Subscribe
Memaparkan catatan dengan label UIAM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label UIAM. Papar semua catatan

26 April 2010

Hari Pertama Semester Pendek

Sepatutnya saya boleh mendaftar bilik asrama semalam. Tapi disebabkan saya sudah pun mendaftar online, jadi tak adalah nak berebut nak datang awal sebab nak dapatkan bilik terbaik. Jadi, saya awal pagi ikut Mama dulu ke Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya untuk selesaikan beberapa urusan.
.
Dalam pukul 2 petang baru saya sampai ke UIA. Mula-mula pergi ke CELPAD dulu, untuk menghantar surat permohonan saya mengambil subjek EAP yang dah penuh itu. Waktu petang tu, tak adalah ramai pelajar sangat beratur. Tambahan pula semester pendek tak ramai pelajar. Kebanyakkannya pelajar antarabangsa.
.
Keputusan sama ada permohonan saya diterima atau tidak hanya akan diketahui Jumaat ini. Waktu itu, tentu sudah 1 minggu ketinggalan kelas. Harap-harap mereka akan buat satu lagi kelas baru. Dengar-dengarnya, pelajar AIKOL ramai sungguh yang memohon untuk ambil subjek EAP.
.
Iyalah, subjek undang-undang tak ditawarkan sewaktu semester pendek. Yang ada kebiasaanya subjek-subjek wajib universiti seperti Pengajian Islam, Bahasa Melayu, Bahasa Arab, dan Bahasa Inggeris; selain subjek Compulsory Moots.
.
Lepas itu, saya pergi mendaftar bilik. Ada cerita menarik juga tu. Esok saya cerita ya!
.
Wassalam.

01 Disember 2009

Persediaan FESTKUM 2009

Sepanjang 2 minggu ini, saya dan rakan-rakan pasukan pantun telah berkampung di kampus, meskipun warga UIA lain sedang bersuka-ria menikmati cuti masing-masing. Kami ada amanah yang perlu dipikul dengan sepenuh hati, menjulang warisan bangsa dengan khazanah pusaka bahasa.

Gelanggang kami seterusnya adalah Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia 2009 (Festkum'09). Kali ini memang meriah disebabkan acara ini diadakan dalam bentuk perkampungan sukan, di mana banyak pertandingan-pertandingan kebudayaan telah dikumpulkan di bawah satu festival dan diberikan hadiah berupa pingat - emas, perak, gangsa. Satu perkara yang baru dalam dunia seni dan budaya!

Wakil Kontinjen seluruh Universiti-Universiti Awam di Malaysia akan berkampung di Universiti Malaya dari 9-13 Disember 2009 - di mana, pertandingan akan diadakan di 4 universiti di Lembah Klang, iaitu UM, UKM, UPM, dan UiTM. Yang seronoknya, acara pembukaan akan ada perarakan pasukan setiap universiti. Teruja juga hendak menyertainya. Barulah nampak semangat kesukanan. Lebih-lebih lagi dengan acara berskala besar seperti ini.

Setakat ini, UIAM akan menghantar 3 pasukan sahaja. Pantun, Dikir Barat. dan Permainan tradisional. Ada banyak lagi acara kebudayaan yang dipertandingkan. Contohnya seperti Zapin, Tarian Tradisional Cina, Tarian Klasik India, Boria, Nyanyian Irama Malaysia, Band Akustik, dan sebagainya. Tentu anda dapat membayangkan betapa meriahnya festival ini kan?

Baiklah, di sini beberapa gambar latihan pasukan pantun UIAM. Tak boleh cerita lebih-lebih, nanti tak ada kejutan pula waktu FESTKUM!


Ika : Zack, nanti tolong make-up akak grand-grand untuk final k? Kasi bedak 5 inci.
Zack : Eh, Zack pun akan berpantun jugak. Akak dah sure sangat ke nak masuk team?
Izwan : Adeiii, bosannya. Bila nak mula berpantun ni?
Yana : Ish, ngantuknya mata aku ni. Jap, mana buku baru aku ah?
Dee : Pok amai-amai, belalang kupu-kupu.... ewah! ewah!

Hafifi : Amboiii, besarnya jerawat dia....
Malin : Pergi ke kedai beli ubat jerawat, eh, apa daaa pembayang aku nih!


Hafifi : Aku pasrah dan berserah saja nasib sama ada boleh masuk tak dalam team ni.
Malin : Berbekalkan cincin azimat ini, akan Malin akan pastikan semua orang jatuh pengsan dengar Malin berpantun.
Azree : Suka hati koranglah. Aku masuk ke, tak masuk ke, tetap aku jugak yang pening kepala!


Finalis Pertandingan Akhir Gadis Melayu 2015 sedang mendemonstrasikan cara makan mee yang betul menggunakan garfu.

Malin : Gadis Rock
Dee : Gadis K-Pop
Ika : Gadis Jiwang
Zack : Gadis Nasyid

Ini gambar serius sedikit. Masing-masing tersengih-sengih bergambar. :)

Siapakah di antara 7 anak muda ini akan meneruskan cabaran pantun UIA dalam FESTKUM 2009? Siapa pula akan tersingkir?

Jangan lupa saksikan kesudahan kisah ini hanya di Hikayat Anak Kota!

28 November 2009

Nasyid Gala 2009

Acara : Nasyid Gala 2009
Tarikh : 18 September 2009
Tempat : Convest Stage, UIAM
Masa : 8.30 - 11.30 malam

Saya kira, saya bukanlah seorang peminat nasyid yang tegar. Tetapi, kadangkala suka juga menghanyutkan perasaan mendengar dendangan lagu-lagu nasyid yang begitu indah irama dan senikatanya. Kumpulan nasyid yang saya kagumi tentulah Raihan - yang telah merintis jalan ke arah pengkomersilan muzik nasyid di Malaysia. Lagi satu, saya mengagumi karya-karya Rabbani yang rancak dan bersemangat. (Al-Fatihah buat Ustaz Asri)

Meskipun begitu, saya terima juga undangan untuk menjadi pengacara majlis acara berkenaan. Nampaknya, makin panjang juga langkah saya dalam bidang pengacaraan majlis ini. Macam tak percaya. Kalau dahulu, rasa seperti malu-malu kucing sahaja kalau hendak bercakap depan orang ramai. Tiba-tiba, sekarang sudah mula mengutip pengalaman mengacara dalam beberapa majlis.

Asalnya, saya telah merancang untuk bergandingan dengan Apiz. Tapi saat-saat akhir ada sedikit perubahan pula. Mujur, saya sempat berhubung dengan Eja, yang sudi melapangkan masa menjadi teman pengacara saya. Maklumlah, kalau acara seperti konsert begini, kalau mengacara seorang - rasa tak best pula. Perlu ada gandingan supaya nampak lebih hidup. Lagipun, saya masih baru dalam bidang ini.

Nasyid Gala 2009 dianjurkan oleh Kelab Nasyid UIAM, dengan kerjasama Unit Kesenian & Kebudayaan sempena Convocation Fiesta IIUM 2009. Ia adalah sebuah acara berbentuk pertandingan di mana 10 buah kumpulan telah mengambil bahagian. Setiap kumpulan telah diberikan masa selama 7 minit untuk mempersembahkan alunan lagu Nasyid mereka.


Alhamdullillah, majlis telah berjalan lancar. Saya dan Eja pada awalnya agak kaku juga untuk mengacara disebabkan perubahan yang berlaku saat akhir, tapi akhirnya masing-masing dah mula teruja bila kemuncak majlis kian menjelang. Sampaikan kami berubah-ubah tempat mengacara. Sekejap di kanan, sekajap di kiri, sekejap di kalangan penonton. Ada juga sesi mencari mangsa untuk ditanya itu dan ini.


Undangan istimewa untuk Nasyid Gala kali ini adalah kumpulan Haqqani Ensemble yang telah mengadakan persembahan pembukaan dan selingan. Mereka memperjuangkan penggunaan selawat dalam muzik mereka. Sangat menarik. Semua orang terpegun tatkala menyaksikan mereka beraksi.

Pada akhir majlis, kumpulan Ummul Qura telah diumumkan sebagai juara - satu-satunya kumpulan yang diwakili oleh pelajar-pelajar antarabangsa. Mana tidaknya, mereka bernasyid dengan stail Arab lengkap dengan alunan qasidah yang sangat original. Tahniah diucapkan kepada mereka!

Terima kasih juga kepada Kelab Nasyid yang sudi memberi ruang kepada saya mengacarakan majlis mereka!

16 November 2009

Projek Cuti Semester

Terasa lega sungguh tatkala saya keluar daripada dewan peperiksaan pagi tadi.

Aduhai, kertas terakhir - Usul Al-Fiqh 2 yang saya langsaikan telah menjadi penanda kepada permulaan sebuah percutian yang sangat ditunggu-tunggu! Selesai periksa, saya sempat meluangkan masa bersama Kak Nasriah Abdul Salam dan Cik Sayidah Mu'izzah yang kebetulan juga baru mengusaikan kertas terakhirnya.

Hujan turun dengan selebat-lebatnya. Sungguh sejuk hari ini. Sambil menikmati secawan hot chocolate yang hangat, saya mula berkira-kira akan aktiviti-aktiviti sepanjang cuti semester ini. Cuti yang tidaklah lama mana, lebih kurang 3 minggu, jika dikira daripada hari ini.

Rakan-rakan saya masih ada yang punya kertas yang berbaki. Syukur saya habis periksa awal. Ada beberapa agenda yang ingin saya langsaikan.

Apa aktiviti yang saya mahu buat sepanjang cuti ini? Mari kita buat senarai.

  1. Menyusun dokumen-dokumen di dalam komputer bimbit saya supaya lebih teratur.
  2. Melaporkan aktiviti-aktiviti kebudayaan saya yang belum sempat diblogkan.
  3. Berlatih pantun - mempersiapkan diri untuk Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia
  4. Menyiapkan kertas-kertas kerja untuk program semester akan datang.
  5. Mengedit dan menghantar cerpen saya yang sudah lama terbengkalai itu ke majalah.
  6. Memulakan projek Antologi Puisi UIAM
  7. Membuat stok karya untuk semester akan datang.
Apa lagi ya? Banyak sungguh keinginan. Tapi masa cuma ada 3 minggu sahaja. Tak mengapa. Slow and steady. Ayuh kita mulakan langkah!

05 Oktober 2009

Majlis Sambutan Aidilfitri UIAM 2009

Jumaat lepas saya memenuhi undangan daripada pihak UIAM selaku presiden kelab bagi menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri UIAM yang diadakan di Dewan Utama, Pusat Aktiviti Kebudayaan. Majlis ini terbuka kepada seluruh warga UIA termasuklah pensyarah dan juga pelajar. Ketua Perlembagaan UIA, Sultan Ahmad Shah telah sudi memeriahkan acara ini.

Pelbagai juadah Aidilfitri telah disajikan, bukan sahaja daripada Malaysia, tetapi juga hidangan daripada negara-negara seperti China, Arab Saudi, Bangladesh, dan pelbagai lagi. Hidangan-hidangan tersebut telah disediakan oleh pensyarah-pensyarah antarabangsa dari UIA. Alhamdullillah, terubat juga kerinduan saya terhadap makanan-makanan raya ini, setelah seminggu bermukim di kampus.

Majlis juga telah dimeriahkan dengan persembahan-persembahan kebudayaan oleh Kelab Angklung, Kelab Perkusi, dan Band UIAM. Berikut gambar-gambar yang sempat saya tangkap sewaktu berlangsungnya acara tersebut.





22 Ogos 2009

Berkongsi Pentas Dengan Opick


Sekali lagi, kita bertemu dengan bulan yang sungguh diberkati, Ramadan Al-Mubarak. Sewaktu bulan inilah, terasa lain benar suasananya. Saya mengharapkan semoga sekalian pembaca akan memperoleh ketenangan sentiasa, dan juga kekuatan jiwa untuk melipatgandakan ibadah dalam bulan yang berbahagia ini. Bagi saya sendiri, ingin sekali menggunakan kesempatan ini untuk membetulkan yang salah, meluruskan yang bengkok, menjernihkan yang keruh, dan juga menerangkan yang gelap.

Sempena pembuka penghulu bulan segala bulan ini, ingin saya laporkan aktiviti saya yang telah lama terperap dalam komputer bimbit saya - menunggu giliran untuk dikhabarkan di dalam blog ini. Pada 6 Ogos 2009, telah diadakan Nusantara Cultural Night 2009 di Auditorium Utama, UIAM - sebagai salah satu acara sempena Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws (AIKOL) Festival 2009. Yang menariknya acara ini, adalah kedatangan penghibur dan pendakwah tersohor daripada Indonesia, Opick.

Pasangan juruacara dari Malaysia & Indonesia

Dewangga Sakti memulakan persembahan.

Bersempena acara tersebut, Kelab Puisi telah diundang untuk membuat persembahan pada malam tersebut, di samping nama-nama hebat seperti Dewangga Sakti, Inteam, Devotees, dan sudah pastinya Opick. Terima kasih kepada para urus setia terutama sekali Nurul Izzah Zainol, yang telah mencadangkan kelab kami untuk mengisi slot persembahan pada malam tersebut.

Malam itu, kami berempat - Saya, Ika, Zaki, dan Iffah telah mendeklamasikan sebuah puisi yang bertajuk "Meditasi Cinta Kepada Allah" karya Tuan Haji Shamsudin Othman. Terima kasih kepada Abang Din yang telah memberi keizinan kepada kami untuk menggunakan puisi tersebut. Sepatutnya, persembahan kami dimulakan dengan alunan syair oleh rakan saya, Hafifi. Namun, oleh sebab-sebab tertentu, maka Hafifi tidak dapat menghadirkan diri pada malam berkenaan. Pada mulanya, saya memberanikan diri untuk cuba-cuba bersyair. Cuba juga berlatih dengan kawan-kawan. Tetapi saat akhir saya telah membatalkan niat tersebut kerana masih belum berkeyakinan. Maklumlah, Opick pun ada malam itu. Takkanlah mahu dia dengar suara saya yang sumbang! :)


Berada di belakang pentas, saya hanya sempat bertemu dengan Opick sebelum dan sesudah persembahan saya. Aduhai, apa yang boleh saya katakan, beliau sangat humble dan merendah diri sekali. Saya yang sebelum ini kurang mengenali beliau juga serasanya teringin untuk mengenali beliau dengan lebih lanjut. Tetapi, mukanya nampak sedikit penat, mungkin kerana keletihan menaiki pesawat masih belum hilang.


Saya masih ingat, selesai sahaja kami membaca puisi - saya tersenyum kepada beliau dan beliau membalas denga kata-kata "luar biasa, luar biasa!". Apa yang menjadi kesalan saya adalah tidak sempat bergambar berdua dengan beliau, walaupun kami berkongsi pentas yang sama. Rasa rugi sungguh. Dalam riuh kami bersedia untuk mendeklamasikan puisi, tak sempat nak bergambar dengan beliau.

Apa-pun, persembahan beliau sungguh mempesonakan. Saya berasa tenang mendengar alunan suara beliau menyanyikan lagu-lagu keagamaan. Tepat benar tema yang dipilih penganjur - iaitu "Di Pintu Taubat". Inilah sebenar-benarnya seni yang dimaksudkan membawa kita lebih dekat kepada yang maha pencipta. Harapan saya, kunjungan pertama Opick ke Malaysia akan menjadi pemula kepada banyak lagi persembahan beliau di sini.

Bergambar kenangan

Satu-satunya gambar yang sempat diambil dengan Opick.

*Gambar teratas sekali ihsan daripada Firdaus Ariff.

15 Ogos 2009

Cultural Team Promotion Show

Langit teja berpancar cahaya,
malam berseri hingga ke pagi;
Anak remaja pewaris budaya,
mengangkat seni bernilai tinggi.


Meskipun hujan datang merenjis tiba, ia tetap tidak menghalang semangat anak-anak muda ini untuk meneruskan Cultural Team Promotion Show di tangga besar, UIAM. Acara yang dianjurkan oleh Kelab Angklung UIAM ini diadakan khas untuk mempromosikan kelab-kelab kebudayaan yang bernaung di bawah Unit Kebudayaan dan Kesenian UIAM. Antara kelab yang terlibat adalah kelab puisi, teater, caklempong, gamelan, angklung, band, perkusi, zapin, dikir barat, nasyid, produksi, dan Ummul Qura.

Awalnya, acara bermula agak berterabur sedikit, lantaran hujan yang turun renyai-renyai sedikit merisaukan sekalian urus setia dan juga peserta. Saya juga yang bertindak sebagai juruacara majlis semalam dengan Cik Sayidah Mui'zzah agak terkesan dengan keadaan sedemikian hingga ia sedikit menjejaskan tugas kami. Tawaran tersebut telah diberikan kepada saya seminggu sebelum, tetapi hanya sehari sebelum majlis baru saya beri kata putus, dek kesibukan yang tak henti-henti. Saya kira, wajarlah saya memohon maaf kepada para urus setia yang telah bersusah payah menjayakan acara semalam, atas segala ketidak-sempurnaan.

Cik Sayidah Mu'izzah dan saya - berpakaian merah menyala. :)

Bagaimanapun, setelah setengah perjalanan acara, mood itu seakan-akan kembali naik dan alhamdullillah, hujan pun telah berhenti - seakan-akan memberi ruang kepada kami untuk meneruskan acara dengan aman. Barulah selepas itu, acara kembali hangat - dengan persembahan-persembahan yang berjaya mendapat tepukan yang gemuruh daripada para khalayak.

Di sini, ingin juga saya luahkan rasa bangga saya terhadap adik-adik saya dalam Kelab Puisi yang telah memberikan sebuah persembahan yang teramat best sekali melalui puisi teaterikal yang bertajuk "Hikayat Pekan". InsyaAllah selepas ini, akan ada lagi persembahan-persembahan daripada Kelab Puisi yang pasti akan memberikan kelainan - dalam usaha kami mengangkat martabat puisi Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.

Pasukan Kelab Puisi UIA



04 Ogos 2009

Perkampungan Budaya UIAM 2009

Awanan teja di balik cahaya,
Ternampak bulan datang berteman;

Muda remaja berkampung budaya,

Penegak warisan zaman berzaman.


Barangkali mungkin sudah agak terlewat untuk saya membingkiskan kata-kata berkenaan program Perkampungan Budaya 2009 yang dianjurkan oleh Unit Kesenian dan Kebudayaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Namun, saya kira adalah penting untuk saya tetap mencatatkan sedikit sebanyak pengalaman saya terutama sekali untuk tujuan dokumentasi.

Program ini adalah hasil usaha sama kesemua 11 kelab yang bernaung di bawah payung Unit Kesenian & Kebudayaan UIAM. Saya sendiri telah menyertainya mewakili Kelab Puisi dimana saya memegang jawatan presiden. Sungguh unik sekali program ini. Kalau selalunya kita mendengar program khidmat kemasyarakatan yang dianjurkan para mahasiswa - yang selalunya disebut sebagai "Baktisiswa", program ini lebih kurang konsepnya, tetapi telah dirombak sedikit sebanyak dan diberikan penekanan kebudayaan.

Di hadapan rumah keluarga angkat.

Ia telah diadakan dari 9-12 Jun 2009 di Mukim Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan - satu destinasi yang kaya dengan kesenian dan kebudayaannya. Kami telah ditempatkan bersama keluarga angkat di beberapa buah kampung. Saya telah menjadi "anak angkat" kepada Pak Tam dan juga isterinya yang saya panggil Ibu. Begitu ramah sekali layanan mereka. Pak Tam merupakan Pengerusi JKKN Kampung Ibol - atau dalam bahasa mudahnya ketua kampung.

Saya & Pak Tam

Beliau merupakan seorang bekas tentera laut yang dahulunya banyak merantau ke sana sini mempertahankan tanah air. Tentunya, saya telah memanfaatkan pengalaman ini untuk menimba sedikit sebanyak pengalaman daripada beliau. Apa yang saya perhatikan, Pak Tam begitu menitikberatkan soal kepimpinan. Malah perkara inilah yang selalunya menjadi intipati kepada percakapan beliau sewaktu kami beramah mesra di rumah. Banyak perkara baru yang saya perolehi daripada beliau.

Saya & Ibu angkat

Ibu pula, macam ibu saya sendiri pula terasa. Sampai sahaja rumah, memang kami berbual tidak henti. Ibu melayan saya dan kawan-kawan serumah saya (Rasyid & Helmy) dengan begitu ramah sekali. Terasa seperti kami sudah menjadi sebahagian daripada keluarga mereka. Banyak perkara yang dibualkan.

Tetapi, apa yang membuat saya seronok betul adalah dapat menjamu selera dengan buah-buahan yang begitu banyak sekali di sekitar rumah Pak Tam. Ibu kata, petik sahaja kalau mahu makan buah-buahan tersebut. Ada buah rambutan, manggis, naga, dan macam-macam lagi. Rasanya tentu peserta yang lain juga kekenyangan buah sewaktu di Kuala Pilah. Maklumlah, kedatangan kami kebetulan bersamaan dengan musim buah.


Oh, selain Pak Itam dan Ibu, tinggal bersama mereka adalah seorang anak perempuan yang dipanggil Angah, dan juga yang bongsu - bernama Iqbal. Tinggal selama 4 hari bersama mereka benar-benar membuatkan diri terasa sebahagian daripada keluarga mereka, meskipun dihimpit dengan pelbagai aktiviti sepanjang program.

Pengalaman di kampung, sangat seronok sekali. Maklumlah bagi saya yang menetap di bandar ini, jarang sekali dapat menikmati ketenangan dan kenyamanan suasana di desa. Terasa seperti tidak mahu balik pula.

Pada hari kedua, awal-awal pagi lagi kesemua peserta telah berkumpul di Kraf Budaya Terachi bagi mengikuti aktiviti riadah iaitu senam seni. Buat pertama kali jugalah saya telah mencuba senaman yang menggabungkan elemen tarian pelbagai kaum di Malaysia ini. Ada zapin, joget, sewang, bangra, dan macam-macam lagi elemen tarian. Oh, yang paling mengujakan tentunya poco-poco! Dulu selalu dengar sahaja mengenainya, tetapi baru sekarang ada peluang mencubanya.

Sewaktu sesi motivasi bersama pelajar tingkatan 3 & 5.

Selepas itu, kami telah berpecah kepada 3 buah kumpulan. Ada yang pergi bergotong-royong membersihkan kawasan kubur. Ada juga yang pergi ke sekolah rendah untuk mengajar calon-calon UPSR. Kumpulan saya telah ke sekolah menengah untuk satu sesi motivasi, dimana kami telah dipecahkan kepada 10 kumpulan, dan kami dikehendaki berkongsi pengalaman di IPT bersama pelajar-pelajar calon PMR & SPM. Cuma sayangnya, sesi yang sepatutnya menjangkau 3 jam, telah dipendekkan kepada masa kurang dari 1 jam. Tidak mengapalah, apa-pun, harapnya adik-adik tersebut telah mendapat manfaat.

Selain itu, ada juga aktiviti seperti merewang, pertandingan azan, kuiz agama, lawatan ke Istana Seri Menanti, dan juga sukaneka bersama penduduk kampung. Namun, apa yang menjadi kemuncak kepada program ini adalah Malam Kebudayaan yang telah diadakan pada malam terakhir. Sungguh meriah sekali.

Kenangan menjadi pengacara majlis.

Saya telah ditugaskan menjadi juruacara majlis bersama-sama rakan seperjuangan, Syafiqah. Serentak juga dengan persembahan kebudayaan, telah diadakan majlis kenduri kesyukuran khusus buat kesemua penduduk kampung. Ramai yang datang membanjiri Kompleks Kraf Budaya Terachi. Turut turun padang adalah ADUN kawasan Seri Menanti yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

Selepas selesai acara.

Antara yang telah membuah persembahan adalah Kelab Caklempong, Kelab Gamelan, Kelab Angklung, Kelab Dikir Barat, Kelab Zapin Nafastari berselang-seli dengan persembahan kebudayaan dari Yayasan Negeri Sembilan. Tidak lupa juga persembahan khas dari Datuk Dr Wira Rosli dari UPSI yang telah mengalunkan teromba.

Keseluruhannya, saya berani katakan bahawa program ini sangat berjaya. Tahniah kepada kesemua urus setia yang telah bertungkus-lumus dan mengorbankan waktu cuti masing-masing untuk memastikan program ini berjalan lancar. Sesungguhnya, seni itu sememangnya milik masyarakat, dan kita telah buktikan bahawa seni dan kebudayaan itu juga wadah yang penting untuk digunakan untuk berdakwah. Semoga selepas ini, akan ada lagi program-program sebegini dianjurkan oleh Unit Kebudayaan UIAM!

.
.
.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan