Saya sudah jatuh cinta.
Dan cinta pertama yang telah berjaya menyusup ke ruang hati ini bukanlah seorang manusia, sebaliknya ia adalah sebuah bentuk puisi tradisional Melayu – Pantun. Sejak mengenali keindahannya, saya jadi tak keruan, sentiasa terbayang-bayang di dalam ruang ingatan.
Pantun yang saya kenali ketika berada di bangku sekolah rendah telah berjaya membuat hati saya terpaut kepada keindahan bahasa ibunda saya sendiri. Tak sangka betapa ciptaan yang begitu mudah dan ringkas ini, sekadar hanya serangkap ayat, mampu untuk menusuk jauh ke dalam kalbu. Begitulah hebatnya Pantun Melayu, dalam pandangan mata dan tafsiran tinta saya.
Lalu, saya membesar dengan cuba untuk menggali segala rahsia dalam bahasa ibunda yang kaya, penuh dengan makna. Setiap perkataan yang jarang terdengar, saya akan lihat ertinya di dalam kamus, lantas memikirkan cara untuk dimasukkan ke dalam pantun, dengan menggandingkannya bersama perkataan yang sama rima.
Bersekolah di kawasan bandar, saya tak begitu terdedah kepada seni persuratan Melayu ini secara langsung. Malah, di sekolah saya juga tiada pasukan pantun. Saya mengenali pantun dan menciptanya bukan di arena pertandingan, tetapi sebagai seorang pembaca dan pencinta bahasa.
Perlahan-lahan, rahsia dalam pantun itu saya gali dan gali.
Waktu dahulu, saya main belasah sahaja mencipta pantun. Tak tahu tentang wacana, tautan makna, logik, dan apa sahaja teknikalitinya. Saya sukakan permainan bahasa dan bunyi dalam pantun. Mungkin kerana saya mengenali pantun sebagai sebuah lirik lagu, maka elemen bunyi itu menjadi sangat penting. Hatta, pantun memang pun sebuah tradisi lisan – yang disampaikan dari mulut ke telinga.
Apa yang buat saya jatuh cinta sama pantun? Oh, kerana pantun itu sangat bijaksana sifatnya. Melalui pantun, saya belajar banyak benda. Tentang hidup, tentang perasaan, tentang jiwa, tentang bangsa, tentang bahasa. Sehinggakan tercipta sebuah andaian, sekiranya seseorang itu tak tahu berpantun, maka belum sempurnalah keMelayuan seseorang itu.
Bimbingan menulis pantun yang pertama saya tekuni adalah melalui penulis tersohor, Cik Khadijah Hashim. Saya perlu sebutkan nama beliau kerana melalui bengkel beliau yang saya hadiri di Perpustakaan Taman Tun Dr Ismail pada tahun 2005, baharulah saya tahu cara yang betul mencipta pantun. Meski pernah belajar dalam KOMSAS, tetapi saya hanya belajar pantun sebagai seorang penikmat, bukan pencipta.
Sesungguhnya, saya percaya kita hanya akan benar-benar menghargai pantun sekiranya kita cuba untuk menciptanya. Saya bukan seorang penghafal pantun, tapi mencipta pantun telah membuatkan saya jadi tertarik untuk lebih mengkaji kedalaman pemikiran yang ada dalam pantun-pantun klasik.
Seterusnya, setelah melangkah ke Pusat Matrikulasi, saya telah menyertai sebuah Bengkel Pantun yang dianjurkan oleh Grup Penggiat Sastera (GETAR). Di situ, baharulah saya kenal dengan pantun yang bersifat pertandingan. Cara-cara menjual, membeli, gaya persembahan, semuanya saya hadam dengan penuh tekun dan teruja. Ada kepuasan dalam jiwa. Nama Kak Zakiah Samsi, harus saya sebutkan, kerana dia yang mengendalikan bengkel pada waktu itu, juga merupakan bekas pemantun UIAM, yang pernah dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik MAKUM.
Perjalanan menelusuri sungai budaya tradisi lisan itu semakin semarak apabila menginjak ke menara gading. Di situlah pertemuan kali pertama dengan alam pertandingan pantun, beraksi dan bersaing, seterusnya menjalinkan tali persaudaraan dengan rakan sepasukan yang saya anggap bak adik-beradik sepantun.
Begitulah sejarahnya, bait-bait cinta dan babak kasih sayang kepada pantun. Sungguh terasa bagi mereka yang pernah bersilat kata, bermain madah, dalam pantun.
Sopan santun anak Melayu,
Senyum terukir bila disapa;
Dalam pantun kukirim rindu,
Rindu mengalir di dalam kata.
[Lirik Lagu Lemak Manis – Roslan Madun]
3 komentar:
tgh2 blog walking tersinggah jap kt sini..hehe..hmm skrg ney dah xramai yg minat ngn puisi mlayu tradisional..tahniah krana masih memartabatkan pantun..tertarik dgn lirik lemak manis tu sbb baru2 ney tgk pmbukaan UIA kt pesta pantun bestari guna lagu ney..menarik..
Salam D Della, Terima kasih sudi menyinggah ke blog saya ye!
terkenang di awal perkenalan dengan suami....menulis pantun berkait sebagai medium luahan rasa sehingga menimbulkan persoalan kerana masa tu kami belum couple lagi. Lagi pulak pada masa tu handphone masih lagi merupakan barangan mewah buat kami. Tapi itu yang menariknya... mungkin saya akan masukkan dalam blog saya suatu hari nanti.
Catat Ulasan