Apa khabar semua? Lama juga saya tinggalkan anda semua dengan catatan perjalanan di Eropah tempoh hari. Rancang hendak tamatkan menulis sebelum akhir Ramadan, tetapi sampailah hari raya dah menjelang tiba, tak sempat lagi nak tamatkan separuh.
Apa-pun, dalam kemeriahan anda menyambut hari raya, sudikanlah membaca sambungan catatan ini ya. Kalau saya buat entri khas hari raya, rasanya ucapannya tentu sahaja sama, seperti juga tahun-tahun sebelum ini.
Maka, sebagai ganjaran lebaran, jom saya bawa anda jalan-jalan sekitar Brussels!
Disebabkan semasa musim panas, waktu siang di Eropah - seperti di Brussels adalah sangat panjang, maka ada lebih banyak masa untuk berjalan-jalan di sekitar, tanpa risaukan hari semakin gelap.
Setelah berjalan bersama keluarga pada sebelah pagi untuk berwisata kulinari dalam entri “Tentang Wafel, Coklat, dan Brussels”, saya dan Ameer masih cukup bertenaga lagi dan mahu meneroka Brussels mengikut rentak dan corak kami sendiri.
Segera saya menggeledah internet untuk mencari laluan-laluan yang menarik untuk diikuti. Laman visitbrussels.be memberikan beberapa cadangan laluan pejalan kaki yang menarik, menurut tema yang dipilih. Ada laluan yang bertemakan jogging, komik, fesyen, dan beberapa lagi. Disebabkan tak pasti, saya telah memilih The Brussels Classic Walk yang membolehkan saya melalui ke tarikan utama di Brussels.
:: Bergambar kenangan di The Grand Place ::
Singgahan pertama pastilah tarikan utama Brussels – The Grand Place. Inilah dataran yang terkenal sekali di Eropah kerana dikelilingi bangunan-bangunan yang punya senibina yang sangat unik. Adalah tidak lengkap berada di Brussels kalau tidak berada di sini. The Grand Place telah diisytiharkan sebagai sebuah tapak warisan dunia oleh UNESCO. Antara bangunan yang berada di keliling dataran ini adalah The Brussels Town Hall, The Moisun du Roi, dan bangunan-bangunan majlis perbandaran.
Berada di sini terutamanya ketika angin sejuk membelai pipi membuatkan saya berasa begitu nyaman. Ramai pelancong yang ke sini untuk bergambar mengabadikan kenangan termasuklah saya sendiri.
Semasa berada di sini, bahagian tengah dataran telah dikepung untuk mengadakan sebuah perlawanan sukan. Ada sebuah platform dibina untuk penonton dan kerusi disusun sekeliling. Untuk masuk di dalam kepungan itu dan duduk di kerusi, harus membayar 7€. Mahal, kerana boleh sahaj menyaksikan perlawanan itu dari luar pagar. Oh, sukan apa? Saya pun tak pasti. Tetapi kelihatan seperti sebahagian daripada permainan tradisi mereka.
:: Singgah bergambar sahaja tetapi tidak masuk ::
Salah satu bangunan di sini telah digunakan sebagai Muzium Bandar Brussels. Saya sempat bergambar di sini tetapi tidak masuk. Terasa rugi pula tidak melawat ke dalam, semata-mata kerana rasa “kedekut” tidak mahu membayar bayaran masuk 3 € untuk pelajar. Saya baru tahu selepas itu bahawa di dalam muzium inilah tersimpan ratusan koleksi baju-baju patung Maneken Pis yang terkenal itu!
Seterusnya, saya menelusuri jalan Rue Des Fripiers yang mana akan menuju ke sebuah jalan besar di Brussels. Di sepanjang jalanan ini, ada pelbagai kedai-kedai dan begitu selesa sekali bagi pelancong untuk berjalan kerana jalannya yang sedikit sempit membuatkan kereta tidak begitu banyak lalu.
Tetapi sayangnya, semuanya tutup! Disebabkan hari itu adalah hari Ahad, maka merentasi kawasan ini ibarat melalui sebuah kota yang mati. Hanya pelancong yang lalu lalang, tetapi tidak ada aktiviti berjual beli berlangsung di sini. Dan sebenarnya, hampir keseluruhan bandar Brussels agak lengang ketika itu, kecuali berhampiran Grand Place, tempat saya menginap.
:: Laluan yang begitu lengang. Semua kedai tutup kerana cuti hari Ahad! ::
:: Place Des Martyrs. Hanya kami berdua sahaja ada di dataran ini ketika itu ::
Kami merentasi jalan Rue Gretry Straat iaitu sebuah jalan besar yang melewati bangunan Royal Theatre la Monnaie. Jauh juga kami berjalan, kerana menurut peta perjalanan ini, kami akan melalui pula Place Des Martyrs – sebuah dataran yang mengenang para pejuang yang gugur dalam Revolusi Belgium pada tahun 1830.
Apa yang menariknya, semasa Ameer dan saya sampai di sini, memang tidak ada orang langsung! Saya rasa seperti tidak percaya sebab kalau dah namanya tarikan pelancong, tentu ada pelancong di sini, atau setidak-tidaknya orang tempatan. Namun, kelibat orang tempatan pun saya tak nampak batang hidup. Wah, ini sangat mencurigakan. Haha.
:: Gambar tong sampah pun nak ambil ::
:: Bertemu Tintin di Belgian Comic Strip Center ::
Seperti yang saya katakan sebelum ini, selain Wafel dan Coklat, Belgium juga terkenal dengan seni lukisan komik. Lama sebelum Jepun dan Amerika Syarikat menguasai dunia dengan komik mereka, di Belgium ini telah terlahir sebuah stail lukisan komik yang begitu unik dan tersendiri.
Kawasan lobi di Belgian Comic Strip Center ini dibuka kepada orang ramai untuk masuk berkunjung. Di bahagian bawah ada beberapa pameran yang memaparkan sejarah bangunan tersebut. Ada juga sebuah kedai yang menjual komik dan barangan cenderahati. Namun kebanyakannya ditulis dalam bahasa Perancis, Belanda, dan bahasa-bahasa Eropah lain.
Pameran sebenar berada di tingkat atas, tetapi kami tidak masuk pun sebab tidak begitu tahu berkenaan dunia komik dan perlu mengejar masa ke tempat lain. Maka, kami ucapkan selamat tinggal kepada muzium ini sambil bergambar bersama papan tandanya – ritual wajib ke mana-mana.
Di hadapan bangunan ini ada lagi satu muzium iaitu Marc Sleen Museum. Beliau adalah seorang lagenda dalam dunia lukisan komik di Belgium. Pelawat boleh memilih untuk membeli tiket pakej berkembar untuk kedua-dua muzium ini dengan bayaran yang lebih murah.
:: Museum Marc Sleen. Tak masuk pun, bergambar sahaja ::
:: Graffiti ini bukan saya yang lukis ya! ::
:: Sepanjang jalanan di Brussels ::
Sebenarnya, selepas kembali dari tempat komik itu, saya sedikit sesat dengan Ameer. Walaupun ada peta di tangan, tapi kami terkeliru disebabkan peta itu sedikir berbeza dengan jalan sebenar. Maka, kami pun main berjalan saja mana-mana laluan yang kami rasakan dapat mengembalikan kami ke jalan yang benar.
Tapi seronok juga begitu, sebab saya dapat meneroka Brussels dengan lebih teliti kerana sambil mencari jalan, saya boleh lebih memerhatikan kawasan ini dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya, ketika ini, saya barus setengah perjalanan daripada keseluruhan laluan dalam peta tersebut. Fuh, sebenarnya jauh juga Brussels Classic Walk ini. Nampak sahaja dala peta laluannya pendek, tapu sebenarnya patah kaki juga hendak berjalan.
Disebabkan kami sudah sesat barat, kepenatan, dan paling utama sekali – hujan sudah mulai turun rintik-rintik – maka terpaksalah kami menamatkan perjalanan ini lebih awal. Mujur hujan turun tidaklah terlalu lebat, kerana dalam rintik hujan itu, dapatlah kami redah juga untuk kembali ke apartment. Risau juga saya, kerana takut kami jatuh sakit kerana perubahan cuaca yang drastik – ditambah dengan renjisan hujan.
Maka, begitulah sebahagian dari The Brussels Classic Walk yang sempat saya telusuri bersama Ameer. Seronok juga dapat berjalan kaki sekitar bandar menurut rentak sendiri. Tapi, pastikan anda ada peta di tangan, sebab takut pula nanti sesat di tempat orang – sangat susah kerana semuanya di dalam bahasa asing!
Baiklah, selepas ini – entah bila ya itu – saya akan ceritakan entri perjalanan pulang ke United Kingdom. Ya, saya tahu anda dah bosan dengan cerita Brussels kan, maka selepas ini saya akan habiskan terus supaya dapat mempercepatkan penceritaan.
Selamat beraya!
1 komentar:
Salam.saya ingin bertanya, berapa totl cost perbelanjaan sepanjang tempoh disana?pergi ni under agent atau sendiri2?tq.
Catat Ulasan