Subscribe
Memaparkan catatan dengan label Aidilfitri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aidilfitri. Papar semua catatan

12 September 2010

Bermaaf-Maafan Di Pagi Raya

image

Bagi saya, keindahan sebenar dalam kita menyambut kemeriahan Hari Raya Aidilfitri adalah kerana adanya adat dan budaya bermaaf-maafan setiap kali hari mulia ini menjelma. Benarlah, seperti mana yang dikatakan dengan Aidilfitri itu sendiri yang bermaksud perayaan kita kembali kepada fitrah.

Kita kembali kepada fitrah, setelah menyucikan diri selama sebulan dengan berpuasa sepanjang Ramadan, yang menjadi madrasah terbaik untuk melatih diri menghadapi cabaran dan dugaan duniawi.

Memang, kita diajar untuk bermaafan pada setiap masa, bukan sahaja pada Hari Raya sahaja. Namun, kehadiran syawal setiap tahun, umpama sebuah peringatan untuk menjernihkan hati nurani kita, sebagai lambang kemenangan menempuh Ramadan dengan kesabaran.

Tidak kisahlah, meriah atau tidak. Baju baru, baju lama ataupun beza pangkat dan darjat. Hari Raya harus disambut dengan penuh kesyukuran, kerana itulah sebenar-benarnya mercu kejayaan kita di hari kemenangan.

Tahun ini, perayaan Aidilfitri saya seperti biasa sahaja. Rutin seperti kebiasaan. Maklumlah, beraya di kota, gayanya lain berbanding beraya di desa. Anda boleh baca entri “Pengalaman Beraya di Kota” yang saya tulis tahun lepas untuk mendapatkan gambarannya. Sama saja seperti tahun-tahun lepas, jadi tak perlu rasanya saya ulang.

Biru menjadi pilihan kami sekeluarga tahun ini. Kami buat baju raya setiap dua tahun, kerana adik-adik saya pun tidak selalu pakai Baju Melayu. Kecuali saya, yang harus beli setiap tahun kerana memang saya perlu memakainya untuk kegiatan-kegiatan saya.

Oh, lepas ini saya akan cerita pengalaman saya ke Jalan TAR pada malam raya. Satu pengalamann yang membuatkan saya mengantuk sepanjang hari raya pertama!

Wassalam!

Rumah Terbuka Raya Ketiga

image

Sebenarnya, bukanlah Rumah Terbuka; tetapi kunjungan daripada sanak-saudara daripada sebelah Ayah saya. Sudah menjadi kebiasaan dalam keluarga kami, sebaik sahaja Rumah Terbuka datuk saudara saya di Shah Alam, kami semua akan singgah di rumah keluarga saya untuk  ziarah berhari raya.

Keluarga sebelah Ayah saya besar, kalau hendak dibandingkan dengan sebelah Ibu. Ayah ada 9 orang adik beradik seibu dan sebapa. Ayah saya satu-satunya anak lelaki yang masih hidup, berikutan dua orang lagi abangnya yang telah meninggal sewaktu bayi lagi. Mereka tidak dikira dalam 9 orang itu.  Maka, saya ada 8 orang ibu saudara.

Mak Long, Mak Ngah, Mak Lang, Mak Chek, Mak Uda, Mak Teh, dan Mak Ucu. Ada seorang lagi, namanya Allahyarhamah Mak Cik Kamariah – saudara kembar kepada Mak Uda. Semua keluarga mereka hadir ke beraya di rumah, kecuali keluarga Mak Uda.

Hidangan yang disediakan – seperti biasa : rendang, lemang, ketupat, serunding dan ditambah pula dengan Laksa Johor. Sangat sedap!

Sewaktu kunjungan tadi, Mak Long bercerita dengan saya mengenai darah keturunan sebelah nenek dan datuk saya. Sebelum ini, saya hanya sangka saya punya darah Bugis dan Cina dari sebelah ayah. Rupanya, itu hanya di sebelah nenek. Sebelah datuk pula, saya mewarisi darah Jawa dan Acheh. Maksudnya, saya punya darah Bugis + Jawa + Acheh + Cina. Menarik!

Ketika waktu sebegini yang kita perlu hargai. Saat-saat berkumpul dengan sanak-saudara, bercerita, bertanya khabar, dan bergurau senda. Ketika susah, keluargalah tempat kita bergantung, bukan orang lain. Dan kerana merekalah, hari raya menjadi lebih sempurna!

11 September 2010

Salam Aidilfitri 2010

Fajar menyingsing melabuhkan tirai malam, terbitlah suria pagi; Takbir bergema memecahkan hening alam, tibalah masa dinanti.

image

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI kepada kesemua pembaca laman blog azreeariffin.com ini, tak kira sama ada anda adalah kenalan nyata atau kenalan maya. Semoga Aidilfitri kali ini, kita semua telah membersihkan diri sepanjang bertafakur di madrasah Ramadan, dan membawa segala amalan yang telah dilatih sepanjang bulan mulia itu ke dalam kehidupan kita.

Atas segala keterlanjuran dalam bicara, keterlebihan dalam perlakuan; saya menyusun sepuluh jari seikhlas hati memohon keampunan MAAF ZAHIR BATIN kepada semua. Mungkin ada catatan saya di sini yang menyinggung sesiapa tanpa saya sedari. Percayalah, tidak ada niat sedetik pun di hati untuk menyakiti hati sesiapa.

Syawal menjelma penuh debaran,

Takbir bergema sambut lebaran,

Atas segala silap dan khilaf;

Ampun dipinta kupohon maaf.

Ikhlas,

AzreeAriffin.

05 Oktober 2009

Majlis Sambutan Aidilfitri UIAM 2009

Jumaat lepas saya memenuhi undangan daripada pihak UIAM selaku presiden kelab bagi menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri UIAM yang diadakan di Dewan Utama, Pusat Aktiviti Kebudayaan. Majlis ini terbuka kepada seluruh warga UIA termasuklah pensyarah dan juga pelajar. Ketua Perlembagaan UIA, Sultan Ahmad Shah telah sudi memeriahkan acara ini.

Pelbagai juadah Aidilfitri telah disajikan, bukan sahaja daripada Malaysia, tetapi juga hidangan daripada negara-negara seperti China, Arab Saudi, Bangladesh, dan pelbagai lagi. Hidangan-hidangan tersebut telah disediakan oleh pensyarah-pensyarah antarabangsa dari UIA. Alhamdullillah, terubat juga kerinduan saya terhadap makanan-makanan raya ini, setelah seminggu bermukim di kampus.

Majlis juga telah dimeriahkan dengan persembahan-persembahan kebudayaan oleh Kelab Angklung, Kelab Perkusi, dan Band UIAM. Berikut gambar-gambar yang sempat saya tangkap sewaktu berlangsungnya acara tersebut.





28 September 2009

Malam Raya 2009


Rasanya masih belum terlambat bagi saya untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca blog ini. Maafkan saya andai adanya sebarang keterlanjuran kata-kata sepanjang perkenalan kita, sama ada di luar ataupun di dalam alam maya ini. Saya dengan rendah dirinya, mengharapkan kemaafan daripada tuan-tuan. Yang baik itu datang daripada Allah S.W.T manakala yang buruk itu datan daripada kelemahan saya sebegai seorang manusia.

Bercerita mengenai sambutan hari raya, pastilah ramai di kalangan kita akan sibuk membuat persiapan untuk balik ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut lebaran. Saya pula, setiap tahun akan meraikan kedatangan Syawal di kediaman keluarga di Petaling Jaya. Beraya di kota ini ada sedikit bezanya berbanding di kampung halaman.

Secara tradisinya, kami sekeluarga akan berbuka puasa pada malam raya di rumah nenda sebelah bapa di Kampung Melayu Ampang. Waktu itulah kesemua anggota keluarga akan berkumpul bagi meraikan kedatangan Aidilfitri yang menjelang tiba. Malamnya, saya dan saudara-saudara lelaki yang lain akan bertakbir dari rumah ke rumah mengikut rombongan masjid. Kalau dahulu, waktu inilah yang paling saya tunggu-tunggu kerana berpeluang menuai duit raya. Namun, sekarang ini tentunya sudah tiada kutipan lagi. Begitu masa pantas berlalu meninggalkan kenangan.

Saya teringat waktu dahulu apabila boleh dikatakan hampir kesemua saudara-mara saya berkumpul di rumah nenda pada malam raya. Seronok sungguh. Waktu itu, Kampung Melayu Ampang seolah-oleh bertukar menjadi sebuah medan perang apabila percikan bunga api dan mercun meletup di sana-sini. Sepupu-sepupu bermain di luar, manakala yang dewasa berkumpul di dalam rumah sambil berborak dan bergurau senda. Ah, betapa bahagianya.

Tetapi, kemeriahan tersebut saban tahun makin berkurangan. Maklumlah, ibu-ibu saudara saya kebanyakannya sudah bergelar nenek dan keluarga masing-masing sudah berkembang. Jadi tentulah masing-masing sudah ada komitmen masing-masing. Ramai yang memilih untuk meraikan bersama keluarga induk masing-masing. Kemeriahan yang dahulunya dinanti-nantikan sudah menjadi semakin suram. Tidak mengapalah, yang penting kita berada di samping keluarga tercinta.

Tahun ini, ada sedikit kelainan apabila malam raya saya ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Kalau setiap tahun, saya sekadar melalui sahaja jalan tersebut untuk balik ke Petaling Jaya - tahun ini saya telah dijemput oleh sepupu saya, Kak Intan untuk menyertai beliau membeli-belah di sana. Waktu malam raya inilah barang-barang akan dijual dengan harga lelong dan potongan yang istimewa.

Tapi, kalau anda hendak pergi ke Jalan Tunku Abdul Rahman, bersedialah dengan lautan manusia yang begitu ramai hingga membuatkan kesesakannya lebih teruk berbanding kesesakan jalan raya. Khabarnya, semakin larut malam, semakin murah barangan tersebut akan dijual. Kalau anda ada masa tahun depan, mari kita serang Jalan TAR!

(Esok - Pengalaman Beraya di Kuala Lumpur)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan