“Tun Perak, walaupun telah ratusan tahun kau pergi,
tetapi semangatmu tetap pada dalam nurani kami,
jasamu besar membina peribadi jatidiri,
kaulah penyebar benih-benih demokrasi,
di tanah bertuah ini.”
(Gunawan Mahmood)
Maka, sekali lagi saya menziarahi pentas deklamasi. Meskipun sebelum ini saya berkira-kira juga sama ada hendak masuk atau tidak disebabkan kesibukan yang melanda, tetapi saya gagahi juga melangkah ke Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2011 (SDPM ‘11) Peringkat Zon Tengah yang diadakan di Rumah GAPENA. Tahun ini adalah tahun kelima saya menyertai pertandingan ini.
Semua kerana saya teringatkan kata-kata ini : “Kegagalan yang paling besar adalah kegagalan untuk mencuba.” Atas sebab terhutang budi dengan dunia deklamasi – yang telah membuka sejuta satu hikmah dalam hidup saya, maka saya tekad untuk meneruskan perjuangan. Meski acapkali tersungkur, tapi saya akan bangkit dengan berani setiapkali.
:: Barisan hakim yang arif lagi bijaksana ::
Sajak “Tun Perak” sekali lagi menjadi pertaruhan, meski pun hajatnya hendak mencuba sajak lain, tetapi kerana kekangan masa dalam menghafal, maka saya ambil sahaja sajak yang telah saya gunakan selama 3 tahun berturut-turut dalam sayembara deklamasi ini.
Penyertaan pada pertandingan kali ini adalah lebih kurang 30 orang. Daripada jumlah itu, 12 orang dipilih ke peringkat akhir Zon Tengah. Dua orang akan dipilih sabagai wakil Zon Tengah ke peringkat kebangsaan. Bagaimana pun, khabarnya mungkin ada penambahan wakil, bergantung kepada keputusan jawatankuasa teknikal.
Seperti yang telah kalian saksikan di atas, itulah rakaman deklamasi saya. Jika ada sebarang pandangan penambahbaikan, saya amat mengalu-alukannya supaya saya dapat memperbaiki diri. Oh ya, kalau ada sesiapa dapat bantu saya, bagaimana hendak membetulkan video ini yang dalam keadaan terbalik? Terima kasih ya!
Salam Puisi!
0 komentar:
Catat Ulasan