Pertarungan bersejarah antara Hang Tuah dan Hang Jebat yang dinukilkan di dalam Hikayat Hang Tuah (atau dalam versi Sejarah Melayu, antara Hang Tuah dengan Hang Kasturi) sering kali kita dengar. Malah, saya masih teringat adegan ini dilakonkan dengan cukup mengujakan sekali di dalam filem XX Ray 2.
Antara keduanya, kita selalu diberitahu bahawa Hang Tuah adalah seorang pendekar, laksamana yang setia – patuh dan taat kepada setiap perintah Sultan, meski pun perintah itu mengguris kehendak hatinya seperti pergi menculik Tun Teja buat dijadikan permaisuri Melaka.
Malah, Hang Tuah sanggup membunuh rakan baiknya sendiri, Hang Jebat demi menurut titah Sultan, yang murka dengan perbuatan Jebat yang dikatakan derhaka itu.
Tapi, demi budaya bahawa setiap kehendak pemimpinnya itu wajar dipatuhi, Hang Tuah menurut, bimbang andainya dikatakan sebagai penderhaka dan petualang bangsa.
Hang Jebat pula – disebabkan dia berani bersuara dan menentang arus – maka hingga ke akhirnya dia digambarkan sebagai sang penderhaka, meski pun apa yang diperbuatkannya itu adalah demi menuntut maruah dah keadilan.
Hang Jebat bangkit ketika semua orang menurut pemimpin tanpa sebarang bantahan, dan apa yang dikatakan oleh pimpinan itulah yang dianggap sebagai yang terbaik, meskipun kita semua sudah pasti tahu selagi bernama manusia, tidak ada yang akan bersifat sempurna.
Masih ingat ungkapan “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”? Inilah ungkapan yang datang dari Hang Jebat sendiri.
Saya tidak mahu pergi jauh ke dalam rentetan sejarah ini. Saya juga masih belum khatam kedua kita Sejarah Melayu yang menyimpan kisah persengketaan ini, tetapi apa yang saya tertarik dalam kisah ini adalah tentang paparan sejarah budaya orang Melayu berpolitik.
Saya melihat seakan Hang Tuah dan Hang Jebat sebagai simbol dan perlambangan keadaan dan situasi orang Melayu sekarang ini yang mana satu pihak begitu taat dan patuh kepada pemerintah dan akan terus mengikut arahan, dan satu pihak lagi dilihat sebagai berani menentang arus demi mencapai keadilan meski pun akan dianggap sebagai “penderhaka” – dan akan dihentam habis-habisan oleh pihak yang satu lagi.
Saya tak berminat untuk membincangkan siapa yang betul dan siapa yang salah. Saya rasa dalam situasi politik hari ini, apa yang kita lihat tak semestinya apa yang terjadi. Keadaannya sangat teruk sampaikan perbezaan antara keduanya tak dapat kita lihat.
Apa yang saya hendak katakan, kedua-duanya ada sisi positif dan negatif. Keduanya berjuang demi apa yang mereka lihat dari kaca mata mereka sendiri sebagai sesuatu yang betul dan patut dilakukan.
Hang Tuah bertindak sedemikian ada sebabnya. Begitu juga dengan Hang Jebat. Antara keduanya, kita harus mengimbangi apa yang baik dan apa yang buruk.
Menjadi seorang yang taat dan setia menurut perintah mungkin nampak mudah, tetapi bagaimana kalau kita di tempat Hang Tuah yang terpaksa mengatasi kepentingan peribadinya demi prinsip? Bolehkah kita melakukannya secara berhemah?
Begitu juga dengan perlakuan yang menentang arus di masa kini mungkin dilihat sebagai penjenayah, penderhaka, dan petualang bangsa, tetapi bagaimana kalau kita ini Hang Jebat yang teraniaya dek bersuara mempertahankan apa yang hak?
Sama-sama kita fikirkan.
0 komentar:
Catat Ulasan