Subscribe
Memaparkan catatan dengan label Greeting. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Greeting. Papar semua catatan

01 Ogos 2011

Azam Bulan Ramadan

Alhamdullillah, saya sudah selamat tiba di bumi tanah bertuah nan tercinta, Malaysia. Perjalanan beribu batu, pasti akan kembali jua ke tempat asal. Lebih tentang itu akan saya ceritakan nanti. Berilah masa untuk saya bernafas dahulu.

Saya pulang benar-benar sejurus sebelum Ramadan kembali menjengah kita. Dan kita bertemu lagi, bertamu di dalam bulan yang penu barakah. Bulan yang di dalamnya terkandung seribu satu hikmah.

Seperti kedatangan tahun baru, semester baru, atau apa-apa lagi yang baru, selalunya ia mesti akan disambut dengan azam dan semangat. Entah berapa kali kita berazam dan bersemangat. Ada antara kita yang berjaya, ada pula yang terkandas dalam mengejar apa yang dicitakan itu. Apa pula azam Ramadan kita kali ini?

Biarlah saya simpan azam saya kepada diri sendiri, tetapi apa yang saya hendak nyatakan adalah apakah objektif kita dalam menempuhi madrasah dalam bulan penyucian ini? Dalam semua perkara harus ada objektif dan target, bulan Ramadan tidak terkecuali.

Adakah kita berazam hendak berterawih lengkap 30 malam? Atau memperbanyakkan bacaan Al-Quran? Atau mungkin juga hendak mengurangkan aktiviti-aktiviti tidak berfaedah? Terserahlah, sama ada tinggi atau rendah, sedikit atau banyak, rangka sebuah matlamat yang realistik dan mampu dicapai.

InsyaAllah, semoga Allah S.W.T. memberikan keberkatan kepada kita semua.

Selamat menyambut kedatangan Ramadan, wahai saudara-saudariku sekalian.

Wassalam.

03 Februari 2011

Kembali Ke Tahun Arnab

**Entri Sempena Tahun Baru Cina 2011

konijn

Setelah 12 tahun, hari ini tiba juga kita kembali ke tahun horoskop Cina kelahiran saya – tahun arnab! Memandangkan putaran tahun ada 12 haiwan dalam kalender orang Cina, maka ini adalah kali kedua saya memasuki tahun arnab setelah berumur 12 tahun, pada tahun 1999. Dan kini, kembali lagi menjengah pada tahun 2011.

Oh tidak, saya tidaklah mempercayai konotasi horoskop tahun tersebut. Sama ada zodiak cina atau barat, keduanya saya lihat hanya memberi satu gambaran yang tersangat-sangat umum dan sesiapa sahaja boleh merasakan dia yang dimaksudkan dalam tafsiran berkenaan. Tetapi, saya sekadar menyatakannya sebagai satu pengetahuan am.

Bercerita tentang perayaan Tahun Baru Cina, kebiasaannya saya hanya duduk di rumah dan  menikmati cuti yang panjang. Meskipun saya tinggal di kawasan majoriti orang Cina, tetapi harus diingat bahawa mereka juga balik kampung waktu-waktu begini. Malah, saya sendiri tak dapat mengunjungi kawan baik berbangsa Cina saya, Chan Leng Zhong kerana beliau sudah awal-awal lagi berangkat ke kampung laman di Kampar, Perak.

Sejak memasuki UIAM, saya agak kurang bergaul dengan bangsa lain. Bukan kerana tidak mahu, tetapi atas faktor saya tidak berada di dalam persekitaran berbilang bangsa. Benar, di UIAM ada pelajar dari seluruh dunia, tetapi orang bukan Melayu yang berasal dari Malaysia sangat sedikit. Ditambah pula, di kulliyyah undang-undang boleh dibilang dengan jari berapa orang pelajar antarabangsa.

Kenangan saya bergaul dengan pelajar berbilang bangsa pastinya ketika berada di sekolah menengah. Sekolah saya ketika itu saya sifatkan punya komposisi bangsa yang sangat seimbang. Ada orang Melayu, Cina, India, Pakistan, Indonesia, Sarawak, malah ada juga Orang Asli yang datang dari kawasan Bukit Lanjan berhampiran.

Keadaannya sangat-sangat 1Malaysia. Di dalam kelas saya sendiri, kami sama-sama belajar dalam keadaan harmoni. Lihatlah wajah-wajah ceria rakan-rakan saya di entri Tingkatan 5 Bersih SMKBU ‘04 ini. Dan mereka semua adalah rakan sebaya. Sama-sama bersemangat arnab.

Sekarang ingatannya semakin samar-samar. Masing-masing sudah menuju haluan masing-masing. Tetapi kami masih berkongsi satu kenangan yang sama. Kalaulah kami dapat bersatu semula, dan melupakan segala perbezaan yang memisahkan, menumpukan hanya pada persamaan yang menyatukan.

Kepada rakan-rakan saya yang berbangsa Tiong Hua, saya ucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2011 kepada anda! Semoga tahun baru ini lebih membawa keceriaan dan kemakmuran kepada anda. Kalau ada buat rumah terbuka tu, jangan lupa jemput ya'?

Kepada yang lain, selamat bercuti!

*Ambilan imej dari sini.

27 November 2009

Nur Kasih

**Selamat Hari Raya AidilAdha kepada semua pembaca Hikayat Anak Kota!



Selepas sahaja drama bersiri Nur Kasih mengusaikan episod akhir sebentar tadi, facebook saya telah dipenuhi dengan status Nur Kasih. Begitulah penangan sebuah drama TV yang sedang hangat diperkatakan ini. Saya tidaklah mengikuti sangat drama ini pada awal-awal siarannya. Tapi perasan juga dengan iklannya yang memaparkan visual yang sangat menarik. Asalnya ingatkan cerita ini hanyalah drama 2 jam. Rupa-rupanya drama rantaian.

Saya tidak mengikuti drama ini melalui televisyen, sebaliknya melalui siaran di internet. Hanya episod akhir saya menontonnya di TV bersama seisi keluarga. Kebetulan episod akhir disiarkan pada Hari Raya Haji. Pandai betul timing mereka!

Inilah beberapa catatan yang sempat saya nukilkan berkenaan drama ini :

  1. Visual yang cantik. Antara sebab ramai orang melekat menonton Nur Kasih adalah kerana mainan kameranya sangat cantik. Saya sendiri boleh terpesona tengok videografinya.
  2. Sebagai sebuah drama yang berlandaskan kisah Islami, saya kira drama ini bukanlah kisah pop semata-mata. Meskipun kisah cinta dijadikan sebagai teras utama, tetapi tema kekeluargaan yang dipersembahkan menjadikan ia sebuah cerita yang lengkap rencahnya. Boleh saya katakan, cerita ini mungkin lebih baik daripada Ayat-Ayat Cinta.
  3. Lagu tema yang sedap! Saya boleh dengar lagu Nur Kasih itu berkali-kali.
  4. Di sebalik positifnya, ada juga yang negatif. Saya mendapati kadang-kadang plot dalam drama ini meleret-leret. Kalau dibuat dalam bentuk graf, sekejap naik, sekejap turun. Mungkin begitulah formula sebuah drama rantaian untuk memastikan penonton melekat di depan TV.
  5. Apa lagi ya? Oh, tentulah sebab Nur Amina seorang mahasiswa UIA! Suka tengok babak-babak di UIA, meskipun Nur Amina sebagai seorang mahasiswa Seni Bina, kelihatan sangat releks berbanding kenyataannya yang saya lihat - mereka sangat sibuk!
Mahu maklumat lebih lanjut? Ayuh kunjungi laman web ini.

26 Mei 2009

Kasih Bonda Kasih Nenda



Kasih bonda membawa ke syurga,
Kasih nenda pengikat jiwa.
Selamat Hari Lahir
buat Bonda dan Nenda!
26 Mei 2009.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan