
Semalam pertama kali saya menjejakkan kaki ke Maktab PDRM, Cheras. Sesak juga jalan ke sana. Ditambah dengan simpang-siur jalan yang begitu memeningkan, mencabar juga perjalanan untuk mencari destinasi dituju. Pemergian saya bersama Abang Amran, adalah untuk menyaksikan Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2009 Peringkat PDRM. Kata Abang Amran, PDRM adalah antara penganjur terbaik sayembara ini.
Gementar hati apabila ingin memasuki Maktab ini. Maklumlah, di sinilah tempat bakal-bakal wirawan negara ini belajar dan menuntut ilmu. Tempatnya sungguh gah. Saya suka suasananya. Melangkah sahaja ke Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, pertandingan sudah pun bermula. Menarik sekali gaya pengacaraan kali ini, apabila mereka menggunakan konsep lintas langsung - seakan-akan menyaksikan siaran langsung di TV.
Bergambar kenangan dengan Abang Saifuzan, PDRM Sarawak.Memang mantap-mantap peserta pertandingan akhir PDRM. Semuanya menunjukkan semangat yang jitu. Saya tercari-cari juga bayang sahabat maya saya, Abang Saifuzan yang mewakili PDRM Sarawak dalam kategori syair. Beliau membuat persembahan pada giliran yang keempat. Selepas pertandingan, akhirnya dapat juga bertemu dengan beliau. Dengan Abang Saifuzanlah saya berlatih puisi secara maya, melalui Yahoo Messenger. Saya di Petaling Jaya, dia pula nun jauh di Sri Aman, Sarawak. Sungguh canggih zaman sekarang.
Kehadiran Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara untuk menyerikan majlis semalam tentunya menunjukkan sokongan beliau terhadap majlis-majlis baca puisi seperti ini. Harap-harapnya, ramai lagi tokoh-tokoh VIP yang menjadi seperti beliau, yang sudi hadir dan melapangkan masa, bukan sekadar menghantar wakil semata-mata.
Dalam ramai-ramai itu, sempat juga bertemu dengan beberapa orang yang dikenali. Antaranya, Encik Roslan Madun, Dr Zurinah Hassan - yang juga merupakan hakim pertandingan. Tak dilupa juga Buck Lee Pik Seng, yang sebelum ini hanya sempat melihat dari jauh sahaja, kali ini dapat juga berbual bicara dengan beliau. Kental semangatnya. Mudah-mudahan tahun depan beliau mara ke akhir dan memperoleh kemenangan.

Pabila keputusan diumumkan, Tuan Mahat, Juara Menanti telah sekali lagi diumumkan sebagai pemenang, lantas akan mewakili PDRM ke peringkat kebangsaan tahun ini. Begitu juga dengan pemenang kategori syair. Tentunya, mereka akan memberikan saingan yang sengit sewaktu peringkat kebangsaan Ogos ini. Tahniah diucapkan!
