:: Semakin menghampiri Atomium, bebola atom kristal gergasi mercu tanda Brussels ::
Kawasan di mana terletaknya Atomium dan Mini Europe iaitu Bruparck, letaknya di luar sedikit dari pusat bandar Brussels. Menaiki Bas Hop On Hop Off, ini adalah hentian ke sembilan dalam pusingan laluan bas dari syarikat Citysightseeing tersebut.
Bagi yang tidak tahu, Atomium adalah salah satu daripada mercu tanda yang terdapat di Brussels ini. Ia adalah sebuah monumen yang rekabentuknya sangat unik kerana menyerupai sebuah unit atom kristal yang sebenar dan telah dibesarkan skalanya sehingga jutaan kali. Sebab itu namanya – Atomium.
Menurut sejarahnya, Atomium ini didirikan sempena Expo Brussels 1958 dan asalnya hanya didirikan sebagai monumen sementara. Ia ada 9 buah struktur bulatan besi yang mana di dalam bulatan-bulatan tersebut terdapat pameran-pameran penemuan sains yang terkini. Setiap besi yang menyambungkan bulatan itu sebenarnya mengandungi tangga yang membolehkan pengunjung bergerak dari satu bulatan ke bulatan yang lain.
:: Beratur panjang, berhajat mahu beli tiket masuk Atomium ::
:: Waktu itu ada pameran be.Welcome di dalam Atomium ::
Hendak masuk ke dalam Atomium ini, kami harus beratur panjang untuk membeli tiket. Ketika itu awan sudah semakin gelap, langit mulai mendung. Jadi resah juga kami beratur panjang dan membuang masa. Tapi, kami beratur juga kerana beranggapan bahawa di sinilah tempat yang boleh membeli tiket Mini Europe kerana tertera di sana adalah harga tiket gabungan Atomium & Mini Europe – iaitu bernilai 22.70 Euro. Ya, agak mahal.
Sebenarnya, kalau ke sini, tak perlu masuk ke dalam Atomium ini pun tak apa, sebab apa yang dipamerkan di dalam tidaklah bernilai sejarah atau melambangkan tempat ini. Ia sekadar satu bangunan yang rekaannya unik.
Kalau anda tidak ada banyak masa, selepas mengambil gambar di bangunan ini, saya cadangkan elok anda terus ke Mini Europe yang letaknya tak jauh dari sini. Tapi, pastikan anda bertanya orang akan arahnya, sebab papan tanda di sini tidak menyatakan dengan jelas Mini Europe ada di mana, meskipun sangat dekat.
Mujur kami tak masuk pun Atomium ini. Bila sudah beratur lama dan sampai ke kaunter, baru kami tahu bahawa kami boleh sahaja beli tiket Mini Europe sahaja di tempatnya. Tak perlu beli tiket gabungan yang lebih mahal itu.
:: Akhirnya sampai juga ke Mini Europe! Agak tersorok sedikit tempatnya ::
Mini Europe letaknya lebih kurang 5-10 minit berjalan kaki dari Atomium.
Disebabkan Brussels adalah pusat kepada Kesatuan Eropah, maka elok sangatlah bila didirikan sebuah tempat di mana dihimpunkan replika-replika bangunan mercu tanda setiap negara Eropah di satu tempat. Di Mini Europelah tempatnya.
Seperti di Melaka yang ada Mini Malaysia dan Mini Asean bangunannya dibina pada skala besar, beza di Mini Europe adalah bangunannya dibina pada skala yang lebih kecil – seolah-olah bangunan yang diperbuat daripada lego. Di sini, kita akan dapat menghayati seni bina dan suasana negara Eropah.
Harga tiket masuk ke Mini Europe adalah EUR 11.90 – itu pun setelah ditolak EUR 1.50 kerana kami ada diskaun sebagai penumpang bas Hop On Hop Off. Anda akan diberikan sebuah buku panduan dalam bahasa yang anda pilih – yang mana ia tulisan di dalamnya disusun mengikut aturan letak pameran di dalam Mini Europe.
:: Papan tanda di bahagian awal pameran Mini Europe tentang nilai Eropah ::
Mini Europe adalah sebuah projek yang diselia oleh Kesatuan Eropah. Di sini, para pengunjung akan dapat menyelami budaya masyarakat Eropah yang begitu terkenal dengan semangat mereka menguasai dunia. Saya belajar bahawa terdapat 6 nilai bersama yang dikongsi oleh negara-negara Eropah yang dipersetujui dalam Kesatuan Eropah iaitu :
- Democracy
- The Spirit of Adventure
- The Spirit of Enterprise
- Technology
- Culture & Influence
- The Christian Heritage
- Social Thinking
- Secularism & Multiculturalism
:: Aktiviti utama pastilah bergambar bersama bangunan mini yang dipamerkan ::
:: Di setiap replika, akan ada papan tanda ini beserta suis buzzer yang akan memperdengarkan lagu kebangsaan negara tersebut bila ditekan. ::
Tempat ini sangat sesuai untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Bagi kanak-kanak, mereka pasti akan terhibur dengan simulasi-simulasi yang ada di sini, contohnya seperti sampan mini tang bergerak, kapal terbang yang seolah-olah mahu berlepas, dan macam-macam lagi yang membuatkan pameran ini seolah-olah hidup.
Bagi orang dewasa pula, jika masa mengizinkan, boleh perlahan-lahan melawat pameran satu-persatu sambil membaca maklumat yang terdapat dalam buku panduan yang menerangkan secara jelas tentang negara-negara dan bangunan yang dipamerkan.
Secara tak langsung, boleh menambah pengetahuan terhadap benua Eropah ini. Sangat sesuai untuk pelancong dari Asia seperti saya yang punya pengetahuan yang terbatas mengenai Eropah. Seolah-olah saya sedang mengelilingi benua Eropah. Ternyata, inilah Eurotrip yang sebenar!
:: Himpunan gambar-gambar di sekitar Mini Europe. Kalau ke sana, jangan lepaskan peluang bergambar banyak-banyak! ::
:: Sebahagian daripada simulasi permainan interaktif di Mini Europe ::
Seperti yang saya katakan pada awal entri, keadaan cuaca sebenarnya agak mendung. Nasib baiklah semasa sejam pertama kami di Mini Europe, hari belum lagi hujan. Cuma, air mula merenjis bumi Brussels dengan lebatnya selepas itu. Mujurlah kami sudah hampir ke penghujung pameran. Cuma langkah kami terpaksa dicepatkan sedikit kerana takut terkena basah hujan.
Sebelum ke kafe itu, ada sebuah pameran yang disebut sebagai The Spirit of Europe. Di sana ada dipamerkan maklumat-maklumat menarik tentang Kesatuan Eropah. Malah, ada juga kuiz interaktif untuk kanak-kanak.
Kami berlindung di sebuah kafe yang terdapat di Mini Europe. Pemandangan di sini memang cantik bagi mereka yang mahu berehat setelah penat berjalan di Mini Europe. Di sini kita boleh melihat seluruh taman dengan jelas sambil menikmati makanan yang dijual.
:: Tulis maklumbalas di buku tetamu. Sempat promosi blog saya pula tu! ::
:: Anda akan lalui The Village, sejurus sebelum sampai ke pintu masuk Mini Europe ::
Sebenarnya, kalau hendak masuk ke Mini Europe ini, kita akan lalui sebuah kawasan bangunan yang dinamakan The Village. Selepas keluar dari Mini Europe, kami sekali lagi melalui kawasan ini. Ia dibina berdasarkan seni bina tipikal yang terdapat di Belgium, yang mana bangunan-bangunannya dijadikan kedai-kedai makan. Ada juga taman permainan bagi kanak-kanak di sini.
Begitulah catatan saya di Atomium dan Mini Europe. Setelah itu, kami kembali menaiki Bas Hope On Hop Off dan membuat satu lagi pusingan mengelilingi Brussels yang mengambil masa 45 minit bagi menutup penerokaan Brusssels hari ini.
Selepas ini, ikuti pula catatan kisah esok harinya di pusat bandar Brussels.
Jumpa lagi!
0 komentar:
Catat Ulasan