Gambar : Sedang berbincang dengan Syid dan Zaza untuk PPM’10. Sekadar hiasan, tak ada kene mengena langsung dengan entri ini. :)
Saya tahu, ramai yang mengatakan tulisan di blog saya agak skema. Ada yang cakap macam ayat karangan, ada yang cakap bahasa berbunga sangat. Terima kasih kepada yang beri komen. Walaupun anda tak cakap secara terus kepada saya, tapi apabila saya singgah ke blog-blog lain, saya dapat rasa yang memang agak lain gaya bahasa digunakan – terutamanya blogger-blogger yang sebaya dan seusia.
Tak mengapalah itu, saya hargai sangat setiap komen dan maklum balas. Semua itu menjadikan saya lebih bersemangat dan teruja untuk menulis entri yang baik, lebih baik, dan terbaik. Saya ada sebab yang tersendiri untuk menulis dengan cara saya. Rasanya, kalau kamu dari latar belakang penulis, tentu akan faham.
Saya memegang prinsip bahawa apabila kita menulis, kita perlu tulis dalam bahasa yang baik dan sopan. Sekali lagi, mungkin sebab saya dari latar belakang penulisan, maka ramai mata-mata yang membaca. Di dalam blog, ejaan perlu ditulis penuh. Tidak ada alasan untuk memendekkan ejaan kerana ruangnya banyak tak seperti dalam SMS atau Twitter.
Apabila kita menggunakan bahasa, kita tertakluk kepada hukum dalam bahasa itu. Itu pendapat saya. Ya, sesekali hukum itu boleh dilanggar seandainya jika penulisan itu membataskan hubungan antara penulis dan pembaca. Lagipun, ini kan blog, bukan tesis PhD! Berpada-padalah dalam menggunakan bahasa. Kalau hendak serius, ada tempatnya. Kalau hendak santai, ada tempatnya.
Menulis dalam Bahasa Melayu standard itu ada kelebihan sendiri. Mungkin ia nampak sedikit bosan dan skema, tetapi itu adalah pendapat orang yang tidak biasa. TIDAK BIASA. Kenapa apabila kita menulis dalam Bahasa Inggeris standard, tak ada siapa mengatakan ia membosankan? Soalnya, orang sudah biasa dengan penulisan dalam Bahasa Inggeris yang standard. Sudah tiba masa kita biasakan menggunakan Bahasa Melayu yang standard dan betul.
Berikut kelebihan menulis dalam Bahasa Melayu standard :
1. Mempromosikan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa – Menulis dalam Bahasa Melayu standard bermaksud kita sebenarnya menjaga maruah dan integriti Bahasa Melayu untuk digunakan dalam pelbagai bidang – terutamanya untuk tujuan-tujuan ilmiah. Bayangkan kalau kesemua kita menggunakan Bahasa Melayu yang kucar-kacir, bukankah itu sedikit sebanyak akan mencalarkan potensi Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa?
2. Membolehkan penutur Bahasa Melayu dari pelbagai dialek dan negara memahami – Kita harus ingat, penutur Bahasa Melayu bukan sahaja terdiri daripada orang Malaysia sahaja. Orang Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Kemboja dan lain-lain juga merupakan pengguna Bahasa Melayu. Keseluruhannya, Bahasa Melayu adalah bahasa keempat paling banyak digunakan oleh penduduk dunia. Jadi, bukan semua akan faham jika kita gunakan Bahasa Melayu tempatan. Bertambah teruk, kalau kita gunakan singkatan-singkatan yang terkadang orang kita sendiri pun tak faham!
3. Memudahkan proses terjemahan – Kalau anda perasan, saya menggunakan perisian Google Translate di blog ini. Dengan menulis menggunakan Bahasa Melayu standard, pembaca yang tak faham Bahasa Melayu boleh dengan senang menekan sahaja butang “translate” di atas, dan dengan serta merta mereka boleh baca blog ini dalam hampir 60 bahasa utama dunia! Menarik bukan? Memang benar, kualiti terjemahannya tidaklah begitu bagus, tetapi sekurang-kurangnya mereka boleh mendapat gambaran yang lebih jelas akan apa yang dituliskan.
Ada banyak lagi sebenarnya kelebihannya, tapi saya kira 3 di atas ini antara yang saya fikir penting. Mungkin anda boleh menambah di ruangan ‘comment’ di atas.
Saya bukanlah menyuruh-nyuruh anda untuk menulis dalam Bahasa Melayu standard. Setiap orang ada gaya penulisan masing-masing. Kalau anda rasa selesa dengan gaya penulisan sekarang ini, teruskanlah. Blog adalah ruang peribadi untuk kita luahkan perasaan dan pendapat dalam cara yang paling akrab dengan jiwa kita.
Namun, sekali sekala ayuhlah kita fikir kembali, apa sumbangan kita terhadap kemajuan dan perkembangan bahasa kita. Kita semua boleh sama-sama menyumbang. Mulakan dengan apa yang kita mampu. Saya rasa, sebagai permulaan, kita cuba tulis dengan ejaan yang penuh dan betul. Tak susah kan?
Selamat berbahasa!
6 komentar:
salam..
abang setuju apa yang diperkatakan..
memang benar bahasa itu pakaian kita.
abang pun cuba cuba memperhalusi bahasa itu..
tahniah azri..
oh ya..
tahun nie sayembara masuk negeri mana?
masuk KL?
Salam,
Tahniah kepada anda yang budiman. Betapa semakin tidak ramainya anak bangsa kita sudi memartabatkan bahasa dan budaya Melayu, apalagi sebar luar sedunia begini.
Saya kagum dengan anak muda seperti anda yang akan menjadi tonggak negara pada masa hadapan. Menulis dalam bahasa Melayu yang betul dan sopan memberi gambaran tentang kecintaan kita kepada bangsa, bahasa dan budaya. Sama-samalah kita berjuang untuk sebarluaskannya.
Abang Hisyam;
terima kasih atas maklum balas. Tahun ini saya tak pasti lagi nak masuk peringkat mana. Sebabnya, saya akan sibuk dengan penganjuran Pesta Pantun MAKUM. Sama ada KL, Selangor atau IPTA. Mungkin akan pilih mana yang paling awal, mungkinlah.
Puan Maharam,
terima kasih. Sememangnya anak mudalah pewaris bahasa, budaya dan bangsa kita. Saya percaya ramai lagi punya kesedaran yang sama. Mudah-mudahan makin ramai sedar akan kepentingan menyayangi bahasa kita.
salam..
azree.. jangan lupa nanti kalau ada apa apa keperluan dan minta bantuan,
abang dan flora sudi membantu.
ye la.. kalau sudi mengundang..
bagus sebernarnya menulis blog dalam bahasa kita sendiri,ini telah menunjukkan masih ada anak muda yg mengutamakan bahasa kebangsaan kita.
Tahniah kerana saudara begitu serius dalam bab penggunaan bahasa standard.
Catat Ulasan