Subscribe

01 Ogos 2011

Azam Bulan Ramadan

Alhamdullillah, saya sudah selamat tiba di bumi tanah bertuah nan tercinta, Malaysia. Perjalanan beribu batu, pasti akan kembali jua ke tempat asal. Lebih tentang itu akan saya ceritakan nanti. Berilah masa untuk saya bernafas dahulu.

Saya pulang benar-benar sejurus sebelum Ramadan kembali menjengah kita. Dan kita bertemu lagi, bertamu di dalam bulan yang penu barakah. Bulan yang di dalamnya terkandung seribu satu hikmah.

Seperti kedatangan tahun baru, semester baru, atau apa-apa lagi yang baru, selalunya ia mesti akan disambut dengan azam dan semangat. Entah berapa kali kita berazam dan bersemangat. Ada antara kita yang berjaya, ada pula yang terkandas dalam mengejar apa yang dicitakan itu. Apa pula azam Ramadan kita kali ini?

Biarlah saya simpan azam saya kepada diri sendiri, tetapi apa yang saya hendak nyatakan adalah apakah objektif kita dalam menempuhi madrasah dalam bulan penyucian ini? Dalam semua perkara harus ada objektif dan target, bulan Ramadan tidak terkecuali.

Adakah kita berazam hendak berterawih lengkap 30 malam? Atau memperbanyakkan bacaan Al-Quran? Atau mungkin juga hendak mengurangkan aktiviti-aktiviti tidak berfaedah? Terserahlah, sama ada tinggi atau rendah, sedikit atau banyak, rangka sebuah matlamat yang realistik dan mampu dicapai.

InsyaAllah, semoga Allah S.W.T. memberikan keberkatan kepada kita semua.

Selamat menyambut kedatangan Ramadan, wahai saudara-saudariku sekalian.

Wassalam.

28 Julai 2011

Peraduan Cipta Lirik AF9 : BAGAIMANA

lirikakademifantasia 

Semasa berlangsungnya rancangan Akademi Fantasia 9 di Astro tidak lama dulu, mereka ada menganjurkan sebuah pertandingan menulis lirik iaitu Peraduan Cipta Lirik AF9 melalui radio Era FM.

Peserta dikehendaki menulis lirik bagi melodi yang telah diberikan di laman sesawang Era FM yang diciptakan khas oleh komposer Kuncidemak atau nama sebenarnya Rudi Muhammad. Melodi yang dibuat khas untuk salah seorang peserta akhir Akademi Fantasia ini akan dinyanyikan pada malam kemucak konsert.

Lagu ini telah diberikan kepada Nera AF9 untuk menjadi single pertama beliau dengan tajuk Hatiku Milikmu yang mana liriknya ditulis oleh pemenangnya, Siti Nurulain.

Saya juga turut menyertai pertandingan ini, tetapi nampaknya belum ada rezeki lagi untuk memenanginya. Tapi, saya menganggap pengalaman menulis lirik lagu ini sebagai satu latihan yang bagus untuk mengkaji karya yang bagaimana dimahukan oleh mereka dalam aliran komersil.

Berikut diperturunkan karya lirik lagu saya yang bertajuk BAGAIMANA.

Pencipta Melodi : Kuncidemak

Penulis Lirik : Azree Ariffin


BAGAIMANA


Verse 1
Tak pernah aku terfikir
Sewaktu saat engkau hadir
Hidup yang gelap gelita
Bak bercahaya


Aku manusia biasa
Tak berdaya melawan rasa
Ketika jiwa bergetar
Kau pergi tanpa khabar


*Chorus
Bagaimana harus kulupakan cinta
Bagaimana harus kubutakan mata
Andai senyum wajahmu terbayang
di mimpi malam-malamku.


Bagaimana harus ku menyimpan rindu
Bagaimana harus ku menahan kalbu
Dari memahat harapan di langit
angan-anganku.


Verse 2
Hidup penuh persoalan
Kadang datang tanpa jawapan
Mungkin tertulis dirimu
Bukan untukku


Namun sesungguhnya aku
Takkan pernah jemu menanti
Palingkanlah wajahmu sayang
Aku masih di sini


ulang *Chorus

20 Julai 2011

Menulis Catatan Kembara Luar Negara

Bagi yang belum tahu, saya sekarang sedang berada di luar negara. Lebih tepatnya di Manchester, United Kingdom untuk menghadiri majlis graduasi adik saya, Ameer. Seperti tahun lepas, saya ke sini dalam tempoh dua minggu.

Cuma, bezanya kali ini saya ke sini bersama Bonda dan Aqil, selain Ayahanda. Jadi perjalanan kali ini tentu lebih meriah, walaupun agak releks sedikit kerana tidak begitu banyak tempat yang dikunjungi berbanding tahun lepas.

Asalnya saya tidak merancang pun untuk ikut Ayahanda dan Bonda ke sini. Memang saya sudah set dalam pemikiran saya bahawa saya tidak ikut dan sudah buat perancangan lain sewaktu mereka ke Manchester.

Tapi, entah bagaimana pula ada perkhabaran gembira yang membelai lembut di telinga saya bawaha saya boleh pergi pula. Aduh, memanglah bak apa yang orang kata sebagai bidan terjun. Tetamu saat akhir.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, alhamdulillah saya bersyukur sungguh kerana diberikan rezeki dan peluang untuk melawat tempat orang. Saya tahu ramai yang tidak berpeluang seperti saya, jadi itu adalah satu nikmat yang Allah beri yang harus saya hargai sangat dengan. Hargai, bukan sekadar menyebut sahaja. Tetapi melakukannya dalam perbuatan.

Dan seperti biasa, agenda wajib yang dilakukan bila saya ke tempat-tempat seperti ini sudah pastinya adalah dengan merakamkan pengalaman itu dalam catatan entri di blog kesayangan saya ini. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi saya rasa sangat penting untuk mendokumentasikan saat-saat yang entah bila akan datang lagi ini, supaya dapat menjadi kenangan bila sudah besar (bukanlah bermakna sekarang ini saya masih budak kecil).

Sebenarnya nak menulis catatan entri perjalanan ini memang leceh. Percayalah, sebab itu sampai sekarang saya tak habis-habis lagi tulis entri dalam siri Kembara Eropah 2010. Selain daripada liat dan malas (ya, saya mengaku), yang renyahnya apabila saya harus menyusun gambar-gambar dan menyuntingnya supaya entri ini menjadi lebih menarik. 

Apa yang silapnya tahun lepas adalah saya tidak membuat sebarang catatan khusus semasa pergi mengembara. Jadinya, semasa menulis, saya menghadapi kepayahan untuk memerah kembali ingatan untuk mengeluarkan kembali kenangan tersebut. Sebab itu, tangguh dan tangguh – dan sehingga setahun selepas itu entri itu pun tak siap lagi. (Kembara di Itali, Scotland dan Thailand masih belum habis ditulis)

Oleh sebab itu, kali ini saya ingin buat sedikit perubahan. Dalam perjalanan ke luar negara kali ini, saya bertekad untuk membuat beberapa langkah agar perjalanan ini dapat didokumentasikan dengan baik. Antarannya :

  • Menulis draf entri blog. Silapnya saya dahulu adalah saya cuba untuk buat sebuah entri penuh terus siap dengan gambar-gambar – dan ini sangat memakan masa di luar negara dan semangat menulis kian luntur. Jadi, saya sekarang akan tulis siap-siap draf. Tak perlu sempurna, asal semua isi pentingnya ada. Ala-ala nak menulis rangka karangan.
  • Bawa fail dokumen penting. Walaupun Ameer yang menguruskan semua tempahan, tapi saya rasa lebih praktikal jika saya membawa ring file yang mana saya sudah letakkan folder-folder untuk destinasi yang berbeza, yang mana dalamnya saya sudah letak senarai tempat menarik yang boleh dikunjungi, selain maklumat penting lain seperti peta, waktu solat, dan macam-macam lagi. Saya suka guna ring file sebab saya boleh tepuk segala brosur, tiket dan pelekat yang saya dapati sepanjang perjalanan yang boleh dijadikan sebagai scrap book juga!
  • Ringkaskan catatan. Satu perkara yang saya perasan pada catatan entri tahun lepas adalah saya cuba untuk tulis segala benda termasuk perkara-perkara yang tak begitu signifikan. Kali ini, saya berzama untuk memadatkan entri saya, dan kalau benda itu tak perlu diblogkan, maka saya tak akan bazirkan masa untuk tulis. Takkan semua benda kita nak paparkan kepada umum, kan? Di sinilah teknik rumusan yang dipelajari semasa ambil subjek Bahasa Melayu SPM harus digunakan sebaik mungkin!
  • Video perjalanan. Orang cakap, a picture speaks a thousand words. Tapi, kalau video, sudah pasti ia menceritakan berjuta-juta lemon perkataan! Oleh itu, saya ada rakamkan beberapa snippet perjalanan saya yang akan saya uploadkan dalam youtube dan lekatkan di entri-entri blog yang berkenaan.

Rasanya setakat itu dahulu. Saya rasa tiba-tiba blog ini dah bertukar menjadi travel blog pula. Betullah tu, life is a journey – a travel. Saya dah siapkan entri draf perjalanan setakat ini. InsyaAllah bila balik nanti saya akan kemaskini perlahan-lahan. Yang penting, catatannya sudah didokumentasi dengan baik.

Jumpa lagi!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan