Subscribe

25 Mei 2009

Catatan Seusai Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009

Terbang rendah burung kedidi,

Hinggap sebentar di pohon berangan;

Selagi berbunyi denyutan nadi,

Akan kupalu gendang perjuangan!

Saya masih ingat akan pesan Kak Hani Salwah Yaakop kepada adik-adik MPR, sewaktu berkumpul di Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur yang saya anggap sebagai peringatan dan amanat sebelum menghadiri Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009. Beliau berpesan agar kami saling menjaga diri dan juga imej MPR sebagai sebuah keluarga yang dilahirkan oleh DBP.

Teman-teman juga turut bersetuju dengan pesanan Kak Hani tersebut. Kami mengingatkan diri masing-masing agar dapat memanfaatkan peluang ke PPMN dengan sebaiknya, supaya ilmu yang dipelajari dapat digunakan dalam perjuangan kami sebagai anak muda yang baru berjinak-jinak dalam arena sastera negara.

Bagi saya sendiri, saya mahu menjadikan PPMN sebagai pentas untuk mengembalikan semangat untuk menulis, bukan sahaja aktif dalam kegiatan sastera dan kebudayaan. Kadang-kadang, terasa tidak layak pula menggelarkan diri sebagai penulis, seandainya sangat jarang menulis di media massa.

Banyak yang saya belajar di PPMN, tidak kiralah dari segi sastera itu sendiri, mahu pun juga "sasterawan" itu juga. Saya mempelajari bahawa pejuang penulis muda itu bukanlah bersifat individualistik, seperti mana pekerjaan menulis itu yang individualitik. Penulis muda harus perpadu sebagai satu suara supaya sastera tidak lagi dipandang sebagai milik orang-orang berusia semata-mata.

Apakah itu perjuangan dalam sastera? Ia bukan sekadar berjuang untuk memartabatkan sastera per se, tetapi harus juga diingat kembali bahawa inti sastera itu adalah nilai kemanusiaan, maka haruslah kita berjuang untuk menegakkan nilai-nilai yang benar. Sebab itulah timbul kata sakti, mata pena itu lebih tajam dari mata pedang!

Saya juga mempelajari bahawa penulis-penulis ini ada begitu banyak sifat dan ragamnya. Teringat kembali pesan Kak Hani. Ada jenis manusia yang boleh didekati, ada juga yang tidak wajar didekati. Senior-senior kami telah berpesan, agar jaga diri masing-masing sewaktu berada di perhimpunan-perhimpunan penulis. Maka, kami bertindak untuk berada dalam kalangan kami, bukan kerana tidak mahu bergaul, tetapi mengingati pesan abang kakak kami.

Benar, saya dapati ada penulis yang wajar didekati, yang harus kita gaul dan berkongsi ilmunya. Tetapi ada juga yang memberi pengaruh negatif dan cuba untuk menjatuhkan kita. Manusia - biasalah, terdapat bermacam-macam ragam.

Tak sangka pula, sikap kami berkumpul ini menjadi isu di kalangan penulis-penulis lain sehingga ditimbulkan dalam pembentangan pemakalah. Ya, tentu sekali kami boleh menerima teguran. Tetapi teguran itu haruslah membina dan tidak menjatuhkan - juga tidak dicetuskan oleh pemerhatian yang rambang.

Satu perkara yang harus difahami - MPR bukan sekadar sebuah organisasi, tetapi juga adalah sebuah keluarga. Kami saling menjaga ahli keluarga kami, bukan untuk berkelompok, tetapi untuk merapatkan ukhwah antara kami. Tambahan pula, sudah lama tidak berkumpul. Apa yang saya tidak boleh terima, apabila tuduhan dilemparkan dengan hujah-hujah yang dangkal.

Satu lagi yang saya perhatikan kali ini, perwakilan penulis muda yang tidak begitu melambangkan sastera kebangsaan. Saya melihat ramai muka-muka yang sama juga yang kerap menghiasi majlis-majlis sastera, ditambah dengan hanya beberapa orang penulis lain. Saya melihat amat sedikit penulis-penulis berbilang bangsa, berbilang negeri, malah berbilang bidang penulisan dalam perhimpunan ini. Saya tidak tahu sama ada mereka ini dijemput atau tidak, tetapi saya berharap perhimpunan selepas ini akan menghimpunkan penulis-penulis muda yang lebih menyeluruh – sesuai dengan statusnya sebagai sebuah perhimpunan kebangsaan.


Isu PPSMI juga hangat diperkatakan. Ternyata dalam hal ini, penulis-penulis muda begitu berpadu dalam menyatakan bantahan terhadap dasar yang merugikan Bahasa Melayu ini. Semoga suara-suara penulis muda mampu bergema di ruang-ruang media sehingga bergegar bangunan Kementerian Pelajaran untuk memansuhkan dasar tersebut.

Perhimpunan Penulis Muda Nasional begitu banyak memberi ilmu dan manfaat yang berguna buat saya dan para peserta. Kepada para pemakalah, tahniah dan halalkan segala ilmu yang telah dibentangkan. Buat penganjur – PENA, DBP, MPBM, dan ASWARA – syabas atas segala kerja keras anda dalam usaha menyatukan penulis muda tanah air.

Bak kata pepatah, dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Berkajang-kajang kertas sudah disedia, pena juga sudah berdakwat. Soalnya kini, hanya menunggu untuk kudrat fikiran beralih ke tangan, untuk menarikan pena di kertas kehidupan.

5 komentar:

hani salwah yaakup berkata...

Mak aii banyak betul nama akak dekat catatan ini. Hehehehe!

Tanpa Nama berkata...

salam singgah. saya sangat tidak bersetuju dengan anda dan pendapat senior anda yang bagi saya terlalu bersifat perkauman, iaitu perkauman dalam kontks kelompok penulis MPR dengan yang bukan MPR. ya, mahu menjaga status dan nama baik sehingga penulis2 lain tidak dianggap wajar untuk didekati. jika ini boleh diperkatakan oleh barisan panel, ternyatalah tindakan kalian hanya berkelompok dengan kelompok MPR kalian merupakan tindakan yang tidak wajar pada pandangan mereka, juga saya. malah tindakan sebahagian kalian menghentam panelis sebegitu suatu tindakan yang kurang ajar. penulis, harus ada adab sopan. berjuang ertinya mendekati masyarakat. jika kalian takut untuk jatuh imej, dan lantaran itu hanya bergaul sesama kalian, gugurkanlah istilah perjuangan itu! kesemua itu adalah bersifat individualistik untuk kelompok kalian. lihat Pak samad, shahnon, malah penulis hebat lain, apakah mereka memencilkan diri dengan mengasingkan diri daripada masyarakat? mereka ini mendekati sesiapa sahaja, hatta barisan pelacur! mendekati bukan bererti menjadi mereka. renung2kanlah. dengan sikap kalian yang sebeginilah sebenarnya telah menjatuhkan imej MPR sendiri!

Azree Ariffin berkata...

Berikut adalah hujah-hujah tuan:

1. Mahu menjaga status dan nama baik sehingga penulis2 lain tidak dianggap wajar untuk didekati.

Jawapan saya - saya tidak pernah berkata demikian. Baca balik entri saya. Kalau tak pasti, sila quote bahagian-bahagian entri saya yang tuan rasakan menyokong hujahan tuan.

2. Malah tindakan sebahagian kalian menghentam panelis sebegitu suatu tindakan yang kurang ajar.

Jawapan saya - Baca balik makalah pembentangan tersebut. Makalah tersebut telah menuduh MPR hanya karyanya tersiar di Tunas Cipta dan tiada masa depan, tanpa sebarang statistik dan bukti. Siapa yang menghentam siapa?

3. Jika kalian takut untuk jatuh imej, dan lantaran itu hanya bergaul sesama kalian, gugurkanlah istilah perjuangan itu!

Jawapan saya - Benarkah kami hanya bergaul sesama kami? Jangan jadikan tempoh 3 hari itu sebagai ukuran. Secara peribadi, saya juga memperjuangkan sastera di UIA - sebagai seorang mahasiswa, tapi perlukah semua itu diberitahu kepada orang lain?

Wallahu'alam.
Salam Hormat.

Azree Ariffin berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Azree Ariffin berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan