Subscribe
Memaparkan catatan dengan label Lirik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Lirik. Papar semua catatan

28 Julai 2011

Peraduan Cipta Lirik AF9 : BAGAIMANA

lirikakademifantasia 

Semasa berlangsungnya rancangan Akademi Fantasia 9 di Astro tidak lama dulu, mereka ada menganjurkan sebuah pertandingan menulis lirik iaitu Peraduan Cipta Lirik AF9 melalui radio Era FM.

Peserta dikehendaki menulis lirik bagi melodi yang telah diberikan di laman sesawang Era FM yang diciptakan khas oleh komposer Kuncidemak atau nama sebenarnya Rudi Muhammad. Melodi yang dibuat khas untuk salah seorang peserta akhir Akademi Fantasia ini akan dinyanyikan pada malam kemucak konsert.

Lagu ini telah diberikan kepada Nera AF9 untuk menjadi single pertama beliau dengan tajuk Hatiku Milikmu yang mana liriknya ditulis oleh pemenangnya, Siti Nurulain.

Saya juga turut menyertai pertandingan ini, tetapi nampaknya belum ada rezeki lagi untuk memenanginya. Tapi, saya menganggap pengalaman menulis lirik lagu ini sebagai satu latihan yang bagus untuk mengkaji karya yang bagaimana dimahukan oleh mereka dalam aliran komersil.

Berikut diperturunkan karya lirik lagu saya yang bertajuk BAGAIMANA.

Pencipta Melodi : Kuncidemak

Penulis Lirik : Azree Ariffin


BAGAIMANA


Verse 1
Tak pernah aku terfikir
Sewaktu saat engkau hadir
Hidup yang gelap gelita
Bak bercahaya


Aku manusia biasa
Tak berdaya melawan rasa
Ketika jiwa bergetar
Kau pergi tanpa khabar


*Chorus
Bagaimana harus kulupakan cinta
Bagaimana harus kubutakan mata
Andai senyum wajahmu terbayang
di mimpi malam-malamku.


Bagaimana harus ku menyimpan rindu
Bagaimana harus ku menahan kalbu
Dari memahat harapan di langit
angan-anganku.


Verse 2
Hidup penuh persoalan
Kadang datang tanpa jawapan
Mungkin tertulis dirimu
Bukan untukku


Namun sesungguhnya aku
Takkan pernah jemu menanti
Palingkanlah wajahmu sayang
Aku masih di sini


ulang *Chorus

09 Jun 2011

Apabila Penulis Lirik Berbicara

IMG_0723 

Sangat jarang kita mendengar penulis lirik turun padang untuk berbicara mengenai seni penulisan lirik dengan rakan-rakan mereka dari cabang sastera yang lain. Bidang penulisan lirik seolah-olah menjadi satu bidang yang sangat asing dengan dunia sastera, padahal ia masih menggunakan aksara dan kata sebagai senjata utama, meski beriringan muzika dan nyanyian.

Semasa program GETARAN JIWA : Irama, Lagu dan Sastera berlangsung di Menara Dewan Bahasa & Pustaka pada 24 Mei lalu, persoalan mengenai seni sastera dalam dunia muzik akhirnya telah diperbincangkan dengan kupasan yang begitu menarik oleh para panelis yang merupakan penulis lirik yang masyur.

Majlis anjuran bersama Dewan Bahasa & Pustaka dan Persatuan Karyawan Malaysia ini diserikan dengan panelis yang amat-amat saya kagumi.

Mana mungkin saya ketinggalan mengikuti acara ini kerana bukan senang hendak bertentang mata seraya menuntut ilmu dengan 3 orang penulis lirik yang sangat-sangat saya kagumi. Kerana merekalah, cinta saya kepada seni penulisan dan sastera semakin subur dan mekar.

Habsah Hassan, Hairul Anuar Harun, Ad Samad; nama-nama besar dalam dunia penulisan lirik Malaysia. Berpengerusikan Prof Madya Dr Lim Swee Tin – melengkapkan lagi nama-nama besar yang memang pakar dan arif dalam penulisan lirik.

Majlis ini terbahagi kepada dua, iaitu dimulakan dengan Majlis Dialog, dan disusuli pula dengan acara Deklamasi Puisi yang diadakan di Dewan Banquet. Acara itu diserikan dengan persembahan oleh Iqwal, Roslan Madun, Imuda, Suhaimi Meor Hassan, Julie Sudiro, Seniwati Sarimah, Freddy Fernandez, dan ramai lagi.

Berikut saya perturunkan inti daripada apa yang saya catatkan daripada setiap panelis.

Hairul Anuar Harun

  • Apabila mendapat lagu, akan anggap semua lagu berpotensi untuk memenangi anugerah dan akan buat yang sehabis baik.
  • Dalam sesebuah lirik, ada 5 elemen yang perlu ada iaitu Lagu, Ilmu, Rasa, Ilham, dan Karisma. Gabungkan kesemua pangkalnya, jadilah LIRIK.
  • Lirik adalah rakaman rohani.
  • Lirik boleh dikategorikan kepada dua iaitu Moden dan Tradisional. Unsur sastera banyak terdapat dalam lagu tradisional yang dipecahkan pula kepada lagu rakyat, irama Malaysia, Etnik Kreatif, Ritual, dan berunsurkan loghat/dialek.

Ad Samad

  • Penulis perlu ada cinta kepada bahasa
  • Masyarakat suka yang baru dan berkilat – yakni feminin, teratur, dan terletak.
  • Kalis Rindu adalah sebuah lirik yang mana beliau mencuba untuk tidak menggunakan imbuhan kata.
  • Beliau mencuba cara yang tidak konservatif.
  • Penulis lirik bukan penyajak.
  • Tak semestinya lirik teratur dan terletak tak elok. Lirik buruk pun cantik.
  • Menulis ayat yang paking senang itulah yang payah dan susah.
  • Kuantiti menghasilkan kualiti.
  • Antara ciri lirik lagu yang baik adalah Bermesej, Menghiburkan, Keaslian, Sampai kepada Masyarakat, dan ada Nilai Teknikal.

Habsah Hassan

  • Beliau seorang yang gila bahasa dan datang dari gaya yang old school.
  • Imbuhan bukan satu kemestian dalam lirik.
  • Ada bakat sahaja tak cukup untuk jadi penulis lirik yang bagus.
  • Lirik adalah bidang penulisan terakhir yang beliau ceburi sebelum penulis sajak, skrip, dan lain-lain.
  • Lirik adalah cerpen mini. Setiap lirik harus ada cerita tersendiri.
  • Guna bahasa yang mudah difahami kerana menganggap bila orang tak faham lirik beliau, maka lirik itu gagal.

18 September 2010

Lirik : Raikan Lebaran – Rozita Rohaizad

45645_428641962499_43931022499_4790816_4164273_n 

Setelah “Cerminan Realiti”, Raikan Lebaran adalah lagu kedua yang mana liriknya hasil tulisan saya telah pun dirakamkan dan seterusnya diterbitkan. Komposer lagu ini ialah saudara Zaidi Said manakala penerbit muziknya pula - saudara Rosli Ahmad.

Sewaktu mendapat melodi lagu ini, saya diberitahu saudara Rosli Ahmad bahawa beliau mahukan sebuah lirik dengan konsep yang “meriah” dan menggambarkan kegembiraan suasana berhari raya. Waktu itu, saya masih tidak tahu yang lagu itu akan dinyanyikan oleh penyanyi otai – Rozita Rohaizad!

Asal tajuk lagunya oleh penulis yang terdahulu adalah “Bergembira Di Hari Raya”, tetapi telah ditulis semula liriknya oleh saya dengan tajuk yang baru. Menulis lirik lagu hari raya rupanya tidaklah semudah yang disangka.

 

Saya cuba untuk lari daripada segala ungkapan-ungkapan stereotaip yang ada dalam lagu raya, tetapi atas nasihat penerbit, saya mula memahami bahawa lagu raya perlu ada frasa-frasa sebegitu, bagi mewujudkan suasana hari raya, terutamanya dalam lagu yang berirama rancak.

Maka, lahirlah Raikan Lebaran, sebuah lirik yang saya kira sedikit sederhana, tetapi memberikan pandangan hati saya mengenai perayaan Aidilfitri, dan bagaimana ia seharusnya diraikan menurut beberapa hadis yang saya rujuk, mengenai adab dalam menyambut lebaran.

Antaranya yang boleh ditemui dalam lagu ini :

  1. Bertakbir (Bergema takbir memecahkan hening alam)
  2. Restu Ibu Bapa (Kumohon restu daripada ayah ibu)
  3. Kemaafan (Kuketuk pintu kemaafan dalam kalbu)
  4. Berhias diri (Wajah keriangan berbaju warna warni)
  5. Berwangi-wangian (Madah berbunga mekar harum dan mewangi)
  6. Ziarah (Dari kejauhan sehinggan yang terdekat)
  7. Silaturahim (Mari tautkan mesra ikatan sahabat)
  8. Kemenangan Ramadan (Gembira dilimpah cahaya)
  9. Kesyukuran (Sambutlah dalam kesyukuran)
  10. Persaudaraan ( Raikan bersama seluruh alam gembira)

40789_430490027499_43931022499_4836388_3364665_n Keratan Akhbar Harian Metro.

Jika anda berminat untuk mendapatkan sebuah CD “Raikan Lebaran" lengkap dengan minus-one sekali pada harga RM10 + RM5 (penghantaran).  Anda bolehlah menghubungi Rozita Rohaizad terus melalui laman fan page di Facebook.

Selain itu, anda boleh juga memuat-naik lagu ini sebagai caller ring tone.

Untuk Maxis -

Raikan Lebaran (Chorus)Rozita Rohaizad 186460
Raikan Lebaran (Verses)Rozita Rohaizad 186465

*131*KOD LAGU#
eg: *131*186460#

Untuk Digi -

digi

Untuk Celcom -

celcom

Ayuh kita raikan lebaran!

25 Ogos 2010

LIRIK : Cerminan Realiti

 

 

CERMINAN REALITI – sebuah manifestasi impian yang menjadi realiti. Inilah lagu pertama yang mana liriknya saya tulis. Terima kasih kepada komposer Rosli Ahmad yang telah memberikan peluang berharga ini untuk bergandingan dalam penghasilan single ini. Beliau saya sifatkan sebagai seorang mentor yang sangat tak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman, malah saya merasa begitu senang sekali bekerja dengan beliau. InsyaAllah akan ada lagi bingkisan selepas lagu ini.

Paling menarik, lagu ini ditempah khas untuk dijadikan lagu tema drama “Cermin Dua Muka” yang akan menghiasi kaca tivi di RTM2 pada 4 September akan datang. Sewaktu saya diberikan melodi lagu ini, saya dikhabarkan bahawa lagu ini sebenarnya sudah ada liriknya sendiri, tetapi diberikan amanah kepada saya untuk menulis semula senikatanya dalam bentuk yang lebih santai.

Tuan Rosli Ahmad telah memberitahu saya bahawa penerbit drama ini mahukan sebuah lagu yang santai, meskipun jalan ceritanya tampak sedikit berat. Maka, saya telah menggalas cabaran pertama yang beliau kemukakan, dan terhasillah lirik dengan tajuk asal - “Cermin Hidupku”.

Secara dasarnya, lagu ini saya nukilkan dengan lirik yang mudah dan santai, sesuai dengan konsep yang diminta. Berkenaan cerita pula, oleh kerana saya masih kabur berkenaan drama tersebut, maka saya putuskan untuk menghasilkan sebuah senikata yang umum, tetapi masih pada landasan gerak cerita “Cermin Dua Muka”.

Ditambah pula dengan vokal gemersik Intan Nor Saina, saya amat harapkan agar bingkisan pertama ini akan menghiburkan para pendengar. Berikut saya perturunkan lirik lagu ini untuk tatapan anda semua.

CERMINAN REALITI
Lagu : Rosli Ahmad
Lirik : Azree Ariffin

Artis : Intan Nor Saina


Mengimbau waktu silam
Kenangan tak terpadam
Cerita kehidupan.


Segala yang berlaku biar berlalu
Jalan berbatu penuh liku.


Kini datang menjelma di depan mata
Bagai membawa mimpi lama
Kau cerminan cahaya dari tirai semalam
Meski kadang tampak berbalam.


Walau apa pun halangan yang menanti
Sinar mu terpancar di hati
Dalam pandangan kan bersemi
Selamanya ‘kan abadi.
Kau dan aku pun bersatu
menggapai impian indah itu.


Di sini kuberdiri
bersama teguh di sisi
cerminan realiti.

05 Mei 2010

LIRIK : Bulan

songwritingcontestbanner-300x105

Tahun lepas, saya pernah menyertai Pertandingan Menulis Lirik Lagu yang dianjurkan oleh Saudara Imran Ajmain. Dalam pertandingan berkenaan, kami telah diminta untuk menuliskan lirik sebuah lagu duet berdasarkan melodi yang diberikan dalam video Youtube yang di bawah dengan syarat – tiada perkataan “cinta”, “kasih”, & “sayang”. Lirik yang menang akan dirakamkan dan dimuatkan dalam album “Punca & Tindakan”.

Saya telah mengambil masa dalam seminggu dalam kesibukan peperiksaan akhir untuk menyiapkan liriknya, bersesuaian dengan jiwa lagu, beserta falsafah dan keindahan kata-katanya. Cuma, saya sedikit tersalah format, sebab sepatutnya ada 2 verse, tapi saya tersalah faham buat 4 verse.

Bagaimanapun, lirik saya telah berjaya mendapat Top 4 daripada berpuluh penyertaan. Malah, saudara Imran Ajmain menyatakan kepada saya melalui facebook yang sebenarnya lirik saya mendapat tempat kedua selepas lirik pemenangnya.

Lepas lama saya perap karya ini, ingin saya kongsikan pula di sini. Harap-harap ada yang boleh beri maklumbalas dan tunjuk ajar.

Terimalah.

Lagu : Imran Ajmain
Lirik : Azree Ariffin

Bulan – sebuah metafora tentang rasa rindu dan kejauhan. Sesuai dengan irama lagu, ia adalah falsafah tentang perhubungan antara dua orang insan, yang terpisah oleh masa dan tempat, tetapi keduanya akan pasti merenung bulan yang sama. Seperti juga bulan yang ada waktunya dilitup awan, dilindung mendung, dan akhirnya hujan. Namun, selepas itu bulan akan terus bersinar terang benderang. Begitulah hendaknya perhubungan antara manusia, bukan hanya terbatas antara cinta lelaki dan perempuan, tetapi juga dalam makna yang menyeluruh. Bulan adalah cahaya, adalah pesona.


Verse 1 (Lelaki):
Ingin terbang ke langit tinggi
bawa pulang sejuta janji
saat bintang bertemankan mimpi
tanpamu aku sepi.


Verse 2 (Perempuan):
Ku berlindung antara mega
tika mendung membawa duga
engkau datang dalam pujuk rayu
berhembus bagai bayu.


Pre-Chorus:
Bulan di balik awan
sirnakan segala rawan.


Chorus:
Kau cahaya di jiwa
terangi kegelapan
Kau pesona di mata
hadirlah menghiasi
hidupku.


Verse 3 (Lelaki):
Biar malam menjadi saksi
sluruh alam adalah bukti
berjauhan begitu terpisah
membuat aku resah.


Verse 4 (Perempuan):
Ku di sini setia menanti
takkan pergi berjauh hati
tidak mahu ketika beradu
di dalam rasa rindu.


Bridge:
Bulan bintang di sana pun
‘kan terus bersinar untuk kita
Jangan pernah hilang menjadi kenangan
kehidupan.

**Karya ini dilindungi oleh undang-undang hakcipta.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan