Begitu penat menyusun papan-papan domino itu satu persatu. Memastikan setiap daripadanya tegak berdiri dan di dalam keadaan stabil. Dengan tekun dan sabar, ia membentuk sebuah barisan yang tegap dan seragam. Ibarat sang soljah yang apabila dikawal di dalam perbarisan, semuanya harus serentak, tidak ada pun yang bergerak.
Dengan penuh ketelitian, sang pengatur itu menyusun papan-papan domino itu sehingga semuanya habis, menurut susunan yang telah direncanakan. Deruan angin harus dikawal, supaya tidak ada pula unsur semulajadi mahu pun perlakuan sabotaj orang lain dalam menjatuhkan walau satu daripada papan Domino itu.
Semuanya harus sempurna.
Tetapi, ada masanya, takdir telah menentukan bahawa papan domino itu salah satunya akan jatuh, lantas menindih papan-papan yang lain menjadikan semua sekali berjatuhan. Pada ketika itu, tentu terasa lelah dan kecewa kerana pekerjaan yang belum selesai dilakukan itu punah sekelip mata.
Tapi, apakan daya. Adakah kerana itu, segala papan-papan itu harus dibuang begitu sahaja?
Tidak. Teruskan usaha yang telah dikerjakan sebelum ini. Papan-papan domino itu kembali ditegakkan, disusun-susun, dibariskan dalam satu perbarisan yang menarik. Sekali lagi, harus diperhatikan apa penyebab kejatuhan papan domino tadi. Adakah disebabkan angin yang bertiup, lantai yang retak, bumi yang bergegar, atau tangan gatal manusia yang mengusik?
Sehingga papan yang terakhir telah disusun, diratakan dan ditegakkan, pastikan alat rakaman video telah disediakan dan penuh dengan bateri jangka hayatnya dan ruang memori. Ketika saat akhir hendak menjatuhkan papan domino yang pertama – apakah yang kau temukan?
Apakah the domino effect ini juga berlaku di dalam hidup kita?
0 komentar:
Catat Ulasan