Subscribe

22 Mei 2010

Citrawarna 1Malaysia 2010

Setiap tahun saya hendak menghadiri perarakan Citrawarna Malaysia, tapi setiap kali itulah mesti ada aral melintang. Macam tahun ini, saya baru dapat tahu semalam bahawa Citrawarna akan diadakan malam ini. Jadi, untuk mengubati kekecewaan saya, marilah kamu baca catatan blog yang saya buat live sambil duduk bersila di depan telesyen menonton TV2 sambil makan keropok. Hahaha.

Citrawarna Malaysia ataupun Colours of Malaysia adalah sebuah perarakan kebudayaan dan pelancongan yang diadakan setiap tahun sejak tahun 1999. Ia biasanya diadakan di Dataran Merdeka KL tetapi pernah juga diadakan di Putrajaya. Saya fikir, eloklah kalau ia terus dikekalkan di Kuala Lumpur sebagai satu ikon acara kebudayaan terulung di rantau Asia.

Citrawarna 1Malaysia 2010 telah diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri. Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Datuk Seri Ng Yen Yen, Menteri Pelancongan Malaysia. Sejurus selepas itu, diadakan istiadat penyerahan watikah kepada YDP. Gimik yang dibuat adalah dengan perbarisan pasangan-pasangan 1Malaysia memakai pakaian tradisional masing-masing. Sambil itu, muzik nobat turut berkumandang sebagai pengiring kepada ucapan perasmian oleh YDPA.

Persembahan bermula dengan paluan gendang-gendang dari etnik pelbagai kaum di Malaysia. Segmen tersebut dinamakan “Gegaran Gendang 1Malaysia”. Ada 10 jidor, 20 gendang Cina, 20 gendang India, 10 gendang Sarawak, 10 gendang Sabah, 10 rebana ubi, dan 20 buah kompang. Ia diikuti nyanyian lagu Citrawarna Malaysia oleh Zarina, Karen Tan, dan Cogie.

SEGMEN PANTAI TIMUR

Zon ini mengambil konsep homestay sebagai tema persembahan. Lagu yang dipilih mengiringi persembahan adalah Joget Jambu Merah yang dipersembahkan oleh Haziq AF dan Sabihah. Tak boleh nak komen banyak, sebab ada iklan, jadi dapat tengok sikit saja.

SEGMEN SEWANG

Menurut juruacara, ia disertai oleh pelajar-pelajar sekolah, kebanyakannya dari Kinrara. Jadi, saya tak pasti samada ada Orang Asli atau tak. Tapi, dari segi rupa, macam kurang Orang Asli. Oh, saya sebenarnya tertanya-tanya kenapa mereka diperkenalkan sebagai “Orang Kita” ya? Saya tahu memang ada penukaran istilah, tapi rasa macam ia tak perlu ditukar. Keseluruhannya, boleh tahan.

SEGMEN ZON UTARA

Menonton segmen ini, saya jadi lapar. Mana taknya, tema makanan dipilih untuk memeriahkan acara. Ada gerai-gerai dibina untuk menunjukkan konsep makanan di Malaysia. Ada mee goreng, teh tarik, sup daging, satay, kue teow, dan macam-macam lagilah. Yang menarik, ada juga lagu ditujukan khas untuk teh tarik ye!

SEGMEN MASYARAKAT CINA

Elemen utama yang diketengahkan adalah tarian naga dan tarian harimau. Tak lupa juga tarian kipas yang dipersembahkan oleh adik-adik sekolah. Saya lihat budak-budak tu tebal sungguh make-up mereka. Kalau yang cerah tak apa, tapi yang gelap tu bila ditepek bedak dah tak rupa macam manusia. :p Tapi tak mengapa, persembahan mereka best. :)

SEGMEN ZON TENGAH

Agak urban sikit segmen ini. Dengan tema shopping paradise, mereka mengambil unsur-unsur breakdance dan rapping di dalam persembahan. Tak ketinggalan, ada juga penari yang menjadi kaku – seperti mengajuk aktiviti Freez yang semakin popular sekarang ini. Lagu Ibu Kota Permai telah diremixkan. Not bad. Bolehlah diterima. :)

SEGMEN ZON SELATAN

Lagu Bercanda Di Pasiran Pantai menjadi latarbelakang – dinyanyikan oleh Bob dan Winnie Kok. Sesuai dengan tema pulau-pulau dan pantai-pantai. Batik Malaysia digunakan untuk mewujudkan suasana bersantai di tepi pantai. Prop-prop tepian pantai juga ada diletakkan. Dapatlah rasa feel di tepi pantai-pantai tu. Aduh, dah lama juga saya tak ke pulau dan pantai ye!

SEGMEN KOMUNITI INDIA

Saaya suka! Macam sedang menonton filem Bollywood pula. Ada penari yang menari tarian klasik India, tapi tumpuan lebih kepada elemen tarian Merak. Kesenian dan kebudayaan India sebenarnya memang unik. Dari muzik, tarian, filem, dan sebagainya, semuanya sangat berwarna-warni. InsyaAllah satu hari nanti teringin saya mendalami kebudayaan mereka. 

SEGMEN ZON SABAH & SARAWAK

Eco-tourism – itulah tema yang telah dipilih. Segmen ini boleh dikatakan antara yang paling tradisional berbanding dengann segmen-segmen zon lain. Yang lain nampak agak kontemporari kerana mengikut tema yang diberikan. Tetapi untuk zon ini, masih ada tarian tradisional mereka dipersembahkan. Tema eco-tourism itu pula yang tidak nampak sangat.

FACES OF 1MALAYSIA

Persembahan ini pernah dipersembahkan di Washington D.C. sewaktu Perdana Menteri kita ke sana. Ia melibatkan kesemua tarian Malaysia. Yang menarik adalah bulatan perpaduan, yang melambangkan perpaduan rakyat Malaysia dalam kepelbagaian. Memang patutlah bagus, sebab dah dipersembahkan di luar negara. :)

TARIAN CUTI-CUTI 1MALAYSIA 

Ini segmen paling menarik! Penari-penarinya bukan profesional – tapi terdiri daripada masyarakat Malaysia yang kita temu setiap hari. Yang saya tengok ramai makcik-makcik yang menarikan tarian pelbagai kaum. Comel sungguh. Mula-mula dengan joget, kemudian tarian cina, tarian india, tarian sewang, tarian sabah, dan tarian sarawak.

PERSEMBAHAN DIKIR BARAT TERBESAR MALAYSIA!

Dikir Barat ini disertai oleh kesemua peserta-peserta perarakan Citrawarna. Jadi, kita dapat lihat bukan orang Kelantan saja berdikir, malah rakyat pelbagai kaum juga turut serta. Tajuk lagunya – DIKIR CITRAWARNA. Saya suka sangat lagunya. Harap ia boleh dirakamkan untuk simpanan

Seperti biasa, acara gilang gemilang ini telah diakhiri dengan nyanyian lagu Malaysia Truly Asia oleh Datuk Khatijah Ibrahim.  Teringin persembahan saya menggunakan lagu ini di sini. Tak ketinggalan, acara wajib joget lambak yang digemari oleh semua seluruh rakyat Malaysia.

Keseluruhannya, program ini sangat berjaya. Cuma, saya rasakan promosi untuk Citrawarna ini sangat-sangat kurang. Saya sendiri baru tahu mengenai acara ini semalam. Mungkin promosi ada di TV, tapi di internet sangat kurang. Saya nak dapatkan maklumat berkenaan acara ini di internet pun agak sukar. Jadi, harap kelemahan ini dapat diperbaiki tahun depan.

Sekian!

0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan