengan majlis pelancaran Perayaan 40 Tahun GAPENA (10 Oktober 2010 – 31 Oktober 2011), dan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010. Dengan tema Perpaduan, Pencapaian dan Transformasi – majlis diadakan penuh sederhana, tetapi bermakna.

image

Majlis dimulakan dengan persembahan puisi oleh 3 orang bekas juara kebangsaan iaitu : Tuan Ahmad Shukri Abdullah, Puan Amaruszati Noor Rahim, dan (Saya lupa namanya. Kepada siapa yang tahu, mohon beritahu. Nanti saya betulkan.) dengan puisi yang bertajuk “Bara Kemerdekaan”. Bayangkanlah, apabila 3 orang bekas juara bersatu, pasti bergegar dewan bankuet dibuatnya.

Kami diberitahu bahawa semasa sesi saringan, terdapat lebih kurang 48 orang telah turut serta. Ia telah diadakan di 2 tempat iaitu Rumah Pena & Rumah Gapena.

Lima orang hakim telah dipertanggungjawabkan untuk mengadili sayembara peringkat akhir ini iaitu Tuan Hamzah Hamdani (Pengerusi), Tuan Marzuki Ali, Dr Haji Ahmad Razali Yusuf, (sekali lagi, kepada siapa yang tahu, maklumkan saya ya!) dan Tuan Ahmad Shukri Abdullah. Rata-ratanya adalah orang lama dalam arena sastera tanah air.

Saya telah mencatat ulasan bagi setiap peserta dari sudut pandang sendiri. Tetapi, biarlah saya simpan dahulu. Nanti kalau ada masa, saya akan tambah di sini. Buat masa ini, ayuh kita saksikan gerak gaya para peserta kita.

image

Nor Liza Pamuji – Tun Perak (Gunawan Mahmood)

image

Norhisyam Razali – Di Halaman Kembang Sepatu Ini, Selamanya Sejahteralah Warga (Sazalee Yaakub)

image

Siti Nur Zafran Zainal Abidin – Pidato Umum Di Dataran Merdeka (Nassury Ibrahim)

image

Mohd Alizan Mat Rasat -  Salam Tekad Warga Merdeka (Chue Ee Liang)

image

Azamin Itam – Wasiat Rimba Merdeka (Hassan Jaidin)

image

Haryani Harun – Tok Janggut (Rahimidin Zahari)

image

Mohammad Shahrin Haron – Kitalah Tuan (Hashim Yaakub)

image

Mohamad Tarmizi Kassim – Jamung Merdeka (Razali Yusoff)

image

Wee Win Nie – Istana Kemerdekaan (Raihani Mohd Saaid)

image

Fairuzan Haji Abdul Majid -  Maruah Perjuangan (A. Rahim Abdullah)

image

Yusuf Ramji – Ke Ruang Katarsis (Zaen Kasturi)

image

Mohd Ismail Adnan – Menebus Nilam Maruah (Zainal Abidin Suhaili)

Semua peserta akhir diberi masa selama seminggu untuk menghafal sajak baru yang ditugaskan kepada mereka. Koleksi sajak kebanyakannya adalah gabungan sajak-sajak terbaik dari antologi-antologi sayembara sebelum ini. Secara keseluruhannya, persembahan pada peringkat akhir ini memang bagus, cuma mungkin ia akan lebih mantap lagi jika lebih masa diperuntukkan.

image

Keputusan :

  1. Mohamad Tarmizi Kassim
  2. Yusuf Ramji
  3. Wee Win Nie

Dan akhirnya, bertakhtalah juara baru sayembara deklamasi puisi tahun ini. Tahniah diucapkan kepada yang menang, dan teruskan berusaha kepada yang tewas. Apa pun, tidak ada pihak yang kalah sebenarnya. Kalianlah yang telah menang sebagai satu kumpulan yang padu dan mantap. Inilah bukti – seni pengucapan puisi masih teguh diminati di Malaysia dan akan terus subur di arena seni dan budaya!

03 Januari 2011

Festival Puisi & Lagu Rakyat Antarabangsa 2011

163642_483172497282_555522282_6443200_6355357_n

Ini kali pertama saya menyambut tahun baru di kejauhan – nun menyeberang ke Pulau Pangkor. Jemputan menyertai program Festival Puisi & Lagu Rakyat Antarabangsa saya sahut bersama rakan-rakan seperjuangan di hari pertama tahun 2011.

Catatan perjalanan sepanjang di Pulau Pangkor akan saya titipkan sedikit masa lagi. Entri ini biar saya tumpukan kepada pengisian program sepanjang hari. Kalau sesiapa yang telah melanggan akaun twitter saya, pasti telah tahu perkembangan terkini yang telah saya maklumkan melalui liputan langsung.

Festival ini dianjurkan oleh Malim Arts Village dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional & Dewan Bahasa & Pustaka di bawah penajaan Institut Darul Ridzuan & Pejabat Menteri Besar Negeri Perak.

Rombongan dari Kuala Lumpur bertolak sehari lebih awal dari Menara DBP dengan 3 buah bas. Antara yang menjadi peserta adalah pelajar-pelajar Akademi Pengajian Melayu – Universiti Malaya, Universiti Prince of Songkla – Thailand, Kelab Alumni MPR, dan beberapa pelajar dari UiTM Shah Alam. Turut juga menyertai adalah penulis-penulis mapan, petugas DBP, dan orang-orang perseorangan yang meminati alam dan dunia puisi Melayu.

IMG_0675

Majlis dimulakan dengan Seminar Bahasa & Sastera yang dipengerusikan oleh Prof Siti Zainon Ismail dengan tajuk “Arah Tuju Bahasa & Sastera Melayu di Era Globalisasi. Sewaktu saya tiba, panel pertama telah pun selesai memberikan pembentangannya.

Pembentang kedua adalah Prof Mana Sikana yang dahulu pernah berkhidmat lama di Singapura. Beliau menerangkan kepada kami mengenai beberapa teori-teori sastera dan aspek kritikan dalam sastera. Menarik untuk dipelajari terutamanya bagi saya yang bukan dari bidang tersebut.

Seterusnya, panel ketiga didatangkan khas dari Universitas Negeri Surabaya – Professor Emeritus Dr Budi Darma. Saya tertarik dengan pembentangannya yang telah menceritakan sebuah kisah yang dipetik dari sebuah novel untuk memulakan perbicaraan. Beliau membincangkan mengenai apa itu Sastera Kebangsaan dan mengambil Singapura sebagai subjeknya.

Katanya : penulis-penulis Sastera Melayu di Singapura terus-terusan menulis mengenai keadaan hidup mereka dan identiti serta kedudukan mereka di dunia serba moden.

Seterusnya, sesi perasmian telah diadakan dengan YB Dato’ Zainol Fadzi – Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Belia, dan Sukan Negeri Perak menyampaikan ucapan perasmiannya.

IMG_0680

Pada sesi kedua seminar, pembentangan telah diteruskan oleh Tuan Aminudin Hashim dari Institut Darul Ridzuan yang telah membentangkan sebuah kertas kerja yang menerangkan mengenai Perak AmanJaya. Pembentangan ini kiranya adalah selingan sebenarnya kerana tidak ada kaitan dengan sastera & budaya, tetapi lebih merupakan penerangan kepada peserta untuk lebih mengetahui apa perancangan yang akan mereka jalankan, terutamanya dalam bidang seni dan budaya.

Bagaimanapun, saya suka analogi yang digunakan oleh Tuan Aminudin Hashim – kereta di lebuhraya umpama air di dalam sebuah batang paip. Kita harus takung lebihannya supaya kita dapat menjana lebih banyak pendapatan untuk negeri. Benar juga, oleh itulah beliau telah menyarankan pembinaan lebih banyak prasarana di sepanjang lebuhraya di negeri Perak.

Sesi yang ditunggu-tunggu pastinya apabila kartunis terkemuka negara memberikan pembentangannya. Sebagai anak jati negeri Perak, tidak hairanlah beliau telah dijemput dalam memberikan pandangan dan pengalaman dalam menempuhi cabaran sebagai seorang ahli seni.

Antara yang beliau katakan adalah : Penggiat seni haruslah kuat semangat dalam perjuangan dan menempuh cabaran. Beliau mengenang kembali kenangan momori silam beliau sewaktu zaman mula-mula hendak mencapai cita-cita di waktu awal kerjaya. Hadirin semua juga terhibur dengan lawak jenaka yang beliau sulamkan dalam pengucapan beliau.

Akhir sekali, Datuk Baha Zain telah berucap dengan tajuk Bahasa & Budaya Melayu di Era Globalisasi. Beliau menyatakan contoh-contoh semasa betapa orang kita masih belum ada tahap kesedaran yang tinggi akan pentingnya Bahasa Melayu.

Sedari itu, 4 cadangan telah beliau kemukakan :

  1. Pentadbiran bidang pendidikan dan kebudayaan haruslah diletak di bawah satu kementerian yang sama, supaya semangat dan kesedaran kebudayaan itu dapat dipupuk sejak di bangku sekolah lagi.
  2. Pelepasan cukai pendapatan dalam bidang kreatif haruslah dinaikkan dari RM20,000 kepada RM40,000.
  3. Penubuhan Majlis Bahasa Melayu oleh Majlis Raja-Raja Melayu di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong – untuk melindungi kepentingan dan kedaulatan Bahasa Melayu dari dimanipulasi pihak pemerintah atau pembangkang.
  4. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penyampaian ilmu terutamanya di UKM sebagai menjana perkembangan Bahasa Melayu. Penggunaan Bahasa Melayu ke peringkat sekolah menengah sahaja tidak cukup untuk memartabah bahasa kebangsaan.

IMG_0687

 

Pada sebelah petangnya, acara baca puisi santai telah diadakan di bawah khemah yang didirikan di tepian pantai. Sewaktu ini, saya tidaklah mengikutinya dengan tekun, tetapi ramai yang telah mengambil peluang ini untuk mendeklamasikan puisi masing-masing kerana ia terbuka kepada semua peserta.

Selain itu, juga ada dendangan lagu rakyat oleh Dato’ Aripin Said dan dendangan puisi khas oleh delegasi dari negeri Sabah. Sambil mendengar puisi, bayu laut yang menerpa wajah seolah-olah memberikan kelembutan yang menambahkan keasyikan dalam alun penyampain puisi. Seperti biasa juga, sesi baca puisi oleh para penulis dimanfaatkan sepenuhnya untuk ‘berpuisi’ juga dari tempat duduk. Smile with tongue out

DSCN8532

Pada sesi sebelah malam, saya tidak berkesempatan mengambil apa-apa gambar. Jadi, saya kira mungkin ceritanya anda boleh dapati dari blog-blog lain. Tetapi, apa yang saya ingat adalah ia telah diserikan oleh YB Menteri Besar Perak – Dr Zambri yang telah juga mendeklamasikan sebuah sajak karya beliau sendiri. Saya kira, ada bakat juga beliau menjadi seorang deklamator. Suara sedap, sajak yang ditulisnya pun boleh tahan!

Ahmad Fedtri Yahya, pengacara TV3 telah menakhoda majlis baca puisi tersebut.

Pandangan & Cadangan

  • Meskipun acara ini dinamakan ‘Festival Puisi & Lagu Rakyat Antarabangsa”, tetapi dari segi penyampaian seminar – tidak ada satu pun pembentangan yang membicarakan mengenai puisi atau lagu rakyat secara khusus. Agak menghampakan bagi mereka yang datang untuk mendekati dua genre tersebut. Mungkin selepas ini, boleh gunakan tajuk yang umum, atau pun pengisian seminar yang melambangkan tajuk program.
  • Sebagai sebuah program yang dinamakan “antarabangsa”, pengisian sewaktu seminar ada yang lebih menekankan pembangunan negara di Malaysia secara khusus – sehinggakan apabila saya bertanya kepada beberapa peserta dari Thailand, mereka mengatakan bahawa mereka tidak faham apa yang dibentangkan. Pengisian program selepas ini mungkin boleh mengambil kira tetamu-tetamu kita yang datang dari jauh ini.
  • Secara keseluruhan, pengisian dan pendekatan program ini baik, tetapi longgar. Mungkin juga untuk memberikan peluang kepada para peserta berkenal-kenalan dan mencari ilham dalam berkarya. Apa-pun, mungkin kalau diusahakan lagi, aktiviti-aktiviti festival ini boleh dikreatifkan lagi!

Bagaimanapun, secara keseluruhannya, saya sifatkan program ini sebagai berjaya. Dengan lokasi yang sangat indah dan menyamankan, pasti semangat para pengkarya akan berkobar-kobar untuk kembali menyiapkan gubahan yang indah untuk masyarakat. Kelancaran program juga teratur, dan tidak ada apa-apa masalah besar. Malah, kepantasan urusetia mengubah pentas sesi baca puisi sebelah malam lantaran hari yang kehujanan juga menunjukkan bahawa telah ada Plan B yang dirangka. Tahniah!

Penghargaan

Dengan itu, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada para penganjur dan urusetia program yang telah bertungkus-lumus menjayakan acara ini. Malah, lebih-lebih lagi kerana penajaan para peserta dari segi pengangkutan, penginapan, dan makanan. Sesungguhnya amat kami hargai. Catatan kecil ini adalah sebagai sumbangan kecil terhadap usaha keras kalian.

Seandainya ada yang tersalah ucap atau tersilap gerak, ampun dan maaf saya pinta, juga bagi pihak Kelab Alumni MPR yang saya wakili. Semoga akan ketemu di lain masa dan ketika, selagi hayat masih dikandung badan.

Selamat Tahun Baru 2011!

Sekian, wassalam.

15 April 2010

Karnival Bahasa Kebangsaan Putrajaya 2009

Entri ini sebenarnya dah agak lambat diblogkan. Dah tajuk pun tahun 2009. Tapi saya harus blogkan juga untuk tujuan pendokumentasian aktiviti-aktiviti kesenian saya.

Bulan Oktober setiap tahun adalah Bulan Bahasa Kebangsaan. Maka, banyaklah aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Dewan Bahasa & Pustaka dalam memeriahkan sambutan berkenaan. Saya sebenarnya hendak puji DBP sangat-sangat akan sambutan tahun lepas yang saya lihat sangat meriah. Memang nampak sangat DBP berusaha untuk menjadikan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan ini satu acara yang berskala besar.

Buktinya, diadakan Karnival Bahasa Kebangsaan yang dibuat di beberapa tempat seperti di Kelantan, Kuala Lumpur, dan Putrajaya. Yang seronoknya, ada sayembara deklamasi puisi di setiap karnival ini. Sudah tentunya para deklamator seantero negara amat teruja dengan perkembangan ini.

Saya juga turut menyertai Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Putrajaya. Peringkat saringan sayembara ini diadakan hari Khamis. Agak kurang sesuai sebenarnya. Saya sendiri tak faham kenapa ia diadakan pada hari kerja. Mungkin ada beberapa kekangan lain agaknya.

IMG_0949

Saya tiba di Bangunan Perbadanan Putrajaya pada awal pagi. Boleh dikatakan antara yang terawal juga sampai. Nasiblah tidak sesat. Senang juga nak mencari jalan ke Putrajaya. Saya bertolak dari rumah di Petaling Jaya sebab kereta ada di rumah.

Awalnya, tak bersemangat sangat hendak turut serta kerana dibebani dengan tugasan-tugasan pembelajaran. Tapi, bila difikir-fikirkan kembali, sayembara deklamasi puisi bukan diadakan selalu. Biasanya hanya setahun sekali saja. Jadi, pergilah juga saya ke bumi Putrajaya itu.

IMG_0950

Sebelum masuk ke Panggung Experimental, kami dikehendaki mendaftar terlebih dahulu dan mencabut undi giliran persembahan. Gambar di atas ini adalah Abang Amran –pendeklamator hebat yang sangat bersemangat memperjuangkan dunia deklamasi ini.

Saya mendapat cabutan undian ke-5 daripada 40 lebih orang peserta kalau saya tak silaplah. Lega juga, sebab saya ada kelas pada pukul 12 tengahari itu. Memang lepas bertanding, harus bergegas pulang ke UIA.

 IMG_0953 IMG_0954IMG_0955

Inilah bentuknya Panggung Eksperimental Perbadanan Putrajaya. Sangat cantik. Saya masuk dan terus terpegun. Cuma, panggung ini sedikit curam. Nak melangkah turun harus berhati-hati, takut terjatuh. Apa yang tak eloknya pasal tempat ini bagi deklamator adalah apabila hendak mendeklamasikan puisi, kepala harus didongakkan ke atas. Apa lagi disebabkan hakim pun duduk di bahagian paling atas.

Bawah ini adalah peserta pertama yang bertanding – Encik Shahrul Fadilah (maaf ya kalau tersalah eja). Beliau mendeklamasikan puisi “Istana Kemerdekaan” karya Raihani Mohd Saaid – puisi yang sama saya deklamasikan.

Beliau ini otai dalam dunia deklamasi puisi. Pernah mewakili Selangor ke  Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka peringkat kebangsaan beberapa kali. Alhamdullillah, kali ini beliau telah berjaya ke peringkat akhir dan seterusnya memenangi pertandingan ini. Tahniah saya ucapkan! Ternyata giliran pertama tu membawa tuah. :)

IMG_0956 IMG_0957

Ini pula giliran Abang Hisyam Razali. Hari itu memang sibuk sungguh untuk beliau. Kalau tak silap, lepas beliau bertanding deklamasi, lepas tu terus harus bergegas untuk pertandingan akhir Pesta Pantun Antara Kementerian, dan seterusnya kena baca puisi masa Konvokesyen Kolej beliau pula. Aduh, memang penat. Tapi saya kira tentu ianya berbaloi. Dah minat kan? Nak buat macam mana.

IMG_0958  IMG_0960IMG_0961

Oh, inilah tuan empunya diri. Saya memilih sajak “Istana Kemerdekaan” karya Kak Rai. Tak sangka ramai sungguh orang yang pilih sajak ini juga. Aduhai memanglah begitu setiap kali berlangsungnya sayembara. Mesti ada satu atau dua sajak yang menjadi favourite. Tiap kali saya cuba nak beralih angin, mengelak daripada mengambil sajak kegemaran ramai, tentu orang lain pun ambil sajak itu juga. Hahah.

IMG_0962 IMG_0963

Saya bermula awalnya agak okay. Bolehlah tahan, sebab saya berlatih kurang dari seminggu. Cuma sayang seribu kali sayang yang teramat sangat. Saya tersasul semasa bahagian klimaks. Mungkin sebab bahagian itu saya laju sedikit, jadi itu yang terbelit sedikit lidah. Mungkin banyak lagi yang perlu dipelajari untuk menenangkan diri sendiri sewaktu mendeklamasi.

Walau berapa bagus pun kita berlatih, macam-macam boleh berlaku di atas pentas.

IMG_0964 IMG_0965  IMG_0967

Lepas saja habis giliran saya, terus saya terpaksa meminta diri sebab harus mengejar kelas saya pada pukul 12 tengahari. Tak dapatlah nak melihat para otai-otai lain membuat persembahan. Tapi tak mengapalah. Mungkin lain kali.

Tapi sayangnya, saya ada sedikit masalah dengan kereta saya. Saya tak dapat nak menghidupkan enjin. Jadi, saya terpaksa minta bantuan daripada seseorang, dan sambil menunggu beliau, sempatlah saya mengikuti satu lagi acara yang sedang berlangsung iaitu Pesta Pantun Empat Penjuru Antara Kementerian 2009.

 

IMG_0968

Ini bukan kali pertama saya melihat pertandingan akhir Pesta Pantun Antara Kementerian ini. Anda boleh baca laporan saya berkenaan Pesta Pantun Antara Kementerian pada tahun sebelumnya di sini.

Pertandingan pada kali ini sangat unik sebab pertama kali menggunakan format empat penjuru dan siapa cepat dia dapat. Tengok di bawah tu, Abang Hisyam dan Kak Flora sedang beraksi mewakili Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

IMG_0969 IMG_0970

Yang di atas pula adalah wakil dari Kementerian Pelajaran, juara bertahan Pesta Pantun Antara Kementerian.Untuk kali ini, mereka sekali lagi berjaya mempertahankan kejuaraan buat sekian kalinya.

Sekian laporan saya.

19 Disember 2009

Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja 1, 2009

Program MPR kali ini, Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja 1, 2009 berlangsung dalam suasana yang lebih santai dan releks berbanding acara-acara sebelum ini. Konsepnya yang berbentuk reunion, telah mengembalikan memori kenang-kenangan kami sepanjang seminggu mengikuti MPR pada tahun masing-masing.

Meskipun notis yang diberikan pihak Dewan Bahasa & Pustaka kepada Alumni MPR untuk mengadakan acara ini agak terlambat, iaitu kurang sebulan sebelum sebelum acara berlangsung, namun ia tidak menghalang kami untuk menjadikan acara ini sebuah kenyataan.

Tahniah perlu saya kalungkan kepada Pengarah Program, Ainunl Muaiyanah yang telah bersusah payah mengorbankan masa beliau untuk menguruskan acara ini, walaupun terhimpit dengan bebanan tugasan di pejabat. Juga tahniah kepada semua AJK yang telah bertungkus-lumus, sampaikan sanggup berkampung sehari sebelum acara di Puspanita untuk membuat persiapan-persiapan akhir.

Diakui, sebenarnya tarikh yang dipilih tidaklah begitu sesuai. Ramai sangat yang tidak dapat hadir. Ia agak merisaukan kami pada mulanya. Maklumlah, daripada 600++ mantan MPR, pihak DBP menjangkakan kehadiran 200++ orang, tetapi yang sahkan kehadiran hanyalah 40++ orang. Dengan musim kenduri orang kahwin sekarang ni, ramai yang terpaksa pulang awal.

Tapi, bak kata Encik Wahab daripada Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan DBP, acara ini boleh dianggap sebagai pemula ataupun jumpstart kepada perhimpunan-perhimpunan yang lebih besar pada tahun depan. Beliau sempat mengatakan kepada kami bahawa mesyuarat untuk tahun depan akan diadakan pada Januari depan. Kalau begitu, saya mencadangkan bahawa tarikh yang molek untuk diadakan perhimpunan tersebut adalah pada tarikh pertengahan tahun.


Kami telah tiba di Dewan Seminar DBP pada pukul 7.30 pagi. Waktu itu teruslah kami melakukan tugas masing-masing untuk menyiapkan meja pendaftaran. Cuma apa yang agak menghairankan saya, sarapan yang sepatutnya dihidangkan pada pukul 8 pagi, masih belum tersedia sehinggalah pada pukul 8.45 pagi. Ia sedikit sebanyak telah menjejaskan kelancaran program. Mungkin berlaku salah faham tentang waktu permulaan majlis.

Pada majlis ini juga telah dilancarkan 5 buah buku hasil tangan mantan peserta Minggu Penulis Remaja iaitu :

  1. Lentera Mustika - Nisah Haron
  2. Menunggu Cinta Tuhan - Lily Haslina Nasir
  3. Janji Miftahul Raudhah - Sayidah Mu'izzah Kamarul Syukri
  4. Badrul Bambi - Raihani Mohd. Saaid
  5. Kafe Filosof Fikir - MPR 2006

Slot forum sangat menarik. Ini satu pembaharuan; kalau hendak dibandingkan dengan format acara MPR sebelum ini yang berbentuk pembentangan ilmiah. Abang Nomoiz T.Y telah berjaya menghidupkan majlis dengan tugasnya sebagai moderator yang kreatif. Begitu juga dengan panelnya - Lily Haslina Nasir, Raihani Mohd Saaid, dan Khairul Nizam Abdul Raub. Saya ada mencatatkan ringkasan isi penting forum tersebut. InsyaAllah, akan saya turunkan semula di Blog Rasmi MPR.

Slot Memori MPR juga sangat menarik, apabila setiap mantan telah menceritakan mengenai pengalaman MPR masing-masing. Seronok juga mengimbas kenangan ini. MPR 2005 telah diwakili oleh Kak Nasriah Abdul Salam.

Juga turut diselitkan di penghujung acara, adalah sesi mengenang Almarhum Othman Puteh. Saya tidak berkesempatan berguru dengan Almarhum, tetapi dapat merasakan betapa Almarhum begitu berjasa sekali bukan sahaja kepada MPR, tetapi kepada hampir kesemua penulis muda pada dekat 90-an.

Antara mantan MPR yang sempat bergambar bersama.

29 November 2009

Perjumpaan MPR di KL Sentral

Masing-masing sedang berfikir.

Hari ini telah diadakan sebuah perjumpaan MPR di KL Sentral. Lokasi ini memang dah serasi sangat dengan kami. Di KL Sentral-lah tempat yang paling sesuai untuk kami berjumpa kerana kami semua datang dari arah yang berbeza-beza. Setiap diskusi yang telah kami anjurkan bermula dengan perjumpaan di KL Sentral.

Tujuan perjumpaan kali ini adalah bagi membincangkan Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja yang bakal diadakan pada 19 Disember ini. Tak ramai pun yang datang, memandangkan sekarang tengah cuti semester dan hujung minggu yang panjang kerana adanya sambutan AidilAdha Jumaat lalu.

BoldKak Hani : Bila Yana nak bagi makan cengkodok nih?

Mereka yang hadir adalah Kak Nisah Haron, Kak Hani Salwah, Yana, Ode, Aidil, dan saya. Tidak mengapalah. Bak kata orang putih, let's start the ball rolling. Lepas ini saya pun sedikit sibuk, jadi mungkin tak boleh beri banyak komitmen sangat. Diskusi lepas pun saya telah jadi Pengurus Program. :)

Yana telah dilantik menjadi Pengurus Program. Manakala AJK lain kebanyakannya daripada AJK Diskusi yang dulu. Jadi, tidaklah jauh beza sangat. Lagipun, kerja kali ini tidak banyak. Kerja yang berat-berat semua pihak DBP akan uruskan. Tugas kami adalah hanya dari segi pengisian, promosi dan kelancaran majlis.

Maka, berikut adalah butir-butir program kami:

Program : Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja
Tarikh : 19 Disember 2009
Masa : 8 pagi - 2 petang
Tempat : Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan