Subscribe
Memaparkan catatan dengan label Kuala Lumpur. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kuala Lumpur. Papar semua catatan

20 Jun 2011

Pesta Pantun Sezaman 2011

Dua srikandi duduknya santun,

Putera nan tunggal gagah berani,

Kami MANIRA tak sabar berpantun,

Sama meriahkan gelanggang seni!

Dah lama sangat saya tak turun berpantun. Rasa rindu dan gian itu saling tingkah bertingkah tiap kali melihat orang lain bermadah seloka di pentas pertarungan pesta pantun, tapi apa kan daya, setiap orang punya peranan masing-masing. Kalau semua orang berpantun, siapa pula hendak jadi pengurus pasukan dan pengarah program pula. Yang penting, semuanya atas semangat mencintai tradisi lisan Melayu yang paling asli itu.

Suatu pagi, Ika telah menghantar SMS kepada saya untuk membuka laman sesawang kraftangan Malaysia kerana dia terdengar di radio Klasik Nasional, ada pertandingan diadakan sempena Promosi Kerja Kahwin yang telah saya ceritakan sebelum ini.

Apa lagi, terus meluru saya ke hadapan komputer peribadi, dan ternyata memang ada pesta pantun diadakan. Saya dan Ika pernah bercerita dahulu, bahawa selepas kami keluar dari alam kampus, kami masih lagi nak teruskan minat dalam dunia berpantun, tetapi atas platform terbuka, bukan lagi mewakili universiti. Tentu khalayak di arena terbuka lebih mencabar kerana pesaingnya adalah otai-otai semuanya.

Kami terus menjemput Zack untuk sertai kami, sebab saya yakin Zack juga pasti begitu rindukan pentas pantun. Zack pernah mewakili sekolah menengahnya iaitu SMK Raja Mahadi untuk ke peringkat kebangsaan dalam bidang pantun. Tapi, setakat ini belum berpeluang lagi mewakili varsiti.

image

Pada awalnya, memang kami menghadapi masalah hendak berlatih kerana masing-masing berada agak jauh. Seorang di Petaling Jaya, seorang di Klang, dan seorang lagi di Bangi. Mujurlah semuanya memang menetap di negeri Selangor. Kalau ada yang nun jauh di negeri lain, apsti lagi susah hendak jumpa.

Jadi, kami hanya berlatih sendirian sahaja dahulu. Mujur ada Facebook dan SMS yang memudahkan latihan diadakan secara maya. Itu pun, pasti lebih seronok kalau dapat bertentang mata sebab berlatih pantun ini harus juga menjaga aspek persembahan.

Oh ya, nama yang telah kami pilih adalah MANIRA. Ia bermaksud aku/kita dalam bahasa Melayu klasik. Nama ini telah lama saya guna sejak zaman matrikulasi sehingalah ketika memasuki Pesta Pantun UIAM 2007 bersama dengan Ika.

Saya fikir, malas pula hendak fikir nama lain, jadi saya guna kembali sahaja nama itu. Lagipun, saya suka maknanya yang melambangkan semangat kekitaan dan berpasukan.

image

Beginilah persalinan kami. Busana hitam menjadi pilihan, lambang keunggulan. Pastinya, hitam bukanlah pilihan pertama, tetapi atas sebab kesulitan mencari baju sedondon yang muat dipakai, maka hitamlah pilihan terakhir, lantaran kebetulan Zack ada dua helai baju kurung warna hitam yang sesuai digunakan untuk dia dan Ika.

Saya pula mengenakan baju Melayu berwarna hitam. Baju Melayu hitam ini memang penyelamat kerana sesuai dipakai di apa-apa acara rasmi. Saya rasa semua orang Melayu harus ada sepersalinan Baju Melayu berwarna hitam. :)

image

Selain kami, ada dua buah pasukan lagi yang berasal dari UIAM. Memang benar-benar bak apa yang disebut orang, rombongan Cik Kiah. Daripada jumlah keseluruhan 10 pasukan bertanding, 3 daripadanya adalah pasukan UIAM.

MANIRA, ANDEKA, dan ALANG TENGAH – Begitulah nama kami. Memang seronok, kerana dapat berkumpul antara kami adik-beradik. Ada pemantun lama, ada juga pemantun baru. Saya kira, antara rahsia kejayaan pasukan pantun UIAM menjadi pasukan pantun IPTA yang agak konsisten adalah kerana kami sentiasa ada pelapis yang meneruskan kesinambungan perjuangan kami, meski bernaung di bawah universiti yang menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya sebagai bahasa perantara.

Selain gerombolan kami, 7 lagi baki pasukan  datang dari pelbagai latar belakang. Ada pasukan dari IPT, cikgu-cikgu sekolah, makcik-makcik, malah ada juga sebuah pasukan yang mewakili para penggerai di promosi perkahwinan ini.

Kami dibahagikan kepada 4 buah kumpulan, yang mana setiap kumpulan akan ada dua atau tiga pasukan. Dari segi format, agak pelik sedikit, sebab meskipun dikatakan format liga digunakan, tapi sebetulnya, ia adalah perlawanan kalah-mati. Kalau kalah, akan terus keluar dan terkandas.

Tapi saya faham, pertandingan ini bukanlah diadakan secara besar-besaran. Sekadar menyerikan sahaja promosi pertandingan ini. Sudahlah yuran penyertaan percuma, jadi kami akur dengan syarat yang telah ditetapkan lebih awal.

image

Kumpulan MANIRA telah diundi dalam Kumpulan 1, manakala sangat dukacita pula untuk pasukan adik beradik ANDEKA dan ALANG TENGAH kerana mereka ditakdirkan untuk berlawan sesama sendiri pada pusingan awal. Kami cuba juga berunding dengan penganjur untuk menukar giliran, tetapi apa kan daya, kami terpaksa akur juga kerana cabutan undi telah pun dibuat.

Pasukan adik beradik ini telah bertemu pada giliran pertandingan yang ke-3. Kelainan Pesta Pantun ini adalah setiap perlawanan hanya akan ada satu pusingan sahaja. Ini bermaksud, kita hanya ada peluang sekali membeli dan sekali menjual dan peluang itu harus digunakan sehabis baik untuk menunjukkan kebolehan pemantun. Kalau kalah, akan terus terkeluar.

Perlawanan antara ANDEKA dan ALANG TENGAH berlangsung dengan cukup sengit. Keduanya punya kekuatan yang tersendiri. Namun adat pertandingan, pasti ada pemenang dan yang kalah. ANDEKA telah berjaya melangkah ke peringkat seterusnya.

Kemudian, tibalah giliran kami pula, pasukan MANIRA untuk beraksi. Mari kita lihat gambar-gambarnya terlebih dahulu :

image

Pasukan yang perlu kami hadapi, bukanlah pasukan yang calang-calang. Mereka adalah SENANDUNG WARISAN, para pemantun yang memang sudah otai dalam pesta pantun dari Institut Perguruan Bahasa Melayu (IPBM) Lembah Pantai. Terdahulu, mereka telah menang dalam saringan pusingan pertama menentang sebuah lagi pasukan dalam kumpulan kami.

Bagi kami pula yang belum lagi ‘panas berpantun’, segala itu kami tidak hiraukan, supaya dapat beri persaingan yang sengit. Melalui pengalaman saya, kita boleh berlatih sebanyak mungkin, tetapi bila sudah naik ke pentas, kesilapan kecil sahaja boleh membuatkan persiapan lama bagai sia-sia. Yang penting, harus konfiden dan selawat banyak-banyak agar diberikan ketenangan jiwa.

Tema umum untuk pertandingan ini adalah Kraf & Perkahwinan. Tema ini sahaja yang diulang-ulang sepanjang pertandingan, jadi sepanjang minggu saya banyak juga buat research tentang aspek-aspek kraf yang ada di dalam sebuah majlis perkahwinan.

Sebagai hasilnya, saya lebih menghargai kraftangan Malaysia, dan dapat memahami fungsinya, seperti contoh betapa simboliknya sirih junjung dalam budaya Melayu.

image

Seperti dijangka, pasukan SENANDUNG WARISAN memang memberikan saingan yang cukup hebat kepada kami. Saya digandingkan dengan pemantun pertama mereka, Tuan Hafizullah Tuan Yunos. Seingat saya, soalan beliau adalah berkenaan raja sehari yang membasuh kuali dan pinggan mangkuk pada hari perkahwinan.

Jawapan saya begini :

Bunga kenanga dalam jambangan,
Menjadi hantaran yang paling ulung;
Ahli keluarga tak cukup tangan,
Walau pengantin, tetap kutolong.

Hah, pantun ini memang jawapan asli saya waktu pertandingan, tak ada ubah-ubah. Ika dan Zack juga menjawab dengan sungguh bagus sekali. Saya sendiri terkejut kerana kami menjawab di bawah masa 1 minit, kerana semasa latihan, kami ada sedikit masalah menjawab dalam durasi masa yang diberikan iaitu 80 saat. Maklumlah, sebelum itu masing-masing agak berkarat.

Meskipun kami tewas, tapi saya sangat berpuas hati sebab dapat buat yang terbaik. Memang kalau ikutkan hati, tak puas kerana berlatih punya bersungguh-sungguh, tapi cuma dapat mempamerkan kemahiran hanya dalam satu perlawanan, tetapi saya redha kerana pasti ada hikmahnya.

Bagi saya, kemenangan itu soal kedua. Yang penting, kemahiran berpantun itu dapat diasah daripada terus tumpul dan malap begitu sahaja. Kalau kita menang pun, tapi semangat dan roh dalam apa yang kita buat itu tiddak kita hayati, maka tentulah ia sekadar kemenangan material semata-mata.

Keputusannya : SENANDUNG WARISAN akhirnya muncul sebagai juara keseluruhan, diikuti pasukan PINANG MUDA di tempat kedua, dan SERINDIT BIRU di tempat ketiga. Pasukan ANDEKA pula berjaya mendapat tempat ke-empat.

Terima kasih kepada pihak Perbadanan Kraftangan Malaysia dan Radio Klasik Nasional yang telah menganjurkan acara ini. Moga ia dapat diteruskan ke tahun hadapan, dan pastinya, kami akan turut serta lagi!

17 Jun 2011

Promosi Kerja Kahwin 2011

Berikan sirih bertemu urat,

Daun sehelai dimakan sahaja;

Berikan kasih sepanjang hayat,

Moga mahligai bawa ke syurga.

image

Anda mahu kahwin? Hendak membuat persiapan majlis perkahwinan dari yang sekecil-kecilnya sehingga yang sebesar-besar? Di Promosi Kerja Kahwin 2011 yang bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur Jalan Conlay, semuanya ada. Acara ini diadakan dari 26 Mei hingga 6 Jun 2011.

Tahun lepas saya ada juga singgah pertama kali ke sini, tetapi masa adalah kerana saya membaca sajak untuk siaran langsung Hujung Minggu Malaysia dari sana. Sambil itu, sempatlah juga saya menengok-nengok pameran perkahwinan yang ada.

Tahun ini, sambutannya ternyata jauh lebih meriah. Siap ada pertandingan pantun, seloka, fotongrafi, dan kompang. Hah, sudah pastilah saya turut serta dalam pertandingan berpantun, tetapi itu akan saya ceritakan dalam entri seterusnya.

Pada hari sebelum pertandingan, saya dan ahli kumpulan MANIRA – Ika dan Zack telah pergi ke Kompleks Kraf ini lebih awal. Konon-konon hendak buat research untuk pertandingan pantun pada keesokan harinya. Konon sahajalah, sambil menengok dan menjamu mata – boleh juga mengambil aura tempat pertandingan.

image

Masuk sahaja kawasan Kompleks Kraf ini, Ika dan Zack telah menjerit keterujaan – mereka tak sangka tempat ini begitu cantik sekali. Melihat kepada ukiran-ukiran kayu pada bangunan dan roh semangat di tempat ini – tiba-tiba mereka salahkan saya pula sebab tak maklumkan lebih awal akan ke sini. Jika tidak pasti mereka akan pakai cantik sedikit. Haha.

Nak buat macam mana, rancangan nak ke sini memang secara tak sengaja. Mulanya hendak berlatih pantun di kampus UIAM sahaja, tetapi selepas sarapan, saya rasa pasti membosankan kalau duduk terperuk saja di situ, jadi kereta pun saya dipandu menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur.

Tempat pertama yang kami pergi adalah Laman Wau. Di situ, dipamerkan pelamin-pelamin masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, seperti yang anda dapat lihat dalam gambar di atas. Malah, ada seorang model remaja lelaki yang tubuhnya agak gempal sedikit berada di sana memperagakan pakaian tradisi Sarawak yang bersedia untuk ditangkap gambarnya, terutama buat peserta pertandingan fotografi yang diadakan pada hari itu.

image

Melangkah lagi ke kawasan perkarangan kompleks, saya lihat ada diadakan demonstrasi merewang oleh makcik-makcik. Mereka sedang memasak sesuatu yang saya pun tak berapa ingat namanya, tapi khabarnya masakan dari Negeri Sembilan. Siap guna air kelapa muda pula itu. Pasti sedap. Waktu itu mereka baru mula hendak memasak, jadi belum siap lagi masakannya.

Inilah apa yang menarik tentang Promosi Kerja Kahwin ini, sebab ada pelbagai demonstrasi yang kita boleh lihat secara live. Ada demonstrasi masakan, perarakan perkahwinan, malah ada juga pertunjukan membuat kraftangan contohnya seperti ketupat, anyaman, dan juga kepala naga. Memang interaktif betul. Kalau nak turut sama mencuba pun boleh.

image

Setelah itu, saya teruskan lawatan dengan memasuk salah satu daripada khemah khas yang dibina untuk promosi ini. Ada tiga khemah yang didirikan, salah satunya adalah untuk pengusaha-pengusaha perancang perkahwinan.

Bila saya masuk sahaja, terlihat pelbagai jenis pelamin yang berbagai warna, bentuk, dan gaya menghiasi gerai-gerai mereka sehingga rambang mata melihatnya. Masing-masing tak mahu kalah mempamerkan pelamin yang cantik untuk menarik perhatian pengunjung.

Malah, ada juga yang buat food testing yang mana kita boleh merasa contoh hidangan yang mereka sediakan untuk jamuan walimah. Macam-macam pakej yang disediakan, pilih sahaja mana yang berkenan ikut selera dan kemampuan.

Penuh tangan saya memegang brosur yang diberikan oleh para petugas semasa melalui gerai-gerai mereka. Macamlah saya ini datang betul-betul sebab hendak berkahwin pula. Sudahlah datang dengan dia orang anak dara pula tu.

Zack dan Ika khusyuk juga menjenguk barang-barang kahwin yang berkenan. Tambahan Zack akan menguruskan perkahwinan kakaknya pada hujung tahun ini, jadi tepatlah pilihan kami ke mari. Sambil menyelam, minum air.

image

Hah ini apa yang saya cakap tadi pasal demonstrasi masakan. Ada disediakan jadual di sini, di mana chef-chef dari restoran terkemuka akan datang dan menunjukkan cara-cara memasak makanan perkahwinan dan setelah siap, para penonton boleh merasa makanan tersebut. Saya teringin juga nak rasa, tapi sebab saya tak jadi penonton, takkan tiba-tiba datang terus nak beratur mintak makanan, macam orang tak pernah makan. Haha.

image

Selain di khemah, ada juga jualan barangan kraf perkahwinan di bahagian bawah bangunan kompleks kraf ini. Macam-macam yang dijual daripada songket, batik, kek, rotan, kerongsang, dan banyak lagi. Pengusaha di sini datang dari seluruh negara. Memang berbaloi kalau datang sebab bila lagi semua barangan kraf seluruh negara dapat berkumpul begini, kan?

Saya ada belikan kek cawan untuk kami makan. Kebetulan harga murah sebab ada promosi. RM3 untuk 4 biji. Boleh sangatlah tu. Gambar tengah di atas itulah kek cawannya. Cuba lihat betapa seronoknya Ika dan Zack dapat makan. Tapi sejujurnya, tak berapa sedap sangat pun, saya tak habis makan. Apa nak dijangkakan, sesuai dengan harganya.

image

Puas pusing-pusing, kami teruskan dengan agenda utama kami iaitu berlatih pantun. Kafe di bangunan kraf itu menjadi pilihan. Walaupun sedikit bising, tetapi tempat duduknya lebih luas dan selesa kalau dibandingkan dari teratak-teratak di sekitar kompleks ini.

Lama juga kami luang masa di sini. Dalam lebih kurang 3 jam semata-mata untuk membetulkan pantun-pantun soalan kami. Tapi hasilnya, kami sangat puas hati. Sampai bawa kamus dewan yang gedabak itu di kompleks kraf, bersemangat betul kami. Namun, itulah kenangan terindah yang tidak dapat dijual beli.

Nantikan entri seterusnya yang akan terbit secara automatik pada hari Ahad ini untuk bingkisan kisah Pesta Pantun Sezaman!

01 Februari 2011

Inilah Kuala Lumpur Saya

 ** Entri Sempena Hari Wilayah Persekutuan 2011

image

Setiap kali menjelang cuti semester, rakan-rakan saya akan sibuk menguruskan kepulangan masing-masing ke kampung halaman. Ada yang akan ke Pantai Timur, Utara, dan juga Selatan. Tak kurang juga ada yang haru merentasi Laut China Selatan untuk ke Pulau Borneo. Begitulah seperti selalunya. Dan saya, hanya terdiam sebentar, dan kemudian terus mulakan enjin kereta. Setengah jam kemudian, saya sudah tiba di kampung laman. Rumah syurga dunia.

Apabila orang bertanya kepada saya, “Asal dari mana?”, saya seringkali menjawab “Petaling Jaya.” Itu adalah jawapan saya sejak meninggalkan alam persekolahan, dan bertemu dengan rakan-rakan universiti dari serata pelusuk tanah air.

Kadang-kadang, ada yang akan bertanya semula, “PJ di seksyen berapa?”. Oh, tempat saya tinggal sudah di pinggiran Petaling Jaya. Sudah hampir sangat dengan sempadan Kuala Lumpur. Tidak ada seksyen di sini.

Maka, saya mula terfikir, tepatkah jawapan saya apabila memberitahu saya orang Petaling Jaya? Dari segi geografi, pasti memang tepat. Malah dalam kad pengenalan saya sendiri, alamatnya di dalam daerah Petaling Jaya. Bagaimana pun, saya tidak begitu kenal dengan kawasan pusat bandar Petaling Jaya. Ternyata kawasan tersebut begitu asing sekali.

Lalu, saya kembali bertanya diri sendiri. Mahu jadi orang KL atau orang PJ?

Menjawab persoalan ini, eloklah kalau saya kenang semula sejarah diri saya. Saya dilahirkan di Pusat Perubatan Pantai, Bangsar. Ya, di Kuala Lumpur. Maka, dengan itu sahaja sudah cukup menjadikan saya anak kelahiran Kuala Lumpur. Kota inilah yang telah mendengar rengekan pertama saya sewaktu masih bayi.

Kedua ibubapa saya berketurunan luar dari Kuala Lumpur. Keluarga ibu berasal dari Muar, Johor manakala sebelah bapa dari Kuala Selangor. Tetapi, mereka berdua dibesarkan hampir sepenuhnya di Kuala Lumpur. Itu sudah menjadikan mereka secara tak rasmi, warga kota sejati. Kalau anda dengar kisah bibit-bibit percintaan mereka, memang penuh dengan latar belakang kota ini.

Kami tinggal bersama Tok Yan, nenek sebelah ibu di kediamannya di Bukit Damansara, juga di Kuala Lumpur. Seluruh kehidupan kanak-kanak saya telah dibesarkan di kawasan yang dikatakan elit itu. Maka, saya melihat wajah Kuala Lumpur membangun di hadapan mata saya.

Sekarang ini, setiap kali saya mengelilingi Kuala Lumpur, pasti ada sahaja kenangan waktu kecil yang menggamit kenangan. Saya masih ingat ketika kecil dahulu, Tok Yan selalu membawa saya untuk membeli barangan runcit di TMC, sebuah pasaraya yang terkenal di Bangsar. Di situ juga saya pernah mengikuti tuisyen Bahasa Inggeris dalam program Victoria Readers.

Tidak lupa, Taman Tasik Perdana yang mana taman permainannya sangat saya suka kerana ada papan gelongsor yang sangat tinggi, dan pelbagai permainan taman yang menyeronokkan. Oh kenangan sewaktu kecil sangat manis!

Begitu juga, saya telah memasuki alam tadika di Villa Maria, sebuah tadika yang sangat terkenal di Bukit Damansara suatu ketika dahulu. Tanyalah kepada kebanyakan  anak-anak muda sebaya saya yang tinggal di sana, pasti kebanyakan mereka dari sana. Bagaimana pun, saya telah berpindah tadika ke sebuah tadika Islam Al-Hidayah.

Di kedua tadika inilah, saya mula bergaul dengan anak-anak kelahiran Kuala Lumpur yang lain. Masa itu, saya merupakan seorang budak lelaki yang sangat sangat pemalu dan pendiam. :)

Seterusnya, saya telah menyambung pelajaran ke Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara. Bergaul dengan anak-anak Kuala Lumpur ini ternyata berbeza sedikit dengan mereka dari luar Kuala Lumpur – seperti yang saya dapati ketika melangkah ke alam universiti. Sudah pasti, ia tertakluk kepada sifat individu itu sendiri, tetapi budaya dan persekitaran pasti memainkan sedikit peranan.

Pada pertengahan tahun 1997, barulah kami sekeluarga berpindah ke Petaling Jaya, sewaktu saya berada dalam darjah 4. Tetapi, jaraknya tidaklah jauh. Lebih kurang sejam sahaja beza antara keduanya. Dan apa yang menarik, kawasan kejiranan baru ini, dan Bukit Damansara – kedua-duanya masih berada di dalam mukim yang sama – Damansara!

Jadi, kalau hendak dinyatakan dengan lebih tepat, saya rasa sudah tentu pernyataan saya orang Damansara lebih menyeluruh. Tetapi, yang pasti Kuala Lumpur pasti ada bahagian yang istimewa di hati saya. Di sinilah saya dilahirkan, dan dibesarkan. Kota ini jugalah yang telah mencorakkan sebahagian besar kehidupan saya.

Meski saya tidak seperti remaja KL yang lain, yang ditakrifkan sebagai urban dan metropolitan; tetapi saya tidak dapat bayangkan jika dibesarkan di tempat selain KL. Pasti, saya akan menjadi manusia yang sedikit berbeza.

Inilah Kuala Lumpur saya. Saling tak dapat dipisahkan. Terikat dalam kenangan.

Sekian.

14 Jun 2010

Bangsawan Megat Bulang Kuala

Satu perkara yang saya suka mengenai bangsawan adalah kerana konsepnya yang merupakan satu persembahan komprehensif, yang mana ada lakonan, nyanyian, tarian dan lawak jenaka semuanya dalam satu pementasan. Bangsawan biasanya mengetengahkan kisah raja-raja, putera-puteri, dah hikayat dulu-dulu yang akan dipersembahkan dengan diselang-seli dengan segmen extra-turn – iaitu selingan antara babak yang biasanya ada kena mengena dengan cerita yang disampaikan.

Saya pernah menonton bangsawan sebanyak 3 kali dan antara yang pernah saya tonton adalah Bangsawan Bawang Putih Bawang Merah yang pernah saya nukilkan di sini.

IMG_2139Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah antara badan yang giat mempertahankan kesenian bangsawan ini yang semakin hanyut ditelan arus pemodenan. Di mana lagi tempat kita boleh menonton bangsawan? Sudah jarang kedengaran, bukan?

Mungkin ada yang mengatakan bangsawan ini tak jauh bezanya dengan teater konvensional yang biasa. Tapi, saya percaya – setelah mengamati beberapa bangsawan dan teater – bahawa bangsawan punya keistimewaannya tersendiri. Tak hairanlah ia menjadi bahan hiburan kepada rakyat jelata suatu ketika dahulu.

IMG_2147Bangsawan Megat Bulang Kuala – itulah tajuk pementasan bangsawan yang telah saya tonton baru-baru ini di Panggung Bandaraya.Tidak seperti kebiasaan yang mana kemasukan adalah percuma, pementasan kali ini mengenakan bayaran RM5.

Tak mahal langsung sebenarnya, malah saya sendiri setuju kalau selepas ini bayaran dikenakan untuk menonton bangsawan. Tak kan selama-lamanya nak menonton percuma kan? Sekurang-kurangnya rakyat akan dididik untuk lebih menghargai seni dan budaya. Bukan mudah nak pentaskan sesebuah karya. Orang ramai biasanya hanya tahu kritik sahaja, tetapi tidak merasa proses di sebalik persiapan sesebuah pementasan itu. IMG_2151Pementasan kali ini banyak disertai orang-orang lama, macam pakcik kita di atas ini. Saya tak mengenali kebanyakan mereka yang berlakon, tetapi yang pasti – Seniman Negara – Haji Abdul Rahman Haji Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Rahman B telah membuat penampilan istimewa.

Seboleh-bolehnya, saya ingin berikan info yang lebih tepat mengenai bangsawan ini, tetapi sayangnya saya telah tertinggal brosurenya di sana – dan membuatkan saya berasa amat ralat. Saya baru bercadang-cadang hendak menulis di sini nama-nama pelakon dan wataknya, tapi tak ada rezeki. Ceritanya juga saya masih kabur-kabur lagi mengenai butirannya, jadi saya akan cerita tentang apa yang saya ingat sajalah ya. 

IMG_2157Ini babak permulaan. Yang baju merah itu Mak Inang. Si baju biru pula Kamsiah, dan yang tinggi lampai itu, Puteri Sharul Bariyah. (Saya rasa confirm nama ini salah. Mohon betulkan. :D) Masa ini babak menari-nari di taman larangan.

Biasalah tu, memang agak tipikal dalam mana-mana cerita hikayat Melayu bahawa sang puteri akan bersuka ria di taman larangan bersama dayang-dayang istana. Dan kemudian, dia akan menjadi mangsa pula untuk dikahwinkan dengan orang ini, dengan orang itu. Klise? Mungkin sudah tiba masanya untuk kita memperkasa watak wanita dalam hikayat-hikayat Melayu. Ini fiksyen. Bukan sejarah. Boleh diolah mengikut kesesuaian zaman, kan?IMG_2159Babak extra-turn. Saya tak berapa ingat lagu apa ini. Kurang popular agaknya. Senikata juga saya tak berapa dengar sebab sebutan tak berapa jelas.IMG_2161

Akhirnya muncul Seniman Negara kita – Rahman B. di pentas sebagai Sultan Terengganu. Oh, yang sebelahnya juga merupakan orang lama. Tapi saya tak pasti namanya – sebabnya saya tak ada brosur dengan saya. Huhu.

IMG_2164Set pentas untuk babak di istana. IMG_2167 Oh ini extra-turn seterusnya. Kalau anda mengantuk, memang akan terus terjaga bila menonton persembahan ini! IMG_2169 Permaisuri menyanyi. Sekali lagi, saya tak dengar butir-butir seni katanya.  IMG_2171 Babak antara Megat Terawih dan bapanya, Mufti negeri yang berasal dari Acheh. IMG_2174 Dipendekkan cerita, Megat Teraweh harus menceraikan isterinya, Kamsiah kerana hendak disatukan dengan putera raja.IMG_2180Pertelingkahan antara anak beranak yang akhirnya menyebabkan Megat Sareh, adinda Megat Teraweh berdendam dan ingin menuntut bela penceraian kekandanya itu. Sedikit ralat berlaku di sini sebab watak Megat Sareh selalu tersasul menyebut perkataan abang, kakak, dan saya. Sepatutnya kekanda dan hamba. IMG_2187 Megat Sareh sedang memukau seisi istana untuk menculik sang puteri.IMG_2192 Paduka Sultan menyiasat akan kehilangan puterinya. IMG_2193Puteri dijumpai di dalam gua. Megat Teraweh telah berkonflik dengan Megat Sireh. Akhirnya, Megat Sireh membunuh diri, tetapi Mega Teraweh telah dituduh membunuh adindanya sendiri.IMG_2198

Babak terakhir di istana. Mufti telah dititahkan untuk membunuh anaknya sendiri, Megat Teraweh atas kesalahan membunuh Megat Sareh. Ada sedikit emosi di sini. Akhirnya Puteri Shahrul Bariyah telah mencelah dan menyatakan kebenaran. Megat Teraweh telah dianugerahkan gelaran Megat Bulang Kuala.

Akhir cerita. Banyak yang saya langkau sebenarnya. Tapi, lebih kurang beginilah ceritanya.

Berikut adalah beberapa perkara yang saya lihat dan sempat hadamkan :

  • Betapa Sultan begitu cepat terpedaya mendengar sesuatu tuduhan dan menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa.
  • Wanita diperdagangkan bagai harta yang tak bernyawa. Suka hati sahaja diceraikan dan diserahkan kepada orang lain bagaikan tak punya perasaan.
  • Hasad dengki yang sentiasa beraja dalam hati manusia yang akhirnya mencetuskan porak peranda.IMG_2199

Begitulah pengalaman saya menonton bangsawan ini. Secara keseluruhannya, tidak menghampakan, tetapi saya dan beberapa orang teman sependapat bahawa banyak perkara boleh dipertingkatkan lagi. Mudah-mudahan seni bangsawan dapat diangkat dengan lebih tinggi lagi selebih ini.

Wassalam.

06 Disember 2009

MASKARA Disember 2009

Acara : Maskara
Tempat : Rumah Pena, Kuala Lumpur
Tarikh : 5 Disember 2009
Masa : 8.30pm - 11.00pm

Dah lama sungguh saya tidak menghadiri MASKARA. Kali pertama dan terakhir pun, adalah pada tahun lepas - 2 Ogos, ketika saya sendiri telah membaca karya saya di pentas MASKARA. Waktu itu, saya mengisi slot MPR, di mana 2 orang mantan MPR telah dijemput untuk membuat persembahan di Maskara.

Kali ini, saya menjejakkan kaki lagi sekali ke rumah Pena untuk menyaksikan acara yang sudah makin popular ini. Alang-alang sudah cuti, apa salahnya, yer tak? Seronok juga malam-malam minggu begini pergi melayan aktiviti seni indie sebegini.

Seperti biasa, kalau ada perjumpaan-perjumpaan begini, yang paling seronok sebenarnya adalah dapat berjumpa dengan kawan-kawan. Melihat persembahan itu nombor dua. Dapat berborak-borak, bertentang mata dengan orang yang sebelum ini hanya dikenali di alam maya.

Saya pergi ke Maskara dengan Syukur, kawan saya dari UIA. Kami bertolak sedikit lambat, iaitu pada pukul 8.30 malam. Sampai Rumah Pena pun, sudah pukul 9.15. Masa itu, slot pertama MASKARA telah tamat. Aduhai, rasa rugi sungguh. Tak dapat lihat Kak Raihani dan Lt Kol Radzi bersajak. Sebab merekalah saya datang!

Tak mengapalah. Lepas itu, seorang demi seorang kawan saya muncul. Mula-mula jumpa Ode, dia dengan geng e-sastera. Sebelah dia Abang Dahrie. Bila saya salam dengan dia, boleh ingat dia nama saya. Wah terharu betul. Lepas ni kena ikut blog dia ni. Orang dah ingat kita. :)

Selepas itu, jumpa dengan Kak Rai. Sempatlah beli buku antologi cerpen beliau - Badrul Bambi dengan harga kroni, lebih murah dari pasaran. Gambar di atas ini, Kak Rai tengah menulis autograf di dalam naskhah yang telah saya beli. Tersengih-sengih Kak Rai. :)


Kemudian, Yana pula datang. Jadi, kami pun apa lagi, meneruskan tradisi suka-ambil-gambar MPR.

Saya tercari-cari juga kelibat Tuan Radzi. Tapi tak nampak pula di mana-mana. Bila persembahan slot kedua baru bermula, tiba-tiba saya baru perasan dia sedang berdiri sebelah saya. Saya pun apa lagi, perkenalkan diri kepada beliau. Tuan Radzi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka tahun ini. Kagum dengan beliau sebab banyak pencapaian yang telah dicapai. Tulis buku, johan deklamasi, graduan sarjana.

Beliau telah menghadiahkan saya buku Antologi Puisi Pahlawan terbitan Markas Tentera Darat. Terima kasih, tuan! Saya baru sempat membelek antologi tersebut. Menarik juga sekali-sekala membaca puisi daripada perspektif tentera. Lebih-lebih lagi puisi patriotik.

Juga yang saya jumpa - Wahyun, senior saya di UIA. Sekarang baru selesai chambering. Ahli Dewangga Sakti beliau ini. Dengar kata hendak release album penuh tahun depan. Tak sabar menunggu!

Selesai acara, saya, Syukur, dan Yana telah pergi minum-minum di tupai-tupai. Alang-alang, buatlah sedikit perbincangan mengenai program Perhimpunan Alumni MPR yang akan datang. Oh, di atas ini gambar saya dan Syukur. Silalah lawat blog beliau di sini.
.
.
.

26 November 2009

Bangsawan Bawang Putih Bawang Merah

Acara : Bangsawan Bawang Putih Bawang Merah
Tempat : Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur
Tarikh : 6 November 2009
Masa : 8.30 malam


Dalam tekanan saya menghadapi peperiksaan akhir 2 minggu lepas, sempat jugalah saya pergi menonton Bangsawan Bawang Putih Bawang Merah di Panggung Bandaraya. Ini kali kedua saya tengok bangsawan. Kali pertama dahulu, bangsawan yang dipentaskan oleh ASWARA. Kali ini pula, ia telah dipentaskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan juga Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN).

Waktu saya tiba Panggung Bandaraya, orang sangatlah ramai. Maklumlah, pementasan ini diadakan percuma. Diiklankan di akhbar pula tu. Maka, tentulah orang berebut-rebut nak tengok pementasan percuma. Rupa-rupanya warga kota juga masih berminat menonton kesenian sebegini ya!

Cuba lihat atas. sangat ramai orang, sampaikan tak cukup kerusi. Nasib baiklah saya berjaya rebut kerusi walaupun tempatnya agak kebelakang. Tapi panggung ini pun kecil saja. Tidaklah besar mana. Kasihan tengok orang yang tak dapat tempat duduk. Ada yang berdiri sepanjang pementasan berlangsung. Semangat betul!

Maka, persembahan pun bermulalah. Seperti yang anda tahu, 3 watak di atas adalah Mak Kundur, Bawang Merah, dan Bawang Putih. Kalau di Indonesia, watak yang baik adalah Bawang Putih. Di Malaysia pula, Bawang Merah adalah yang baik. Kenapa ya? Terfikir juga saya. Adakah kerana sifat bawang merah itu sendiri yang boleh memedihkan mata diibaratkan dengan wataknya yang sedih dan selalu menangis? Hmmm....

Saya ada terdengar, ada penonton di hadapan saya yang bercakap kepada temannya bahawa kisah Bawang Putih Bawang Merah persisi kepada kisah Cinderella. Beliau memberitahu temannya bahawa kisah Cinderalla itu sebenarnya berasal daripada Asia Tenggara dan telah diubah kepada budaya barat. Benarkah begitu? Ada sesiapa yang boleh mengesahkan perkara ini?

Yang paling istimewa dalam bangsawan ini sudah tentulah kehadiran Musly Ramli yang muncul dalam penampilan istimewa untuk menghiburkan para hadirin dalam selang waktu antara persembahan bangsawan. Kali pertama saya melihat beliau adalah semasa Teater Muzikal P. Ramlee di Istana Budaya. Beliau telah menyanyikan lagu Kisah Rumah Tangga - nyanyian asal P. Ramlee. Persis bak idola agungnya itu.

Ini lagi satu slot yang saya suka. Slot tarian kijang. Sangat unik sekali melihat kanak-kanak tersebut menari mengikut gerakan yang menyamai pergerakan seekor kijang. Oh, selain tarian kijang dan slot Musly Ramlee, bangsawan ini banyak memuatkan lagu daripada filem klasik Bawang Putih Bawang Merah. Contohnya seperti lagu Zapin Bunga Hutan, Telaga Biru, dan banyak lagi. Tak lupa juga beberapa lagu baru yang dicipta khas untuk bangsawan ini.


Kalau sudah namanya bangsawan, tentulah ada babak-babak di istana. Beginilah rupanya set pementasan di istana. Ditonjolkan mengenai kisah perebutan kuasa di antara dua adik beradik putera raja. Di kiri kanan singgahsana adalah orang-orang besar negeri.

Hah, inilah bahagian akhir persembahan ini, apabila keseluruhan pelakon dan kru produksi telah diperkenalkan kepada khalayak. Tahniah diucapkan!

Selepas show, sempat bergambar dengan abang Hisyam dan kawannya. Saya selalu terjumpa dengan Abang Hisyam di acara-acara seni dan budaya. Memang hebat orangnya. Silalah berkunjung ke blognya di sini.

Juga terserempak dengan seorang lagi rakan saya dari UIA. Beliau ini bekas teman sebilik Apiz.

Oh terima kasih juga kepada Ainunl Muaiyanah yang sudi menemani saya menonton bangsawan ini. :)
.
.
.

27 Jun 2009

Kehangatan Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka Kuala Lumpur 2009


Sungguh hangat! Begitulah keadaannya di Perkarangan Tugu Negara, Kuala Lumpur hari ini. Bukan sahaja hangat dengan persembahan deklamasi yang mantap-mantap, tetapi juga sinar terik mentari yang turut menghangatkan suasana. Kalau sebelum ini, Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka biasanya diadakan di Taman Budaya Kuala Lumpur, kali ini mungkin demi mencari kelainan, sayembara telah diadakan di tempat terbuka, tempat yang begitu simbolik dengan perjuangan kemerdekaan - Tugu Negara.

Suasana Tugu Negara pada waktu pagi cukup nyaman dan tenang, berlatar-belakangkan monumen kebanggaan negara yang tersergam gah itu, pastinya satu lokasi yang cantik untuk menangkap gambar deklamasi. Namun, semakin hari menginjak dan matahari kian meninggi, teriknya semakin menyengat dan mencabar setiap jiwa yang sedang berdebar-debar menanti giliran memulakan pencak deklamasi. Pastinya ini suatu cabaran yang harus ditempuhi oleh setiap peserta yang bagi membuktikan laungan kata-kata perjuangan mereka.


Saya telah menyertai SDPMKL pada tahun 2007 dan 2008, namun memilih untuk bertanding di peringkat lain pada tahun ini. Bagaimanapun, kedatangan saya kali ini adalah untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan yang bertanding. Peringkat Kuala Lumpur sememangnya sengit, boleh dikatakan saingannya yang paling sengit di Malaysia. Jumlah penyertaannya juga adalah antara yang tertinggi. Kalau tidak silap, jumlahnya menghampiri 60 orang.

Seperti biasa, ramai peserta yang terdiri daripada kalangan pelajar-pelajar sekolah. Begitu juga dengan otai-otai yang saban tahun tidak pernah mengaku kalah untuk meneruskan perjuangan di arena deklamasi. Semangat inilah yang harus kita contohi bersama.

Sajak favourite tahun ini pada peringkat KL adalah sajak Mengenangmu Pejuang dan Jamung Merdeka. Sayangnya pula, ada peserta yang tersilap membaca tajuk puisi. Mengenangmu Pejuang menjadi Mengenangmu Penjajah pula! Aduhai, inilah antara kesilapan-kesilapan yang wajar kita perhatikan.

Dalam kehangatan dan kesengitan saingan kali ini, ramai sebenarnya yang tidak menghafal sajak sepenuhnya. Saya melihat ramai yang bersajak membawa sekali teks sajak. Mungkin jugalah disebabkan sayembara tahun ini diadakan agak awal berbanding tahun-tahun sebelumnya. Namun, secara peribadi saya merasakan peserta yang dipilih untuk mara ke peringkat seterusnya haruslah menghafal sepenuhnya sajaknya, supaya ia adil memandangkan usaha yang telah diambil untuk menghafal.

Rakan saya dari UIA, Zaki mendeklamasikan puisi.


Syamsul Anuar Yusril, kembali ke pentas deklamasi selepas 5 tahun.

Keadaan di dalam khemah pertandingan.

Selesai kategori deklamasi puisi, saya berkesempatan melihat pertandingan bagi kategori syair. Kalau hendak diikutkan hati, mahu saja terus balik disebabkan sudah tidak tahan menunggu. Namun, disebabkan tahun ini kali pertama diadakan kategori syair, maka tidak mengapalah saya menunggu sedikit buat seketika.

Hanya 13 orang yang bertanding. Daripada jumlah itu, 6 telah mara ke peringkat akhir. Kebanyakannya telah menggunakan irama syair yang biasa kita dengar iaitu irama syair Selendang Delima. Hanya 3 orang yang bersyair dengan irama narasi. Apa yang saya tidak boleh lupa, adalah seorang peserta OKU berbangsa India yang telah bersyair dengan begitu merdu dan sedap sekali. Walaupun cacat penglihatan, tetapi ternyata tuhan telah memberikan kelebihan kepada beliau dalam perkara yang lain. Syukur, beliau telah mara ke peringkat akhir.

Pertandingan peringkat akhir bagi SDPMKL akan diadakan di Auditorium Mini, Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang pada 4 Julai 2009 - 8.30 malam. Kepada yang berkelapangan, ayuhlah kita sama-sama meriahkan majlis ini, demi memartabatkan dunia deklamasi Malaysia!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan