Subscribe
Memaparkan catatan dengan label Blog. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Blog. Papar semua catatan

30 Mac 2012

Kenapa Saya Menulis Blog? - Bahagian 1

Saya ingat lagi, ketika pertama kali saya mendengar mengenai sesuatu yang dinamakan sebagai blogging. Kalau tak silap saya, waktu itu lebih kurang 10 tahun lepas, semasa saya berada di pangkuan sekolah rendah. Untuk pengetahuan anda, waktu kecil dulu, saya jenis yang suka menulis catatan harian di dalam diari.

Walaupun saya bukanlah pencatat diari yang begitu berdisiplin, tetapi saya terpesona dengan konsep yang mana saya dapat mencatat apa yang berlaku dalam kehidupan saya untuk dokumentasi pada masa akan datang. Sehingga kini, saya masih ada simpanan diari itu, atau mungkin lebih sesuai saya sebut sebagai jurnal.

Ditambah dengan minat saya yang semakin mendalam ke arah bidang penulisan ketika itu, ternyata konsep blogging itu membuat saya sangat tertarik. Yalah, sudahlah kita dapat mendokumentasikan perjalan hidup secara lebih mudah di dalam komputer, malah kita dapat berkongsi dengan rakan-rakan dari seluruh dunia!

Sedari itu, saya menjadi seorang blogger. Sama seperti menulis diari, saya juga tidaklah begitu berdisiplin dalam menulis catatan blog secara konsisten. Tetapi, dari masa ke semasa, saya pasti akan menambah blog saya dengan pengalaman-pengalaman baru yang amat berharga, kerana saya takut satu hari saya akan lupa butir-butirannya.

Sekarang, blog tidak lagi menjadi sebuah fenomena sebagai mana beberapa tahun dulu. Dengan kehadiran laman sosial seperti Twitter dan Facebook, sudah ramai yang 'malas' hendak berblog kerana ternyata lebih mudah berkongsi cerita di laman sosial tersebut. Lagi pun, siapalah mahu baca catatan blog yang panjang berjela kan?

Sejak dari mula, niat saya hendak menulis blog yang paling utama sekali adalah untuk tujuan dokumentasi. Memanglah benar, sekarang ini kita ada kamera digital yang boleh merakam gambar kehidupan kita. Tangkaplah sebanyak mana pun, pasti tak akan habis. Walau pun orang mengatakan bahawa sebuah gambar boleh mewakili seribu patah perkataan, tetapi saya yakin, ada perkara yang harus kita perturunkan dalam bentuk tulisan.

Dan kerana itu, blog saya masih teguh berdiri di sini, menjadi rumah pertapaan buat saya berasa selesa di alam maya. InsyaAllah...

Bersambung...

20 Julai 2011

Menulis Catatan Kembara Luar Negara

Bagi yang belum tahu, saya sekarang sedang berada di luar negara. Lebih tepatnya di Manchester, United Kingdom untuk menghadiri majlis graduasi adik saya, Ameer. Seperti tahun lepas, saya ke sini dalam tempoh dua minggu.

Cuma, bezanya kali ini saya ke sini bersama Bonda dan Aqil, selain Ayahanda. Jadi perjalanan kali ini tentu lebih meriah, walaupun agak releks sedikit kerana tidak begitu banyak tempat yang dikunjungi berbanding tahun lepas.

Asalnya saya tidak merancang pun untuk ikut Ayahanda dan Bonda ke sini. Memang saya sudah set dalam pemikiran saya bahawa saya tidak ikut dan sudah buat perancangan lain sewaktu mereka ke Manchester.

Tapi, entah bagaimana pula ada perkhabaran gembira yang membelai lembut di telinga saya bawaha saya boleh pergi pula. Aduh, memanglah bak apa yang orang kata sebagai bidan terjun. Tetamu saat akhir.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, alhamdulillah saya bersyukur sungguh kerana diberikan rezeki dan peluang untuk melawat tempat orang. Saya tahu ramai yang tidak berpeluang seperti saya, jadi itu adalah satu nikmat yang Allah beri yang harus saya hargai sangat dengan. Hargai, bukan sekadar menyebut sahaja. Tetapi melakukannya dalam perbuatan.

Dan seperti biasa, agenda wajib yang dilakukan bila saya ke tempat-tempat seperti ini sudah pastinya adalah dengan merakamkan pengalaman itu dalam catatan entri di blog kesayangan saya ini. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi saya rasa sangat penting untuk mendokumentasikan saat-saat yang entah bila akan datang lagi ini, supaya dapat menjadi kenangan bila sudah besar (bukanlah bermakna sekarang ini saya masih budak kecil).

Sebenarnya nak menulis catatan entri perjalanan ini memang leceh. Percayalah, sebab itu sampai sekarang saya tak habis-habis lagi tulis entri dalam siri Kembara Eropah 2010. Selain daripada liat dan malas (ya, saya mengaku), yang renyahnya apabila saya harus menyusun gambar-gambar dan menyuntingnya supaya entri ini menjadi lebih menarik. 

Apa yang silapnya tahun lepas adalah saya tidak membuat sebarang catatan khusus semasa pergi mengembara. Jadinya, semasa menulis, saya menghadapi kepayahan untuk memerah kembali ingatan untuk mengeluarkan kembali kenangan tersebut. Sebab itu, tangguh dan tangguh – dan sehingga setahun selepas itu entri itu pun tak siap lagi. (Kembara di Itali, Scotland dan Thailand masih belum habis ditulis)

Oleh sebab itu, kali ini saya ingin buat sedikit perubahan. Dalam perjalanan ke luar negara kali ini, saya bertekad untuk membuat beberapa langkah agar perjalanan ini dapat didokumentasikan dengan baik. Antarannya :

  • Menulis draf entri blog. Silapnya saya dahulu adalah saya cuba untuk buat sebuah entri penuh terus siap dengan gambar-gambar – dan ini sangat memakan masa di luar negara dan semangat menulis kian luntur. Jadi, saya sekarang akan tulis siap-siap draf. Tak perlu sempurna, asal semua isi pentingnya ada. Ala-ala nak menulis rangka karangan.
  • Bawa fail dokumen penting. Walaupun Ameer yang menguruskan semua tempahan, tapi saya rasa lebih praktikal jika saya membawa ring file yang mana saya sudah letakkan folder-folder untuk destinasi yang berbeza, yang mana dalamnya saya sudah letak senarai tempat menarik yang boleh dikunjungi, selain maklumat penting lain seperti peta, waktu solat, dan macam-macam lagi. Saya suka guna ring file sebab saya boleh tepuk segala brosur, tiket dan pelekat yang saya dapati sepanjang perjalanan yang boleh dijadikan sebagai scrap book juga!
  • Ringkaskan catatan. Satu perkara yang saya perasan pada catatan entri tahun lepas adalah saya cuba untuk tulis segala benda termasuk perkara-perkara yang tak begitu signifikan. Kali ini, saya berzama untuk memadatkan entri saya, dan kalau benda itu tak perlu diblogkan, maka saya tak akan bazirkan masa untuk tulis. Takkan semua benda kita nak paparkan kepada umum, kan? Di sinilah teknik rumusan yang dipelajari semasa ambil subjek Bahasa Melayu SPM harus digunakan sebaik mungkin!
  • Video perjalanan. Orang cakap, a picture speaks a thousand words. Tapi, kalau video, sudah pasti ia menceritakan berjuta-juta lemon perkataan! Oleh itu, saya ada rakamkan beberapa snippet perjalanan saya yang akan saya uploadkan dalam youtube dan lekatkan di entri-entri blog yang berkenaan.

Rasanya setakat itu dahulu. Saya rasa tiba-tiba blog ini dah bertukar menjadi travel blog pula. Betullah tu, life is a journey – a travel. Saya dah siapkan entri draf perjalanan setakat ini. InsyaAllah bila balik nanti saya akan kemaskini perlahan-lahan. Yang penting, catatannya sudah didokumentasi dengan baik.

Jumpa lagi!

26 November 2010

Dari Merah Ke Biru

Seperti yang telah dijanjikan, saya telah sekali lagi mengubah template blog ini.

Bukan sebab tidak berpuas hati dengan desain yang terdahulu, malah saya sendiri pun malas selalu tukar-tukar template blog kerana ia memakan masa dan usaha yang bukan sedikit. Setiap kali hendak tukar, pasti akan ada beberapa kekurangan sana sini yang harus diperbetulkan dari masa ke semasa.

Akibat aduan daripada beberapa pembaca yang menyatakan blog dengan template terdahulu agak lembab untuk dimuat-turun ke komputer; malah saya juga mengalami masalah yang sama setiap kali hendak mengakses blog ini di kampus, jadi saya merasakan ada sesuatu yang tak kena dengan template yang terdahulu yang menyebabkan ia agak berat untuk loading.

Kini, terimalah desain baru blog saya. Kali ini, saya cuba tampilkan konsep minimalist, yang mana hanya aplikasi-aplikasi penting sahaja akan saya sertakan di sini, dengan tujuan supaya blog ini menjadi lebih ‘ringan’ dan mesra pengguna.

Meski ada perubahan warna dari merah ke biru, saya masih mengekalkan warna putih sebagai latar kepada catatan entri bagi menampakkan unsur profesional dan bersifat lebih praktikal.

Juga, saya wujudkan beberapa segmen baru di atas – iaitu Portfolio, Kembara, Budaya, Undang-Undang, dan Kehidupan; iaitu 5 tema utama yang akan saya fokus dalam penulisan blog ini di masa akan datang.

Apabila berkelapangan, page-page ini akan saya isi dengan pautan ke entri-entri blog yang releven dengan tema berkenaan. Ia juga memudahkan bagi saya memantau hasil penulisan di blog ini.

Segala maklum balas amatlah saya hargai.

29 Mei 2010

Bengkel Bisnes Internet & Blogshop

29052010680

Banyak sangat ilmu baru yang saya perolehi dalam program ini! Bengkel yang dikendalikan oleh Tuan Zamri Mohamad ini sangat praktikal dalam mengajar cara-cara menjana pendapatan melalui perniagaan internet dengan cara yang mudah dan senang difahami. Tak perlu pengetahuan teknikal yang terlalu rumit untuk memulakan sebuah laman web. Tak perlu juga modal untuk memulakan tapak perniagaan. Sekadar gunakan segala kemudahan dalam aplikasi google yang boleh didapati secara percuma.

Sesi bengkel ini akan disambung lagi esok dengan kupasan menarik mengenai pemasaran di internet yang akan disampaikan oleh Tuan Azree Hanifiah (bukan Azree Ariffin ya!) Beliau yang juga merupakan mantan MPR dan kenalan saya,  telah berjaya merebut domain azree.com sebelum sempat saya mendaftarkannya. Alahai tak ada rezekilah nak guna domain itu. Sayangnya, saya tak berkesempatan untuk menghadiri sesi hari esok kerana ada urusan di tempat lain. Moga-moga sudilah Tuan Azree memperuntukkan sesi peribadi untuk saya. Di kafe Mahallah Ali UIA mungkin?

Ada beberapa idea bisnes internet yang sedang saya fikirkan. Tapi semuanya perlu perancangan yang teliti. Saya akan bereksperimen dulu melalui blog ini untuk melihat bagaimana sambutan yang diberikan. Kalau memberangsangkan, insyaAllah akan menapak lebih jauh. Kamu berikan sokongan kepada saya ya!

Oh, jangan risau, saya tak akan jadikan blog ini seperti pasar borong. Percayalah…

Wassalam!

P/s : Bengkel ini dianjurkan oleh Persatuan Pelajar ICT UIAM, Kelab Ma’ruf UIAM, dan Kelab Permata Selangor.

22 Mei 2010

Lagi Perubahan Blog

Saya wajar memberi kredit kepada http://maribinablog.blogspot.com/ kerana melalui blog tersebut, saya telah mendapat tip-tip yang berguna untuk menambah-baik blog ini dengan widget-widget yang berguna dan menarik. Seperti yang kamu perasan, dalam sebulan ini ada banyak perubahan yang saya lakukan seperti menukar template dan susunan layout dalam blog ini dengan penambahan dan pengurangan di sisi tepi blog ini.

Saya mendapati blog ini agak ‘berat’ untuk dimuat-turun menggunakan wifi kampus. Adakah kamu menghadapi masalah yang sama?  Kalau kamu dapati ada apa-apa masalah dari segi loading blog ini, harap dapatlah memberitahu saya segera ya, kerana saya hanya berkelapangan semester pendek ini untuk membuat segala perubahan layout atau apa-apa saja berkenaan design blog. Selepas ini, saya akan sibuk dan hanya boleh peruntukkan masa untuk menulis entri sahaja.

Berkenaan perubahan yang baru saya buat, saya telah menyembunyikan ruangan shoutbox di sisi kanan blog ini. Jadi, harap tidak tercari-cari shoutbox itu. Kamu boleh tekan sahaja butang berwarna hijau pucuk pisang di sebelah kanan ini. Selain tu, saya ada letak tandatangan nama di bawah setiap post entri, tapi saya menghadapi sedikit masalah kerana tak mahu ada border di sekitarnya.

Ada beberapa lagi perancangan sebenarnya, tapi kita tunggu satu-satu. Saya takut kalau saya ubah secara mendadak, tak berfungsi pula blog ini sebab koding HTML yang tak serasi.

Selamat berhujung minggu!

19 Mei 2010

Terima Kasih Daun Keladi!

anak

Kenapa pula saya nak ucapkan terima kasih kepada daun keladi ye? Sepatutnya kepada Encik Ben Ashaari lah yang telah sudi menerjah blog saya di sini. Terkejut juga bila tiba-tiba ramai yang meninggalkan jejak di shoutbox saya dan mengatakan mereka dari blog Encik Ben. Sejak blog saya diterjah, ramai juga kawan-kawan baru yang datang berkunjung. Tapi, saya masih menunggu 24 jam dahulu untuk melihat sejauh mana trafik ke blog saya ini naik.

Encik Ben juga telah meletakkan pautan blog saya di blog beliau. Dalam kategori baru – iaitu “Helang”. Wah, menarik tu, sebab saya diasingkan dengan kategori lain iaitu “Merak” dan “Murai”. Apa agaknya maksudnya ya? Dah lah saya seorang saja dalam kategori tu, setakat ini. Nampaknya makin bersemangat saya nak menulis entri di blog lepas ini. Terima kasih, Ben Ashaari!

Juga, terima kasih kepada semua yang telah meninggalkan jejak di shoutbox mahupun di ruangan komen. InsyaAllah saya akan balas kunjungan anda dalam masa terdekat ini.

Wassalam!

17 Mei 2010

Jelajah Blog versi 4.0 Ben Ashaari

 

Sambil menari di tengah laman,

Beriring gendang asyik dipalu;

Ben Ashaari blogger budiman,

Datang bertandang menerjah lalu…

header 1

Di kalangan bloggers Malaysia, nama Ben Ashaari sangat popular dan terkenal seantero Malaya sebagai seorang blogger yang sangat hebat dalam menjana traffik yang sesak ke blog beliau. Dalam tempoh tak sampai setahun, beliau telah berjaya meletakkan blog beliau sebagai antara yang paling kerap dikunjungi dengan pengikut setia yang sangat ramai. Antara faktor penyumbang adalah kerana adanya segmen “Terjah” di blog beliau yang mana beliau akan mempromosikan blog-blog yang lain dengan syarat mereka membuat satu entri khas untuk beliau. Konsep tolong-menolong ini ternyata telah membantu meningkatkan trafik sesama bloggers.

Jadi, saya pun nak mencuba nasib juga untuk mendapat sedikit “limpahan” pembaca-pembaca baru daripada blog beliau. Ayuh kita mulakan…

  • Header BEN ASHAARI BLOG

Seperti yang tertera di atas.

  • Berikan nama samaran dan nama blog anda. Ceritakan latar belakang blog anda. Lagi panjang lagi bagus. :)

Dalam dunia blog, saya menggunakan nama Azree Ariffin, yang juga merupakan nama pena dalam dunia penulisan. Memahkotakan “Hikayat Anak Kota” sebagai nama blog ini, secara asasnya saya menulis untuk mendokumentasikan segala kegiatan dalam apa jua bidang sekalipun.

Setakat ini, saya banyak menulis mengenai aktiviti-aktiviti sekitar dunia kampus, terutamanya kegiatan dalam bidang kebudayaan seperti berbalas pantun, deklamasi puisi, dan irama asyik gamelan yang baru beberapa purnama saya mesrai. Kadang-kadang, saya menulis juga mengenai pengalaman-pengalaman peribadi, tidak lupa juga kisah-kisah tentang keluarga tercinta. Saya juga merancang untuk menulis lebih banyak mengenai ilmu undang-undang yang saya tekuni di menara gading.

Pokoknya, ini blog tentang seorang anak kota yang mempelajari undang-undang dan punya minat yang mendalam terhadap alam budaya Melayu. Saya seboleh mungkin cuba untuk menulis menggunakan Bahasa Melayu yang betul dengan ejaan yang penuh, sebagai usaha kecil saya dalam menyebar-luaskan bahasa ke peringkat antarabangsa. Ia memudahkan proses terjemahan melalui aplikasi Google Translate yang dipasang di blog.

Harapnya, pembaca semua sudi bertandang ke blog saya dan kita boleh saling berkenalan dan bertukar pandangan dalam apa bidang sekalipun. Saya nantikan kunjungan anda!

Akhir kata, terimalah pantun daripada saya :

Wahai awan jangan mendung,

Mana rumpun hendak melata;

Wahai tuan jangan termenung,

Mari berpantun bersilat kata!

  • Dari mana anda tau mengenai Segmen ini

Melalui blog http://liza365.blogspot.com/. Blog yang bagus untuk di baca. Jom ke sana!

Begitulah catatan saya. Harap-harap Encik Ben sudilah singgah dan menerjah blog ini ye! Oh, saya dah pautkan blog Encik Ben di sini juga. :)

Wassalam!

13 Mei 2010

Pemenang Top Referral April 2010

13052010604Mari kita ucapkan tahniah kepada blog Iza Zayana Yaacob kerana telah berjaya mendapat top referral ke blog Hikayat Anak Kota untuk bulan April 2010. Hah, jangan ingat saya lupa pula pasal hadiah misteri yang saya janjikan dulu di sini. Saya nak umum awal bulan lagi, tapi sebab pemenang kita ni agak sibuk, jadi tangguh punya tangguh, baru tadi dapat betul-betul jumpa.

Hadiah misterinya apa? Haha, disebabkan Zack (nama panggilannnya) ni dekat, jadi saya pun belanja lah makan di McDonalds. Zack ialah junior saya dalam IIUM Poetry Club. Kiranya macam adik saya lah. Sekarang ni, akan selalu bekerjasama sebab dia juga setiausaha untuk PPM’10 – program apa tu, korang tekalah sendiri ye.

13052010607

Zack baru balik dari Beijing mengikuti program lawatan sambil belajar yang dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Pelajar UIAM. Balik dari sana, Zack belikan saya kopiah atas tu. Cantik kan? Suka sebab coraknya sangat unik. Warna hitam pula tu. Xie xie, zack!

Kalau nak baca cerita-cerita dari Beijing, mari ramai-ramai kita serang blog beliau. Setakat ni, belum lagi ada apa-apa kemaskini. Tapi saya dah awal-awal cakap dengan zack, suruh dia tulis semua pengalaman dia di China. Jadi, sama-sama kita nantikan ye.

Wasalam!

07 Mei 2010

New Blog Template

As most of you has probably noticed, I have already changed the layout of my beloved blog from the normal and boring blogger default design to a template that I found through Btemplates.com. I did browse trough almost all of the selections of template, and it was a pretty tough decision for me to choose a template that really suits my needs, personality, and content.

There was no actual reason for me in changing the layout. There were no any special occasions that I want to commemorate. It’s just a sudden urge when I was browsing through the internet that i need to give my blog a little facelift. The passion of blogging that is possessing me lately has motivated me to come up with a different blog design.

I wanted a design that is simple, sophisticated, yet modern. The previous layout was actually okay for me because the width of the entry box gives an optical illusion in showing that the entry written is longer that it actual is. However, in this new layout, I need to write a little bit longer as it is wider and it doesn’t look good if the entries are short.

Nevertheless, I chose this layout because it is suitable with me. It is in it’s trial stage and I am still trying to modify it a little bit here and there. Renovation is in progress. We’ll see how long this template will last. Hopefully it will be easy to the eyes for the visitors.

In the course of changing the layout, I lost all of the blogs whom I am following in the blog list below. Hence, it would take time for me to collect back all the blog’s add. It would be lovely if you can leave a message here stating your blog url for me to track back the adds.

Do drop comments about the new layout. :)

Wassalam.

03 April 2010

Hadiah Misteri Untuk Top Referral

Saya dalam mood baik sekarang ni.
.

Saya tahu blog ini ada lah jugak pengikutnya, walaupun tak banyak mana, dan boleh dibilang dengan jari saja. Tapi, saya amat menghargai kehadiran anda di sini, walaupun seringnya anda tak meninggalkan jejak pemergian anda di sini. Saya masih boleh menjejak siapa yang datang singgah dan dari mana mereka datang.
.
Oleh itu, saya nak umumkan top referral ke blog ini, setakat bulan Mac 2010 adalah seperti berikut :
.
.
Terima kasih kalian sebab sudi memautkan blog saya di laman kalian! Sebenarnya ada lagi, tapi cukuplah saya letak Top 5 sahaja. Macam saya katakan sebelum ni, bukan banyak sangat pun yer.
.
Oleh itu, untuk bulan April 2010 ni, saya nak buat satu pertandingan sikit. Blog mana yang link kan saya dan memperoleh klik yang terbanyak; maksudnya dari blog anda ke blog saya - akan saya hadiahkan dengan hadiah misteri.
.
Wahh. hadiah misteri apa tu? Adalah... tanda penghargaan saya. Untuk orang yang saya kenal secara peribadi, saya akan beri secara by-hand, tapi untuk yang jauh dan tak pernah ketemu, nanti akan saya poskan.
.
Haha kan saya dah cakap saya dalam mood baik. Jadi, kepada yang belum link tu, meh kita exchange link ye? Boleh merapatkan silaturrahim. :)
.
.
.

11 Mac 2010

Bahasa Percakapan

Kalau anda perasan, saya dah mula berubah angin sedikit dari segi gaya penulisan dalam blog ni.

Kalau dulu, saya sedar yang saya menulis konon-kononnya dengan bahasa Melayu tinggi. Lepas tu, saya rasa yang gaya saya menulis ni terlalu formal sangat, rasa macam menulis ayat karangan pulak. Hasilnya, penulisan itu jadi kurang seronok kerana terlalu concern mengenai penggunaan bahasa itu sendiri. Saya pun rasa macam kurang natural dan terlalu keras dalam menyatakan pandangan.

Jadi, beralihlah saya ke cara penulisan sebegini; di mana saya masih menjaga penggunaan bahasa yang betul, cuma dalam keadaan yang lebih santai. Ringkasnya, cuba menjadikan penulisan dalam Bahasa Melayu yang betul itu boleh menjadi satu benda yang santai dan tidak kaku, terutamanya dalam konteks penulisan blog.

Oleh itu, dengan sedaya upaya saya cuba menjadikan hasil catatan di sini sedekat mungkin dengan cara percakapan jiwa nurani dan sanubari saya tanpa sebarang perubahan terhadap gaya bahasanya.

Ya, ini blog saya, jadi kenalah gunakan gaya bahasa percakapan jiwa saya. Kadang-kadang saya sendiri rasa kurang jujur bila terlalu 'keras' dalam bercakap. 'Keras' di sini bermaksud kering tanpa sebarang emosi. Ada banyak perkara yang hendak diluahkan, tapi rasa terbatas disebabkan nak menjaga cara penulisan itu.

Tak mengapalah, lepas ni anda akan saksikan bagaimana saya cuba untuk menjadi lebih 'jujur' dan santai dalam menulis blog. Bila begini, rasa lebih seronok dan ingin selalu kemaskini blog. :)


05 Januari 2010

Perancangan 2010

Tiap kali masuk tahun baru, tentu apa yang hangat diperkatakan orang adalah tentang azam. Ada orang memilih awal tahun untuk memulakan segala perubahan dan semngat yang baru. Bagi saya sendiri, azam tidak hanya perlu tunggu awal tahun untuk dilaksanakan. Ia boleh dilakukan bila-bila masa. Semalam, hari ini, esok, bila-bila sahaja kita boleh senaraikan apa azam kita. Namun, apa yang penting adalah keyakinan dan disiplin diri.

Tapi, saya tak menafikan juga keperluannya. Biasanya, awal tahun barulah akan bermulanya perancangan yang baru, almanac yang baru, to a certain extend. Lagi-lagi kalau yang bersekolah tu, inilah bermulanya penggal baru persekolahan. Kalau dalam persatuan pula, tahun baru bermaksud tenure yang baru. Masing-masing sibuk memilih organizer atau perancang tahunan mereka. Tidak salah untuk merancang, malah ia merupakan satu keperluan - supaya kita punya hala tuju dan sasaran untuk sesuatu tahun.

Untuk tahun ini, ada beberapa projek yang menanti.

1. Malam Puisi UIAM - Februari 2010
2. Peperiksaan Akhir - April 2010
3. Projek Penulisan - Januari-Julai 2010
4. Kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak (Pelaksana)- Julai 2010
5. Musim Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka - Ogos 2010
6. Peperiksaan Akhir - November 2010
7. Pantun MAKUM - Disember 2010

Setakat ini, lebih kurang begitulah aktiviti saya untuk tahun ini. Tarikh-tarikh di atas ada yang masih tentatif lagi. Tetapi, serba sedikit, gambarannya begitu.

Untuk blog ini pula, saya juga ada perancangan. Kalau pada tahun lepas, saya telah membuat dalam 63 entri, maka pada tahun ini, harap-harapnya dapatlah mencecah hingga ke 80 entri. Maksudnya, dalam sebulan perlu ada sekurang-kurangnya 7 entri. InsyaAllah, boleh tu. Agak realistik jugalah dengan jadual harian saya.

Ya, begitulah lebih kurang perancangan 2010 saya. Nanti akan saya tambah lagi.
.
.
.

14 November 2009

Menulis di Blog

Secara tiba-tiba saya merasa bersemangat pula untuk kemaskini blog ini. Entah kenapa. Kebiasaannya agak liat juga untuk menarikan jari-jemari ini atas pentas papan kekunci. Mungkin disebabkan baru-baru ini saya banyak juga mengikuti blog-blog lain yang secara tak langsu ung merangsang saya untuk menulis (walaupun dalam sesak nafas menghadapi peperiksaan).

Dalam meneliti blog-blog tersebut, saya lihat ada yang menggunakan bahasa Melayu yang betul dan ada juga yang tidak. Banyak stail penulisan juga saya temui. Ada yang serius dan lantang, manakala ada yang santai dan releks.

Itu semua tidak mendatangkan masalah. Pada saya, blog adalah satu wadah untuk mengekspresikan diri - dalam bentuk penulisan. Tak kisahlah dalam apa jua bentuk penulisan. Saya mengandaikan sebuah blog itu umpama rumah yang dibina untuk sang penulis meluahkan perasaannya dan berkongsi pendapat.

Sebuah rumah, tentunya bersifat peribadi. Walaupun ada sesetengah blog yang mendapat sambutan yang hangat dan hits yang sangat memberangsangkan, ia masih tergolong dalam media yang peribadi sifatnya. Private, yet public.

Bagi saya sendiri sebagai seorang blogger kecil-kecilan, meskipun kita diberikan kebebasan untuk bersuara, harus diingatkan bahawa ia masih terbatas dalam perkara tertentu - seperti mana yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Tidak lupa juga undang-undang lain yang berkaitan dengan hasutan dan ketenteraman awam.

Wah, melencong bab undang-undang pula!

Baiklah, kembali kepada perbincangan kita, walaupun saya memegang prinsip menghormati hak peribadi seseorang menggunakan bahasa yang dikehendakinya, jangan lupa pula tanggungjawab kita sebagai seorang penulis terhadap pembaca. Biarlah apa yang kita tulis itu membawa pengisian yang berguna kepada para pembaca.

Berkenaan blog ini, saya menulis dengan memegang prinsip menggunakan Bahasa Melayu Tinggi kerana saya yakin dan percaya - bentuk penulisan begini sesuai dengan saya. Kadang-kadang, terasa bosan juga, menulis dengan cara yang orang kata agak skema begini. Tak mengapalah, ini cara saya. Mungkin cara anda berbeza. Saya pun sedang cuba untuk mempelbagaikan kaedah penulisan saya, contohnya seperti dalam entri ini.

Baiklah, begitulah pandangan saya. Kesimpulannya, tulislah dengan cara yang anda kehendaki, asalkan ianya membawa kesan yang baik kepada orang di sekeliling anda. Wassalam.
Italic
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan