Subscribe

26 Disember 2010

Teater Kanak-Kanak : Siti Di Alam Fantasi

IMG_0615

“Siti Di Alam Fantasi” – sebuah teater kanak-kanak yang sedang dipentaskan di Istana Budaya sekarang ini. Tak pernah terfikir sebenarnya untuk saya pergi menonton naskhah teater ini kerana teater kanak-kanak bukanlah kegemaran saya. Dah nama pun sudah menjangkau usia dewasa. Tetapi, pelawaan saat akhir pada tanggal 23 Disember yang lalu tidak dapat saya lepaskan. Yalah, siapa yang tak mahu kalau dapat tiket percuma, kan?

Bayangkanlah, saya mendapat panggilan telefon pada pukul 7 malam untuk menonton teater tersebut, padahal ia akan dipentaskan pada pukul 8.30 malam. Mujurlah Istana Budaya itu tidaklah jauh dari UIAM. Hanya memandu terus sahaja sudah sampai simpang bulatan Pahang yang menghala ke Jalan Tun Razak di mana terletaknya Istana Budaya.

IMG_0590

Sudah lama saya mendengar mengenai naskhah teater ini. Rasanya kali pertama sejak 10 tahun lepas apabila watak utama teater ini – Siti dimainkan oleh penyanyi kecik genit Amy Mastura. Tak sangka akhirnya berpeluang juga untuk menontonnya.

Ketika tiba di Istana Budaya, kelibat kanak-kanak saya lihat ada di mana-mana. Tidaklah seramai ketika saya tonton teater “Mana Setangginya” dulu yang mana ada segerombolan budak-budak sekolah. Kebanyakan yang datang kali ini ditemani oleh ibu bapa masing-masing. Maklumlah sekarang ini musim cuti sekolah. Tepat benarlah dipilih waktu ini untuk pementasan SDAF, memandangkan kebanyakkan pelakonnya juga merupakan kanak-kanak.

Kali ini, watak Siti dijayakan oleh pelakon yang sedang meningkat naik, Liyana Jasmay. Menurut pandangan saya, watak yang dibawakan beliau agak kurang mesra dengan khalayak. Tak tahu kenapa, tetapi itu yang saya rasakan. Watak Siti itu memang perlu menjadi seorang yang sombong dan angkuh, tetapi dalam masa yang sama – harus kelihatan seronok untuk ditonton. Saya tak nampak keseronokan itu – kecuali sifat sombong yang kosong.

Begitu juga dari aspek nyanyian. Saya difahamkan, Liyana Jasmay ada suara yang begitu gemersik, tetapi sayang apabila agak jelas kedengaran bahawa beliau hanya miming sahaja – menggunakan suara orang lain. Mujur babak nyanyian tidaklah banyak, tetapi alangkah seronok kalau dapat dengar suara nyanyian yang live!

IMG_0591

Selain Liyana Jasmay, pelakon yang turut membintangi teater ini adalah Ebby Yus, Johan Raja Lawak, Che’ Kem, kanak-kanak dari Asuhan Seni, dan para artis dari Istana Budaya. Peliknya, telah ditulis di dalam poster akan kemunculan Vanida Imran, Umie Aida, dan Ziela Jalil, tetapi saya tidak nampak kelibat mereka. Mungkinkah mereka akan membuat kemunculan di malam-malam lain? Mungkin juga.

Satu perkara yang saya perhatikan mengenai teater kanak-kanak ini, adalah tentang kostumnya yang sangat rinci dan teliti. Oh, pastinya bukan murah hendak menghasilkan sebuah pementasan sebegini yang memerlukan rekaan kostum khas untuk setiap watak utama dan tambahan – juga propnya. Sebab itu saya lihat ketika akhir pementasan, ada begitu banyak penaja yang telah memberi sumbangan kepada penerbitan teater ini. Berapalah agaknya kos penghasilan teater ini. Siapa tahu ya?

IMG_0593  

Bercerita tentang pengkisahan teater ini, ia sebenarnya lebih kurang sahaja dengan kisah dongeng “Alice In Wonderland”, bezanya adalah pengembaran Siti kali ini adalah untuk mencari geliga yang telah dicuri oleh Sang Lipan – yang menyebabkan dunia realiti Siti dibekukan. Dalam pencarian tersebut, Siti telah berjumpa dengan watak-watak dari alam haiwan seperti pokok, labah-labah, kelip-kelip, katak, ulat bulu, ikan duyung, sesumpah, dan macam-macam lagi.

Apa yang menarik tentang teater ini adalah penggunaan teknologi laser yang membantu memberikan impak yang lebih berkesan dalam penceritaan. Saya tidak tahu tentang teater lain, tetapi ini kali pertama saya lihat teknologi laser digunakan dalam teater. Pastinya sesuatu yang baru, dan harus dipuji.

IMG_0597 

Dikisahkan, dalam teater ini, setiap kali Siti menunjukkan sifat-sifat yang angkuh dan sombong, dia akan bertukar perlahan-lahan menjadi seekor keldai. Maka, kita akan lihat perubahan Siti dari seorang gadis kecil yang sangat kurang ajar dan sombong dengan kekayaan yang dimiliknya, kepada seorang gadis yang lemah-lembut dan merendah diri.

Ya, pengajarannya begitu jelas, tidak ada apa-apa putar belit sangat, memandangkan ia dikhususkan kepada penonton kanak-kanak. Jadi haruslah apa yang ingin disampaikan itu tepat dan jelas supaya penonton dapat menangkap pengajaran apa yang hendak disampaikan.

IMG_0602 

Teater ini sarat dengan nyanyian dan tarian. Anda akan bertemu dengan pelbagai watak haiwan yang pelik-pelik dan dimainkan dengan lakonan yang sangat comel – terutamanya oleh pelakon kanak-kanak. Kalau anda suka kanak-kanak, anda pasti akan tersenyum manja sepanjang menonton. :)

IMG_0611 

Jadi, apa lagi yang anda tunggu? Ayuh segera dapatkan tiket untuk menonton teater ini. Bawak anak-anak, sepupu-sepapat, saudara-mara, dan rakan-rakan yang kecil molek itu. Pementasan teater “Siti Di Alam Fantasi” akan berterusan sehingga tanggal keramat 31 Disember 2010. Selamat berfantasi!

Wassalam.

1 komentar:

Nizam Ahmad berkata...

aku mmg suka kanak2.. huhuhu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan