Brussels terkenal dengan 5 perkara : Wafel, Coklat, Beer, Kain Renda, dan Komik.
Jadi, kalau anda ke sini – memang rugi kalau tidak mencuba sajian istimewa khas tempat ini terutamanya Wafel (ejaan Bahasa Inggeris Waffle) yang sangat terkenal itu. Saya yang sebelum ini memang sangat suka menjamah Wafel yang dijual di A&W, ternyata teruja bila mendapat tahu bahawa Wafel sebenarnya berasal dari negara Belgium.
Di sini, kedai-kedai Wafel ada di mana-mana dan dijual dengan pembagai tambahan topping di atasnya. Secara umumnya, wafel di Belgium saiznya lebih besar dan garing. Rasanya tidaklah jauh berbeza dengan wafel yang saya biasa makan, tetapi keistimewaannya adalah cara hidangannya itu.
Pada hari ketiga saya di Brussels, saya sempat merasa wafel tersebut. Asyik terlihat sahaja orang lain makan, teringat juga hendak rasa sendiri keenakannya.
:: Seleksi hiasan Wafel. Harga 1€ itu hanya untuk Wafel, tak termasuk toppingnya. ::
Seperti yang anda lihat dalam gambar di atas, harga bagi 1 papan Wafel adalah 1€. Tapi itu hanya untuk Wafel sahaja, tidak termasuk topping yang pelbagai dan berwarna warni itu. Bila dah ditambah dengan topping, harganya adalah lebih kurang 2-3€.
Ada pelbagai topping yang ada, seperti strawberi, pisang, dan ia pasti menjadi lebih mengiurkan bila ditambah dengan whipped cream dan coklat di atasnya. Kalau mahu yang simple sahaja, kita boleh saja minta wafel yang sekadar ditabur dengan gula di atasnya.
Untuk sekadar merasa, kami sekeluarga cuma beli satu sahaja sebab harga 2.50 € untuk sebuah wafel agak mahal. Apatah lagi kalau dibeli seorang satu. Jadi, marilah kita lihat wafel ini dengan lebih dekat :
:: Wafel dengan topping pisang dan coklat! ::
Tak jauh dari sini sebenarnya adalah monumen yang menjadi landmark kepada Brussels – iaitu Maneken Pis. Macam yang saya katakan sebelum ini, apartment tempat kami tinggal memang sangat dekat dengan tarikan-tarikan sebegini. Jadi, baru sahaja melangkah kaki untuk ke kedai Wafel, sudah jumpa Maneken Pis.
Manneken Pis sebenarnya adalah sebuah patung budak lelaki yang sedang membuang air kecil, yang mana budak itu sedang ‘memancutkan’ air ke dalam kolam didepannya. Haha, memang tak senonoh kan, tapi itulah yang pelancong semua berpusu-pusu nak tengok. Padahal patung itu kecil sahaja sebenarnya, lebih kecil dari dalam gambar.
Patung ini memang ada sejarahnya tersendiri, dan carian di internet pasti akan menemukannya. Ia tidaklah dibogelkan sentiasa. Ada ketikanya, patung ini akan dipakaikan dengan baju yang pelbagai jenis dan rupa, dan sehingga sekarang koleksi bajunya menjangkau ratusan pasang. Baju-baju ini ada dipamerkan di Museum Brussels yang letaknya tak jauh di Grand Place.
:: Bergambar dengan ‘budak tak senonoh’ itu. Heheh ::
Alang-alang saya sedang bercerita tentang makanan, biarlah saya kisahkan juga tentang Muzium Koko dan Coklat yang saya kunjungi pada hari yang sama. Kepada yang sedang baca entri ini sewaktu berpuasa di siang hari, maaflah ye. Tahankan saja rasa lapar tu. Hehe.
Selain wafel, Brussels memang terkenal dengan coklat. Rasanya kedai coklat boleh didapati hampir di mana-mana di sini. Cuma, coklat yang dijual bukanlah jenis yang komersil seperti Kit Kat ataupun Mars, tetapi lebih kepada coklat-coklat eksklusif yang saya namakan sebagai coklat butik. Sebab itu, harganya memang mahal. Tambahan, biji koko itu bukan hasil keluaran tempatan, tetapi diimport dari luar negara.
:: Muzium Koko & Coklat, Brussels ::
Di Brussels ini sebenarnya ada banyak muzium. Tetapi anda tak perlulah masuk kesemuanya, sebab hanya ada beberapa sahaja yang rasanya menarik untuk dikunjungi. Disebabkan antara sebab saya ke sini adalah untuk makan coklat, maka saya memilih untuk ke Muzium Koko dan Coklat. Harga untuk masuk ke sini adalah lebih kurang 5 € untuk orang dewasa. Ini adalah sebuah muzium persendirian, sebab itu harganya agak mahal.
:: Pengunjung diberi biskut yang disaluti dengan coklat. Sedap! ::
Muzium ini sebenarnya tidaklah sebesar masa. Kecil sahaja, kerana dibina di dalam rumah kedai. Apabila kita masuk, para pengunjung akan diberikan dengan biskut yang dicicah dalam coklat cair. Bau coklat memang harum semerbak di sini.
Selepas itu, ada demonstrasi membuat coklat diadakan setiap 20 minit. Kebetulan waktu kami sampai demonstrasi baru hendak dimulakan, jadi kami lihat dulu sebelum pergi melihat pameran lain di muzium ini.
Tapi sayangnya, pakcik yang buat demonstrasi ini bercakap di dalam Bahasa Perancis. Cuma sesekali di dalam Bahasa Inggeris.Tak dapatlah untuk saya betul-betul memahami proses pembuatan coklat yang ditunjukkan. Tapi, ia tetap satu pengalaman menarik.
Ini sedutan demonstrasi tersebut :
Selepas demonstrasi ini, saya pergi ke tingkaat atas muzium ini untuk meninjau pameran yang ada. Agak sempit juga tempat ini sebenarnya, sebab berada di rumah kedai, jadi kalau ramai orang memang mungkin agak sesak. Pamerannya lebih kepada sejarah dan asal-usul koko dan cara pembuatannya. Tidak ada banyak yang interaktif.
Sementara saya di atas, saya hairan ke mana pergi adik saya Ameer. Tak ada pula di mengekor sekali ke atas. Rupa-rupanya, lepas sahaja demonstrasi itu, dia bergambar dengan pakcik ini :
:: Sempat pula Ameer bergambar dengan pakcik ini ::
:: Antara bahan yang dipamerkan di dalam muzium ini ::
Dalam perkembangan berkaitan, lewat petang itu, saya dan Ameer pergi berjalan berdua keliling Brussels. Butir tentang perjalanan itu akan saya ceritakan dalam entri seterusnya. Tapi apa yang saya nak katakan adalah kami sekali lagi pergi makan wafel, tapi kali ini di sebuah restoran. Harganya lebih kurang sahaja. Saya cuma ambil wafel dengan gula, manakala Ameer pesan Wafel dengan coklat Nutella.
:: Mari kita makan wafel Belgium! ::
Selesai sudah entri saya tentang dua tarikan utama Brussels iaitu Coklat dan Wafel. Seperkara tentang coklat di sini adalah harganya yang mahal. Jadi, saya tak membeli banyak, sekadar membawa balik untuk beri orang rasa.
Entri seterusnya, saya akan cerita tentang perjalanan saya dan Ameer berjalan keliling Brussels pula!