Subscribe

01 Mac 2012

Sayembara Deklamasi Puisi 1Malaysia MAKUM 2011

 image

Buat terakhir kalinya sebelum meninggalkan UIAM sebagai seorang graduan, saya telah menyertai Sayembara Deklamasi Puisi MAKUM 2011 yang mana tahun ini menampilkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia sebagai tuan rumah. Ini adalah kali kedua saya bertanding bidang deklamasi di pentas MAKUM setelah kali pertama di Universiti Malaysia Perlis dengan sajak “Tun Perak” pada tahun 2009.

Saya sebenarnya hanya mendapat makluman mengenai pertandingan ini 2 minggu sebelum, dan dalam waktu itu, sedang sibuk dengan tugasan dan peperiksaan yang memerlukan perhatian. Hampir sahaja saya menarik diri dan melupakan sayembara ini kerana saya bimbang yang dikendong berciciran, yang dikejar tak dapat. Saya juga sudah ada tempahan mengacarakan majlis perkahwinan pada tarikh yang sama.

Fikir punya fikir, dan mengenangkan ini adalah peluang terakhir saya, maka saya usahakan juga untuk menyertainya. Mujur pengacaraan majlis perkahwinan itu dapat saya serahkan kepada rakan sepasukan, Ika dan Dayat. Dalam ripuh itu, saya juga dilanda musim peperiksaan dan kebetulan, tarikh pembentangan juga jatuh pada pagi hari bertandingan itu.

Sajak “Di Bawah Bumbung Langitmu” karya Jariah Haji Taha telah saya pilih sebagai teks deklamasi sayembara kali ini. Setelah 2 tahun saya bergelumang dengan sajak “Tun Perak” – kerana setiap kali tiba sayembaran, saya tidak sempat hafal sajak baru – maka saya cuba juga guna sajak yang baru untuk mendapatkan kesegaran dalam deklamasi puisi.

Saya ditemani oleh Ismail Adnan, junior Kulliyyah Undang-Undang yang juga mewakili UIAM untuk pertandingan kali ini. Seramai lebih kurang 17 orang peserta dari IPTA seluruh negara telah menyertai sayembara ini.

Tetamu kenamaan yang hadir ke sayembara ini adalah Datuk Haji Omar Abdul Rahman – Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan juga Professor Wan Mahzom Ahmad Shah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni)

Pertandingan dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pagi dan petang. Pada malam sebelumnya, kami diminta hadir untuk sesi taklimat dan cabutan undi. Saya dan Ismail keduanya mendapat cabutan pada sesi sebelah malam, yang ternyata memberi kelegaan kepada kami kerana mood pada sebelah pagi tentu tidak semeriah sesi malam.

image

Alhamdullillah, rezeki untuk saya datang akhirnya. Saya telah mendapat tempat ke-tiga dalam pertandingan ini. Apabila juruacara itu mengumumkan saya mendapat tempat ketiga, memang rasa sepeti tidak percaya dan bersyukur sangat-sangat kerana selama saya menceburkan diri di arena deklamasi puisi, tak pernah lagi merangkul apa-apa tempat dalam mana-mana pertandingan.

Tempat kedua dimenangi oleh wakil dari Universiti Sultan Zainal Abidin iaitu sahabat baru saya Cika Dayana Dian dan juara dirangkul oleh Siti Nurulain Taham dari Universiti Putra Malaysia. Ismail juga telah berjaya mendapat tempat saguhati untuk pertandingan ini.

Keseluruhannya, memang saya berpuas hati sungguh dengan pertandingan ini, bukan kerana saya menang tetapi penganjuran UPNM yang memang bagus dan boleh dipuji. Walaupun ia sebuah universiti pertahanan, tetapi saya lihat kegiatan kebudayaannya memang aktif.

Dan saya juga hendak ucapkan terima kasih kepada Hafiz Latif, Eja, dan Haniff yang sudi datang memberikan sokongan kepada saya untuk pertandingan ini. Memang sangat sangat saya menghargainya.

Wassalam!

2 komentar:

fida farida berkata...

azree.. congratulations...

Iffah Hidayati berkata...

tahniah azree (^_^)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan