Kelip-kelip kusangka api,
Kalau api mana puntungnya;
Hilang ghaib kusangka mati,
Kalau mati mana kuburnya.
Ini kali kedua saya pergi melihat keindahan kerlipan kelip-kelip di dua tempat yang berbeza. Pertama kali di Bukit Belimbing, dan kali ini pula di Kampung Kuantan. Tapi yang pertama itu dah lama sungguh dah. Kebetulan memang kampung saya sebelah ayah pun memang di Kuala Selangor – di Bukit Belimbing.
Percutian kali ini seronok sangat. Memang dah lama pun merancang untuk pergi beramai-ramai dengan kawan-kawan MPR untuk tengok kelip-kelip. Tapi asyik tertangguh saja. Kali ni, hos kami – Yana telah bertegas semua orang tidak boleh tidak – kena juga pergi ke Kuala Selangor disebabkan lepas ni semua orang akan sibuk. Tambahan, tarikh 1hb tahun hijrah pada hari Sabtu lepas sangat cocok untuk melihat kelip-kelip kerana pada waktu itu, air sungai sedang pasang.
Alkisah, bertolaklah kami berlapan dari Shah Alam ke Kuala Selangor. Saya, Ode, Yana, Nissa’, Biha, Masai, Kak Hani, & Kak Hani. Dalam perancangan tersebut, kami akan menginap semalam di rumah Yana – sambil menikmati BBQ bersama-sama.
Kami tiba di jeti kelip-kelip di Kampung Kuantan lebih kurang pada pukul 6.30 petang. Hajat di hati hendak terus beli tiket untuk menaiki sampan melihat kelip-kelip. Tapi, kami diberitahu bahawa kaunter tiket akan hanya dibuka pada pukul 7.45 malam dan sampan akan hanya bergerak pada pukul 8 malam.
Jadi, kami pun ambil peluanglah untuk berehat-rehat dahulu di kawasan sekitar. Sambil itu, bolehlah kami bergambar sakan, seperti yang anda lihat di atas tu, gambar yang kami posing ramai-ramai. Banyak lagi sebenarnya ada. Tapi letak sikit-sikit sajalah ya!
Saya ambil peluang itu untuk mengambil gambar kawasan sekitar. Nasib baik hari masih terang lagi. Kalau dah malam, tentu tak nampak apa-apa kalau ambil gambar. Cuma, cuaca pada awalnya semacam betul-betul mahu hujan. Saya dah mula sangat risau. Awan di angkasa hitam dan mendung pekat. Petir kelihatan sudah sabung menyabung dari kejauhan.
Tapi melihatkan kawan-kawan saya masih tenang saja, siap bermain-main lagi di taman permainan di situ, risau saya pun mulai hilang. Meski pun rintik-rintik hujan mulai turun, tapi awan mendung kelihatan semakin cerah dan mungkin ditiup angin untuk menangiskan hujan di tempat lain.
Di sekitar kawasan ini, ada beberapa fasitili yang ada untuk kemudahan pengunjung. Antaranya adalah Panggung Mini di bawah ini yang menayangkan video-video berkenaan kelip-kelip. Waktu kami ke mari, panggung ini tutup – jadi tak dapatlah melihat tayangannya.
Kalau anda datang awal ke sini, tak perlu nak risau berkenaan hendak solat maghrib kerana ada surau berdekatan disediakan. Jadi, boleh saja terus pergi ke sini sebelum waktu Maghrib. Kalu lewat-lewat, takut ramai orang dan terpaksa menunggu lama.
Selesai solat, kami terus beratur di jeti sungai. Nasib baik Masai dan Biha sudah pergi beratur membeli tiket terlebih dahulu semasa kami solat. Oh ya, harga tiket untuk seorang dewasa adalah RM10. Saya tak periksa pula kadar bayaran lain, sebab orang lain yang belikan. Kaunter bayaran itu dalam bangunan yang kami tidak masuk.
Kalau pergi waktu hujung minggu, anda boleh terus pergi saja dan tak perlu buat tempahan. Ini kerana hujung minggu akan ada ramai pelancong yang datang dan sampan biasanya memang akan cukup.
Sudah ada barisan yang beratur panjang apabila kami sampai. Kebanyakannya orang mat salleh. Dari cara percakapan mereka, saya mengagak mereka dari Amerika Syarikat. Ada juga beberapa orang pelancong tempatan. Barisan itu bergerak agak cepat juga. Kami tidak menunggu dengan lama untuk giliran kami.
Satu sampan boleh memuatkan 4 orang, tidak termasuk pendayung sampan yang bertindak sebagai pegawai penerangan kami. Jadi – saya, Yana, Kak Hani, & Kak Firdaus telah naik sampan yang sama. Manakala, Ode, Biha, Masai dan Nissa’ dalam sampan yang satu lagi.
Dalam dunia ni, ada dua tempat sahaja yang ada kelip-kelip iaitu di Amazon dan Kuala Selangor. Bagaimana pun, hanya kelip-kelip di Kuala Selangor ini yang berkelip serentak. Itu yang membuatkan kelip-kelip di Kuala Selangor ini amat istimewa.
Memang sangat cantik pemandangannya. Lagi cantik daripada melihat kerlipan lampu neon di kota. Ditambah pula dengan kombinasi berdayung sampan di sungai, memang sesuai untuk orang-orang yang sukakan keindahan alam semulajadi.
Ada banyak perkara baru yang saya belajar daripada pakcik yang mendayungkan sampan kami. Antaranya :
-
Kalau nak tengok kelip-kelip, waktu yang terbaik adalah pada 1-6hb dan 18-19hb mengikut kalender hijrah. Ini kerana pada waktu tersebut, air sungai akan pasang dan sampan akan lebih dekat kawasan kelip-kelip tersebut.
-
Ada 31 sampan yang ada di jeti kelip-kelip. Jadi, jangan risau kalau anda perlu menunggu lama, sebab sampan akan sentiasa ada.
-
Kelip-kelip jantan berkelip 3 kali sesaat. Manakala kelip-kelip betina berkelip sekali sahaja sesaat.
-
Kita memang tak boleh nak merakamkan kerlipan-kelip-kelip. Kamera secanggih mana pun, sukar nak rakamkan kecantikannya. Sebab tu, kalau kita tengok iklan di TV tu, sebenarnya kelip-kelip tu dibuat-buat.
-
Kelip-kelip diam di atas pokok berembang. Sebab tu, ada banyak pokok berembang ditanam di sepanjang Sungai Selangor yang panjangnya lebih kurang 30km.
Pakcik itu sempat juga menangkap seekor kelip=kelip dan memberikan kepada kami untuk melihat dan memegangnya secara dekat. Mari lihat bagaimana rupa sebenar kelip-kelip :
Untuk maklumat lanjut, boleh klik dua buah poster di bawah yang saya tangkap khas untuk anda. Manalah tahu kalau-kalau maklumat ini tak ada dalam internet kan? Moga-moga bermanfaat.
Kalau anda nak ke melihat kelip-kelip ke Kampung Kuantan, boleh lihat peta di bawah :
Wassalam!