Bagi yang belum tahu, saya sekarang sedang berada di luar negara. Lebih tepatnya di Manchester, United Kingdom untuk menghadiri majlis graduasi adik saya, Ameer. Seperti tahun lepas, saya ke sini dalam tempoh dua minggu.
Cuma, bezanya kali ini saya ke sini bersama Bonda dan Aqil, selain Ayahanda. Jadi perjalanan kali ini tentu lebih meriah, walaupun agak releks sedikit kerana tidak begitu banyak tempat yang dikunjungi berbanding tahun lepas.
Asalnya saya tidak merancang pun untuk ikut Ayahanda dan Bonda ke sini. Memang saya sudah set dalam pemikiran saya bahawa saya tidak ikut dan sudah buat perancangan lain sewaktu mereka ke Manchester.
Tapi, entah bagaimana pula ada perkhabaran gembira yang membelai lembut di telinga saya bawaha saya boleh pergi pula. Aduh, memanglah bak apa yang orang kata sebagai bidan terjun. Tetamu saat akhir.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, alhamdulillah saya bersyukur sungguh kerana diberikan rezeki dan peluang untuk melawat tempat orang. Saya tahu ramai yang tidak berpeluang seperti saya, jadi itu adalah satu nikmat yang Allah beri yang harus saya hargai sangat dengan. Hargai, bukan sekadar menyebut sahaja. Tetapi melakukannya dalam perbuatan.
Dan seperti biasa, agenda wajib yang dilakukan bila saya ke tempat-tempat seperti ini sudah pastinya adalah dengan merakamkan pengalaman itu dalam catatan entri di blog kesayangan saya ini. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi saya rasa sangat penting untuk mendokumentasikan saat-saat yang entah bila akan datang lagi ini, supaya dapat menjadi kenangan bila sudah besar (bukanlah bermakna sekarang ini saya masih budak kecil).
Sebenarnya nak menulis catatan entri perjalanan ini memang leceh. Percayalah, sebab itu sampai sekarang saya tak habis-habis lagi tulis entri dalam siri Kembara Eropah 2010. Selain daripada liat dan malas (ya, saya mengaku), yang renyahnya apabila saya harus menyusun gambar-gambar dan menyuntingnya supaya entri ini menjadi lebih menarik.
Apa yang silapnya tahun lepas adalah saya tidak membuat sebarang catatan khusus semasa pergi mengembara. Jadinya, semasa menulis, saya menghadapi kepayahan untuk memerah kembali ingatan untuk mengeluarkan kembali kenangan tersebut. Sebab itu, tangguh dan tangguh – dan sehingga setahun selepas itu entri itu pun tak siap lagi. (Kembara di Itali, Scotland dan Thailand masih belum habis ditulis)
Oleh sebab itu, kali ini saya ingin buat sedikit perubahan. Dalam perjalanan ke luar negara kali ini, saya bertekad untuk membuat beberapa langkah agar perjalanan ini dapat didokumentasikan dengan baik. Antarannya :
- Menulis draf entri blog. Silapnya saya dahulu adalah saya cuba untuk buat sebuah entri penuh terus siap dengan gambar-gambar – dan ini sangat memakan masa di luar negara dan semangat menulis kian luntur. Jadi, saya sekarang akan tulis siap-siap draf. Tak perlu sempurna, asal semua isi pentingnya ada. Ala-ala nak menulis rangka karangan.
- Bawa fail dokumen penting. Walaupun Ameer yang menguruskan semua tempahan, tapi saya rasa lebih praktikal jika saya membawa ring file yang mana saya sudah letakkan folder-folder untuk destinasi yang berbeza, yang mana dalamnya saya sudah letak senarai tempat menarik yang boleh dikunjungi, selain maklumat penting lain seperti peta, waktu solat, dan macam-macam lagi. Saya suka guna ring file sebab saya boleh tepuk segala brosur, tiket dan pelekat yang saya dapati sepanjang perjalanan yang boleh dijadikan sebagai scrap book juga!
- Ringkaskan catatan. Satu perkara yang saya perasan pada catatan entri tahun lepas adalah saya cuba untuk tulis segala benda termasuk perkara-perkara yang tak begitu signifikan. Kali ini, saya berzama untuk memadatkan entri saya, dan kalau benda itu tak perlu diblogkan, maka saya tak akan bazirkan masa untuk tulis. Takkan semua benda kita nak paparkan kepada umum, kan? Di sinilah teknik rumusan yang dipelajari semasa ambil subjek Bahasa Melayu SPM harus digunakan sebaik mungkin!
- Video perjalanan. Orang cakap, a picture speaks a thousand words. Tapi, kalau video, sudah pasti ia menceritakan berjuta-juta lemon perkataan! Oleh itu, saya ada rakamkan beberapa snippet perjalanan saya yang akan saya uploadkan dalam youtube dan lekatkan di entri-entri blog yang berkenaan.
Rasanya setakat itu dahulu. Saya rasa tiba-tiba blog ini dah bertukar menjadi travel blog pula. Betullah tu, life is a journey – a travel. Saya dah siapkan entri draf perjalanan setakat ini. InsyaAllah bila balik nanti saya akan kemaskini perlahan-lahan. Yang penting, catatannya sudah didokumentasi dengan baik.
Jumpa lagi!
0 komentar:
Catat Ulasan