Baiklah, kita sambung berbicara. Kalau sebelum ini saya telah terangkan mengenai subjek-subjek yang harus ditumpukan untuk SPM, kini saya akan bercerita tentang peluang-peluang untuk melanjutkan pelajaran selepas SPM dalam bidang undang-undang di peringkat Pra-Universiti di IPTA.
PRA-UNIVERSITI DI IPTA
Berikut adalah beberapa pilihan yang ada :
1. Asasi Undang-Undang UIAM
Disebabkan saya sendiri dari UIAM, maka tentulah saya akan letakkannya dulu. Program Asasi Undang-Undang UIAM ini ditawarkan kepada pelajar-pelajar lepasan SPM dengan pusat pengajiannya di Kampus Nilai, Negeri Sembilan. Tetapi kampus Nilai ini hanya sementara sebelum ia dipindahkan ke kampus baru di Gambang, Pahang.
Ia berdurasi antara 1-2 tahun, bergantung kepada tahap penguasaan bahasa seseorang. Apabila anda mendaftar masuk, anda akan diwajibkan untuk menduduki English Placement Test dan Arabic Placement Test. Ini untuk membolehkan anda ditempatkan di level yang bersesuaian dengan tahap penguasaan bahasa masing-masing.
Jika anda ingin meneruskan pengajian dalam ijazah berkembar undang-undang dan Syari’ah, anda harus menamatkan kesemua 4 tahap Bahasa Arab. Pelajar dari aliran agama digalakkan untuk menyambung pengajian dalam bidang Syari’ah dan peluang ini juga terbuka kepada pelajar aliran lain.
Selain subjek-subjek undang-undang, anda diwajibkan untuk mengambil subjek-subjek Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Pengajian Islam, Halaqah/Fardhu Ain, dan Komputer.
Kelebihan program ini adalah anda akan mendapat tempat secara automatik di UIAM untuk program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, tanpa perlu risau kemungkinan anda tidak berjaya mendapat tawaran. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada syarat-syarat kemasukan yang terkini.
Maklumat lanjut : http://www.iiu.edu.my/asasi/
2. Asasi Undang-Undang KPTM
Kursus ini dikendalikan di UiTM Shah Alam, dengan jangka masa selama 1 tahun. Meskipun tempatnya di UiTM, tetapi para pelajar tidak semestinya akan mendapat tempat secara automatik di UiTM, atau dalam bidang undang-undang sekali pun. Konsepnya sama seperti di Matrikulasi KPM kerana apabila tamat pengajian, anda harus memohon sekali lagi untuk mendapat tempat di IPTA.
Lulusan Asasi Undang-Undang KPTM berpeluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di kesemua IPTA (kecuali UIAM) yakni : UM, UiTM, UKM dan UUM. Bagaimanapun, tidak ada jaminan untuk mereka mendapat kursus Undang-Undang juga. Melalui pengalaman saya, ada rakan-rakan saya yang mendapat kursus seperti Perhubungan Antarabangsa dan Komunikasi Massa selesai mengikuti program ini.
Maklumat lanjut : http://law.uitm.edu.my/programmes/pre-degree/49-asasi-programmes/50-pi007-asasi-law-programme-mohe.html
3. Asasi Undang-Undang UiTM
Seperti mana program Asasi Undang-Undang KPTM, keduanya ada sedikit persamaan kerana dikendalikan di UiTM. Secara umumnya, program ini dikendalikan di UiTM Merbok, Kedah – untuk jangkamasa selama 1 1/2 tahun. Bagaimanapun, bagi pelajar yang cemerlang, ada kemungkinan mereka ditawarkan program fast-track di Shah Alam yang berdurasi 1 tahun – bergantung kepada tempat dan kekosongan.
Untuk terus melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Undang-Undang, pelajar harus mendapatkan sekurang-kurang CGPA 3.0. Jika tidak, mereka harus memohon sekali lagi untuk menyertai kursus-kursus di fakulti lain – dan risikonya, mereka harus bersaing dengan pelajar dari peringkat STPM dan Matrikulasi.
Maklumat lanjut : http://law.uitm.edu.my/programmes/pre-degree/49-asasi-programmes/49-pi005-asasi-law-programme-uitm.html
********
Di bahagian ke-3, saya akan sambung pula dengan peluang di peringkat Pra-Universiti di IPTS dan di lain-lain tempat. Jika ada soalan, cadangan, dan komen, ayuh jangan segan silu untuk kemukakannya di ruangan komen.
Wassalam.