Subscribe

Perkhidmatan Pengacaraan Majlis Perkahwinan

07 Julai 2015

Hari Keluarga Hajah Halimah 2015

IMG-20150606-WA0001

Setelah dua kali terlibat mengelolakan Hari Keluarga (rujuk entri ini), saya boleh simpulkan ianya bukanlah sebuah tugas yang mudah. Begitu banyak perkara yang perlu diambil kira dan dipertimbangkan. Kita berdepan dengan sebuah khalayak yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Dari sekecil-kecil bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa, sehinggalah kepada warga emas.

Buat pertama kalinya, keluarga saya dari sebelah Ayahanda telah mengadakan hari keluarganya sendiri pada tanggal 6 Jun 2015. Semuanya bermula hanya dengan perbincangan maya di WhatsApp sahaja, secara tidak semena-menanya saya telah dapat idea gila untuk mengemudi AJK Hari Keluarga ini.

Perbincangan pun dimulakan untuk menjawab soalan paling penting : Di mana? Di mana? Di mana? Oh soalan ini sebenarnya adalah cabaran paling besar dalam membuat apa-apa Hari Keluarga, hatta apa-apa acara sekali pun. Kalau dapat cari tempat dengan cepat, saya rasa setengah daripada beban penganjuran dah selesai.

Banyak juga tempat dipertimbangkan. Saya dan keluarga saya sempat survey beberapa tempat seperti Ulu Kalong dan Kuala Selangor. Kalau hendak diikutkan hati, hendak juga pergi ke Janda Baik, tapi masa tak mengizinkan. Tapi entah macam mana, rasanya disebabkan oleh jiwa kami ini sangat melekat kepada kampung halaman, akhirnya acara ini kembali diadakan di kediaman Nenda saya juga di Kampung Melayu Ampang.

Agenda utama di dalam Hari Keluarga ini sebetulnya adalah sesi bergambar. Jadi, semua orang diwajibkan untuk memakai Baju Melayu untuk bergambar. Terasa seperti hari raya pula, kerana keluarga sebelah Ayahanda ini berkumpul pada malam Raya dan bukan pada Hari Raya kerana ramai yang sudah bercucu-cicit. Sesi bergambar diadakan di masjid yang terletak di seberang rumah Nenda saya.

Cuma mungkin satu perkara yang saya terlepas pandang adalah tiadanya mikrofon. Saya fikir suara saya boleh dilantangkan di pekarangan rumah Nenda, tetapi ternyata saya hampir sakit tekak sebab nak melawan keriuhan makcik-makcik dan sepupu sepapat yang riuh bergurau senda, apabila mengendalikan majlis pembukaan ringkas. Pengajarannya – tiap kali majlis perlu sediakan sistem pembesar suara tak kisahlah besar atau kecil majlisnya.

10463677_10153020232142283_631363303390416855_o

Memandangkan masa yang tak mencukupi, kami sempat mengadakan dua sukaneka ringkas untuk remaja dan dewasa, serentak dengan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak. Permainan pertama, saya bahagikan semua peserta kepada empat kumpulan dan mereka semua dikehendaki untuk melukis salasilah keluarga dengan cepat dan tepat. Objektifnya tak lain untuk menguji siapa yang lebih mengenali keluarganya. Permainan yang kedua pula, adalah pertandingan pakaian beragam untuk menguji kreativiti peserta. Juga saya selitkan di akhir adalah cabutan bertuah supaya semua orang boleh turut serta.

Alhamdulillah terasa lega amat bila semuanya telah berakhir. Walaupun ringkas dan serba sederhana, tetapi yang penting ia dapat menyatukan keluarga dan memberi peluang untuk semua saling berkenalan. InsyaAllah, pastinya ini adalah yang pertama dan bukan yang terakhir. Hari Keluarga yang akan datang, pasti akan dianjurkan dengan lebih gempak!

0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan