Subscribe
Memaparkan catatan dengan label Personal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Personal. Papar semua catatan

02 November 2014

Apabila Sahabat Bertukar Seteru

Berbuah lebat pucuk mengkudu,
Tumbuh di laman daunnya tebal;
Apabila sahabat bertukar seteru,
Di tengah jalan buat tak kenal.

Perhubungan antara manusia itu pelik. Kita bermula sebagai dua orang asing. Kemudian mengenali namanya, kerjanya, tempat asalnya, dan serba sedikit latar belakangnya. Lantas orang asing itu sudah diangkat darjat menjadi seorang kenalan.

Setelah berkenalan, terus-terusan bertemu, lebih mengenali butir-butir terperinci seseorang, jadilah kita manusia yang bergelar kawan – orang yang  kita kenali dengan baik, tetapi masih belum cukup akrab. Bila kita sudah cukup mengenali hati budinya, kesetiaannya juga telah diuji, sekali lagi taraf itu dinaikkan lagi menjadi seorang sahabat. Apabila menjadi seorang sahabat, kita memegang amanah dan nilai kepercayaan yang tinggi.

Tetapi, sekiranya ada sesuatu yang buruk berlaku di tengah jalan; contohnya seperti berlaku salah faham, ego, fitnah, pengkhianatan, atau atas apa-apa sebab pun, status sahabat tersebut boleh berubah kepada seorang seteru. Sebab-sebab ini tak semestinya besar. Ia boleh jadi atas sebab yang remeh-temeh dan kecil amat.

Saya menyaksikan sangat banyak kes di sekeliling saya yang memperlihatkan betapa perhubungan manusia itu kadang kala boleh jadi rapuh. Hari ini kita bergurau senda dengan mesra, esok pula boleh bersengketa dan tak bertegur sapa. Lagi parah kalau kita menjadi rakan kepada kedua-dua pihak yang menjadi seteru ini, menjadi tersepit di tengah-tengah.

Ada juga kes yang saya lihat apabila dua orang sahabat menjadi seteru, terutamanya jika mereka dalam lingkaran kenalan yang sama – ia menyebabkan seluruh kumpulan itu juga berpecah dua. Kita menjadi bersalah bila hendak buat apa-apa gathering. Kalau jemput si A, tak boleh jemput si B. Kalau jemput si B, tak boleh jemput si A. Akhirnya rakan-rakan lain terpaksa mengambil sikap berpihak, tanpa disedari, tanpa sengaja.

Hal ini juga saya lihat dalam pengurusan organisasi. Punca masalah boleh jadi sebab salah faham sedikit sahaja. Barangkali kerana kelemahan kedua-dua pihak berkomunikasi dalam menyampaikan maksud masing-masing. Dek kerana itu, muncul dua kelompok dalam organisasi itu yang akhirnya membawa kepada perpecahan dan perpisahan. Akhirnya, organisasi itu juga yang rugi.

Melihat kepada semua  kes ini; saya tertanya sendiri – “Mengapa semua ini terjadi? Kenapa harus bersengketa dan tidak berdamai sahaja?  Tak penatkah asyik mahu mengelak dari bertemu dalam majlis dan berpura-pura tetapi tidak suka?”

Tiba-tiba, saya teringat kata-kata yang entah dari mana saya kutip “Don’t expect everybody to like you, because you don’t even like everybody.” Ada kebenaran juga kata-kata ini, namun saya melihat betapa ironi sungguh realitinya.

Rupanya, satu hakikat kehidupan bahawa bukan semua sahabat akan kekal menjadi sahabat. Manusia datang dan pergi. Persekitaran mereka tak sama dengan persekitaran kita. Nilai mereka mungkin tak sama dengan nilai kita. Cara pemikiran juga berbeza. Bukankah Allah SWT menjadikan kita semua manusia ini berbeza kerana sesungguhnya itulah tanda kekuasanNya.

Apa yang menjadi bezanya adalah bagaimana kita menguruskan perbezaan tersebut. Adakah dengan penuh kematangan atau bagai kebudak-budakan? Pada pendapat kecil saya, setiap manusia mempunyai kelemahan. Termasuk kita sendiri. Sekiranya kita ingin berkenalan/berkawan/bersahabat dengan seseorang – paling utama adalah kita harus bersedia untuk menerima dan bertoleransi dengan kelemahan orang itu.

Soalnya, bersediakah kita untuk menerima kelemahan orang lain?

12 November 2013

Of Family & Friends

When I was a little boy, our family was staying with Tok Yan in an elite neighbourhood area at Bukit Damansara. The surrounding houses were huge and it was divided by a massive wall in between. It was an ageing neighbourhood, whereby most of my nearest neighbours are adults and me and my siblings don’t really have a childhood friend cum neighbour to always play with at our disposal.

Growing up in that kind of environment also meant that it is quite unsafe for me to wander around to other places by myself because of the location of my house which was just beside the junction of the main road. Therefore, I spent most of my days indoors – being isolated from the outside world with my family, which was among the reason why I became quite attached to Tok Yan.

I had really few friends back then in kindergarten. In fact, none at all. I was a very very shy boy and a silent one, too. I love to observe the people around me, but was not sure how to socialize with other kids my age. Perhaps, those kids were a little hyper active and that intimidated the little me at that time. But that was my story, my childhood story.

Those are the times when I always have my family beside me all the time.

As time flies, each of us grow older. From an innocent child, to a naughty teenager, and perhaps evolve into a matured young adult. In that process of growing up, we meet new people. People whom are outside from our family cycle. The people that we call friends.

Slowly, our collection of friends starts to get bigger and bigger and along the way, perhaps we might stumble into a few that we can call as good friends. The people that understand what we feel and experience. And before we knew it, our friends become the person that we trust the most, sometimes more than our family. They know us better because we allow them to have a heart to heart conversation with us.

Does that automatically makes us taking our family for granted? Definitely not. Everybody needs friends. Isn’t human beings are social creatures by nature?

…but having said that – do we really care for our family and does not prioritize our friends over them? Perhaps that is something for us to ponder upon this few days. After all, our family are the ones that will always be there for us no matter what happens. Friends can come and go. But family relationship – it stays forever!

Roger and out!

01 Januari 2013

Sekilas Dua Ribu Dua Belas

Tahun 2012 berlalu sudah, meninggalkan seribu satu kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Secara keseluruhannya, saya sifatkan 2012 sebagai satu persimpangan penting dalam hidup saya, apabila saya menamatkan satu perjalanan, dan memulakan satu lagi perjalanan.

Persimpangan yang dimaksudkan – mengakhiri zaman pengajian di menara  gading dan memulakan langkah pertama dalam kerjaya. Suatu mimpi yang diangan-angankan ketika di bangku sekolah, kini sudah menjadi nyata. Selagi tidak menamatkan pengajian dan memulakan kerjaya, selagi itu perubahan evolusi dari remaja ke dewasa belum sempurna.

Setelah bertahun-tahun meredah onak dan merempuh ombak, akhirnya tibalah saya berlabuh menerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Undang-Undang dalam satu majlis konvokesyen pasti tidak dapat dilupakan. Saya teringat lagi, azam saya ketika memulakan pengajian, saya tak mahu mencuba pakai jubah konvokesyen selagi saya tidak berjaya menamatkan pengajian. Saat itu tiba juga.

Tahun ini juga menyaksikan saya menubuhkan QiyaSari Wedding Emcee bersama-sama rakan kongsi Syafiqah Gawus yang menumpukan kepada khidmat pengacaraan majlis perkahwinan, sebuah pengalaman yang cukup berharga kerana ia memberi saya peluang untuk bertemu dan berkenalan dengan pelbagai jenis orang dan menimba sangat banyak pengalaman. Februari depan, genaplah setahun kami berkecimpung dalam industri perkahwinan ini dan so far so good.

Satu lagi highlight tahun 2012 adalah penglibatan saya dalam Kelab Deklamator Malaysia sebagai Penolong Setiausaha, satu jawatan yang saya tolak pada mulanya, tetapi atas semangat dan dorongan, saya terima juga dengan semangat perjuangan dan perasaan ingin membalas budi kepada seni deklamasi puisi yang telah banyak mengubah hidup saya.

Saya harapkan segala pengalaman yang dikutip dari tahun 2012 ini akan menjadi satu azimat dan bekalan untuk tahun-tahun mendatang, demi sebuah masa depan yang lebih cerah dan bercahaya. Amin!

30 Mac 2012

Kenapa Saya Menulis Blog? - Bahagian 1

Saya ingat lagi, ketika pertama kali saya mendengar mengenai sesuatu yang dinamakan sebagai blogging. Kalau tak silap saya, waktu itu lebih kurang 10 tahun lepas, semasa saya berada di pangkuan sekolah rendah. Untuk pengetahuan anda, waktu kecil dulu, saya jenis yang suka menulis catatan harian di dalam diari.

Walaupun saya bukanlah pencatat diari yang begitu berdisiplin, tetapi saya terpesona dengan konsep yang mana saya dapat mencatat apa yang berlaku dalam kehidupan saya untuk dokumentasi pada masa akan datang. Sehingga kini, saya masih ada simpanan diari itu, atau mungkin lebih sesuai saya sebut sebagai jurnal.

Ditambah dengan minat saya yang semakin mendalam ke arah bidang penulisan ketika itu, ternyata konsep blogging itu membuat saya sangat tertarik. Yalah, sudahlah kita dapat mendokumentasikan perjalan hidup secara lebih mudah di dalam komputer, malah kita dapat berkongsi dengan rakan-rakan dari seluruh dunia!

Sedari itu, saya menjadi seorang blogger. Sama seperti menulis diari, saya juga tidaklah begitu berdisiplin dalam menulis catatan blog secara konsisten. Tetapi, dari masa ke semasa, saya pasti akan menambah blog saya dengan pengalaman-pengalaman baru yang amat berharga, kerana saya takut satu hari saya akan lupa butir-butirannya.

Sekarang, blog tidak lagi menjadi sebuah fenomena sebagai mana beberapa tahun dulu. Dengan kehadiran laman sosial seperti Twitter dan Facebook, sudah ramai yang 'malas' hendak berblog kerana ternyata lebih mudah berkongsi cerita di laman sosial tersebut. Lagi pun, siapalah mahu baca catatan blog yang panjang berjela kan?

Sejak dari mula, niat saya hendak menulis blog yang paling utama sekali adalah untuk tujuan dokumentasi. Memanglah benar, sekarang ini kita ada kamera digital yang boleh merakam gambar kehidupan kita. Tangkaplah sebanyak mana pun, pasti tak akan habis. Walau pun orang mengatakan bahawa sebuah gambar boleh mewakili seribu patah perkataan, tetapi saya yakin, ada perkara yang harus kita perturunkan dalam bentuk tulisan.

Dan kerana itu, blog saya masih teguh berdiri di sini, menjadi rumah pertapaan buat saya berasa selesa di alam maya. InsyaAllah...

Bersambung...

19 Jun 2011

Ke Mana Tumpahnya Kuah, Kalau Tidak Ke Nasi

Saya tangguhkan dahulu catatan tentang Pesta Pantun Sezaman yang sepatutnya diterbitkan pada hari ini, bagi memberi laluan kepada entri sempena Hari Bapa. Catatan berkenaan yang sudah pun siap akan terbit secara otomatik pada hari esok, tepat 12 tengah malam.

Saya tahu, agak klise untuk menulis tentang Ayahanda ketika tibanya Hari Bapa. Pasti semua orang akan berlumba-lumba untuk menulis ucapan Selamat Hari Bapa di blog, twitter, facebook, dan entah di mana-mana sahajalah. Tentu tak ada salahnya.

Saya faham, memang bukan Hari Bapa sahaja hari yang sepatutnya kita hargai jasa dan pengorbanan insan yang bergelar Ayah, Bapak, Papa, Daddy, atau Abah ini. Hal ini juga sama untuk Hari Ibu, atau apa-apa sahaja hari peringatan.

Meraikannya tidak bermaksud kita hanya mengingati jasa dan pengorbanan mereka pada waktu itu sahaja. Tarikh itu hanya sekadar satu waktu untuk mengingatkan kita supaya melakukannya secara konsisten setiap tahun. Sekadar peringatan. Kerana manusia mudah lupa. Itu adalah fitrah.

Bercerita tentang Ayahanda, bagi anda yang ikuti penulisan saya di blog ini, pasti perasan saya ada menulis tentang Ayahanda, meski tidak selalu, tetapi ada. Baru sahaja minggu lepas saya ikuti beliau Meredah Belantara Kerling menaiki kereta pacuan empat roda.

Tahun lepas pula, Ayahanda telah membawa saya berkelana dalam Kembara Eropah 2011, satu pengalaman yang tak mungkin sapat saya lupakan.

Dalam banyak perkara, saya begitu mirip Ayahanda. Perkara pertama yang pasti orang akan terlihat pastinya wajah kami. Wajah saya banyak ikut wajah Ayahanda. Dahulu semasa kecil, saya tak begitu nampak sangat persamaan. Tetapi semakin menginjak dewasa, makin lama makin terserlah.

Cuma bezanya, saya lebih bulat sedikit berbanding Ayahanda saya. Entahlah, sejak dua tahun lepas berat badan naik agak mendadak, sampai Ayahanda pun dah mula panggil “Bulat, bulat”…

Ops, melalut pula. Bonda pernah berkata, kalau terasa rindu jika Ayahanda pergi ke tempat jauh, Bonda akan melihat saya kerana pasti dia akan terkenangkan Ayahanda. Katanya, dari segi percakapan, berjalan, bersin, dan makan sekali pun, memang iras-iras Ayahanda ada.

Mana lagi nak kuah akan ditumpahkan kalau tidak ke nasi, kan?

Malah, satu perkara yang Bonda katakan, saya suka bercakap sendirian, sama seperti Ayahanda. Maksud cakap sendirian ini adalah ketika kami berfikir, kami selalu akan tersebut patah-patah kata yang difikirkan itu tanpa disedari. Ia seperti terkeluar sendiri dari mulut, mungkin kerana terlampau berfikir.

Tapi ayahanda dulu lagi teruk. Saya ingat lagi masa kecil, dia selalu tiba-tiba bercakap sendirian semasa dia memandu. Sampai saya yang ketika itu masih usia mungil begitu hairan dan keliru. Kadang-kadang juga terkejut. Sekarang ini, saya pula buat perkara yang sama.

Begitulah, Ayahanda saya. Mungkin seperti watak bapa lain, dia begitu cool, sampai kita tak tahu apa yang berlaku dalam sungai hatinya. Dia tidak garang, tetapi tegas. Kami adik-beradik bertuah mendapat seorang bapa seperti Ayahanda.

Kepada Ayahanda, terima kasih kerana telah memberikan kami sekeluarga kehidupan yang bahagia dan sempurna. Tidak ada kata ucapan yang boleh menandingi jasamu. Entri ini adalah perlambangan betapa anakanda menghargai pengorbananmu.

Selamat Hari Bapa, Ayahanda!

21 April 2011

Kita Akan Hilang Orang Yang Tersayang

Dunia ini pinjam-pinjaman. Satu hari nanti, segalanya pasti akan pergi, akan kembali.

Saya pernah menulis tentang kasih sayang dalam entri "Kasih Sayang Juga Rezeki". Saya mengatakan bahawa segala yang diberikan kepada kita yakni cinta dan kasih sayang, itu adalah sebentuk rezeki yang datangnya dari keizinan Allah SWT. 

Barangkali hidup kita sudah begitu sempurna, lengkap dan bahagia. Semua orang yang kita sayangi dan ingini, senang sahaja berlegar di sekeliling, memberikan senyuman manis mereka, dan kita membalas senyum mesra itu - meski orang di sekitar tak mungkin akan dapat melihat betapa hangat cinta yang membakar dalam jiwa pada ketika itu. 

Ketika malam, kita bermimpi tentang sebuah kehidupan yang abadi. Betapa kita merasakan dengan adanya cinta, maka segalanya pasti akan berakhiran dengan igauan yang indah. Tetapi, apalah yang kita tahu, kan? Setiap saat yang indah itu sementara. Selagi kita hidup di atas bumi yang fana ini, tidak ada jaminan apa-apa kebahagiaan yang kita kecapi itu pasti akan kekal. 

Betul, cinta boleh buat kita buta. Buta tentang tentang dunia, buta tentang hakikat hidup - betapa setiap pertemuan pasti akan berakhir dengan perpisahan. Tak kira sama ada lambat atau cepat, manis atau pahit, senang atau susah, hidup atau mati. Sudahkah kita bersedia dengan kehilangan ini? 

Bila kita lena dalam cinta, kita akan menafikan banyak perkara. Menafikan kemungkinan perpisahan, kemungkinan diri menjadi semakin terseksa. Dan manusia akan terus bersifat manusia. Sentiasa lupa dan terleka. Rezeki di depan mata, diabaikan sampai satu hari bila ia hilang buat selama-lama, merana seluruh jiwa. 

Dan pintu kasih sayang itu bukan selama-lamanya terbuka. Kuncinya boleh patah dan hilang pada bila-bila masa. 

Sebelum kita hilang orang yang amat kita sayang, sudahkah kita buat yang semampu daya untuk membahagiakan hidup mereka? 

20 April 2011

Berkat Restu Ibu Bapa

Saya seorang yang sangat mempercayai bahawa jika kita hendak melakukan sesuatu, haruslah mendapat restu dan keizinan ibu dan bapa. Tanpa restu dari mereka, kadang terasa seperti sesuatu yang tidak cukup, Di sebalik restu mereka, tersembunyi seribu satu hikmah dan kebahagiaan yang sukar dikecapi.

Iya, ada waktu pasti kita akan kurang setuju dengan apa-apa pendapat ibu bapa yang bertentangan dengan keinginan dan kehendak peribadi. Tetapi, apabila hari berganti hari, dan masa pun berlalu, pasti ada walau sekelumit rasa yang membuatkan kita terfikir, betul juga apa yang mak bapak aku cakap dulu.

Bila rasa kurang bersetuju dengan mereka, kadang saya juga akan berhujah dengan dapatan-dapatan saya sendiri. Tetapi, dengan ibu bapa ini lain sedikit. Saya akui, saya selalu ‘kalah’ dengan mereka.

‘Kalah’ di sini bermaksud bukan tewas, tetapi saya sendiri juga termakan dengan sebab-sebab diberikan mereka – kerana ternyata mereka lebih banyak makan garam. Di akhir cerita, saya dapat lihat logik di sebalik kerisauan-kerisauan mereka – yang sudah pasti harus diimbangi dengan tafsiran yang rasional.

Sudah tentu, bukan dalam semua perkara kita terikat dengan pendapat-pendapat ibu bapa. Ada ketika, kita harus buat keputusan sendiri – seandainya ia melibatkan masa depan diri sendiri.

Tetapi, dalam kes diri saya, kebanyakan masa memang pendapat ibu bapa yang saya rujuk – adalah benar berdasarkan pengalaman-pengalaman yang mereka telah lalui. Dan sebagai orang yang telah mengenali kita dari sekecil tapak tangan sampai ke besar panjang, siapa lagi yang lebih masak tentang perangai dan keperibadian kita?

Orang kata, kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Dan saya teramat menghormati apa yang mereka fikirkan – kerana restu mereka adalah pembuka pintu syurga.

07 Mac 2011

Risau, Risau, Risau

Aku perasan satu benda minggu ini. Aku kuat risau.

Sampai kadang-kadang benda yang tak perlu dirisaukan pun menjadi satu beban di pundak ini. Dari sekecil-kecil sehingga sebesar-besar, sehingga aku sedar bahawa perasaan itu sebenarnya ibarat satu halangan kepada mencapai sebuah produktiviti.

Bila masuk kelas, risau pasal ujian pada malam harinya. Lantas tak dapat tumpukan perhatian.

Bila ulangkaji pelajaran, risau pasal tugasan yang masih belum disiapkan.

Bila nak pergi ke tutorial, risau kalau pensyarah tiba-tiba tanya soalan-soalan yang membuatkan aku tergamam hendak jawab.

Ya, hidup memang penuh dengan kerisauan. Hidup aku khususnya. Tapi, apa yang membuatkan aku tersedar tentang perkara ini adalah tiap kali aku selesai sesebuah tugasan, aku akan terfikir kembali, alangkah baiknya jika pada awalnya dahulu aku tidak bazirkan masa dengan merisaukan perkara yang bukan-bukan. Pasti aku dapat buat tugasan ini dengan lebih bagus.

Hidup terlalu singkat. Kalau hendak diisi dengan rasa risau dan bimbang yang tak bermakna, akhirnya tak akan ke mana. Kalaulah kita dapat memprogramkan hati ini, dan tentukan apa perasaan apa yang kita mahu rasa, kan?

Ada perkara, memang kita perlu risau. Contohnya, kalau barang berharga kita hilang. Takkanlah kita mahu tersenyum lebar dan buat tak endah, kan? Perasaan risau ketika itu akan menjadi satu tenaga positif yang akan memacu diri berfikir di mana kali terakhir kita menemui barang tersebut.

Itu risau yang positif. Tapi, apa yang ingin aku katakan sekarang adalah rasa risau yang negatif, yang akhirnya menguasai diri. Lantas terjadilah satu simptom – breakdown yakni putus asa. Resah, gundah, segalanya bersatu dalam diri. Akhirnya, tak ada satu kerja pun jalan.

Ini satu perkara yang harus diatasi segara. Dalam apa cara sekali pun.

InsyaAllah boleh!

17 Februari 2011

Bagai Terkurung Di Dalam Sangkar

Pernahkah kau merasakan jiwa dan ragamu tak mampu lepas bebas dari terkurung di dalam jasad? Ketika itu, kau bagaikan mahu meronta-ronta untuk keluar dari segala belenggu yang membuat kau terasa bagai dalam sangkar. Cubalah kurung dirimu, dan rasakan betapa sakitnya hidup dalam penafian.

Kau lihat seluruh alam riang gembira, senyum tertawa, tetapi kau tak mampu untuk turut serta, kerana kau berada dalam dunia lain, di dalam sebuah sangkar. Tiap kali kau hendak menggapai tanganmu di antara jeriji-jeriji besi sangkar itu, kau akan terluka - lantaran begitu banyak duri yang melingkar di sekelilingnya. Kalau dapat kau hulurkan tanganmu ke luar, kamu tak akan pernah sampai menggapai dunia luar itu.

Aneh, tetapi benar. Sebuah sangkar yang dari luar kelihatan bagaikan sebuah mahligai baiduri, tetapi sebetulnya adalah teratak berduri.

Dan kau cuba senyum dan tertawa, menyembunyikan segala rawan di dalam jiwa. Tak mungkin siapa pun akan mengerti, kerana mereka mana mungkin pernah melihat isi di dalam sangkar tersebut. Ternyata, hiasan luaran sangkar itu bak istana. Seni binanya cukup melambangkan sebuah kehidupan yang sempurna.

Tetapi, hanya kau yang tahu itu semua hanya sebuah logamaya. Pandang mata kadang tersilau kerana di dalamnya penuh kaca yang sudah retak seribu. Hancur berderai kerana ia memantulkan ilusi dari sebuah mimpi. Mimpi yang tak mungkin sesiapa akan mengerti.

Dan kau tak pernah mengharapkan sesiapa untuk melihat apa yang terkandung di dalam sangkar itu. Kerana kau hanya makhluk tuhan yang redha akan setiap ketentuan. Kalau diberikan kau sangkar, maka bersangkarlah engkau. Orang lain tak mungkin mampu memahaminya. Lantas kau pun menjaga sangkarmu, bagai menatang minyak yang penuh.

Sehingga ada yang menemui kuncinya, dan melepaskan kau dari kurungan.  

Lepas dan bebas.

01 Februari 2011

Inilah Kuala Lumpur Saya

 ** Entri Sempena Hari Wilayah Persekutuan 2011

image

Setiap kali menjelang cuti semester, rakan-rakan saya akan sibuk menguruskan kepulangan masing-masing ke kampung halaman. Ada yang akan ke Pantai Timur, Utara, dan juga Selatan. Tak kurang juga ada yang haru merentasi Laut China Selatan untuk ke Pulau Borneo. Begitulah seperti selalunya. Dan saya, hanya terdiam sebentar, dan kemudian terus mulakan enjin kereta. Setengah jam kemudian, saya sudah tiba di kampung laman. Rumah syurga dunia.

Apabila orang bertanya kepada saya, “Asal dari mana?”, saya seringkali menjawab “Petaling Jaya.” Itu adalah jawapan saya sejak meninggalkan alam persekolahan, dan bertemu dengan rakan-rakan universiti dari serata pelusuk tanah air.

Kadang-kadang, ada yang akan bertanya semula, “PJ di seksyen berapa?”. Oh, tempat saya tinggal sudah di pinggiran Petaling Jaya. Sudah hampir sangat dengan sempadan Kuala Lumpur. Tidak ada seksyen di sini.

Maka, saya mula terfikir, tepatkah jawapan saya apabila memberitahu saya orang Petaling Jaya? Dari segi geografi, pasti memang tepat. Malah dalam kad pengenalan saya sendiri, alamatnya di dalam daerah Petaling Jaya. Bagaimana pun, saya tidak begitu kenal dengan kawasan pusat bandar Petaling Jaya. Ternyata kawasan tersebut begitu asing sekali.

Lalu, saya kembali bertanya diri sendiri. Mahu jadi orang KL atau orang PJ?

Menjawab persoalan ini, eloklah kalau saya kenang semula sejarah diri saya. Saya dilahirkan di Pusat Perubatan Pantai, Bangsar. Ya, di Kuala Lumpur. Maka, dengan itu sahaja sudah cukup menjadikan saya anak kelahiran Kuala Lumpur. Kota inilah yang telah mendengar rengekan pertama saya sewaktu masih bayi.

Kedua ibubapa saya berketurunan luar dari Kuala Lumpur. Keluarga ibu berasal dari Muar, Johor manakala sebelah bapa dari Kuala Selangor. Tetapi, mereka berdua dibesarkan hampir sepenuhnya di Kuala Lumpur. Itu sudah menjadikan mereka secara tak rasmi, warga kota sejati. Kalau anda dengar kisah bibit-bibit percintaan mereka, memang penuh dengan latar belakang kota ini.

Kami tinggal bersama Tok Yan, nenek sebelah ibu di kediamannya di Bukit Damansara, juga di Kuala Lumpur. Seluruh kehidupan kanak-kanak saya telah dibesarkan di kawasan yang dikatakan elit itu. Maka, saya melihat wajah Kuala Lumpur membangun di hadapan mata saya.

Sekarang ini, setiap kali saya mengelilingi Kuala Lumpur, pasti ada sahaja kenangan waktu kecil yang menggamit kenangan. Saya masih ingat ketika kecil dahulu, Tok Yan selalu membawa saya untuk membeli barangan runcit di TMC, sebuah pasaraya yang terkenal di Bangsar. Di situ juga saya pernah mengikuti tuisyen Bahasa Inggeris dalam program Victoria Readers.

Tidak lupa, Taman Tasik Perdana yang mana taman permainannya sangat saya suka kerana ada papan gelongsor yang sangat tinggi, dan pelbagai permainan taman yang menyeronokkan. Oh kenangan sewaktu kecil sangat manis!

Begitu juga, saya telah memasuki alam tadika di Villa Maria, sebuah tadika yang sangat terkenal di Bukit Damansara suatu ketika dahulu. Tanyalah kepada kebanyakan  anak-anak muda sebaya saya yang tinggal di sana, pasti kebanyakan mereka dari sana. Bagaimana pun, saya telah berpindah tadika ke sebuah tadika Islam Al-Hidayah.

Di kedua tadika inilah, saya mula bergaul dengan anak-anak kelahiran Kuala Lumpur yang lain. Masa itu, saya merupakan seorang budak lelaki yang sangat sangat pemalu dan pendiam. :)

Seterusnya, saya telah menyambung pelajaran ke Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara. Bergaul dengan anak-anak Kuala Lumpur ini ternyata berbeza sedikit dengan mereka dari luar Kuala Lumpur – seperti yang saya dapati ketika melangkah ke alam universiti. Sudah pasti, ia tertakluk kepada sifat individu itu sendiri, tetapi budaya dan persekitaran pasti memainkan sedikit peranan.

Pada pertengahan tahun 1997, barulah kami sekeluarga berpindah ke Petaling Jaya, sewaktu saya berada dalam darjah 4. Tetapi, jaraknya tidaklah jauh. Lebih kurang sejam sahaja beza antara keduanya. Dan apa yang menarik, kawasan kejiranan baru ini, dan Bukit Damansara – kedua-duanya masih berada di dalam mukim yang sama – Damansara!

Jadi, kalau hendak dinyatakan dengan lebih tepat, saya rasa sudah tentu pernyataan saya orang Damansara lebih menyeluruh. Tetapi, yang pasti Kuala Lumpur pasti ada bahagian yang istimewa di hati saya. Di sinilah saya dilahirkan, dan dibesarkan. Kota ini jugalah yang telah mencorakkan sebahagian besar kehidupan saya.

Meski saya tidak seperti remaja KL yang lain, yang ditakrifkan sebagai urban dan metropolitan; tetapi saya tidak dapat bayangkan jika dibesarkan di tempat selain KL. Pasti, saya akan menjadi manusia yang sedikit berbeza.

Inilah Kuala Lumpur saya. Saling tak dapat dipisahkan. Terikat dalam kenangan.

Sekian.

19 Januari 2011

Di Mana Dia Manusia Sempurna?

Menyusuri lembah kehidupan, kita akan bertemu dengan macam-macam ragam manusia. Ada yang begitu, ada yang begini. Begitulah indahnya ciptaan Tuhan yang maha esa. Mampu menciptakan makhlukNya dalam pelbagai jenis dan rupa – lambang kebesaranNya.

Saya suka memerhatikan kerenah mereka yang bergelar manusia, sebab saya dapat melihat tentang hakikat sebuah kehidupan. Kita harus lihat manusia lain dengan mata hati, tanpa rasa prejudis dan kritis – kerana tiap yang terpancar dari perwatakan seseorang itu – pasti ada sejarahnya yang tersendiri.

Dan seperti yang saya katakan sebelum ini, tidak ada manusia yang sempurna. Baik dari segi tingkah dan laku, juga paras dan rupa. Oleh itu, terimalah insan lain seadanya. Setiap kali kita bersua dengan rakan yang baru – saya selalu mengingati diri sendiri bahawa orang itu juga manusia biasa – dengan keupayaan yang berbeza-beza dan harus kita terima dia seadanya.

Apabila berhadapan dengan manusia yang ‘sukar’ – begitulah apa yang selalu saya ingatkan kepada diri sendiri. Meski pun dalam hati ini terasa betapa pedihnya apabila dilayan seperti orang yang tiada perasaan – itu sebenarnya adalah kelemahan dia. Bukan kelemahan saya.

Jangan jadikan kelemahan orang lain untuk menjaga adab dan tatasusilanya sebagai alasan untuk kita sendiri menjadi sedih dan berduka lara. Hal ini sering terjadi apabila saya selalu tertanya-tanya apakah kesalahan dan kesilapan diri sendiri sehingga mereka ‘terpaksa’ membuang budi bahasa mereka ke dalam tong sampah?

Biarlah, mereka dengan kelemahan mereka itu. Kita harus terus kekal menjadi manusia berjiwa besar. Kadang-kadang, sifat mereka itu bukan kerana interaksi dengan kita, tetapi atas sebab kelemahan mereka sendiri – menjaga adab menjaga sifat. Tak perlulah membuang masa untuk perkara yang bukan-bukan.

Mungkin di situlah terletaknya kunci kemaafan, membuka pintu jiwa agar dendam kesumat tidak terperangkap di dalam hati. Jangan pernah meminta orang lain untuk jadi sempurna. Terimalah dia seadanya. Kalau di berbuat onar, sesungguhnya itu kelemahan dia sebagai manusia – yang tak pernah sempurna.

Wassalam.

14 Januari 2011

Catatan Buat Kalian

Kalian,

Izinkan aku untuk menyisipkan sedikit bicara. Ketika langit bergegar bersama ribut yang mencengkam jiwa, ayuhlah kita duduk sebentar di hujung mimpi, bermuhasabah dan merenung sedalam-dalamnya. Jangan biarkan lara menjadi penghalang buat kita mencari penawar derita.

Lewat pertelingkahan tempoh hari, aku merasakan resah dan gelisah mula menceroboh dada. Entahlah, bagai dihimpit oleh dua buah dinding yang berkaca. Tak berani untuk aku mentamsilkan ia di atas sebuah neraca. Bimbang-bimbang, hilang pertimbangan, hilang juga perhitungan.

Tetapi, sebagai seorang rafik yang mahukan wasilah kita kekal utuh, aku merasakan ada keperluan buatku menitipkan rasa, mencurahkan jiwa. Aku telah menganggap kalian bagaikan saudara kandungku sendiri, saudara dalam tinta dan cinta. Dan katakanlah kepadaku, saudara mana yang mahukan ribut taufan menghancurkan sebuah mahligai milik keluarga?

Benar, yang hitam tetap hitam. Yang putih tetap putih. Keterlanjuran telah dilakukan. Sekali lagi, nyatakanlah, manusia mana yang tak pernah membuat kesilapan? Siapa antara kalian yang tidak pernah berbuat salah dan khilaf? Sebagai seorang saudara, atau setidak-tidaknya teman yang rapat, aku kira kita harus bijak menilai – menjaring antara fakta, emosi, imaginasi, dan fantasi.

Seharusnya, kita lihat semula, di mana letak rasa percaya. Usah melulu dalam membuat apa-apa jua keputusan, bimbang akan memerangkap diri sendiri. Bak kata orang-orang dahulu – malu bertanya sesat jalan. Maka, apalah salah kalau sebuah khabar berita dimulakan dengan siasatan dahulu? Mengapa harus dicanang ke seluruh alam – sehingga gegarnya mencalarkan arang ke wajah kita sendiri.

Dahulu, pernah aku impikan kita bersatu bagaikan keluarga yang bahagia. Bergelak ketawa, bersenda gurau – tetapi masih menjaga batas dan sempadan. Apakah mimpi itu telah hancur berkecai, wahai kalian? Apakah boleh bagi kita untuk mengutip sisa-sisanya bersama untuk ditampal kembali, agar teguh berdiri, meski kesan retaknya tak mungkin akan kita sembunyi.

Adakalanya, kita masih bertindak bagai anak-anak kecil yang masih belum matang. Bertelagah atas perkara yang bukan apa-apa pun pada mulanya. Begitulah, apabila perasaan melampaui pemikiran. Sifat anak-anak mungil yang entah bila dapat disisihkan dari ruang pandangan.

Kalian, aku merayu tolonglah jangan disimbah api ke dalam minyak yang mendidih. Sesekali, ayuhlah kita bersabar – dan biarkan kesabaran itu mendinginkan perasaan yang mungkin dihangatkan oleh bisik durjana. Rengkuh keluar segala sifat dendam dan amarah, buang jauh-jauh ke dalam catatan sejarah.

Biarlah episod duka ini, menjadi pengajaran buat kau dan aku, kita – yang mungkin kadang-kadang alpa tentang hakikat kehidupan. Bermuhasabahlah kita. Sesungguhnya, kalian harus menjadi cermin kepada satu sama lain. Kalau ada yang tersilap, ada pula yang menegur. Itu yang semanisnya.

Maafkan aku kalau catatan ini mengguris jiwa dengan kata-kata yang tersesat makna. Telah sehabis daya, aku cuba menyelindung cerita. Anggaplah sahaja ini sebagai repekan rambang daripadaku. Kalau ada yang memahami, syukur. Kalau tiada, apakan daya. Bacalah dengan seada-ada.

Wassalam.

Azree Ariffin.

11 November 2010

Tekanan Peperiksaan

Jam sudah menunjukkan pukul 5 pagi. Dan saya sendiri keseorangan di McDonalds di kawasan sekitar kampus, sedang bermain-main dengan komputer riba – melayari Facebook. Sambil menghirup air Coca-Cola yang saya letakkan di sebelah buku-buku yang dibawa – tidak terbaca.

Dan, berita yang paling bagus dan best sekali, saya ada periksa pada pukul 9 pagi nanti. Ya, 4 JAM LAGI YA!

Oh, waktu peperiksaan begini memang antara waktu yang sangat saya tidak suka. Berdepan dengan tekanan, di kala kesuntukan masa mahu mengejar segala apa yang belum disiapkan, dan ditambah lagi dengan segala bisik-bisik sang durjana yang sentiasa datang untuk melemahkan semangat.

Ketika sudah hampir di penghujung ini, begitu banyak dugaan datang. Kadang-kadang ada rasa letih, ada juga rasa lemah dan rimas. Entah kenapa, rasa sudah tak terdaya. Saya tahu, saya faham. Segala ini untuk masa depan. Tapi, bila hati tidak ada kekuatan daya, maka mengalahlah ia kepada kehendak dan keinginan yang entah apa-apa.

Sabar. Sabar. SABAR.

23 Oktober 2010

Anticipating The Future

It’s been a while since the last time I updated this blog. In between both, there were a lot of things that happened in my life, although not really major, but is worthwhile to be blogged about. It’s not because I haven’t got the time, in fact, I have plenty of it.

It’s just that since the wireless internet connection in my hostel room got broken because of some problems, my access to the internet is not at ease anymore. Adding up, I’ve messed up with my internet setting that makes me unable to use the wireless service at other parts of the university.

Oh well, I guess that helps me to focus more on to my studies. NOT! Haha. Although the final examinations are just around the corner, I’m still searching for the right gear to start up my engine towards the examination mood.

It seems that in this final year of my studies, the emotion has been all mixed up. I’ve been thinking about the working life, and that makes me feel more and more eager to finish up my studies. Seriously, after 4 years of degree, plus the matriculation days and school, i’ve spent my whole entire life up to this date on formal education.

Yup, I know that life is an ongoing process of learning. But, at some point I would love to try something new. I want to use my knowledge to good use, in a practical way. By doing so, I’m eager to anticipate what the future got in store for me.

Better get this examination thing finished once and for all.

In the mean time, I don’t plan on updating this blog up until I finished the exams on the 12th of November. If I do, thats a bonus. Do expect some backdated entries after that, since there were few events that I would like to document and share with all of you.

Plus, a new look for the blog. I heard some people said that this blog uploads pretty slow. Hence, I’ll try to find a simple template design in order to maximize the uploading time. Watch out for it!

Till then, pray for my success!

19 Ogos 2010

Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-23

IMG_0179

Tanggal 19 Ogos.

Tarikh keramat yang punya makna yang cukup besar bagi saya, setiap tahun. Pada tanggal inilah pada 23 tahun lepas, saya dilahirkan sebagai putera sulung kepada Papa dan Mama. Bertempat di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur; segalanya bermula untuk seorang insan bernama Azree Ariffin – yang membawa erti “kekuatanku adalah kebijaksanaan”.

Seingat saya, bonda menceritakan bahawa tidak lama selepas kelahiran, saya telah mengalami demam panas sehingga terpaksa disuntik belakang badan saya untuk diambil airnya. Resah dan gundah terbit di hati nenda, yang telah banyak membantu membesarkan saya bersama bonda. Dan, masa pun berlalu.

Alhamdulillah, saya sembuh dan terus menjalani kehidupan seperti kanak-kanak yang lain. Membesar di bumi Kuala Lumpur. Menjadi seorang anak kota yang mengejar sesuatu yang dirinduinya. Rindu kepada angin jagatraya yang tenang dalam rimbun perkasihan.

Dan hari ini, datang kembali saat itu. Saya bukanlah seorang yang menyambut hari ulang tahun kelahiran dengan rasa teruja. Sekadar menerima kehadiran tanggal tersebut dengan rasa syukur dan berterima kasih atas nikmatNya yang telah diberikan sepanjang kehidupan 23 tahun ini. Doa dan rindu sudah cukup membahagiakan hati saya.

IMG_0162

Semalam, saya telah dikejutkan dengan sebuah sambutan hari jadi yang amat saya tidak sangka-sangka. Asalnya, hendak keluar minum-minum sahaja dengan seorang teman di tempat biasa. Saya dapat mengagak bahawa ada tentu ada apa-apa yang akan dilakukan. Tapi, tidak mengharapkan apa-apa. Hujan yang lebat turun pun telah melenyapkan pelbagai spekulasi yang dibuat.

Tiba di restoran, saya disambut teman saya itu. Keadaan seperti biasa saja. Saya juga masih belum selesai menenangkan diri setelah basah kuyup terkena hujan. Duduk saja di kerusi, tiba-tiba datang sebuah kek berhias lilin yang dinyalakan dari belakang.

“Happy Birthday to You, Happy Birthday to You, Happy Birthday to Azree, Happy Birthday to You!”

Terharu sungguh! Aduhai saya tak pernah rasa dihargai sebegini. Kali pertama mendapat sambutan kejutan seperti ini. Dari balik dinding, muncul pula dua lagi teman yang datang jauh dari Shah Alam semata-mata untuk meraikan hari lahir saya. Dan senyum pun menguntum, menjadi bunga di hati.

Kepada kalian, saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Kata-kata tidak dapat menggantikan rasa penuh penghargaan saya terhadap ingatan kalian. Anda tahu siapa diri anda!         IMG_0170 

Sebagai pelengkap kepada Kek Secret Recipe itu, diiringkan sekali dengan donut Big Apple yang dibawakan khas dari Shah Alam. Bersamanya, saya pesan segelas air limau madu.

Segalanya sangat istimewa. Hari yang istimewa, teman yang istimewa, tempat yang istimewa. Restoran Tropika Corner di Taman Melati yang menjadi rumah makan hinggap kami telah memberikan layanan yang terbaik, dan khabarnya mereka begitu sporting berkomplot dengan teman-teman saya untuk menjayakan sambutan mengejut ini.

Oh, kecuali satu.

.

.

.

.

.

    IMG_0175Ya, saya telah dibaling tepung. Boleh pula, selepas kami hendak beredar  keluar, dengan berpura-puranya, mereka telah buat-buat sibuk, dan masuk ke dalam restoran kembali. Saya pun hairan. Mungkin tertinggal barang agaknya.

Rupa-rupanya, ada agenda yang belum habis lagi! Oh, tak mengapa tak mengapa.

Ada ubi ada batas, ada hari boleh balas. Hahah! Dendam kesumat ini akan saya simpan ke hari lahir kalian ya! Tunggu sahaja!

IMG_0177

Esoknya, semasa tarikh hari lahir, saya telah kembali ke rumah, kepada keluarga tercinta untuk berbuka puasa bersama mereka. Dan, inilah kek yang telah dibeli untuk sambutan keluarga. Chocolate Indulgence dari Secret Recipe.

Saya bahagia dan gembira kerana ada orang-orang yang istimewa ini di sekeliling. Terima kasih atas segala sokongan dan perhatian. Kamu semua memang terbaik sungguh!

Saya tinggalkan anda dengan pautan ke entri hari lahir saya tahun lepas : Selamat Hari Lahir ke-22, Azree!

Wassalam!

13 Ogos 2010

Ramadan Datang Lagi!

Sudah masuk bulan Ramadan. Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya melaluinya dengan cukup sederhana. Tahun ini, tidak ada apa persiapan sangat yang saya buat. Lantaran kesibukan dengan Pesta Pantun MAKUM 2010 yang tarikhnya jatuh sejurus sebelum awal Ramadan, sedar-sedar saja sudah hendak mula puasa.

Biasanya, saya tak ada masalah sangat hendak memulakan puasa pada hari pertama. Malah, tarikh 1 Ramadan itu sebenarnya memang waktu kemuncak dalam memulakan azam untuk memperbanyakkan ibadah sepanjang waktu yang mulia ini. Moga-moga akan berkekalanlah azam tersebut.

Iftar pertama, memang sudah jadi tradisi untuk diadakan bersama keluarga tercinta. Itu sudah wajib. Juadahnya biasa-biasa sahaja, tidaklah ada apa yang berbeza, tetapi yang penting saat-saat bersama keluarga itu. Lagipun, rumah saya sangat dekat dengan kampus. Daripada berbuka seorang di mahallah, baiklah saya balik rumah menemani keluarga.

Setakat itu sahaja cerita awal Ramadan kali ini. Maafkan saya sebab meninggalkan blog ini sangat lama sebelum ini. Pertamanya, saya sangat sibuk dengan PPM’10 sehinggakan tak sempat hendak buat entri baru. Keduanya pula, ada sedikit masalah dengan sambungan internet di bilik kolej kediaman. Ini pun baru boleh sambung balik.

Baiklah, sehingga sini dulu. Mahu pergi ke Bazaar Ramadan membeli juadah berbuka.

Selamat berpuasa!

23 Mei 2010

Kasih Sayang Juga Rezeki

Ya Razak, Ya Razak, Ya Razak.

Itulah zikir yang diajarkan oleh seorang kenalan saya seandainya mengalami patah hati ataupun kesepian dalam kehidupan. Beliau berpandangan, meskipun zikir tersebut adalah salah satu daripada Asmaul Husna yang bermaksud Maha Pemberi Rezeki, ia bukanlah sahaja dikhususkan untuk meminta rezeki berbentuk harta duniawi. Rezeki boleh datang dalam pelbagai bentuk dan rupa. Rumah itu rezeki, anak itu rezeki, pengiktirafan itu rezeki; malah, kasih sayang itu juga rezeki.

Ya, mungkin ada yang berselisih pendapat, tetapi saya setuju dengan pandangan beliau. Kasih sayang itu satu rezeki kerana ia datang daripada Allah SWT dan dengan kebenaranNya sahajalah, kita dapat beroleh nikmat dan keberkatan. Kasih sayang sememangnya didambakan oleh setiap insan, tapi ada yang mendapat, ada yang tidak.

Seandainya kamu menyintai seseorang, namun usaha yang kamu lakukan seakan-akan bertepuk sebelah tangan, ketahuilah sesungguhnya rezeki itu belum tiba. Bersabarlah dan berdoa banyak-banyak kepada tuhan agak dikurniakan rezeki yang berpanjangan, bukan sahaja dari segi harta, tetapi juga jodoh dan kasih sayang.

Seperti juga rezeki harta, ada harta yang memang tertulis milik kamu, ada juga yang tersurat itu bukan milik kamu. Walau diusahakan dengan bermacam-macam cara, andai sudah tertulis bahawa harta tersebut bukan milik kamu, sampai bila-bila pun kamu tak akan memilikinya.

Itulah dinamakan rezeki. Ia akan datang juga, tapi mungkin bukan dalam bentuk yang kita mahu. Tuhan itu maha bijaksana, Dia punya rahsia dalam mengagihkan rezeki kepada hamba yang dikehendaki-Nya – dalam bentuk apa yang Dia mahukan. Kita sebagai manusia harus yakin akan perkara ini – kerana di situlah terletaknya rasa redha dan taqwa sebagai insan yang kerdil.

Seperti harta duniawi yang mampu mengaburi mata manusia, begitulah juga cinta dan kasih sayang boleh membutakan dan memabukkan. Rezeki boleh jadi satu rahmat, boleh juga jadi satu musibah – andai kita tak pandai menanganinya.

Semoga hari-hari kita dipenuhi dengan rezeki kasih sayang yang dirahmati dan diberkati-Nya.

Wassalam.

10 Mei 2010

Entri Hari Ibu Untuk Mama

Entri ini saya dedikasikan khas untuk Mama.

Kalau hendak ditanyakan kepada saya, siapakah orang yang paling banyak menegur akan salah dan silap saya, pasti orangnya ialah Mama. Kerana Mama, saya telah menjadi manusia yang lebih kenal tentang diri, hati, dan perasaan sendiri. Mama orangnya tegas, tapi lembut. Ada banyak perkara yang saya sendiri tak sedar yang saya telah melakukan kesilapan, tetapi Mama lah yang telah menegur dan membetulkan saya supaya tidak terus mengulangi kesilapan yang sama. Tegur dengan penuh kasih dan sayang.

Kadang-kadang, saya rasa sedih dengan sikap diri sendiri yang selalu degil tak mahu mendengar kata-kata nasihat daripada Mama. Ya, saya memang susah hendak mengaku salah sendiri. Kerana itu Mama telah mengatakan saya ini degil. Tapi, ketika masa berganti masa, saya sedar bahawa teguran Mama itu sentiasa betul. Ibu siapa yang mahu menipu kepada anak sendiri? Mama tentu mahu yang terbaik untuk anaknya.

Mamalah yang telah menunjukkan apa yang betul dan salah, apa yang hak dan yang batil. Orang lain mungkin tak akan tegur perkara-perkara yang kecil yang selalu kita lakukan, namun Mama akan tegur saya kerana Mama mahu saya jadi insan yang lebih baik, di mata manusia dan di sisi tuhan.

Meskipun saya jarang menceritakan masalah kepada Mama, tapi saya dapat rasakan yang dia selalu memberikan sokongan melalui kasih sayang yang ditunjukkan. Mama telah meninggalkan kehidupannya semata-mata untuk membesarkan kami empat beradik sehingga berjaya seperti sekarang ini. Pengorbanan yang terlalu besar untuk kami.

Saya tahu Mama akan baca entri ini.

Kepada Mama, abang nak ucapkan terima kasih banyak-banyak sebab telah berkorban banyak perkara dalam membesarkan kami adik beradik. Kami semua sayang sangat kepada Mama. Ada perkara-perkara mungkin Abang tak dapat luahkan melalui percakapan, tapi melalui tulisan ini, izinkan Abang beritahu kepada seluruh dunia bahawa Mama ialah ibu yang terbaik untuk kami. :)

Selamat Hari Ibu, Mama!

16 April 2010

Saya Tak Pandai Melukis

Seperti tajuk yang tertera, biarlah saya mengaku awal-awal, sebelum kena kritik dengan pelukis-pelukis handalan kita di luar sana. Saya memanglah tak ada bakat melukis. Betull. Saya rasa tangan ni dah kaku dah nak menari-nari memainkan berus dan warna.

Tapi, jangan risau. Walau pun saya tak pandai melukis, saya boleh menulis. Jadi, saya tulislah blog ini untuk meluahkan segala isi hati yang saya rasa.

Malam semalam, entah apa angin badai yang datang, saya sedang menyelongkar laci-laci di bilik untuk mencari sesuatu. Tiba-tiba ternampaklah Poster Color kepunyaan adik bongsu saya yang berada dalam Tingkatan 2. Masih baru lagi, macam tak pernah digunakan. Maka, tiba-tiba saya pun pi lah gatal tangan mencuba nak melukis.

15042010506

Dah lama sungguh tak melukis. Sajalah nak mengekspresikan perasaan. Konon-konon anak seni lah katakann. Dalam melukis-lukis tu, melayanlah perasaan.

 15042010507

Jadi, saya siapkanlah apa yang patut. Mula-mula nak cari art block, tapi tak ada dalam rumah ni. Jadi saya pun guna kertas A4 sebagai pengganti, walaupun saya tahu, kertas A4 lebih nipis dan tak berapa sesuai untuk lukisan air. Tapi saya belasah saja.

15042010508

Saya tak tahu nak lukis apa mula-mula. Jadi, saya pun basahkan dulu kertas tu dengan air. Teknik wet on wet lah kononnya. Hahah. Ingat lagi rupanya saya. Maklumlah, dulu pernah berangan nak ambil Pendidikan Seni SPM. Tapi, berangan sajalah. Tak jadi pun ambil. Sekali lagi, sebab saya tak pandai melukis.

15042010509

Fikir punya fikir, saya lukislah pokok. Ambil sedikit warna coklat, dan lukislah batang pokok tu. Siap dengan akar, dahan, dan ranting-ranting. Tak tahulah apa saya merepek ni. Batang pokok dah rupa macam hantu dah. Tak apalah. Layankan saja. Jadi, saya pun lukis-lukislah apa yang patut.

15042010510 

Sampai jadilah lukisan yang ntah-apa-apa-ntah ni. Hahah. Mula-mula ingat nak top-up sana sini. Tapi, bila dah siap, tiba-tiba perasaan malas nak sambung mula menjelma. Tambahan pula sakit melukis sambil menunduk. Sebab lukisan ini saya letak di atas lantai. Jadi kenalah tundukkan badan sepanjang melukis.

15042010511

Inilah lukisan yang dah siap. Please keep in mind, ni hasil kerja orang yang dah lebih 8 tahun tak melukis – sejak ambil Pendidikan Seni PMR. Layankan saja. Cuba cadangkan nama yang sesuai untuk lukisan ni. Saya nak letak nama – Hantu-Hantu Hutan. haha.

Sekian.

02 April 2010

Satu Lagi Kertas - Trusts

Kini sudah 4 kertas saya habiskan. Tinggal lagi satu - lagi satu kertas sebelum saya mengisytiharkan diri saya merdeka dan bebas daripada UIA selama 2 minggu. Kerta terakhir adalah Equity & Trust 2 pada hari Rabu depan. Maknanya, saya ada jarak 6 hari antara keduanya. Kebiasaannya, jarak yang panjang ini ada bahayanya. Bila panjang sangat, kita akan rasa kurang risau dan mulalah nak releks kerana memikirkan masih ada masa. Saya kalau nak ikutkan, tak puas hati sangat dengan kertas-kertas sebelum ni. Jadi, satu-satu caranya untuk "membalas dendam" adalah dengan buat betul-betul untuk kertas terakhir ni.

Trust adalah subjek yang agak mencabar. Peratusan kegagalan sem lepas juga sangat tinggi. Khabarnya, setengah daripada mereka yang mengambil subjek ini semester lepas telah gagal untuk lulus. Aduhai takut sungguh. Marilah kita buat yang terbaik ya, kawan-kawan.

Oh, ini ada satu frasa yang saya perlu letakkan dalam blog ini. Saya baru mendaftar dengan sebuah syarikat pengiklanan ni, iaitu payperpost.com. Mereka mensyaratkan kepada saya untuk mengisi frasa ini di dalam entri baru blog ini supaya mereka dapat sahkan blog ini benar-benar kepunyaan saya. Frasa itu diterbitkan secara rambang. Takut sebenarnya nak tulis... tapi tulis jelah yer : Get your potbellied pig to mate. A fire argues?

Jumpa lagi!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan