Subscribe

04 Julai 2011

Mari LIKE Gambar Busana Pemantun di Facebook Persantun

Assalamualaikum!

Sebelum kita teruskan dengan cerita tentang kembara Eropah, saya ingin minta tolong sedikit kepada pembaca-pembaca saya. Persatuan Penggiat Pantun dan Puisi (PERSANTUN) sedang mengadakan sebuah pertandingan iaitu Pertandingan Gambar Busana Pemantun di laman Facebook mereka.

Saya kira, ini adalah satu pertandingan yang sangat menarik, sebab dapat menyatukan para pemantun, selain melihat sejauh mana para pemantun kita bergaya dengan busana istimewa mereka.

Cara pertandingannya mudah sahaja. Sesiapa yang mana gambarnya mendapat ‘like’ yang paling banyak, akan memenangi pertandingan. Mudah, kan? Tak perlu keluarkan duit walau satu sen pun.

Saya juga tidak ketinggalan menyertainya dan telah menghantar tiga penyertaan iaitu Peserta 035, Peserta 036, dan Peserta 037.

Oleh yang demikian, saya hendak minta jasa baik kalian untuk cari laman Facebook “Persantun” dan kemudian LIKE page berkenaan supaya dapat mengundi. Seterusnya, buka album gambar, dan cari ketiga-tiga gambar saya yang tertera seperti di bawah.

Anda boleh like gambar-gambar lain juga, tapi pastikan like gambar saya, ya?

Terima kasih. Moga kita sama-sama dapat memeriahkan pertandingan ini!

image

image

Temasya Pantun Intervarsiti Tiga Penjuru (Tritun) 2007 – MMU Cyberjaya

image

Temasya Pantun Intervarsiti Tiga Penjuru (TRITUN) 2007 – MMU Cyberjaya

image

Pesta Pantun MAKUM 2007 – UIAM Gombak

01 Julai 2011

Jemputan Ke Majlis Perkahwinan

Ketika anda membaca entri ini, saya sepatutnya sudah selamat sampai di Kangar, Perlis untuk menghadiri majlis perkahwinan kakak kepada kawan baik saya, Apiz iaitu Kak Tasnim dengan pilihan hatinya.

Entri ini telah lama saya tulis dahulu, kerana saya tahu ketika di Perlis, pasti sukar untuk mencari masa untuk menulis blog. Lebih baiklah saya siapkan bekalan awal-awal lagi untuk para pembaca semua. Sekurang-kurangnya bila berada di perantauan, dapat berehat seketika dari rutin biasa.

Bercerita tentang majlis perkahwinan, boleh dikatakan saya sangat-sangat jarang menghadirinya. Entah kenapa, sebab kalau dibandingkan dengan Apiz apabila dia berada di Perlis, boleh dikatakan hampir setiap minggu pasti ada sahaja kenduri-kendara.

Sampai saya katakan kepada Apiz, “Wah, kamu semua memang festive people, ya!”.

Setakat ini, saya memang jarang mendapat jemputan secara personal. Mungkin kerana sebelum ini kebanyakan kawan-kawan saya masih lagi belum di takah perkahwinan.

Malah, ibu bapa saya juga jarang membawa anak mereka ke majlis kahwin, mungkin kerana jemputan hanya untuk suami dan isteri atau mungkin sahaja memang saudara-mara saya jarang buat kenduri-kendara. Kalau ada pun, selalu berhalangan.

Namun, saya sedar bahawa tak lama lagi, pasti semakin banyak kad jemputan akan menjengah tiba. Rakan-rakan perjuangan di sekolah dan universiti sudah hampir kesemuanya kini melangkah ke alam pekerjaan, dan pasti ada antara mereka sudah merancang untuk ke jinjang pelamin pula.

Sedikit demi sedikit, soalan cepu gangsa pasti akan timbul jua.

“Bila kamu hendak kahwin?”, “Dah ada pasangan ke?”.

Oh, saya pasti bagi kebanyakan dari kita, soalan begini memang hendak saja dielak, tetapi apa kan daya, orang bertanya atas niat yang baik, bukan kerana ingin menyibuk. Maka, jawab sahajalah dengan sopan dan santun. :)

Tapi, kalau sudah namanya jemputan, adalah tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim untuk berusaha sebaik mungkin untuk menghadirinya, selagi tidak berhalangan. Bak kata orang, kalau kita tak pergi majlis orang, nanti siapa pula nak hadiri majlis kita, yer tak?

Baiklah, sebelum saya mula merepek lagi, jemputlah mendengar sebuah lagu baru dari rakan saya, Abang Ihab Ismail yang baru sahaja mengeluarkan sebuah album mini pertamanya iaitu Beyond The Norm. Saya sudah beli album ini dan memang sangat berbaloi. Anda boleh ketahui lebih lanjut mengenainya di lama facebook Ihab : Beyond The Norm.

Dengarkan single pertamanya : Pengantin Baru. Semoga terhibur!

29 Jun 2011

Kembara ke Kangar, Perlis

Pukullah tabuh pukul rebana,

Kalaulah jodoh tidak ke mana.

Tanah yang licin tidak berduri,

Ibarat cincin lekat di jari.

Ini kali kedua saya menjejakkan kaki ke negeri Perlis Indera Kayangan (atau nama barunya Darul Sunnah). Sebelum ini, saya pernah ke sini dua tahun lepas untuk menyertai Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka MAKUM yang diadakan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Sebelum itu lagi saya pernah juga lalu Perlis, tapi itu sekadar hendak ke Jeti Kuala Perlis sebab mahu ke Langkawi. Jadi, itu tak boleh dikira.

Biasanya, saya yang akan hantar Apiz ke Hentian Duta setiap kali dia hendak balik kampung ke Kangar, Perlis. Malah saya juga sering mengambilnya di awal pagi apabila basnya baru tiba di Kuala Lumpur ketika kembali ke sini.

Kali ini, saya pula mengambil tempat dia, merasakan betapa jauhnya perjalanan dari Kuala Lumpur ke Perlis. Sekurang-kurangnya, selepas ini saya dapat lebih memahami bagaimana perasaan setiap kali hendak balik kampung naik bas.

Saya ke sana sebab mendapat jemputan untuk menghadiri majlis perkahwinan kakak Apiz dengan jejaka pilihan hatinya yang mana benih percintaan mereka telah tersemai sejak sama-sama mengikuti kursus sarjana kejuruteraan semasa di UIAM.

Saya tiba di Kangar sehari lebih awal sebelum hari pernikahan, jadi dapatlah saya membantu mana-mana yang perlu. Segan juga saya, sebab datang terlebih awal sebab orang lain semua belum datang, tetapi saya serahkan itu kepada Apiz, kerana saya bertanyakan kepada dia terlebih dahulu bila tarikh yang sesuai untuk saya pergi dan kembali, dan saya menurut cadangannya.

Semasa hari pertama, tidak ada apa sangat yang berlaku, kecuali beberapa persiapan saat akhir yang perlu dibereskan, seperti mendirikan khemah, menyiapkan bilik pengantin, mengikat kain renda untuk hiasan laman, dan sebagainya.

Saya juga telah berkenalan dengan ayah dan ibu Apiz yang saya panggil Pakcik dan Makcik. Lebih 5 tahun berkawan baik dengan Apiz, baru ini kali pertama dapat berkenalan dengan mereka. Dulu pernah jumpa dengan Pakcik di UIA, tapi sekejap sahaja. Ternyata, hospitaliti orang utara yang peramah itu memang saya rasakan.

Dipendekkan cerita, saya ditugaskan untuk menyiapkan pengantin lelaki sewaktu hari pernikahan. Majlis pernikahan diadakan pada hari Jumaat selepas waktu Asar. Jadi, boleh dikatakan sepanjang hari sebelum itu ada masa yang cukup untuk buat persiapan apa yang patut.

Keluarga pengantin lelaki ditempatkan di sebuah rumah homestay, berdekatan dengan rumah Apiz. Boleh jalan kaki sahaja untuk ke sana. Rombongan pengantin lelaki terdiri daripada Ibunya, dan tiga orang adik beradik beliau yang kesemuanya lelaki – didatangkan khas dari kampung halaman untuk menyaksikan acara pernikahan ini.

Sewaktu saya sampai ke sana untuk mempersiapkan beliau, saya disambut dengan senyuman oleh keluarga mereka. Ketika itu, ada dua orang lagi sahabat pengantin lelaki telah sampai dari Kuala Lumpur untuk mengiringi mereka menghantar pengantin.

Ini kali pertama saya ditugaskan untuk mempersiapkan pengantin. Sebenarnya, tidak ada apa yang perlu dibuat sangat. Cuma, disebabkan beliau tak pernah memakai baju Melayu sebelum ini, jadi saya harus menolong dia untuk mengenakan persalinan nikahnya, seperti mengenakan butang, dan juga memakai samping songketnya.

Dulang hantaran yang dibawa oleh pihak lelaki adalah sebanyak 5 dulang, dan dibalas tujuh oleh pihak pengantin perempuan. Kesemua hantaran perkahwinan ini digubah khas oleh Apiz sendiri. Memang berbakat sungguh kawan baik saya seorang ini.

Bayangkanlah, sepanjang tempoh cuti dua bulan lebih ini, memang ini sahajalah kerja Apiz, mempersiapkan hantaran dan pelbagai lagi kelengkapan perkahwinan. Memang waktu cutinya dikorbankan hampir sepenuhnya untuk perkahwinan ini. Memang adik yang sangat berdedikasi.

Mari kita lihat hasil kerja tangan Apiz:

image

Hantaran perkahwinan dari pihak perempuan yang bertemakan fairytale.

image

Hantaran perkahwinan dari pihak lelaki yang berkonsepkan Indian. Lihatlah perincian kain sari yang digunakan, dengan warna merah menyala dan peralatan perak. 

Resepsi perkahwinan pula diadakan pada hari sabtu, sehari selepas majlis pernikahan. Saya ditugaskan untuk menjadi deejay, memainkan seleksi lagu-lagu perkahwinan yang telah saya muat-turun terlebih dahulu. Dalam masa yang sama, ada ketikanya Apiz akan datang dan mencantas senarai lagu yang telah saya susun dengan membukan lagu-lagu hindustan kegemarannya. Haha, kehendak tuan rumah kita turutkan saja. Bila rombongan pengantin lelaki sampai, lebih rancak lagu-lagu hindustannya!

Selesai upacara resepsi, pasangan mempelai ini bergerak ke Muzium Kota Kayang di Perlis untuk mengadakan sesi fotografi perkahwinan. Kami yang adik-adik ini pun ikut sekali, supaya boleh bergambar dan tumpang sekaki.

Dahulu semasa ke Perlis, saya pernah ke sini. Memang cantik tempatnya dan sangat sesuai untuk dijadikan sebagai lokasi penggambaran. Malah, masa kami ke sana, ada sepasang lagi pengantin yang baru tiba untuk bergambar.

Jurugambar tersebut berkata gambar-gambar itu akan siap seminggu selepas itu. Tak sabar hendak lihat, kerana kami memang bergambar sakan. Cuma mungkin kalau kami ada lebih banyak tenaga, sudah pasti akan ada lebih banyak aksi yang lebih dramatik terlintas di kepala.

Begitulah kisah saya di Kangar, Perlis. 4 hari di sana, terasa sangat-sangat gembira. Semua orang pun begitu mesra dan peramah. InsyaAllah, kalau ada kesempatan, saya akan kembali lagi. Terima kasih banyak kepada keluarga Apiz yang hospitaliti mereka memang terbaek!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan