Subscribe

22 Jun 2011

Mengembara di Switzerland, Menginap di Perancis

Kita sambung balik cerita Kembara Eropah. Pasti anda semua dah bosan, muak, dan penat tunggu bilalah cerita ke Eropah ini akan habis. Saya pun rasa begitu. Tetapi, kali ini saya akan teruskan cerita ini secara konsisten sampailah habis. Ada banyak perkara yang perlu saya blogkan selepas bulan Julai nanti. Takut ketinggalan zaman pula.

Ayuh kita mulakan ceritera…

image

Dari Paris, kami mengambil keretapi untuk ke Geneva, yang letaknya di negara Switzerland. Saya pernah ‘melangkah bendul’ sekejap dengan menulis kunjungan saya ke Pejabat PBB di sana sebelum menulis bagaimana saya menuju ke Geneva. Belasah sahajalah labu, ya!

Tiga tiket telah dibeli oleh kami bertiga. Ameer telah menempah tiket lebih awal secara online, sebelum kami daftar masuk di stesen Paris bagi mendapatkan tiket fizikalnya. Semua tempahan diuruskan Ameer, jadi tak dapatlah saya nak membuat sebut harga di sini. :)

image

Alahai, saya pun dah ingat-ingat lupa juga butiran perjalanan ini, tetapi saya usahakan sebaik mungkin ya untuk memerah kembali kenangan setahun lepas. Apa yang anda lihat di atas ini adalah kawasan di sekitar stesen keretapi di stesen Paris Gare Du Nord. Kalau tidak silap, tren kami bertolak pagi.

Dari segi kelajuan, tren bergerak agak perlahan pada mulanya, tetapi semakin lama ia bergerak semakin laju. Saya duduk di tempat yang selari dengan Ayahanda dan Ameer, walaupun di sebelah yang berbeza.

Apa yang saya perasan, hanya kami sahaja orang Asia dalam koc ketika itu. Rata-rata yang saya lihat adalah orang Eropah. Kebanyakannya berbicara dalam bahasa selain Bahasa Inggeris. Alhamdullillah, koc tidak begitu sesak dengan orang, kerana saya lihat ada lagi ruang tempat duduk yang kosong.

image

Sepanjang perjalanan ke Geneva, kami disajikan dengan pemandangan kawasan desa negara Perancis yang begitu indah sekali. Melihat kepada bukit-bukit, tumbuh-tumbuhan, dan bangunan yang didirikan sepanjang jalan amat menenangkan fikiran.

Cuma saya sedikit hairan, ada antara pekan-pekan yang dilalui sepanjang perjalanan begitu kosong sekali. Maksud saya, bangunannya ada, tetapi tak nampak pula kelibat manusia. Ia seperti apa yang orang putih katakan sebagai ghost town. Malah ada satu stesen yang mana menjadi tempat perhentian transit seketika tren ini – tidak ada orang langsung di situ!

Kami sampai di stesen Geneva tidak berapa lama selepas itu. Saya tak ingat berapa lama, tetapi yang pasti ia tidak sekejap dan tidak lama. Hah macam itulah. Cuba google, tapi tak jumpa pula jawapannya.

Apa yang menarik, ketika sampai di Geneva, pegawai imigresen/kastam tidak pula cop pasport kami. Malah mereka tak tengok pun. Terus sahaja beri kami masuk negara Switzerland tanpa sebarang halangan. Memanglah di Paris mereka ada periksa passport kami, tetapi sekadar hendak cop bahawa kami akan keluar dari negara Perancis.

Agak sedih juga, sebab tak dapat membuktikan pemergian ke Switzerland di dalam passport. Kalau anda ke sana, pastikan anda minta juga kepada pegawai itu, supaya dicopkan Switzerland di dalam passport. Boleh pula nak paksa-paksa pegawai, ya! Haha.

image

Perkara pertama yang dilakukan di Geneva adalah menukar sebahagian mata wang Euro yang kami ada kepada matawang Swiss iaitu Swiss Francs atau singkatannya CHF. Nilainya tidak banyak beza dengan Euro. Kami masih perlu tinggalkan baki duit dalam matawang Euro kerana destinasi seterusnya, Itali menggunakan matawang tersebut.

Ini satu cerita menarik tentang perjalanan ini. Sewaktu kami keluar dari stesen dan mencari teksi untuk ke apartment tempat penginapan, tiba-tiba sahaja Ameer memberitahu bahawa tempat penginapan kami beralamatkan negara Perancis.

Terkejut saya dibuatnya! Kami sudah sampai ke Switzerland, tapi kenapa pula penginapan di negara sebelah, iya tak?

Dalam kekalutan itu, ada sebuah keluarga berbangsa Afrika Amerika berhampiran kami yang juga baru tiba di Geneva mendekati kami untuk bertanyakan sesuatu. Kami juga bertanyakan hal ini kepada mereka, tentang bagaimana tempat penginapan kami boleh berada di negara lain.

Lelaki bertubuh sasa yang bersama dengan anak dan isterinya itu mengatakan bahawa dia juga ada ditawarkan menginap di tempat itu semasa membuat tempahan di dalam internet, tetapi memilih untuk menginap di tempat lain. Dia mencadangkan kami untuk mengambil teksi sahaja ke sana, kerana sudah pasti pemandu teksi itu boleh mambawakan kami ke sana, berbanding menaiki trem yang sudah ada di depan mata.

image

Harga perjalanan teksi untuk ke apartment kami dari stesen keretapi ke tempat penginapan agak mahal juga, tetapi kami tiada pilihan lain. Lagi pun, keutamaan sekarang adalah untuk sampai ke apartment untuk melepaskan lelah dan meletakkan segala beg-beg berat yang kami bawa ini.

Kami diberitahu oleh pemandu teksi yang sedang di usia pertengahan umur itu, bahawa tempat itu sebenarnya tidak jauh. Hanya sekitar 10 minit sahaja dari stesen tadi.

Maka, wajarlah saya tepuk dahi saya. Siapa suruh tak tengok peta dahulu sebelum pergi. Rupa-rupanya bandar Geneva ini sangat dekat dengan sempadan negara antara Switzerland – Perancis. Boleh dikatakan, Geneva adalah sebuah kota yang dilingkungi oleh sempadan Perancis.

Tak percaya? Mari kita lihat peta :

Map picture

Garis sempadan negara adalah yang berwarna kuning. Oleh sebab itu, budaya di sini, masih mirip kepada Perancis. Malah, Bahasa Perancis juga digunakan sebagai bahasa pertuturan harian.

image

Inilah rupa bentuk apartment kami dari luar. Apartment ini betul-betul di atas sempadan. Keadaan di sekitarnya agak tenang. Saya terfikir juga bagaimana hendak mendapatkan makanan di sini. Mujur, tidak jauh dari sini, saya sudah lihat ada beberapa kedai kebab dan juga kedai runcit yang ada tulisan halal di dalam kawasan negara Perancis. Alhamdulillah, mudahlah untuk kami menjamu selera. Tapi, lebih cerita tentang itu kemudian.

image

Apartment ini ada dua bilik. Satu bilik tidur, dan satu lagi bilik rehat. Memang sungguh lengkap serba serbi. Dari segi kelengkapan, ada dapur yang mana kelengkapan seperti pinggan mangkuk, sudu garfu, dan apa pun tersedia. Pendek kata kalau nak masak pun boleh. Tak cukup itu, ada juga alat menggosok baju, satu fasiliti yang sangat dihargai oleh pengembara seperti kami!

Baiklah, beri kami waktu untuk rehat. Hari Jumaat ini, kita sambung dengan lawatan sekitar banda Geneva pula. Nantikan!

20 Jun 2011

Pesta Pantun Sezaman 2011

Dua srikandi duduknya santun,

Putera nan tunggal gagah berani,

Kami MANIRA tak sabar berpantun,

Sama meriahkan gelanggang seni!

Dah lama sangat saya tak turun berpantun. Rasa rindu dan gian itu saling tingkah bertingkah tiap kali melihat orang lain bermadah seloka di pentas pertarungan pesta pantun, tapi apa kan daya, setiap orang punya peranan masing-masing. Kalau semua orang berpantun, siapa pula hendak jadi pengurus pasukan dan pengarah program pula. Yang penting, semuanya atas semangat mencintai tradisi lisan Melayu yang paling asli itu.

Suatu pagi, Ika telah menghantar SMS kepada saya untuk membuka laman sesawang kraftangan Malaysia kerana dia terdengar di radio Klasik Nasional, ada pertandingan diadakan sempena Promosi Kerja Kahwin yang telah saya ceritakan sebelum ini.

Apa lagi, terus meluru saya ke hadapan komputer peribadi, dan ternyata memang ada pesta pantun diadakan. Saya dan Ika pernah bercerita dahulu, bahawa selepas kami keluar dari alam kampus, kami masih lagi nak teruskan minat dalam dunia berpantun, tetapi atas platform terbuka, bukan lagi mewakili universiti. Tentu khalayak di arena terbuka lebih mencabar kerana pesaingnya adalah otai-otai semuanya.

Kami terus menjemput Zack untuk sertai kami, sebab saya yakin Zack juga pasti begitu rindukan pentas pantun. Zack pernah mewakili sekolah menengahnya iaitu SMK Raja Mahadi untuk ke peringkat kebangsaan dalam bidang pantun. Tapi, setakat ini belum berpeluang lagi mewakili varsiti.

image

Pada awalnya, memang kami menghadapi masalah hendak berlatih kerana masing-masing berada agak jauh. Seorang di Petaling Jaya, seorang di Klang, dan seorang lagi di Bangi. Mujurlah semuanya memang menetap di negeri Selangor. Kalau ada yang nun jauh di negeri lain, apsti lagi susah hendak jumpa.

Jadi, kami hanya berlatih sendirian sahaja dahulu. Mujur ada Facebook dan SMS yang memudahkan latihan diadakan secara maya. Itu pun, pasti lebih seronok kalau dapat bertentang mata sebab berlatih pantun ini harus juga menjaga aspek persembahan.

Oh ya, nama yang telah kami pilih adalah MANIRA. Ia bermaksud aku/kita dalam bahasa Melayu klasik. Nama ini telah lama saya guna sejak zaman matrikulasi sehingalah ketika memasuki Pesta Pantun UIAM 2007 bersama dengan Ika.

Saya fikir, malas pula hendak fikir nama lain, jadi saya guna kembali sahaja nama itu. Lagipun, saya suka maknanya yang melambangkan semangat kekitaan dan berpasukan.

image

Beginilah persalinan kami. Busana hitam menjadi pilihan, lambang keunggulan. Pastinya, hitam bukanlah pilihan pertama, tetapi atas sebab kesulitan mencari baju sedondon yang muat dipakai, maka hitamlah pilihan terakhir, lantaran kebetulan Zack ada dua helai baju kurung warna hitam yang sesuai digunakan untuk dia dan Ika.

Saya pula mengenakan baju Melayu berwarna hitam. Baju Melayu hitam ini memang penyelamat kerana sesuai dipakai di apa-apa acara rasmi. Saya rasa semua orang Melayu harus ada sepersalinan Baju Melayu berwarna hitam. :)

image

Selain kami, ada dua buah pasukan lagi yang berasal dari UIAM. Memang benar-benar bak apa yang disebut orang, rombongan Cik Kiah. Daripada jumlah keseluruhan 10 pasukan bertanding, 3 daripadanya adalah pasukan UIAM.

MANIRA, ANDEKA, dan ALANG TENGAH – Begitulah nama kami. Memang seronok, kerana dapat berkumpul antara kami adik-beradik. Ada pemantun lama, ada juga pemantun baru. Saya kira, antara rahsia kejayaan pasukan pantun UIAM menjadi pasukan pantun IPTA yang agak konsisten adalah kerana kami sentiasa ada pelapis yang meneruskan kesinambungan perjuangan kami, meski bernaung di bawah universiti yang menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya sebagai bahasa perantara.

Selain gerombolan kami, 7 lagi baki pasukan  datang dari pelbagai latar belakang. Ada pasukan dari IPT, cikgu-cikgu sekolah, makcik-makcik, malah ada juga sebuah pasukan yang mewakili para penggerai di promosi perkahwinan ini.

Kami dibahagikan kepada 4 buah kumpulan, yang mana setiap kumpulan akan ada dua atau tiga pasukan. Dari segi format, agak pelik sedikit, sebab meskipun dikatakan format liga digunakan, tapi sebetulnya, ia adalah perlawanan kalah-mati. Kalau kalah, akan terus keluar dan terkandas.

Tapi saya faham, pertandingan ini bukanlah diadakan secara besar-besaran. Sekadar menyerikan sahaja promosi pertandingan ini. Sudahlah yuran penyertaan percuma, jadi kami akur dengan syarat yang telah ditetapkan lebih awal.

image

Kumpulan MANIRA telah diundi dalam Kumpulan 1, manakala sangat dukacita pula untuk pasukan adik beradik ANDEKA dan ALANG TENGAH kerana mereka ditakdirkan untuk berlawan sesama sendiri pada pusingan awal. Kami cuba juga berunding dengan penganjur untuk menukar giliran, tetapi apa kan daya, kami terpaksa akur juga kerana cabutan undi telah pun dibuat.

Pasukan adik beradik ini telah bertemu pada giliran pertandingan yang ke-3. Kelainan Pesta Pantun ini adalah setiap perlawanan hanya akan ada satu pusingan sahaja. Ini bermaksud, kita hanya ada peluang sekali membeli dan sekali menjual dan peluang itu harus digunakan sehabis baik untuk menunjukkan kebolehan pemantun. Kalau kalah, akan terus terkeluar.

Perlawanan antara ANDEKA dan ALANG TENGAH berlangsung dengan cukup sengit. Keduanya punya kekuatan yang tersendiri. Namun adat pertandingan, pasti ada pemenang dan yang kalah. ANDEKA telah berjaya melangkah ke peringkat seterusnya.

Kemudian, tibalah giliran kami pula, pasukan MANIRA untuk beraksi. Mari kita lihat gambar-gambarnya terlebih dahulu :

image

Pasukan yang perlu kami hadapi, bukanlah pasukan yang calang-calang. Mereka adalah SENANDUNG WARISAN, para pemantun yang memang sudah otai dalam pesta pantun dari Institut Perguruan Bahasa Melayu (IPBM) Lembah Pantai. Terdahulu, mereka telah menang dalam saringan pusingan pertama menentang sebuah lagi pasukan dalam kumpulan kami.

Bagi kami pula yang belum lagi ‘panas berpantun’, segala itu kami tidak hiraukan, supaya dapat beri persaingan yang sengit. Melalui pengalaman saya, kita boleh berlatih sebanyak mungkin, tetapi bila sudah naik ke pentas, kesilapan kecil sahaja boleh membuatkan persiapan lama bagai sia-sia. Yang penting, harus konfiden dan selawat banyak-banyak agar diberikan ketenangan jiwa.

Tema umum untuk pertandingan ini adalah Kraf & Perkahwinan. Tema ini sahaja yang diulang-ulang sepanjang pertandingan, jadi sepanjang minggu saya banyak juga buat research tentang aspek-aspek kraf yang ada di dalam sebuah majlis perkahwinan.

Sebagai hasilnya, saya lebih menghargai kraftangan Malaysia, dan dapat memahami fungsinya, seperti contoh betapa simboliknya sirih junjung dalam budaya Melayu.

image

Seperti dijangka, pasukan SENANDUNG WARISAN memang memberikan saingan yang cukup hebat kepada kami. Saya digandingkan dengan pemantun pertama mereka, Tuan Hafizullah Tuan Yunos. Seingat saya, soalan beliau adalah berkenaan raja sehari yang membasuh kuali dan pinggan mangkuk pada hari perkahwinan.

Jawapan saya begini :

Bunga kenanga dalam jambangan,
Menjadi hantaran yang paling ulung;
Ahli keluarga tak cukup tangan,
Walau pengantin, tetap kutolong.

Hah, pantun ini memang jawapan asli saya waktu pertandingan, tak ada ubah-ubah. Ika dan Zack juga menjawab dengan sungguh bagus sekali. Saya sendiri terkejut kerana kami menjawab di bawah masa 1 minit, kerana semasa latihan, kami ada sedikit masalah menjawab dalam durasi masa yang diberikan iaitu 80 saat. Maklumlah, sebelum itu masing-masing agak berkarat.

Meskipun kami tewas, tapi saya sangat berpuas hati sebab dapat buat yang terbaik. Memang kalau ikutkan hati, tak puas kerana berlatih punya bersungguh-sungguh, tapi cuma dapat mempamerkan kemahiran hanya dalam satu perlawanan, tetapi saya redha kerana pasti ada hikmahnya.

Bagi saya, kemenangan itu soal kedua. Yang penting, kemahiran berpantun itu dapat diasah daripada terus tumpul dan malap begitu sahaja. Kalau kita menang pun, tapi semangat dan roh dalam apa yang kita buat itu tiddak kita hayati, maka tentulah ia sekadar kemenangan material semata-mata.

Keputusannya : SENANDUNG WARISAN akhirnya muncul sebagai juara keseluruhan, diikuti pasukan PINANG MUDA di tempat kedua, dan SERINDIT BIRU di tempat ketiga. Pasukan ANDEKA pula berjaya mendapat tempat ke-empat.

Terima kasih kepada pihak Perbadanan Kraftangan Malaysia dan Radio Klasik Nasional yang telah menganjurkan acara ini. Moga ia dapat diteruskan ke tahun hadapan, dan pastinya, kami akan turut serta lagi!

19 Jun 2011

Ke Mana Tumpahnya Kuah, Kalau Tidak Ke Nasi

Saya tangguhkan dahulu catatan tentang Pesta Pantun Sezaman yang sepatutnya diterbitkan pada hari ini, bagi memberi laluan kepada entri sempena Hari Bapa. Catatan berkenaan yang sudah pun siap akan terbit secara otomatik pada hari esok, tepat 12 tengah malam.

Saya tahu, agak klise untuk menulis tentang Ayahanda ketika tibanya Hari Bapa. Pasti semua orang akan berlumba-lumba untuk menulis ucapan Selamat Hari Bapa di blog, twitter, facebook, dan entah di mana-mana sahajalah. Tentu tak ada salahnya.

Saya faham, memang bukan Hari Bapa sahaja hari yang sepatutnya kita hargai jasa dan pengorbanan insan yang bergelar Ayah, Bapak, Papa, Daddy, atau Abah ini. Hal ini juga sama untuk Hari Ibu, atau apa-apa sahaja hari peringatan.

Meraikannya tidak bermaksud kita hanya mengingati jasa dan pengorbanan mereka pada waktu itu sahaja. Tarikh itu hanya sekadar satu waktu untuk mengingatkan kita supaya melakukannya secara konsisten setiap tahun. Sekadar peringatan. Kerana manusia mudah lupa. Itu adalah fitrah.

Bercerita tentang Ayahanda, bagi anda yang ikuti penulisan saya di blog ini, pasti perasan saya ada menulis tentang Ayahanda, meski tidak selalu, tetapi ada. Baru sahaja minggu lepas saya ikuti beliau Meredah Belantara Kerling menaiki kereta pacuan empat roda.

Tahun lepas pula, Ayahanda telah membawa saya berkelana dalam Kembara Eropah 2011, satu pengalaman yang tak mungkin sapat saya lupakan.

Dalam banyak perkara, saya begitu mirip Ayahanda. Perkara pertama yang pasti orang akan terlihat pastinya wajah kami. Wajah saya banyak ikut wajah Ayahanda. Dahulu semasa kecil, saya tak begitu nampak sangat persamaan. Tetapi semakin menginjak dewasa, makin lama makin terserlah.

Cuma bezanya, saya lebih bulat sedikit berbanding Ayahanda saya. Entahlah, sejak dua tahun lepas berat badan naik agak mendadak, sampai Ayahanda pun dah mula panggil “Bulat, bulat”…

Ops, melalut pula. Bonda pernah berkata, kalau terasa rindu jika Ayahanda pergi ke tempat jauh, Bonda akan melihat saya kerana pasti dia akan terkenangkan Ayahanda. Katanya, dari segi percakapan, berjalan, bersin, dan makan sekali pun, memang iras-iras Ayahanda ada.

Mana lagi nak kuah akan ditumpahkan kalau tidak ke nasi, kan?

Malah, satu perkara yang Bonda katakan, saya suka bercakap sendirian, sama seperti Ayahanda. Maksud cakap sendirian ini adalah ketika kami berfikir, kami selalu akan tersebut patah-patah kata yang difikirkan itu tanpa disedari. Ia seperti terkeluar sendiri dari mulut, mungkin kerana terlampau berfikir.

Tapi ayahanda dulu lagi teruk. Saya ingat lagi masa kecil, dia selalu tiba-tiba bercakap sendirian semasa dia memandu. Sampai saya yang ketika itu masih usia mungil begitu hairan dan keliru. Kadang-kadang juga terkejut. Sekarang ini, saya pula buat perkara yang sama.

Begitulah, Ayahanda saya. Mungkin seperti watak bapa lain, dia begitu cool, sampai kita tak tahu apa yang berlaku dalam sungai hatinya. Dia tidak garang, tetapi tegas. Kami adik-beradik bertuah mendapat seorang bapa seperti Ayahanda.

Kepada Ayahanda, terima kasih kerana telah memberikan kami sekeluarga kehidupan yang bahagia dan sempurna. Tidak ada kata ucapan yang boleh menandingi jasamu. Entri ini adalah perlambangan betapa anakanda menghargai pengorbananmu.

Selamat Hari Bapa, Ayahanda!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan