Penerbangan dari Dubai ke Manchester mengambil masa lebih kurang 7 jam. Kami tiba di Manchester awal pagi. Ketika di dalam pesawat, terdengar juruterbang mengumumkan suhu di luar mencecah 9 darjah celsius – agak sejuk daripada yang saya jangkakan, kerana ketika tahun lepas di sini semasa musim panas, suhunya tidaklah mencecah sebegitu rendah.
Di kaunter imigresen, kami diasingkan antara pemegang passport negara EU dan bukan EU. Seperti selalunya, pegawai imigresen akan bertanyakan kepada setiap seorang akan apa tujuan untuk ke UK. Ada pegawai yang mesra, dan ada juga pegawai yang nampak seperti terpaksa berbicara. Apa yang penting, jawab sahaja soalan yang diberikan tanpa banyak soal.
:: Menunggu teksi ketika baru sampai di Lapangan Terbang Manchester. Sejuk! ::
Kami disambut oleh Ameer di balai menunggu. Dia telah menempah sebuah teksi untuk membawa kami ke tempat penginapan kami di Manchester. Sewaktu menunggu teksi tersebut, kami duduk sebentar di kawasan luar lapangan terbang. Memang agak sejuk juga hawa pagi di Manchester, lebih sejuk dari tahun lepas. Menyesal pula tidak bawa baju yang lebih tebal!
Di Manchester, kami tinggal di rumah sahabat Ameer, iaitu Maryam yang terletak di Rusholme. Maryam telah bermurah hati untuk mengizinkan kami tinggal di rumah beliau kerana rakan-rakan serumahnya tidak ada kerana pulang ke Malaysia sempena cuti musim panas. Khabarnya, di kawasan Rusholme ini memang ada ramai penduduk muslim.
Hari pertama di Manchester, kami habiskan dengan berehat sahaja, kerana perancangannya memang perjalanan kami kali ini, kami mahukan sebuah perjalanan yang releks dan tidak tergesa-gesa. Kiranya, hari pertama ini dijadikan sebagai rest day, melepaskan lelah kerana telah seharian dalam kapal terbang, dan berjalan di Dubai.
:: Keadaan di sekitar jalanan Rusholme ::
Tengahari itu, kami makan di kawasan Curry Mile yang letaknya di Oxford Road. Saya pernah makan di sini sewaktu berkunjung ke Manchester pada tahun lepas. Pautannya boleh anda baca di entri bertajuk “Malam Pertama Di Manchester”. Di sepanjang jalan ini, ada restoran yang menurut Ameerul, semuanya adalah restoran makanan halal. Kami dibawa makan nasi briyani di restoran Al-Safa.
Tidak jauh dari situ juga ada sebuah pasaraya yang bernama Worldwide Supermarket yang menjual semuanya barangan makanan halal. Melangkah saja masuk, saya disambut dengan alunan lagu India yang mendayu-dayu. Di kawasan ini memang ramai orang dari Timur Tengah dan Afrika. Kelibat mat salleh dah jarang ditemui di kawasan ini.
:: Kalau ke Curry Mile, jangan lupa ke Al-Safa! Oh ya, perkenalkan, jelitawan dalam gambar di atas ini namanya Maryam! ::
Sepanjang hari, kami hanya melepak-lepak di rumah sambil melepaskan lelah. Syukur juga penerbangan kami seterusnya ke Brussels adalah pada keesokan harinya. Kalau kami tempah lebih awal, ada kemungkinan akan terlepas dek kerana penerbangan kami ke Manchester yang ditunda terlebih lewat dari Dubai.
Sebelumnya, Maryam dan Ameer telah menunjukkan kemahiran mereka memasak dengan memasak pasta sebelum kedatangan kami. Malah, pada hari kami bertolak ke Brussels pun, mereka telah masak nasi bersama lauk ayam masak merah. Memang sedap sungguh!
Penerbangan kami dari UK ke Brussels akan berlepas dari Liverpool. Hal ini kerana tidak ada penerbangan terus dari Manchester ke Brussels melalui penerbangan EasyJet.com. Jadi, Ameer telah menempah tiket bas dari Machester ke Lapangan Terbang Liverpool. Tempat hentian bas ini saya pernah pergi dulu semasa hendak ke London. Ingat lagi entri ini?
Perjalanan dari Manchester ke Liverpool mengambil masa lebih kurang 1 jam.
Sebaik sahaja tiba, kami terus bergegas untuk daftar masuk, sebab masa penerbangan sudah begitu hampir. Kami menaiki penerbangan Easyjet.com yang membenarkan hanya bagasi di tangan dan tidak ada kargo. Oleh itu, kami terpaksa membawa barang sesedikit yang mungkin supaya dapat melepasi pemeriksaan.
:: Tengah kelam kabut nak kejar penerbangan, sempat pulak bergambar depan lapangan terbang John Lennon, Liverpool ::
Selepas ini, kita sambung cerita di Belgium pula!
0 komentar:
Catat Ulasan