Subscribe
Memaparkan catatan dengan label Birthday. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Birthday. Papar semua catatan

25 Ogos 2014

Kejutan Hari Lahir ke-27

image

SURPRISEEEEEE!

Tak terhidu dan terjangka langsung saya akan mendapat kejutan untuk sambutan hari lahir tahun ini.

Rasa macam tak  percaya sebab saya sendiri pun tidak merancang untuk membuat apa-apa sambutan sebab tidak rasa seperti telah mencapai apa-apa yang signifikan lagi setakat ini. Memang pelan nak lalui tarikh keputeraan saya secara biasa-biasa saja.

Awalnya, saya diajak oleh Hafiizh untuk menemani dia untuk ke satu majlis rumah terbuka hari raya di The Curve. Katanya majlis itu akan dihadiri oleh tetamu kenamaan, jadi saya kena pakai sepersalinan Baju Melayu lengkap. Entah kenapa tanpa banyak bicara saya setuju sahaja. Kebetulan memang berkelapangan ketika itu.

Ada juga saya tanya-tanya tentang siapa penganjur majlis itu, tapi dijawab oleh Hafiizh dengan jawapan yang tidak membuat saya ragu-ragu. Lagi pun, siapa yang tak hendak makan percuma kan? Pergi sajalah tanpa banyak soal.

Saya jemput Hafiizh di stesen LRT dan kami terus ke Mutiara Damansara. Hafiizh masih berpakaian biasa sedangkan saya sudah siap berbaju Melayu siap bersamping songket. Kata dia, konon hendak bertukar di The Curve.

Saya disuruh untuk tunggu sekejap di dalam kereta di tempat parkir kerana Hafiizh hendak menukar baju. Masa itu saya masih lagi tak dapat hidu apa-apa. Memang lurus betul! Hampir setengah jam juga saya tunggu dalam kereta. Hendak keluar jalan-jalan, saya segan sebab tengah pakai Baju Melayu penuh!

Bila Hafiizh turun mendapatkan saya, saya sudah naik hairan kerana dia masih belum bertukar. Memang pelik sangat masa itu sebab dia ajak saya untuk naik atas menemankan dia jumpa seseorang sebelum dia tukar baju.

Waktu itu, memang saya rasa pelik yang amat amat sangat sebab terpaksa pakai baju Melayu bersongkok dan bersamping di tengah-tengah gedung membeli belah di waktu malam! Tapi saya tebalkan muka saja sebab berpendapat kalau ada majlis, tentu bukan saya seorang yang berpakaian sedemikian.

Kami berdiri terpacak sebentar di depan pintu masuk Hotel Royal Bintang yang letaknya di The Curve. Kononnya Hafiizh tengah tunggu seseorang untuk hantarkannya samping yang dia tertinggal. Sibuk benar dengan telefon dia. Saya masa tu dah mula rasa pelik.

Tiba-tiba saya tertoleh ke restoran Johnny Rocket yang terletak bersebelahan pintu masuk Hotel Royal Bintang. Saya ternampak macam kelibat orang yang saya kenal. Dua kali pandang, rupanya yang saya nampak itu dua orang adik saya. Wah apa mereka buat di sini?

Saya beritahu Hafiizh. “Eh, Hafiizh. itu dua adik aku. Jom kita pergi saya?”.

Tiba-tiba, dengan tak semena-menanya dia menarik tangan aku menuju Restoran Johnny Rocket. Saya pelik. “Yang kau tarik tangan aku kenapa? Memang aku nak pergi sana pun. Kenapa kau yang teruja lebih?” kata saya dalam hati.

“SURPRISEEEEEEEE!!!!!!”

Saya jadi blur sekejap. Terdengar bunyi bising daripada para pekerja restoran Johnny Rockets menjerit-jerit. Lepas itu seorang demi seorang wajah rakan yang dikenali muncul. Baru saya perasan… rupa-rupanya…… ini semua satu helah!

Seluruh restoran menyanyikan lagu Happy Birthday. Saya terpaksa control macho ketika itu, sebab semua orang tengok saya. Kawan-kawan saya sibuk merakam gambar dan video. Saya pun meniup kek hari jadi berperasa coklat.

Terima kasih semua!

********************

Ribuan penghargaan kepada yang telah sudi datang membuat kejutan itu, dan juga semua yang telah tidak lupa memberikan ucapan selamat hari lahir tak kira di Facebook, Instagram, Twitter, WhatsApp, atau juga secara bersemuka. Saya amat-amat menghargainya.

Ia memberikan saya kekuatan semangat untuk bangkit dan terus menjadi manusia yang lebih baik di masa hadapan – kerana kehidupan dikelilingi oleh orang-orang yang istimewa ini.

********************

*Kek Hari Lahir saya telah dibuat khas oleh Shatira melalui Bakes and Bites. Memang sangat sedap! Boleh hubungi beliau melalui Instagram – @bakesandbites.

19 Ogos 2010

Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-23

IMG_0179

Tanggal 19 Ogos.

Tarikh keramat yang punya makna yang cukup besar bagi saya, setiap tahun. Pada tanggal inilah pada 23 tahun lepas, saya dilahirkan sebagai putera sulung kepada Papa dan Mama. Bertempat di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur; segalanya bermula untuk seorang insan bernama Azree Ariffin – yang membawa erti “kekuatanku adalah kebijaksanaan”.

Seingat saya, bonda menceritakan bahawa tidak lama selepas kelahiran, saya telah mengalami demam panas sehingga terpaksa disuntik belakang badan saya untuk diambil airnya. Resah dan gundah terbit di hati nenda, yang telah banyak membantu membesarkan saya bersama bonda. Dan, masa pun berlalu.

Alhamdulillah, saya sembuh dan terus menjalani kehidupan seperti kanak-kanak yang lain. Membesar di bumi Kuala Lumpur. Menjadi seorang anak kota yang mengejar sesuatu yang dirinduinya. Rindu kepada angin jagatraya yang tenang dalam rimbun perkasihan.

Dan hari ini, datang kembali saat itu. Saya bukanlah seorang yang menyambut hari ulang tahun kelahiran dengan rasa teruja. Sekadar menerima kehadiran tanggal tersebut dengan rasa syukur dan berterima kasih atas nikmatNya yang telah diberikan sepanjang kehidupan 23 tahun ini. Doa dan rindu sudah cukup membahagiakan hati saya.

IMG_0162

Semalam, saya telah dikejutkan dengan sebuah sambutan hari jadi yang amat saya tidak sangka-sangka. Asalnya, hendak keluar minum-minum sahaja dengan seorang teman di tempat biasa. Saya dapat mengagak bahawa ada tentu ada apa-apa yang akan dilakukan. Tapi, tidak mengharapkan apa-apa. Hujan yang lebat turun pun telah melenyapkan pelbagai spekulasi yang dibuat.

Tiba di restoran, saya disambut teman saya itu. Keadaan seperti biasa saja. Saya juga masih belum selesai menenangkan diri setelah basah kuyup terkena hujan. Duduk saja di kerusi, tiba-tiba datang sebuah kek berhias lilin yang dinyalakan dari belakang.

“Happy Birthday to You, Happy Birthday to You, Happy Birthday to Azree, Happy Birthday to You!”

Terharu sungguh! Aduhai saya tak pernah rasa dihargai sebegini. Kali pertama mendapat sambutan kejutan seperti ini. Dari balik dinding, muncul pula dua lagi teman yang datang jauh dari Shah Alam semata-mata untuk meraikan hari lahir saya. Dan senyum pun menguntum, menjadi bunga di hati.

Kepada kalian, saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Kata-kata tidak dapat menggantikan rasa penuh penghargaan saya terhadap ingatan kalian. Anda tahu siapa diri anda!         IMG_0170 

Sebagai pelengkap kepada Kek Secret Recipe itu, diiringkan sekali dengan donut Big Apple yang dibawakan khas dari Shah Alam. Bersamanya, saya pesan segelas air limau madu.

Segalanya sangat istimewa. Hari yang istimewa, teman yang istimewa, tempat yang istimewa. Restoran Tropika Corner di Taman Melati yang menjadi rumah makan hinggap kami telah memberikan layanan yang terbaik, dan khabarnya mereka begitu sporting berkomplot dengan teman-teman saya untuk menjayakan sambutan mengejut ini.

Oh, kecuali satu.

.

.

.

.

.

    IMG_0175Ya, saya telah dibaling tepung. Boleh pula, selepas kami hendak beredar  keluar, dengan berpura-puranya, mereka telah buat-buat sibuk, dan masuk ke dalam restoran kembali. Saya pun hairan. Mungkin tertinggal barang agaknya.

Rupa-rupanya, ada agenda yang belum habis lagi! Oh, tak mengapa tak mengapa.

Ada ubi ada batas, ada hari boleh balas. Hahah! Dendam kesumat ini akan saya simpan ke hari lahir kalian ya! Tunggu sahaja!

IMG_0177

Esoknya, semasa tarikh hari lahir, saya telah kembali ke rumah, kepada keluarga tercinta untuk berbuka puasa bersama mereka. Dan, inilah kek yang telah dibeli untuk sambutan keluarga. Chocolate Indulgence dari Secret Recipe.

Saya bahagia dan gembira kerana ada orang-orang yang istimewa ini di sekeliling. Terima kasih atas segala sokongan dan perhatian. Kamu semua memang terbaik sungguh!

Saya tinggalkan anda dengan pautan ke entri hari lahir saya tahun lepas : Selamat Hari Lahir ke-22, Azree!

Wassalam!

26 Mei 2010

Hari Jadi Nenda, Hari Lahir Bonda

Recently Updated

Hari ini hari lahir dua orang wanita yang sangat istimewa dalam hidup saya iaitu Mama dan Tok Yan – nenda saya. Mereke berkongsi tarikh kelahiran yang sama – 26 Mei, tapi sudah semestinya tahun yang berlainan. Jadi, tiap tahun sambutannya akan jadi berganda sebab dua anak beranak ini akan jadi birthday girl! Tahun ini kami ada mengadakan sedikit makan-makan untuk sanak saudara di rumah Tok Yan.

Mama menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 45. Muda, bukan? Kadang-kadang saya rasa sayalah yang ada ibu yang paling muda di antara teman-teman sebaya. Faktor saya ini anak sulung dan ramai kawan saya anak bongsu pun menyumbang juga. Oh, baru awal bulan ini kita sambut hari ibu kan? Haha. Bulan Mei saya memang pokai sikit. :)

Tok Yan pula menginjak ke umur 86 tahun ini. Tapi kalau tengok gambar di atas tu, tak nampak macam 86 kan? Syukur, alhamdullillah Tok Yan masih sihat dan boleh lagi ke sana sini melawat sanak-saudaranya. Sakit sikit-sikit tu, biasalah. Tapi untuk umur 86, fikirannya masih tajam dan ingatannya juga kuat. Nak tahu rahsia? Nanti saya risik-risik sama Tok Yan.

26052010658Ini birthday cake untuk Mama dan Tok Yan. Semasa majlis ini, ada doa selamat diadakan – ia dipimpin oleh ustaz keluarga kami, Ustaz Noor. Ramai yang datang sebenarnya, tapi banyaknya anak-anak saudara Tok Yan. Saya kenal-kenal macam tu saja. Biasalah, kalau jumpa pun waktu raya saja, itu pun tak ada peluang dan berkenalan. Oh, saya sempat berkenalan dengan dua pupu saya – Stefaan. Dia ni campur – Melayu dan Belanda. Dia seorang saja yang sebaya saya tadi. Jadi, makcik-makcik saya pun perkenalkanlah kami. Dapatlah bertukar alamat facebook.

26052010656

Macam-macam yang dihidangkan tadi untuk makan tengahari. Saya sempat makan sate sahaja, sebelum berkejar ke UIAM balik untuk kelas EAP pada pukul 2 petang. Habis saja kelas, meluru balik ke rumah Tok Yan di PJ. Sambung makan lagi. Makan spaghetti, kek coklat, dan beberapa lagi. Kenyang sungguh.

Begitulah kisah harijadi kedua wanita istimewa ini. Saya doakan supaya Mama dan Tok Yan terus panjang umur dan dikurniakan kesihatan yang berpanjangan. Tak lupa juga moga bahagia disamping keluarga kita yang tercinta ini.

Amin!

02 Mac 2010

Selamat Hari Jadi ke-14, Aqil!

28 Disember 2009

Hari Jadi Ayahanda ke-50


Ayah saya telah mencapai umur emas 50 tahun pada tarikh ini. Umur setengah abad! Bagi sesetengah orang, umur ayah saya ini masih muda lagi. Rata-rata teman-teman saya punya ayah yang berusia 60-an. Jadi, kira saya ini beruntunglah juga mendapat ayah yang muda. Sudah saya ini anak sulung, tentulah muda.

Tapi, zaman 40-an itu sudah berlalu. Kini, ayah saya bakal menempuhi zaman baru, alam 50-an.

Saya waktu itu kurang ilham sikit nak beli apa untuk ayah saya, jadi saya pun belikan ayah saya sepotong kek chocolate indulgence dan juga sekeping kad hari jadi. Sambutan hari jadi dengan keluarga telah dibuat beberapa hari sebelum, di mana saya masih di kampus. Ibu telah membelikan sebuah kek yang ada replika kereta di atasnya, sebab ayah saya ini sedang meminati sukan kereta pacuan empat roda.

Kepada ayahanda saya, Haji Ariffin Damin, selamat hari jadi! Semoga papa terus panjang umur dan murah rezeki. Semoga terus berbahagia hingga ke anak cucu. Hmm, anak dah ada. Cucu? heheh. Beberapa tahun lagilah agaknya. :)




22 November 2009

Inilah Adik Saya

Entri ini saya tujukan khas buat Ameer.



Adik saya seorang ini sedang menuntut di University of Salford, Manchester, United Kingdom. Bakal mengikuti jejak langkah ayahanda kami menjadi seorang Jurukur Bahan yang berjaya. Insya'Allah. Gambar ini adalah gambar yang ditangkap sebelum beliau berlepas ke UK.

Kalau tengok gambar di atas, memang orang akan keliru siapa abang siapa adik. Lagi-lagi sekarang ini, orang yang baru kenal kami akan mengatakan saya adik dan dia abang. Sebab dia lebih tinggi daripada saya. Aduhai, itulah kenyataan yang perlu saya terima. Umur pun dekat-dekat. Jarak usia kami hanya satu tahun.

Dari segi muka pun jauh beza. Waktu sekolah dahulu, ramai yang terkejut kami adik beradik. Rupa saya persis muka Papa, manakala rupa Ameer sangat mengikut muka Mama. Sebab itu rupa kami lain sedikit. Tetapi, walaupun rupa berbeza, kalau sudah nama adik beradik - dicincang air sekalipun, pasti takkan putus.

Sebut pasal umur tadi, kalau waktu kecil-kecil - umur memang agak menjadi faktor untuk menentukan bahawa saya abang dan dia adik. Sebab masa itu, sekolah pun lain tingkatannya. Tetapi, makin umur menginjak, bila sudah menjengah ke alam dewasa ini, batasan umur itu sudah semakin kabur. Umur saya 22. Umur dia 21. Apa bezanya? Dah tak membawa perbezaan ketara. Macam lebih kurang sebaya saja. Itulah penangannya apabila jarak umur adik dekat sangat.

Kepada Ameerul Ariffin, selamat menyambut hari lahir ke-21.

Umur keramat yang memisahkan antara remaja dan dewasa. Semoga berjaya menggenggam segulung ijazah dari sana. Oh, kami akan buat sambutan juga di tanah air ini. Akan pergi menikmati santapan yang istimewa untuk mengingati hari ulang tahun adinda. Nanti akan kami ambil gambarnya dan dihantar ke sana. Harap adinda janganlah cemburu. Haha!

p/s: Jangan lupa daftar mengundi di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan