Subscribe
Memaparkan catatan dengan label Workshop. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Workshop. Papar semua catatan

28 April 2013

TUNAS PUJANGGA 3 : Sebuah Restrospeksi

image

Susulan daripada peruntukan yang diterima DEKMAL daripada Dana Belia 1Malaysia yang telah saya ceritakan di sini,  maka bermulalah kami memacu langkah untuk menggerakkan segala perancangan yang telah dirangka.

Berbeza dengan Tunas Pujangga Siri 1 yang melibatkan pelatih PLKN dan Tunas Pujangga 2 yang melibatkan para pelajar sekolah menengah, fokus Tunas Pujangga 3 pada 20 April 2013 terarah kepada khalayak sasaran asalnya iaitu golongan belia dan pelajar IPT.

Kali ini, kami  bekerjasama dengan Kelab Puisi UIAM, yang mana saya pernah menjadi presidennya pada tahun 2009. Hajat untuk membawa seni deklamasi puisi lebih mesra dan akrab kepada pelajar UIAM akhirnya tercapai juga, meskipun saya sudah meninggalkan Taman Ilmu & Budi. Namun, kami juga membuka penyertaan kepada para peserta luar.

Objektif utama Tunas Pujangga itu mudah sahaja. Kami mahu mendedahkan generasi muda kepada asas-asas deklamasi puisi dan menanam minat kepada mereka untuk terus menjadikan aktiviti ini sebagai salah satu cabang kemahiran yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka.

Satu perkara yang ingin saya kongsi dengan kalian, adalah apabila saya pergi ke UIAM mewakili DEKMAL untuk berbincang dengan Kelab Puisi berkenaan program ini, saya telah bertanya kepada mereka apa yang mereka harapkan daripada program usahasama ini.

Mereka kata – mereka mahukan satu bengkel yang menyeronokkan – yang dapat membuka minat mereka untuk lebih mendalami sastera dan seni deklamasi itu sendiri – dan dalam masa yang sama menghormati cara dan gaya setiap individu dalam menyampaikan puisi itu. Lagi pun, bukankah deklamasi itu satu seni yang terpulang kepada interpretasi masing-masing, kan?

Atas sebab itu, saya telah merangka sebuah modul yang memberi tekanan lebih banyak kepada aspek praktikal – yang mana saya fikir peserta yang terdiri daripada golongan belia pasti sudah ada sedikit sebanyak asas dan pendedahan kepada deklamasi puisi – cuma mahukan satu suntikan minat dan semangat.

Saya mahu sebuah bengkel yang dapat memberi sentuhan dan perhatian kepada setiap peserta. Semua orang yang menghadirinya mempunyai peluang yang sama rata untuk merasai pengalaman mempersiapkan diri untuk mempersembahkan suatu bentuk penyampaian puisi.

Disebabkan itu, saya  telah menggunakan 50 teks puisi yang berbeza untuk dibacakan oleh setiap peserta. Bermaksud, tidak ada orang yang akan dapat puisi yang sama. Semua orang akan membacakan puisi tersebut untuk kali pertama, dan mencari gaya dan menghayatinya dengan bantuan para pembimbing.

Bengkel kali ini juga memberi tumpuan kepada proses perkongsian ilmu, dan bukan sekadar mengajar semata-mata. Pembimbing belajar daripada peserta, dan peserta pula belajar daripada pembimbing. Saya percaya semua orang pasti punya sesuatu untuk dikongsikan bersama.

Dengan berakhirnya program Tunas Pujangga 3 di UIAM, semoga akan ada lagi program yang akan menjadi kesinambungannya. Sesungguhnya, sebuah bengkel sahaja tidak cukup untuk mencari barisan pelapis deklamator yang mempunyai komitmen untuk berjuang dalam bidang ini, namun pastinya ia merupakan satu permulaan yang baik.

Itulah objektif Tunas Pujangga – untuk menanam benih kecintaan dan memupuk ia agar tumbuh sehingga bertunas. Untuk menjadi satu pohon yang tegap dan besar, itu perlu masa yang panjang dan usaha yang berterusan daripada setiap peserta.

Untuk gambar-gambar sepanjang Tunas Pujangga 3 – jemput ke laman Facebook rasmi Kelab Deklamator Malaysia (DEKMAL) iaitu : http://www.facebook.com/deklamator 

Sekian!

29 Mei 2010

Bengkel Bisnes Internet & Blogshop

29052010680

Banyak sangat ilmu baru yang saya perolehi dalam program ini! Bengkel yang dikendalikan oleh Tuan Zamri Mohamad ini sangat praktikal dalam mengajar cara-cara menjana pendapatan melalui perniagaan internet dengan cara yang mudah dan senang difahami. Tak perlu pengetahuan teknikal yang terlalu rumit untuk memulakan sebuah laman web. Tak perlu juga modal untuk memulakan tapak perniagaan. Sekadar gunakan segala kemudahan dalam aplikasi google yang boleh didapati secara percuma.

Sesi bengkel ini akan disambung lagi esok dengan kupasan menarik mengenai pemasaran di internet yang akan disampaikan oleh Tuan Azree Hanifiah (bukan Azree Ariffin ya!) Beliau yang juga merupakan mantan MPR dan kenalan saya,  telah berjaya merebut domain azree.com sebelum sempat saya mendaftarkannya. Alahai tak ada rezekilah nak guna domain itu. Sayangnya, saya tak berkesempatan untuk menghadiri sesi hari esok kerana ada urusan di tempat lain. Moga-moga sudilah Tuan Azree memperuntukkan sesi peribadi untuk saya. Di kafe Mahallah Ali UIA mungkin?

Ada beberapa idea bisnes internet yang sedang saya fikirkan. Tapi semuanya perlu perancangan yang teliti. Saya akan bereksperimen dulu melalui blog ini untuk melihat bagaimana sambutan yang diberikan. Kalau memberangsangkan, insyaAllah akan menapak lebih jauh. Kamu berikan sokongan kepada saya ya!

Oh, jangan risau, saya tak akan jadikan blog ini seperti pasar borong. Percayalah…

Wassalam!

P/s : Bengkel ini dianjurkan oleh Persatuan Pelajar ICT UIAM, Kelab Ma’ruf UIAM, dan Kelab Permata Selangor.

16 Jun 2009

Bengkel Apresiasi Puisi ( Sajak & Syair)

Asalnya saya hanya diberitahu bahawa saya akan menghadiri bengkel syair. Tidak sangka pula bahawa ia juga turut menyelitkan bengkel deklamasi puisi. Sudah lama saya berharap untuk menyertai mana-mana bengkel deklamasi puisi tetapi kerana ia jarang diadakan, saya tidak pernah belajar deklamasi secara formal. Maka, umpama pucuk dicita ulam mendatang, bersempena musim Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2009 yang bakal menjelang tiba, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kuala Lumpur (JKKNKL) dengan kerjasama Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) telah mengadakan Bengkel Apresiasi Puisi (Sajak & Syair) pada 14 Jun 2009.



Lebih mengujakan tentunya pembimbing untuk deklamasi puisi ialah Dr Lim Swee Tin, penulis puisi Malaysia yang tidak asing lagi. Saya pertama kali bertemu dengan beliau sewaktu bengkel penulisan di Perpustakaan Komuniti Taman Tun Dr. Ismail pada tahun 2005, sejurus sebelum saya menyertai Minggu Penulis Remaja. Pembentangan beliau mengenai deklamasi puisi benar-benar mengubah perspektif saya mengenai cara deklamasi yang betul. Beliau telah menerangkan mengenai aspek-aspek pemarkahan seperti suara, gaya, teknik, penampilan diri, dan juga etika ketika membuat persembahan. Sesekali para peserta hangar-bingar dengan gelak-ketawa dek kerana terhibur dengan cara penyampaiannya yang bersahaja dan ceria.




Slot kedua menampilkan Dr Zurinah Hassanyang telah memberikan pengenalan kepada puisi tradisional dengan pengkhususan kepada syair. Dari situlah saya mengenali irama-irama syair seperti Selendang Delima, Dandan Setia, dan Irama Narasi. CD beliau yang telah saya beli dan dengar terlebih dahulu sewaktu Seminar Kebangsaan Puisi Melayu Tradisional telah banyak memberi saya ilmu dan pengetahuan mengenai jenis-jenis dan melodi lagu-lagu puisi Melayu tradisional. Turut diberitahu adalah persedian membaca syair yang saya pasti harus dimanfaatkan oleh mereka yang ingin menyertai Sayembara Syair Merdeka yang julung-julung kali diadakan pada tahun ini.




Bengkel diteruskan dengan pembimbing yang ketiga iaitu Tuan Roslan Madun. Sebetulanya ini baru kali pertama bertemu dengan beliau. Sebelum ini selalu mendengar namanya sebagai penggiat lagu-lagu rakyat. Sempat juga membeli CD beliau iaitu Puisi Warisan bagi melengkapkan koleksi lagu-lagu puisi. Dalam slot beliau, saya banyak belajar mengenai cara bersyair yang betul. Beliau juga telah memperkenalkan irama Syair Sarawak yang pertama kali saya dengar. Begitu laju juga temponya, lain dengan irama-irama syair lain yang saya pernah dengar sebelum ini. Sesi ini lebih interaktif di mana Tuan Roslan telah berganding dengan Dr Zurinah untuk membetulkan cara bersyair para peserta.

Bengkel ini sangat seronok. Saya tidak menyesal menyertainya, walaupun pada asalnya agak berkira-kira lantaran kesibukan dengan tugas-tugas lain. InsyaAllah ilmu yang diperoleh akan digunakan dan disebarkan kepada masyarakat agar generasi kita lebih mengenal dan menghargai seni berpuisi.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan