Subscribe
Memaparkan catatan dengan label Judge. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Judge. Papar semua catatan

08 Mei 2010

Jadi Hakim Pertandingan Bercerita

bercerita

Baru tadi selesai menjadi hakim pertandingan bercerita sempena IIUM CENSERVE’S Mentees Challenge 2010 anjuran Kelab Sendi UIAM. Comel sangat bila tengok budak-budak ni bertanding. Terkenang pula waktu kecil-kecil dulu. Semua nampak teruja sangat dapat bertanding di universiti Dah lama sungguh rupanya saya meninggalkan alam sekolah.

Acara ini melibatkan dua buah sekolah iaitu SK Sungai Buloh dan SK Bukit Maluri di mana mereka bertanding dalam beberapa acara seperti nasyid, futsal, bercerita, tilawah, dan beberapa lagi. Saya baru dapat makluman pada hari Khamis lepas daripada pihak Kelab Sendi yang meminta saya menjadi hakim pertandingan bercerita. Selain saya, mereka juga meminta Hafifi dan Dee. Wah, pertandingan bercerita yang diadili oleh budak-budak pantun.

IMG_2066

Dee, Hafifi & saya.

Pertandingan bercerita diselang seli dengan pertandingan nasyid. Mereka dikehendaki menceritakan kisah-kisah nabi dalam masa 8 minit. Saya bertugas sebagai hakim bahagian Isi, Bahasa, & Kreativiti.

Ini kali kedua sebenarnya saya menimba pengalaman sebagai hakim pertandingan, meskipun kecil-kecilan. Dulu, saya pernah menulis mengenai pengalaman jadi hakim deklamasi. Satu perasaan yang berbeza sebetulnya.

Terima kasih kepada Kelab Sendi UIAM yang telah menjemput.

05 Jun 2009

Menjadi Hakim Deklamasi

Jemputan mengejut daripada Lokman, Presiden Persatuan Mahasiswa Pendidikan UIAM melalui Hafiizh Mukhtaruddin yang saya terima pada pukul 1 petang semalam saya kira sebagai sesuatu yang tidak dijangka. Pada mulanya, beliau telah menjemput saya dan juga Hafiizh untuk menjadi panel hakim bagi mengadili pertandingan sajak. Saya sendiri pada awalnya tidak pasti samada untuk menerimanya atau tidak, memandangkan diri masih baru lagi dalam bidang ini.

Tambahan pula, saya sendiri tidak diberitahu secara terperinci mengenai pertandingan ini - adakah ini pertandingan hanya sekadar suka-suka di dalam kelas, atau pun sebuah program persatuan. Maka, dengan rasa yang agak teruja, saya dan Hafiizh pun telah memandu ke tempat pertandingan. Risau juga, kerana tidak berpakaian sesuai - hanya berjeans dan tshirt ketika itu. Tetapi apakan daya, sudah menjadi bidan terjun!

Setelah sampai ke tempat pertandingan, saya melihat Lokman berpakaian baju batik lengkap bersongkok. Wah, saya menjadi begitu segan pula bersama Hafiizh kerana berpakaian tidak sesuai. Saya difahamkan oleh Lokman bahawa acara tersebut adalah sempena sambutan Hari Guru Institut Pendidikan yang telah ditangguhkan hampir tiga kali dan akhirnya telah diadakan juga semalam.

Begitu banyak aktiviti-aktiviti menarik yang telah dirancang oleh bakal-bakal guru ini, kebanyakannya mengambil Diploma Lepasan Ijazah Pendidikan. Apa yang menarik perhatian saya sekali adalah penganjuran aktiviti-aktiviti berbentuk kesusasteraan seperti pertandingan deklamasi sajak dan pantun. Terdapat juga beberapa acara lain yang diadakan dalam bentuk hari keluarga.

Saya kagum dengan kesungguhan mereka. Walaupun program tersebut pada hemat saya hanya berbentuk sederhana kecil, tetapi mereka telah mampu melakukannya dengan baik sekali. Perkara ini wajar saya contohi dalam mengemudi Kelab Puisi IIUM.

Berbalik kepada jemputan menjadi panel hakim deklamasi, saya terkejut dan gementar juga kerana difahamkan bahawa saya akan menggantikan seorang pensyarah untuk mengadili pertandingan ini. Saya digandingkan dengan seorang lagi pensyarah pendidikan yang bertaraf Dr. Gementar dan rasa rendah diri sungguh pada ketika itu. Pertandingan yang diadakan di Lecture Theater itu hanya disertai oleh 4 orang, tetapi bagi saya sudah cukup untuk membakar semangat para bakal guru.

Setelah selesai pertandingan, saya dan pensyarah tersebut telah berbincang mengenai markah dan kedudukan peserta. Terdapat perbezaan ketara pada pemarkahan kami, tetapi secara keseluruhan kami bersetuju akan nombor kedudukan peserta. Perbezaan markah yang ketara mungkin kerana perbezaan latar belakang kami.

Keseluruhannya, saya ucapkan tahniah kepada pihak Persatuan Mahasiswa Pendidikan UIAM yang telah berjaya dan berusaha keras menjayakan acara ini. Syabas kerana telah membudayakan puisi dan pantun - juga budaya secara amnya kepada anak-anak generasi muda - terutamanya bakal guru. Semoga usaha ini dapat memberi manfaat kepada kita semua.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan