Bimillahirahmanirahim.
Kita mulakan catatan pengembaraan saya ke Eropah pada bulan Julai lalu tanpa berlengah-lengah lagi. Saya sasarkan untuk habiskan menulis entri kembara kali ini sebelum lebaran, insyaAllah. Kalau kembara saya ke Eropah tahun lepas saya menggunakan label Kembara Eropah 2010, kali ini saya akan menggunakan label Eurotrip 2011 pula.
Pada tanggal 13 Julai 2011, bertolaklah kami ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang mengambil masa hampir 45 perjalanan dari teratak keluarga kami. Perjalanan kali ini disertai oleh Ayahanda, Bonda, Aqil, dan saya sendiri.
:: Pesawat-pesawat mini yang dipamerkan di ruang legar KLIA ::
Apabila sampai di KLIA, kami telah mendapat makluman bahawa penerbangan ditunda dua jam setengah. Pesawat Emirates Airlines yang sepatutnya berlepas pada pukul 10.15 pagi telah ditunda ke pukul 12.45 tengahari. Khabarnya kerana berlaku kelewatan dari Melbourne, yang mana pesawat berlepas dari sana ke Kuala Lumpur.
Sebagai ganti, pihak Penerbangan Emirates telah memberi kupon makanan bernilai RM 25 seorang dan boleh ditebus di rangkaian restoran McDonalds, Dave Deli, Burger King, dan Restoran Jalan Alur di KLIA ini. Kami memilih untuk bersantap di Dave Deli sahaja sambil killing the time sebelum waktu berlepas.
:: Keadaan di balai pelepasan sebelum naik pesawat ::
Penerbangan ke Dubai mengambil masa lebih kurang 7 jam. Kalau tahun lepas saya menaiki Qatar Airways, penerbangan ke Doha ambil masa 8 jam. Kapal bergerak agak laju, mungkin kerana hendak menggantikan masa yang telah terbazir. Alhamdulillah, penerbangan agak lancar.
:: Keadaan di dalam pesawat ::
:: Akhirnya sampai di bumi Emiriyah Arab Bersatu ::
Ketika kami tiba di Dubai, pesawat mendarat di Terminal 3, khas untuk penerbangan Emirates. Terminal ini sangat canggih dan begitu cantik. Sewaktu kami sampai tak begitu ramai orang di sini. Kelihatan agak lengang sungguh suanasan di sekitarnya. Mungkin tidak banyak ketibaan pesawat pada ketika itu. Waktu itu baru hendak masuk Asar, kerana kedengaran bunyi azan berkumandang di seluruh terminal.
Terminal ini sangat moden dan canggih. Ada wifi di sini, jadi digunakan sebaiknya untuk mengemaskini facebook dan twitter. Tidak seperti sesetengah lapangan terbang lain yang begitu ‘kedekut’ hendak memberikan khidmat wifi percuma kepada para penumpang yang telah membayar khidmat lapangan terbang melalui tiket penerbangan mereka.
Selepas melepasi kaunter imigresen dan kastam, kami dihalakan terus ke kaunter khidmat pelanggan Penerbangan Emirates untuk urusan penempatan penginapan dan pemberian visa transit. Apa yang saya perhatikan, kebanyakan pekerja di sini adalah gabungan orang Arab dan orang Asia lain terutamanya dari Asia Tenggara. Sekali imbas, kadang-kadang nampak macam orang Malaysia pun ada.
:: Keadaan di Lapangan Terbang Dubai yang agak lengang. Nampak kelibat saya? ::
:: Lif yang sangat besar. Bergambar-gambaranlah kami. ::
Sepatutnya, kami hanya ada 3 jam transit di Dubai. Tetapi oleh kerana penerbangan yang sepatutnya kami naiki itu dibatalkan dek kerana tidak cukup penumpang, maka kami telah diberikan penerbangan seterusnya, yang membuatkan kami terpaksa transit selama 12 jam di Dubai.
Sebagai ganti rugi, pihak Emirates telah memberikan penginapan hotel, makanan dan visa transit yang mana semuanya secara percuma. Memang ada hikmahnya juga penerbangan kami ditunda sebab kalau tidak, tak dapatlah berjalan di Dubai secara percuma. Penginapan hanya diberikan kepada para penumpang yang mana waktu transit mereka melebih 8 jam.
Rasa memang beruntung sebenarnya bila perbangan kami dibatalkan dan digantikan dengan penerbangan yang lebih lewat sedikit, sebab dengan itu bolehlah kami menjejakkan kaki ke bumi Emiriyah Arab Bersatu dan berjalan-jalan!
Dalam entri seterusnya, akan cerita tentang pengalaman berjalan-jalan di sekitar bandar Dubai.
Hingga entri seterusnya…
0 komentar:
Catat Ulasan