Subscribe

27 September 2011

Eurotrip 11 : Perjalanan Ke London – Kenangan Nyaris Ditinggalkan Bas!

 Entri sebelumnya : Majlis Graduasi Ameer di Salford

Sehari selepas majlis graduasi Ameer, kami sekeluarga berangkat ke London dari Manchester untuk meneruskan siri pengembaraan kali ini. Kecuali Ameer, kerana entah macam mana, selepas majlis graduasi itu dia mengalami kepenatan dan memerlukan sedikit masa untuk berehat.

Agak berdebar-debar juga, sebab sebelum ini Ameer yang bertindak sebagai ketua pelancong disebabkan dia yang menguruskan hal ehwal tempahan sebelum ini dan juga sebab memang sudah tempat dia pun di sini. Bila Ameer tak ikut, maka tugas itu berganti kepada saya lah pula untuk mengemudi keluarga dalam perjalanan ke London, sebuah kota raya terbesar dunia!

image

Seperti sebelumnya, bas telah kami naiki dari Manchester Centre di Shudehill yang mana perjalanan ke London dijangkakan mengambil masa selama lebih kurang 5 jam.

Asalnya perancangannya adalah kami akan menaiki tren keretapi laju ke London, tapi entah kenapa di saat akhir ditukar kepada menaiki bas sahaja. Kalau naik keretapi, khabarnya perjalanan ke London hanya akan ambil masa 2 jam.

Saya tak akan bosankan anda dengan menceritakan perjalanan dari Manchester ke London itu. Saya rasa anda boleh membaca kembali entri Dari Manchester ke London. Dari segi gambaran perjalanan, imej dalam entri itu sama sahaja dengan perjalanan kali ini. Cuma, saya hendak cerita sedikit pengalaman saya dalam bas ke London yang memang saya tak boleh lupa sampai bila-bila.

Satu perkara pasal bas yang saya naiki ini, ia memang tidak ada berhenti khas untuk memberi peluang kepada penumpang melunaskan hajat masing-masing. Kalau berhenti pun, ia akan berhenti semata-mata untuk menurunkan dan mengambil penumpang lain di sepanjang lokasi perjalanan.

image

Antara tempat yang dilalui oleh bas ini dalam perjalanan ke London adalah Birmingham, termasuklah lapangan terbangnya. Semasa di sini, saya lihat beberapa orang penumpang telah dengan tergesa-gesanya turun ke dalam lapangan terbang. Saya pada mulanya menyangka bahawa mereka memang hendak diturunkan di situ, selain pemandu bas itu mengambil penumpang-penumpang baru yang lain.

Masih teringat lagi ada sepasang suami isteri berbangsa Afrika yang lengkap berpakaian tradisi mereka berlari terkedek-kedek ke dalam lapangan terbang itu. Rupa-rupanya, mereka ke sana adalah untuk melunaskan hajat masing-masing, seperti yang saya katakan di atas. Aduhai, masa itu saya pun ada perasaan nak ‘melabur’ juga, tetapi dalam satu perjalanan bas, saya jarang sekali berhenti atas sebab itu.

Entah macam mana, selepas bas itu bergerak, barulah keinginan di jiwa saya itu datang membuak-buak. Aduhai, bayangkanlah sahaja bila perlahan-lahan kemahuan yang sedikit itu apabila ditahan-tahan, pastilah akhirnya akan menjadi seperti air yang hampir merobohkan empangan! Hah, macam itulah perbandingan dia.

Saya menunggu dan punyalah tunggu, tapi bas ini tidak berhenti pun. Kalau sebelum ini, banyak pula hentian bas ini menurunkan penumpang. Alhamdulillah, selepas itu bas ini berhenti jugaklah di satu pekan ini, yang saya pun tak tahu mana.

Melihat kepada begitu ramai orang yang berada di hentian bas itu, saya menyangkakan akan mengambil sedikit masa untuk urusan menurunkan dan mengambil penumpang dilakukan. Jadi, saya dengan berani tak bertempatnya, terus turun daripada bas itu tanpa beritahu pemandu bas itu, untuk ke dalam sebuah tempat yang kelihatan seperti RnR mereka.

Puaslah saya mencari dalam tempat itu di manalah tandas. Saya nampak tanda arah menunjuk ke tandas, tapi tandas itu sendiri saya tak jumpa! Dalam keadaan terdesak itu, saya sudah menjadi semakin panik kerana tak dapat melunaskan hajat nan terpendam.

Lalu saya mengalih pandangan ke arah bas, rupanya mereka dah nak bertolak! Saya nampak ayah saya berada di samping pemandu bas itu dan memanggil-manggil saya dengan melambaikan tangan. Aduhai, nasib baiklah Ayahanda memberitahu pemandu bas itu saya sudah turun. Kalu tidak, habislah saya ditinggalkan entah di mana-mana di bumi orang!

Saya diberitahu oleh pemandu bas itu bahawa lagi 20 minit bas itu akan berhenti sebentar. Dengan penuh harapan, saya menahan hati (dan menahan perut) dengan kesabaran yang teramat tinggi. Percayalah, perjalanan dalam 20 minit itu adalah perjalanan yang paling lama dalam hidup saya! Tak pernah rasa perut memulas-mulas bagaikan pundi kencing terasa mahu pecah. Hah, macam itulah rasanya.

Mujurlah 30 minit kemudian (bukan 20 minit seperti dikatakan), akhirnya bas itu berhenti juga di stesen RnR dan saya pun terus meluru turun ke dalam untuk ke tandas. Aduhai, itulah kenikmatan dan kelegaan yang teramat. Risau juga kalau saya terlewat, sebab bas berhenti di situ bukan untuk berehat sebenarnya, tetapi untuk menukar ke bas lain.

Selepas itu, barulah saya dapat menikmati perjalanan dengan lebih aman. Sampai terlena juga beberapa ketika sebelum kami sampai ke Kota London. Kalau hendak dikenang semula, memang saya tak mahu berada dalam keadaan yang sama semula. Sudahlah di negara orang pula itu. Tapi, itu semualah kenangan yang tak akan dilupakan sampai bila-bila.

Disebabkan benda inilah, tak ada banyak gambar yang diambil pun dalam perjalanan ini. Semua pun dah tak ada mood hendak mengambil gambar kerana keletihan dan kelelahan sudah mulai menjelma. Dan juga disebabkan oleh kami sekeluarga sudah mulai diserang demam bila sampai sahaja di London.

Saya sangka hendak cerita terus ketika di London, tapi itu saya tinggalkan dululah untuk entri seterusnya. Mungkin boleh baca entri Menginjak Langkah Di Bumi London yang saya tulis tahun sebelumnya, sebelum saya menyambung cerita.

Sehingga berjumpa lagi!

2 komentar:

ajamz berkata...

seronokkan berjalan di negeri orang

Azree Ariffin berkata...

Abang Ajamz; Seronoklah juga. Meluaskan pandangan. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan