Subscribe
Memaparkan catatan dengan label Food. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Food. Papar semua catatan

02 Ogos 2013

Pulau Pinang dan Nasi Kandar

 

IMAG2116

i.

Saya ada pengalaman buruk dengan Nasi Kandar. Sejak pertama kali mengenali makanan ini iaitu di Melaka pada tahun 2005, saya jadi tak suka dengan Nasi Kandar.

Waktu itu saya sedang belajar di Melaka, dan telah dibelanja makan Nasi Kandar oleh seorang rakan yang datang menyinggah dari Johor Bharu. Pertama kali memesan Nasi Kandar, saya melihat ada pelbagai jenis kari yang berminyak telah dicampur-campurkan di atas sepinggan nasi.

Mungkin waktu itu tahap toleransi saya terhadap makanan yang pedas tidak begitu tinggi. Jadi sebaik sahaja beberapa suapan, saya sudah tidak tahan dengan kepedasannya yang amat sangat. Tahap kebanjiran pinggan yang penuh dengan lauk itu juga tidak menarik minat saya.

Selepas itu, luputlah Nasi Kandar dari diet pemakanan saya buat beberapa tahun.

ii.

Beberapa minggu lepas, saya dan keluarga telah pergi bercuti ke Pulau Pinang. Kononnya bagi meraikan tamatnya Latihan Dalam Kamar saya (oh lagi cerita tentang itu nanti). Tapi sehari sebelum berangkat, badan saya sudah mulai demam. Hotel tempat kami tempah ada polisi untuk tidak membenarkan pembatalan penempahan. Jadi nak tak nak saya gagahkan juga untuk bercuti ke sana.

Hajat Ayahanda ke Pulau Pinang adalah untuk menikmati segala tawaran kulinari di pulau yang digelar sebagai syurga makanan itu. Saya yang sekadar menurut perintah, sekadar mengangguk kerana tekak orang demam makan apa pun pasti kurang berselera.

Sudah  lama sangat saya tak ke Pulau Pinang. Kalau tak silap mungkin kali terakhir pun dalam 10 tahun lepas. Kadang-kadang saya terfikir  bagaimana sebuah pulau boleh menempatkan begitu banyak bangunan. Pasti sempit jadinya. Macam itulah betapa kolotnya saya yang sebelum ini banyak pergi ke pulau-pulau peranginan. Mungkin itulah rujukan keluasannya.

Di Pulau Pinang, kami sekeluarga menginap di sebuah hotel di Tanjang Bungah. Gambar di sebelah ini adalah pemandangan dari bilik hotel yang telah saya muatnaik ke dalam Instagram.

Kebetulan ketika hujung minggu itu sedang berlangsung satu Festival Warisan di Georgetown bag meraikan ulangtahun ibu negeri Pulau Pinang itu diwartakan sebagai tapak warisan dunia.

Maka, Pulau Pinang agak sesak. Jalan-jalan utama untuk ke Georgetown begitu padat dengan kereta sehingga kami mengambil keputusan untuk berjalan-jalan sahaja di sekitar Tanjung Bungah dan Batu Feringgi.

iii.

Pagi terakhir di Pulau Pinang, Ayahanda dan Bonda telah mencadangkan kepada kami untuk pergi mencari sebuah tempat yang dicanangkan sebagai  kedai yang menjual Nasi Kandar yang paling sedap di Pulau Pinang. Tempatnya terletak di Kampung Melayu – iaitu di tingkat bawah kawasan Flat di situ.

Dengan bantuan GPS, saya telah memandu kereta dan dengan gigihnya mencari tempat tersebut. Dalam hati saya, tidak berminat pun hendak menjamah Nasi Kandar. Tambahan pula sebab saya fikir siapa yang mahu makan Nasi Kandar pada pagi-pagi buta begini?

Nama kedainya adalah Kedai Kopi Kampong Melayu. Saya tidak memesan apa-apa kecuali segelas Milo Ais dan beberapa keping karipap.

Hanya Ayahanda dan adik saya yang memesan sepinggan Nasi Kandar. Dalam hati, saya hanya berniat untuk merasa sedikit sahaja lebihan Nasi Kandar yang dipesan adik saya kerana saya tahu dia memang makan tak akan habis.

Seperti diduga, adik saya hanya makan setengah sahaja hidangan Nasi Kandarnya. Maka, bermulalah tugas saya seperti selalunya iaitu tukang penghabis makanan!

Kali pertama menikmati Nasi Kandar setelah beberapa tahun, saya rasa sangat terkejut! Nasi Kandar itu terasa sangat lembut kepada perut tanpa rasa pedas yang berapi. Aroma karinya begitu terasa dan teradun elok bila dinikmati dengan nasi kukus. Bila dipadankan dengan ayam goreng – oh saya terasa macam nak pengsan dek kerana sedapnya!

Serentak dengan itu – terus saya jatuh hati semula dengan Nasi Kandar!

iv.

Setelah pulang ke  Petaling Jaya, saya masih membayang-bayangkan kesedapan Nasi Kandar. Sekarang barulah menghargai kedai mamak Nasi Kandar Kayu Original yang tak jauh dari rumah.  Sebelum ini hanya makan makanan mamak sahaja di sana. Tak reti nak pesan Nasi Kandar. Apabila sedang berpuasa ini pula, asyik mengidam Nasi Kandar untuk makanan berbuka dan sahur.

Apakah moralnya di sini? Sekali pengalaman pahit tak semestinya akan pahit buat selamanya. Ewah! Mungkin lepas ini mahu lebih berani berekperimen dengan makanan. Malaysia ini syurga makanan, kalau tak berani meneroka, memang rugi!

Selamat berbuka puasa!

24 Mei 2010

Makan-Makan Di Uptown Damansara

Sekadar nak berkongsi gambar-gambar makanan yang dipesan sewaktu menjamu selera di Uptown Damansara, baru-baru ini. Saya dah jadi pengunjung setia tempat tu lebih 10 tahun rasanya. Memang seronok makan di situ. Dulu suka makan rojak buah di situ. Sekarang ni tengah gila makanan barat. Tiap kali datang, mesti nak pesan.

Alang-alang nak waktu tengahari ni, mari kita liurkan tekak kita dengan makanan ni, berselera sikit nak lunch lepas ni. Selamat makan tengahari ya!

16052010614 Lamb Chop16052010612Chicken Chop 16052010613Fish & Chips

03 Mei 2010

Pedas Pedas Si Asam Pedas

“Pedas pedas si asam pedas,

Makan dengan si ikan parang;

Lemas lemas hatiku lemas,

Rawan dengan gelagat orang.”

03052010588

Dah lama saya tak makan asam pedas. Selalunya makan asam pedas bila balik kampung sebelah Mama di Muar, Johor. Di sana kami makan asam pedas yang terkenal tu di Parit Jawa. Ikannya segar dari muara. Cuma, waktu tu saya tak tahan dengan kepedasannya. Saya tak berapa gemar makanan yang terlalu pedas bukan sebab tak tahan pedas, tapi tak tahan dengan peluh dan gatal-gatal badan sebagai akibat makan pedas tu. Sangat tak selesa.

Alang-alang saya ke Jusco Setiawangsa tadi, saya ternampak sebuah kedai bernama Asam Pedas Melaka yang diusahakan oleh Kasturi Klasik, syarikat yang sama mengusahakan rangkaian mingomingo. Seleksi makanannya menarik. Sesuai untuk mereka yang berselera Melayu.

Tapi apa yang saya lebih suka, adalah penggunaan Bahasa Melayu di restoran ini. Meskipun beroperasi di gedung membeli belah yang serba moden, tapi masih mengutamakan bahasa kebangsaan.

Mari kita lihat apa yang saya makan.

03052010589

Ini air yang telah dipesan. Saya tak berapa ingat yang warna hijau tu apa namanya, tapi rasanya masam-masam macam buah limau. Sebelah tu pula sepatutnya air bandung soda. Yang bawah tu ialah sirapnya. Tapi bila saya hirup-hirup, tak ada pun rasa sodanya. Sah la pramusaji tu tersilap tulis bandung soda jadi sirap bandung saja.

03052010590

Ini hidangan yang sampai kemudian. Tapai bersama ais krim. Sangat sedap! Lagi-lagi sebab aiskrim tu ialah soft ice-cream mingomingo yang sangat enak itu. Dimakan pula dengan tapai yang masam-masam manis itu. Anda mesti cuba ini kalau ke sini.

03052010591

Ini pula hidangan utamanya. Kalau anda pesan asam pedas, ia akan bersekali dengan nasi bersama ulam-ulaman dan sambal belacan. Lauk yang saya pesan adalah asam pedas ikan parang dan gulai nenas dengan ikan masin. Boleh tahan rasanya, tak pedas pun. Cuma dalam kedua-dua lauk ini, memang agak masin. Pihak pengurusan patut buat sesuatu untuk kurangkan masin hidangan ini.

Sekian.

27 April 2010

Mix

31032010382

Apakah ini?

Oh inilah Mix!

Apa kejadahnya tu?

Inilah makanan yang popular kat UIA. Tak pastilah kat luar ada ke tak, tapi memang saya kenal dengan makanan ni pun memang di UIA.

Benda ni sebenarnya campuran kentang, telur dan sosej je. Digaul-gaul dan kemudian boleh terus makan. Kalau nak perah limau nipis pun boleh untuk menambah perasanya. Tempat yang saya beli ni, di Mahallah Ali – ada berikan juga dua keping roti percuma.

Sedap ke?

Bolehlah tahan. Ringkas dan mudah. Sebab tu student suka. Saya kalau waktu-waktu sibuk, belasah makan benda ni je. Boleh tapau bawak balik bilik dan makan sambil baca buku. Huhu.

Berapa harganya?

RM 3 je. :)

Sekian…….

*Entri sempena baru balik UIA. Kena la blog pasal makanannya jugak. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan