Subscribe

03 Ogos 2011

Kisah Klasik Hang Tuah dan Hang Jebat

Pertarungan bersejarah antara Hang Tuah dan Hang Jebat yang dinukilkan di dalam Hikayat Hang Tuah (atau dalam versi Sejarah Melayu, antara Hang Tuah dengan Hang Kasturi) sering kali kita dengar. Malah, saya masih teringat adegan ini dilakonkan dengan cukup mengujakan sekali di dalam filem XX Ray 2.

Antara keduanya, kita selalu diberitahu bahawa Hang Tuah adalah seorang pendekar, laksamana yang setia – patuh dan taat kepada setiap perintah Sultan, meski pun perintah itu mengguris kehendak hatinya seperti pergi menculik Tun Teja buat dijadikan permaisuri Melaka.

Malah, Hang Tuah sanggup membunuh rakan baiknya sendiri, Hang Jebat demi menurut titah Sultan, yang murka dengan perbuatan Jebat yang dikatakan derhaka itu.

Tapi, demi budaya bahawa setiap kehendak pemimpinnya itu wajar dipatuhi, Hang Tuah menurut, bimbang andainya dikatakan sebagai penderhaka dan petualang bangsa.

Hang Jebat pula – disebabkan dia berani bersuara dan menentang arus – maka hingga ke akhirnya dia digambarkan sebagai sang penderhaka, meski pun apa yang diperbuatkannya itu adalah demi menuntut maruah dah keadilan.

Hang Jebat bangkit ketika semua orang menurut pemimpin tanpa sebarang bantahan, dan apa yang dikatakan oleh pimpinan itulah yang dianggap sebagai yang terbaik, meskipun kita semua sudah pasti tahu selagi bernama manusia, tidak ada yang akan bersifat sempurna.

Masih ingat ungkapan “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”? Inilah ungkapan yang datang dari Hang Jebat sendiri.

Saya tidak mahu pergi jauh ke dalam rentetan sejarah ini. Saya juga masih belum khatam kedua kita Sejarah Melayu yang menyimpan kisah persengketaan ini, tetapi apa yang saya tertarik dalam kisah ini adalah tentang paparan sejarah budaya orang Melayu berpolitik.

Saya melihat seakan Hang Tuah dan Hang Jebat sebagai simbol dan perlambangan keadaan dan situasi orang Melayu sekarang ini yang mana satu pihak begitu taat dan patuh kepada pemerintah dan akan terus mengikut arahan, dan satu pihak lagi dilihat sebagai berani menentang arus demi mencapai keadilan meski pun akan dianggap sebagai “penderhaka” – dan akan dihentam habis-habisan oleh pihak yang satu lagi.

Saya tak berminat untuk membincangkan siapa yang betul dan siapa yang salah. Saya rasa dalam situasi politik hari ini, apa yang kita lihat tak semestinya apa yang terjadi. Keadaannya sangat teruk sampaikan perbezaan antara keduanya tak dapat kita lihat.

Apa yang saya hendak katakan, kedua-duanya ada sisi positif dan negatif. Keduanya berjuang demi apa yang mereka lihat dari kaca mata mereka sendiri sebagai sesuatu yang betul dan patut dilakukan.

Hang Tuah bertindak sedemikian ada sebabnya. Begitu juga dengan Hang Jebat. Antara keduanya, kita harus mengimbangi apa yang baik dan apa yang buruk.

Menjadi seorang yang taat dan setia menurut perintah mungkin nampak mudah, tetapi bagaimana kalau kita di tempat Hang Tuah yang terpaksa mengatasi kepentingan peribadinya demi prinsip? Bolehkah kita melakukannya secara berhemah?

Begitu juga dengan perlakuan yang menentang arus di masa kini mungkin dilihat sebagai penjenayah, penderhaka, dan petualang bangsa, tetapi bagaimana kalau kita ini Hang Jebat yang teraniaya dek bersuara mempertahankan apa yang hak?

Sama-sama kita fikirkan.

02 Ogos 2011

Ole-Ole Dari Perantauan

Ketika saya ke United Kingdom baru-baru ini, agak banyak juga tempat yang dikunjungi sepanjang kami sekeluarga mengadakan roadtrip dari London ke Manchester. Adik saya Ameer kalau singgah ke mana-mana, pasti akan mencari fridge magnet sebagai tanda kenangan dia sudah pergi ke sesuatu tempat.

Bagi saya pula, saya suka membeli buku cenderamata tentang sesuatu tempat. Contohnya, bila saya ke Buckingham Palace, saya akan membeli buku cenderamata rasmi supaya saya dapat lebih pengetahuan tentang tempat yang saya kunjungi itu apabila saya pulang kelak.

Selain magnet peti sejuk dan buku cenderamata, saya juga ada kalanya membeli keychain atau pun Baju T yang tertera imej tentang tempat yang dibeli itu – sebagai ganti jika saya tidak jumpa souvenier book.

Keychain sudah pasti menjadi ole-ole yang agak popular dan menjadi pilihan kebanyakan orang kerana sifatnya yang murah, kecil, dan ringan dibawa terutamanya jika terpaksa mematuhi syarat syarikat penerbangan yang mengehadkan berat bagasi.

Secara jujurnya, saya memang tak berapa pandai sangat hendak membeli ole-ole. Benar, ini bukan main-main. Kadang-kadang saya menjadi begitu buntu hendak beli buah tangan apa yang bersesuaian sehinggakan saya sendiri tak beli apa-apa langsung – hatta untuk diri saya sendiri.

Malah, ada ketikanya saya memaksa diri sendiri untuk membeli sesuatu sebagai tanda kenangan kerana ada waktu saya rasa liat sangat hendak membeli apa-apa kerana berasakan tidak ada apa barangan yang begitu menarik perhatian.

Meski apa pun barangan yang dibeli, yang penting adalah tanda ingatan dan memori yang tersimpan. Sebab itu saya sendiri kalau pergi ke mana-mana, akan cuba sedaya upaya untuk merakamkan pengalaman itu di dalam blog ini – sebagai ole-ole dalam bentuk tidak ketara, bagi para pembaca dan rakan-rakan sekalian.

Nantikan catatan entri kembara saya ke Eropah itu esok ya, ole-ole dari perantauan. :)

01 Ogos 2011

Azam Bulan Ramadan

Alhamdullillah, saya sudah selamat tiba di bumi tanah bertuah nan tercinta, Malaysia. Perjalanan beribu batu, pasti akan kembali jua ke tempat asal. Lebih tentang itu akan saya ceritakan nanti. Berilah masa untuk saya bernafas dahulu.

Saya pulang benar-benar sejurus sebelum Ramadan kembali menjengah kita. Dan kita bertemu lagi, bertamu di dalam bulan yang penu barakah. Bulan yang di dalamnya terkandung seribu satu hikmah.

Seperti kedatangan tahun baru, semester baru, atau apa-apa lagi yang baru, selalunya ia mesti akan disambut dengan azam dan semangat. Entah berapa kali kita berazam dan bersemangat. Ada antara kita yang berjaya, ada pula yang terkandas dalam mengejar apa yang dicitakan itu. Apa pula azam Ramadan kita kali ini?

Biarlah saya simpan azam saya kepada diri sendiri, tetapi apa yang saya hendak nyatakan adalah apakah objektif kita dalam menempuhi madrasah dalam bulan penyucian ini? Dalam semua perkara harus ada objektif dan target, bulan Ramadan tidak terkecuali.

Adakah kita berazam hendak berterawih lengkap 30 malam? Atau memperbanyakkan bacaan Al-Quran? Atau mungkin juga hendak mengurangkan aktiviti-aktiviti tidak berfaedah? Terserahlah, sama ada tinggi atau rendah, sedikit atau banyak, rangka sebuah matlamat yang realistik dan mampu dicapai.

InsyaAllah, semoga Allah S.W.T. memberikan keberkatan kepada kita semua.

Selamat menyambut kedatangan Ramadan, wahai saudara-saudariku sekalian.

Wassalam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan