Subscribe

Perkhidmatan Pengacaraan Majlis Perkahwinan

13 September 2011

Eurotrip 9 : Hari Terakhir Di Belgium

Di hari terakhir kami di Belgium, cuaca kelihatan semakin lembab, dan hujan yang rintik-rintik membuatkan suhu semakin sejuk, walaupun berada di musim panas. Tetapi, saya sangat selesa dengan persekitaran sebegitu kerana itulah seronoknya bila berada di negara empat musim, kerana dapat merasakan suasana kesejukan yang lebih dingin dari negara sendiri.

Kami berada di Belgium, atau secara tepatnya di Brussels selama 4 hari. Asalnya, kami merancang untuk mencuri masa sedikit untuk ke Amsterdam, Netherlands melalui keretapi laju yang mana jaraknya hanyalah dua jam perjalanan dari Brussels. Kononnya hendak pergi seharian ke sana semata-mata untuk menjejakkan kaki.

Alangkah tetapi, anda sendiri dapat baca dalam entri-entri sebelum ini betapa 2 hari tidak sempat untuk menjelajah dan berpuas-puas di Brussels. Saya bimbang pula kalau kami ke Amsterdam pada hari ketiga, nanti akan terlalu berkejar-kejar dan penat untuk Ayahanda dan Bonda. Lagi pun, apalah gunanya kalau sampai di Amsterdam sekejap, dan pandang sana pandang sini, lalu terus balik. Lebih baik masa itu digunakan untuk beristirehat dan menikmati Brussels sebaiknya.

image

:: Terkesima dengan keindahan sulaman Tapestry. Cantik bagaikan lukisan ::

Setelah berkemas-kemas dan siap dengan bagasi kami untuk ke Lapangan Terbang, kami sempat singgah dahulu di sebuah kedai yang juga ruang pameran untuk Tapestry. Ia adalah salah satu daripada kebangaan di Belgium. Apa itu Tapestry? Ia adalah sejenis seni tekstil yang mana ia dijahit seperti sebuah permaidani bagaikan lukisan, tetapi menggunakan medium benang-benang jahitan. Sangat cantik!

Tempat ini selain daripada menjadi pusat jualan barangan tapestry, ada juga menyediakan sebuah galeri mini bagi pelancong untuk melihat-lihat koleksi tapestry yang mereka ada dalam pelbagai bentuk dan rupa. Galeri ini adalah percuma bagi sesiapa yang ingin mengunjunginya. Orang di sini juga sangat ramah bila melayan kami dengan senyuman dan kemesraan apabila bertanyakan soalan.

image

:: Pemandangan di ruang pameran Tapestry ::

Setelah berjalan-jalan sedikit sambil menghirup sebanyak mungkin suasana dan pengalaman di Brussels selagi ada masa di sini, akhirnya tiba masa untuk kami melangkah dan mulakan jejak kaki ke Stesen Brussels Central yang letaknya tidak jauh dari sini. Di sinilah dahulu kami mula sampai dari Lapangan Terbang, dan di sini juga akhir pengembaraan kami sebelum mengambil tren ke Lapangan Terbang Brussels.

image

:: Bergambar di hadapan Brussels Central ::

image

:: Keadaan di dalam Brussels Central. Agak sibuk juga waktu itu ::

image

 :: Akhirnya harus juga meninggalkan kota Brussels yang mendamaikan ::

Sebenarnya, kami sampai di lapangan terbang tersangatlah awal daripada yang sepatutnya. Bayangkanlah, semasa selesai segala urusan pendaftaran masuk, kami ada masa selama 5 jam suntuk di sini. Kalaulah kami dapat ulang masa, rasanya lebih baik kami bertolak lewat sedikit dan luangkan masa lebih untuk membuat pembelian saat akhir di bandar Brussels.

Tapi apalah hendak dibuat, terpaksa juga tunggu di lapangan terbang. Di sini segalanya agak mahal. Jadi, kami tidak pergi berjalan-jalan sangat. Mujur saya jumpa sebuah sudut di ruang perlepasan yang agak terpencil dan tak ramai orang. Di sinilah kami sekeluarga lepak berlama-lamaan. Tempat itu menghadap laluan perlepasan pesawat-pesawat. Lebih kurang seperti anjung tinjau. Tapi bila dah lama, akhirnya saya pun terlelap seketika.

Bagus juga di sebelah ruang duduk itu ada tempat untuk menyewa perkhidmatan komputer dan internet. Ia berfungsi bila kita memasukkan syiling ke dalam ruang disediakan. Saya dan Ameer pun mengeluarkan komputer bimbit kami dan duduk di situ sambil plagkan komputer ke ruangan soket di situ. Untuk mengisi masa, sempatlah kami habiskan menonton filem Toy Story 3. :)

image

:: Kebosanan menunggu waktu perlepasan di Lapangan Terbang Brussels ::

Begitulah kisah saya di Brussels, Belgium. Satu pengalaman yang sangat manis dan tidak akan saya lupakan. Semoga catatan perjalanan saya di sini dapat memberikan inspirasi kepada anda yang merancang hendak ke sini. Selepas ini, saya akan kembali ke United Kingdom untuk meneruskan pengembaraan. Kita berjumpa di sana ya!

Sebelum itu, ini dia saya kongsikan dengan anda video perlepasan kapal terbang kami – easyjet.com. Pasang tali pinggang keledar anda, dan sedia berlepas!

0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan