Alhamdullillah, saya sudah selamat tiba di bumi tanah bertuah nan tercinta, Malaysia. Perjalanan beribu batu, pasti akan kembali jua ke tempat asal. Lebih tentang itu akan saya ceritakan nanti. Berilah masa untuk saya bernafas dahulu.
Saya pulang benar-benar sejurus sebelum Ramadan kembali menjengah kita. Dan kita bertemu lagi, bertamu di dalam bulan yang penu barakah. Bulan yang di dalamnya terkandung seribu satu hikmah.
Seperti kedatangan tahun baru, semester baru, atau apa-apa lagi yang baru, selalunya ia mesti akan disambut dengan azam dan semangat. Entah berapa kali kita berazam dan bersemangat. Ada antara kita yang berjaya, ada pula yang terkandas dalam mengejar apa yang dicitakan itu. Apa pula azam Ramadan kita kali ini?
Biarlah saya simpan azam saya kepada diri sendiri, tetapi apa yang saya hendak nyatakan adalah apakah objektif kita dalam menempuhi madrasah dalam bulan penyucian ini? Dalam semua perkara harus ada objektif dan target, bulan Ramadan tidak terkecuali.
Adakah kita berazam hendak berterawih lengkap 30 malam? Atau memperbanyakkan bacaan Al-Quran? Atau mungkin juga hendak mengurangkan aktiviti-aktiviti tidak berfaedah? Terserahlah, sama ada tinggi atau rendah, sedikit atau banyak, rangka sebuah matlamat yang realistik dan mampu dicapai.
InsyaAllah, semoga Allah S.W.T. memberikan keberkatan kepada kita semua.
Selamat menyambut kedatangan Ramadan, wahai saudara-saudariku sekalian.
Wassalam.
0 komentar:
Catat Ulasan