Subscribe

10 Mei 2010

Entri Hari Ibu Untuk Mama

Entri ini saya dedikasikan khas untuk Mama.

Kalau hendak ditanyakan kepada saya, siapakah orang yang paling banyak menegur akan salah dan silap saya, pasti orangnya ialah Mama. Kerana Mama, saya telah menjadi manusia yang lebih kenal tentang diri, hati, dan perasaan sendiri. Mama orangnya tegas, tapi lembut. Ada banyak perkara yang saya sendiri tak sedar yang saya telah melakukan kesilapan, tetapi Mama lah yang telah menegur dan membetulkan saya supaya tidak terus mengulangi kesilapan yang sama. Tegur dengan penuh kasih dan sayang.

Kadang-kadang, saya rasa sedih dengan sikap diri sendiri yang selalu degil tak mahu mendengar kata-kata nasihat daripada Mama. Ya, saya memang susah hendak mengaku salah sendiri. Kerana itu Mama telah mengatakan saya ini degil. Tapi, ketika masa berganti masa, saya sedar bahawa teguran Mama itu sentiasa betul. Ibu siapa yang mahu menipu kepada anak sendiri? Mama tentu mahu yang terbaik untuk anaknya.

Mamalah yang telah menunjukkan apa yang betul dan salah, apa yang hak dan yang batil. Orang lain mungkin tak akan tegur perkara-perkara yang kecil yang selalu kita lakukan, namun Mama akan tegur saya kerana Mama mahu saya jadi insan yang lebih baik, di mata manusia dan di sisi tuhan.

Meskipun saya jarang menceritakan masalah kepada Mama, tapi saya dapat rasakan yang dia selalu memberikan sokongan melalui kasih sayang yang ditunjukkan. Mama telah meninggalkan kehidupannya semata-mata untuk membesarkan kami empat beradik sehingga berjaya seperti sekarang ini. Pengorbanan yang terlalu besar untuk kami.

Saya tahu Mama akan baca entri ini.

Kepada Mama, abang nak ucapkan terima kasih banyak-banyak sebab telah berkorban banyak perkara dalam membesarkan kami adik beradik. Kami semua sayang sangat kepada Mama. Ada perkara-perkara mungkin Abang tak dapat luahkan melalui percakapan, tapi melalui tulisan ini, izinkan Abang beritahu kepada seluruh dunia bahawa Mama ialah ibu yang terbaik untuk kami. :)

Selamat Hari Ibu, Mama!

0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan