Ya Razak, Ya Razak, Ya Razak.
Itulah zikir yang diajarkan oleh seorang kenalan saya seandainya mengalami patah hati ataupun kesepian dalam kehidupan. Beliau berpandangan, meskipun zikir tersebut adalah salah satu daripada Asmaul Husna yang bermaksud Maha Pemberi Rezeki, ia bukanlah sahaja dikhususkan untuk meminta rezeki berbentuk harta duniawi. Rezeki boleh datang dalam pelbagai bentuk dan rupa. Rumah itu rezeki, anak itu rezeki, pengiktirafan itu rezeki; malah, kasih sayang itu juga rezeki.
Ya, mungkin ada yang berselisih pendapat, tetapi saya setuju dengan pandangan beliau. Kasih sayang itu satu rezeki kerana ia datang daripada Allah SWT dan dengan kebenaranNya sahajalah, kita dapat beroleh nikmat dan keberkatan. Kasih sayang sememangnya didambakan oleh setiap insan, tapi ada yang mendapat, ada yang tidak.
Seandainya kamu menyintai seseorang, namun usaha yang kamu lakukan seakan-akan bertepuk sebelah tangan, ketahuilah sesungguhnya rezeki itu belum tiba. Bersabarlah dan berdoa banyak-banyak kepada tuhan agak dikurniakan rezeki yang berpanjangan, bukan sahaja dari segi harta, tetapi juga jodoh dan kasih sayang.
Seperti juga rezeki harta, ada harta yang memang tertulis milik kamu, ada juga yang tersurat itu bukan milik kamu. Walau diusahakan dengan bermacam-macam cara, andai sudah tertulis bahawa harta tersebut bukan milik kamu, sampai bila-bila pun kamu tak akan memilikinya.
Itulah dinamakan rezeki. Ia akan datang juga, tapi mungkin bukan dalam bentuk yang kita mahu. Tuhan itu maha bijaksana, Dia punya rahsia dalam mengagihkan rezeki kepada hamba yang dikehendaki-Nya – dalam bentuk apa yang Dia mahukan. Kita sebagai manusia harus yakin akan perkara ini – kerana di situlah terletaknya rasa redha dan taqwa sebagai insan yang kerdil.
Seperti harta duniawi yang mampu mengaburi mata manusia, begitulah juga cinta dan kasih sayang boleh membutakan dan memabukkan. Rezeki boleh jadi satu rahmat, boleh juga jadi satu musibah – andai kita tak pandai menanganinya.
Semoga hari-hari kita dipenuhi dengan rezeki kasih sayang yang dirahmati dan diberkati-Nya.
Wassalam.
8 komentar:
kalo xde kasih sayang,ape jadi ntah kat dunia ni kan...rezeki jugak tu,.
@Sang Saka Betul tu, wahai Sang Saka. Kita harus bersyukur dengan rezeki yang kita dapat... :)
salam ziarah sahabat, kasih sayang pengubat jiwa yang kosong
kasih sayang lahir dpd naluri semula jadi yg tidak dipaksakan. perkara yg tidak dipaksakan datang dengan sendiri. itu adalah anugerah tuhan. sama spt rezki yg diberikan
kasih sayang adalah penyambung silaturrahim. sudah tentu kasih sayang itu satu rezeki kalau putus kasih sayang maka putuslah rahmat Allah Taala.
@tg shaaban ya... moga-moga Allah memberikan kita rezeki kasih sayang yang berpanjangan...
@kak cabai Selamat datang ye! terima kasih atas komen anda...
@akuvision Salam ziarah juga... moga-moga hati kita terisi dengan cinta kepada-NYa...
Catat Ulasan