Saya seorang yang sangat mempercayai bahawa jika kita hendak melakukan sesuatu, haruslah mendapat restu dan keizinan ibu dan bapa. Tanpa restu dari mereka, kadang terasa seperti sesuatu yang tidak cukup, Di sebalik restu mereka, tersembunyi seribu satu hikmah dan kebahagiaan yang sukar dikecapi.
Iya, ada waktu pasti kita akan kurang setuju dengan apa-apa pendapat ibu bapa yang bertentangan dengan keinginan dan kehendak peribadi. Tetapi, apabila hari berganti hari, dan masa pun berlalu, pasti ada walau sekelumit rasa yang membuatkan kita terfikir, betul juga apa yang mak bapak aku cakap dulu.
Bila rasa kurang bersetuju dengan mereka, kadang saya juga akan berhujah dengan dapatan-dapatan saya sendiri. Tetapi, dengan ibu bapa ini lain sedikit. Saya akui, saya selalu ‘kalah’ dengan mereka.
‘Kalah’ di sini bermaksud bukan tewas, tetapi saya sendiri juga termakan dengan sebab-sebab diberikan mereka – kerana ternyata mereka lebih banyak makan garam. Di akhir cerita, saya dapat lihat logik di sebalik kerisauan-kerisauan mereka – yang sudah pasti harus diimbangi dengan tafsiran yang rasional.
Sudah tentu, bukan dalam semua perkara kita terikat dengan pendapat-pendapat ibu bapa. Ada ketika, kita harus buat keputusan sendiri – seandainya ia melibatkan masa depan diri sendiri.
Tetapi, dalam kes diri saya, kebanyakan masa memang pendapat ibu bapa yang saya rujuk – adalah benar berdasarkan pengalaman-pengalaman yang mereka telah lalui. Dan sebagai orang yang telah mengenali kita dari sekecil tapak tangan sampai ke besar panjang, siapa lagi yang lebih masak tentang perangai dan keperibadian kita?
Orang kata, kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Dan saya teramat menghormati apa yang mereka fikirkan – kerana restu mereka adalah pembuka pintu syurga.
4 komentar:
azree, memang betul la... restu mereka sangat diperlukan dlm apa jua perkara...
Betul, kan Kak Ahada? :)
Saya nak tanya pendapat, kalau saya ingin, contohnya membuka akaun di bank sendiri kerana tidak mahu membebankan ibu bapa, tetapi mereka tidak merestui perjalanan saya dan bertegas bahawa saya harus pergi bersama mereka adakah saya membuat pilihan yang betul dengan mendengar nasihat mereka?
jasa ibu bapa sukar tukar ganti
Catat Ulasan