Ketika anda membaca entri ini, saya sepatutnya sudah selamat sampai di Kangar, Perlis untuk menghadiri majlis perkahwinan kakak kepada kawan baik saya, Apiz iaitu Kak Tasnim dengan pilihan hatinya.
Entri ini telah lama saya tulis dahulu, kerana saya tahu ketika di Perlis, pasti sukar untuk mencari masa untuk menulis blog. Lebih baiklah saya siapkan bekalan awal-awal lagi untuk para pembaca semua. Sekurang-kurangnya bila berada di perantauan, dapat berehat seketika dari rutin biasa.
Bercerita tentang majlis perkahwinan, boleh dikatakan saya sangat-sangat jarang menghadirinya. Entah kenapa, sebab kalau dibandingkan dengan Apiz apabila dia berada di Perlis, boleh dikatakan hampir setiap minggu pasti ada sahaja kenduri-kendara.
Sampai saya katakan kepada Apiz, “Wah, kamu semua memang festive people, ya!”.
Setakat ini, saya memang jarang mendapat jemputan secara personal. Mungkin kerana sebelum ini kebanyakan kawan-kawan saya masih lagi belum di takah perkahwinan.
Malah, ibu bapa saya juga jarang membawa anak mereka ke majlis kahwin, mungkin kerana jemputan hanya untuk suami dan isteri atau mungkin sahaja memang saudara-mara saya jarang buat kenduri-kendara. Kalau ada pun, selalu berhalangan.
Namun, saya sedar bahawa tak lama lagi, pasti semakin banyak kad jemputan akan menjengah tiba. Rakan-rakan perjuangan di sekolah dan universiti sudah hampir kesemuanya kini melangkah ke alam pekerjaan, dan pasti ada antara mereka sudah merancang untuk ke jinjang pelamin pula.
Sedikit demi sedikit, soalan cepu gangsa pasti akan timbul jua.
“Bila kamu hendak kahwin?”, “Dah ada pasangan ke?”.
Oh, saya pasti bagi kebanyakan dari kita, soalan begini memang hendak saja dielak, tetapi apa kan daya, orang bertanya atas niat yang baik, bukan kerana ingin menyibuk. Maka, jawab sahajalah dengan sopan dan santun. :)
Tapi, kalau sudah namanya jemputan, adalah tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim untuk berusaha sebaik mungkin untuk menghadirinya, selagi tidak berhalangan. Bak kata orang, kalau kita tak pergi majlis orang, nanti siapa pula nak hadiri majlis kita, yer tak?
Baiklah, sebelum saya mula merepek lagi, jemputlah mendengar sebuah lagu baru dari rakan saya, Abang Ihab Ismail yang baru sahaja mengeluarkan sebuah album mini pertamanya iaitu Beyond The Norm. Saya sudah beli album ini dan memang sangat berbaloi. Anda boleh ketahui lebih lanjut mengenainya di lama facebook Ihab : Beyond The Norm.
Dengarkan single pertamanya : Pengantin Baru. Semoga terhibur!
0 komentar:
Catat Ulasan